ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Sunday 18 December 2011

HIBURAN ISLAM DIDIK JIWA

ISLAM adalah agama yang sempurna dan lengkap merangkumi segenap aspek kehidupan manusia. Islam juga meraikan kepelbagaian fitrah manusia serta menolak sesuatu yang menjauhi fitrah manusia. Begitu juga halnya apabila berbicara soal hiburan dalam kehidupan kerana hakikatnya fitrah manusia memerlukan hiburan.

Sebagai bukti, ia boleh dilihat dalam sebuah hadis yang menceritakan bahawa Rasulullah SAW tidak menolak hiburan.

Daripada Aisyah RA, katanya: “Rasulullah SAW masuk (menemui saya), ketika itu dua orang jariah (budak perempuan) menyanyi-nyanyi (memperingati perang) Baath. Baginda (mendengar nyanyian) sambil berbaring di tempat baringku dan dipalingkan mukanya. (Tiba-tiba) masuk Abu Bakar RA serta mengherdik saya dengan katanya ‘serunai (mizmar) syaitan’ di sisi Baginda SAW. Rasulullah SAW mengadap Abu Bakar seraya berkata: ‘Biarkan mereka menyanyi (tidak mengapa)’. Apabila keadaan Rasulullah SAW selesa dan leka, aku mengisyaratkan dengan mataku kepada dua penyanyi tadi, mereka pun berhenti menyanyi dan keluar (meninggalkan kami).” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Namun, yang dibimbangkan pada masa kini adalah budaya hiburan melampau yang menjauhkan manusia daripada pencipta-Nya. Ini yang disebutkan sebagai ‘Hedonisme’ — satu keadaan di mana kehidupan manusia dikuasai oleh hiburan yang melalaikan. Lebih menggusarkan, hedonisme umpama virus atau sel penyakit yang semakin merebak serta merosakkan kehidupan manusia, terutama jiwa anak remaja dari sehari ke sehari.

Berbicara mengenai hedonisme, pastinya ia berkait rapat dengan penyakit virus ‘liberalisme’. Segala perkara diputuskan melalui akal manakala garis panduan agama dilihat sebagai ‘pengacau’ yang menghalang kebebasan. Hedonisme dan liberalisme menghentam budaya Islam di seluruh dunia. Kedua-dua virus ini menyerang secara halus mungkin tanpa kita sedari.

Seperti contoh, pendokong ideologi liberalisme menggambarkan penutupan aurat sebagai kolot, merendah diri, dilihat sebagai lemah dan tidak berkarisma, manakala malu digambarkan sebagai ‘tak sporting’. Lebih biadap lagi, mereka memberi pelbagai gelaran sinis kepada individu yang cuba menegur dan memberi nasihat dengan pelbagai gelaran, termasuk ‘serbanitas’, ‘Taliban’ dan ‘ekstremis’.

Liberalisme menggariskan prinsip bahawa manusia bebas melakukan apa saja. Secara halusnya, mereka digambarkan sebagai pejuang yang memperjuangkan hak yang sebenarnya mempunyai nas di dalam agama. Semuanya mahu bebas, kononnya tidak mahu dikongkong. Katanya, hidup hanya sekali, kubur masing- masing, dosa pahala ditanggung sendiri.

Realiti dunia zaman kini, semuanya berkehendakkan kepada hiburan. Seakan- akan menjadi adat, tidak berseri sesuatu majlis itu kalau tidak diselitkan dengan hiburan. Malah, antara cara paling mudah menarik masyarakat ke majlis atau karnival adalah menyelitkan hiburan sepanjang atau di akhir program. Bersesak-sesaklah muda- mudi memenuhi majlis sambil menari dan melompat mengikut rentak hiburan yang melalaikan.

Tiada lagi istilah halal haram apabila di dalam program berkenaan lelaki dan perempuan bebas bergaul.Tidak kurang juga pusat hiburan yang tumbuh bagai cendawan pada hari hujan, siap menyediakan perkhidmatan kepada remaja. Hasilnya, lihatlah pada dada akhbar dan berita setiap hari. Berita seperti kes pembuangan anak, dadah dan bunuh diri di kalangan remaja seakan-akan menjadi santapan tetap kepada kita.

Namun, yang menghairankan, apabila keluar berita seperti ini, semua pihak seakan-akan kesal dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah ini.

Saya tertarik dengan ungkapan seorang ustaz di dalam blognya yang mengumpamakan hedonisme sebagai dadah yang meracuni hidup manusia. Hedonisme mencipta mimpi indah penggunanya hingga khayal di dalam dunia mereka sendiri. Penganjurnya pula diibaratkan sebagai pengedarnya yang tidak terjebak dengan ketagihan hedonisme. Mereka hanya memikirkan bagaimana memaksimumkan keuntungan perniagaan.

Kerana itu Islam menggariskan panduan untuk berhibur. Bak lirik yang dinyanyikan kumpulan Raihan seketika dulu: “Berhibur tiada salahnya kerana hiburan itu indah. Hanya apabila salah memilihnya membuat kita jadi bersalah...” Matlamat hiburan dalam Islam adalah mencapai ketenangan dan kepuasan dalam acuan sederhana, positif serta tidak melampaui batas. Hiburan dalam Islam juga lebih kepada mendidik hati dan jiwa manusia serta tidak melampaui batas.

Seperti kata Imam Ali RA yang mengumpamakan hiburan dalam hidup manusia sebagai garam dalam masakan. Cukup hanya digunakan sekadarnya. Jika berlebihan, rosaklah rasa masakan itu.

Hiburan yang berlebihan menggelapkan hati dan membuat kita jauh daripada rahmat Allah. Namun akhir- akhir ini, kita sekurang-kurangnya mendapat sedikit penawar bagi merawat gejala hedonisme.

Rancangan TV keagamaan berbentuk program realiti televisyen seperti Imam Muda, Ustazah Pilihan, Akademi Al-Quran, dan Solehah semakin mendapat tempat di hati masyarakat. Sekurang-kurangnya dewasa ini kita mempunyai pilihan. Cuma pilihan itu terletak di tangan kita sendiri.

Saya juga melihat perkembangan baik sejak akhir-akhir ini di mana muda-mudi mula berjinak-jinak mendalami ilmu agama dengan memenuhi kuliah yang dipimpin tokoh agama. Ia seumpama fenomena baru dalam negara kita. Sebagai contoh, pernah berlaku kesesakan lalulintas di lebuh raya sekitar ibu kota akibat tempat meletak kenderaan yang penuh di dalam kawasan masjid. Kerana itu, mereka terpaksa meletakkan kereta di tepi jalan lebuh raya semata-mata untuk menghadiri kuliah agama yang diadakan di masjid. Semua ini adalah perkara luar biasa kerana menggambarkan kesungguhan mereka menghadiri majlis agama.

Individu seperti ini yang dicari-cari masyarakat kita pada hari ini. Pendekatan sederhana yang mampu menarik minat muda-mudi untuk memenuhi segenap ruang di masjid, surau dan seumpamanya.

Yang jelas, masyarakat kita sebenarnya dahagakan ilmu agama untuk menjawab setiap persoalan yang berlegar dalam kotak pemikiran. Cuma mungkin cara pendekatan yang kurang kreatif menjadikan masyarakat kurang berminat mengikuti kelas atau program agama.

Semoga semakin hari, semakin lahir ikon atau contoh ikutan baik yang dapat mendampingi masyarakat kita hari ini. Diharapkan penganjuran program ke-Islaman ini mampu berkembang lebih baik lagi atau seiring dengan perkembangan dunia hiburan pada hari ini.

Sumber: Mohd Hassan Adli Yahya, Harian Metro

Wednesday 7 December 2011

AZAN DAN IQAMAH

Azan

Azan dari segi bahasa ialah "memberitahu". Dari segi Syarak ialah "Satu gabungan perkataan tertentu untuk mengetahui masuk waktu sembahyang". Juga boleh diertikan sebagai pemberitahuan tentang waktu sembahyang dengan lafaz-lafaz tertentu.

Dalil al-Quran yang bermaksud; "Jika kamu dipanggil (diseru) untuk sembahyang…." ( Surah al-Maidah :58)

Dalil Hadis yan bermaksud; "Apabila tiba waktu sembahyang hendaklah salah seorang dari kamu melakukan azan dan yang lebih tua dari kamu hendaklah menjadi Imam". (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; "Jika kamu berada bersama-sama dengan kambing kamu atau di kebun kamu dan engkau berazan untuk sembahyang, hendaklah engkau angkatkan suara menyuruh orang bersembahyang, sebab suara orang yang azan tidak didengar oleh jin atau manusia ataupun sesuatu kecuali dia menyaksikan baginya pada hari akhirat".

Hukum Azan

Azan dan Iqamah menurut jumhur selain Mazhab Hambali ialah sunat muakkad bagi lelaki yang sembahyang di masjid, semua sembahyang lima waktu dan sembahyang Jumaat. Tidak sunat untuk sembahyang yang lain seperti sembahyang hari raya, gerhana matahari, terawih dan sembahyang jenazah. Ulama Syafie dan Maliki menambah bahawa orang perempuan hanya disunatkan iqamah dan tidak perlu azan.

Azan bagi sembahyang yang luput dan sembahyang bersendirian.

Mengikut pendapat yang muktamad daripada Mazhab Syafie adalah sunat azan dan iqamah bagi orang yang bersembahyang bersendirian samada sembahyang tunai atau qadha, walaupun mendengar azan. Jika hendak melakukan sembahyang Jamak hendaklah diazan untuk sembahyang yang pertama. Makruh meninggalkan azan dan iqamah bagi sembahyang lima waktu, tetapi jika telah melakukan sembahyang tanpa kedua-duanya maka tidak perlu diulang semula.

Syarat-syarat Azan
  • Masuk waktu
  • Hendaklah dengan bahasa Arab
  • Azan dan Iqamah mesti didengar.
  • Tertib dan Muwalat diantara lafaz azan dan iqamah, tidak sah azan tanpa tertib dan muwalat dan hendaklah diulang semula.
  • Azan mestikah dilakukan seorang sahaja. Jika dilakukan secara berkumpulan dan serentak hukumnya sah.
  • Orang yang melakukan azan hendaklah seorang Muslim lelaki yang berakal. Termasuk bertaqwa, mengetahui sunnah Rasul, mengetahui waktu-waktu sembahyang, adil dan amanah. 

Cara dan sifat Azan

Ahli ahli fekah sependapat lafaz-lafaz azan diriwayatkan secara mutawatir dan tidak ditambah dan tidak dikurangi. Caranya disebut dua kali, dua kali. Mereka sependapat mengatakan bahawa azan Subuh ada tambahan "ASHSHALAATU KHAIRUM MINAN NAUUM" sebanyak dua kali. Golongan Syafie menerima "Tajri" iaitu melafazkan dua kalimah syahadah dengan perlahan kemudian melafazkan semula keduanya dengan nyaring.


Kalimah-kalimah Azan :
  Azan & Iqamah
Antara perkara-perkara yang dilarang

Haram talhin  (berlagu-lagu) ketika azan dan iqamah jika lagu-lagu itu mengubah makna kalimah-kalimahnya atau menimbulkan kewahaman yang ditegah. Seperti contoh-contoh berikut:
  • Memanjangkan huruf "hamzah" pada kalimah  asyhadu maka menjadilah hamzah itu sebagai istifham (tanda tanya).
  • Memanjangkan huruf "ba" pada kalimah akbar maka menjadilah ia sebagai jama' kepada kabar  yang bererti gendang yang satu muka.
  • Mengwakafkan pada kalimah la ilaha yang bererti "tiada Tuhan" dan memulakan bacaan pada kalimah  illallah (إلا الله) yang bererti "melainkan Allah" maka perkara ini boleh membawa kepada kufur.
  • Memanjangkan huruf "alif" pada kalimah Allah kerana melebihi pada huruf mad dan lin daripada kadar yang dibaca oleh orang Arab maka itu adalah salah.
  • Menukar huruf "alif" kepada huruf "ha" pada kalimah Allah.
  • Memanjangkan huruf "hamzah" pada kalimah akbar
  • Tidak menyebut huruf "ha" pada kalimah as-shalah  maka menjadilah maksudnya seruan menuju ke neraka. – (Hawasyi Tuhfah al-Muhtaj: 1/473)

Perkara –perkara sunat yang dilakukan ketika azan
  • Orang yang berazan hendaklah orang yang lantang dan elok suaranya.
  • Azan hendaklah secara berdiri.
  • Orang yang berazan hendaklah orang yang merdeka, baligh, adil, amanah, orang yang soleh dan mengetahui waktu sembahyang.
  • Orang yang berazan hendaklah dalam keadaan suci daripada hadas.
  • Orang yang berazan hendaklah boleh melihat kerana orang buta tidak mengetahui waktu dan kemungkinan dia tersalah.
  • Hendaklah dia meletakkan jari-jari tangannya dikedua-dua telinganya.
  • Hendaklah dia menyebut dengan cara berhenti diantara dua kalimah.
  • Hendaklah menghadap kiblat. Disunat memusingkan kepala ke kanan ketika menyebut "HAYYA `ALAS SHOLAH" dan kekiri ketika menyebut "HAYYA `ALAL FALAH".
  • Disunatkan jarak masa antara azan dan iqamah.
  • Hendaklah azan dengan ikhlas.
  • Tukang azan seeloknya terdiri dari dua orang.
  • Sunat azan awal waktu.
  • Boleh menjemput pemimpin untuk sembahyang.
  • Sunat tidak berdiri sebelum azan selesai kerana berlakunya pergerakan ketika azan menyerupai Syaitan.

Makruh ketika azan
  • Makruh azan tersebut tanpa melakukan perkara–perkra sunat yang lepas.
  • Makruh dilagukan dan dipanjangkan azan sehingga mengubah kalimah- kalimah azan atau menambah dan mengurangkannya.
  • Makruh berjalan.
  • Makruh dilakukan tathwib meliankan waktu subuh.
  • Haram keluar masjid selepas azan.
  • Makruh Azan sebelum fajar dalam bulan Ramadhan kalau ditakuti mengganggu orang yang sedang sahur.
  • Menjawab seruan azan dan iqamah; Jumhur ulama termasuk Syafie berpendapat sunat menjawab bagi orang yang mendengar azan dan iqamah. Caranya dengan mengucapkan seperti orang yang mengucapkan azan dan iqamah itu, kecuali pada kalimah "HAYYA `ALAS SHOLAH" dan "HAYYA `ALAL FALAH" hendaklah dijawab "LAA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAAH". Dalam taswib hendaklah dijawab "SODAQTA WA BARARTA". Menurut jumhur ulama, mesti menjawab walaupun dalam keadaan berjunub, haid, nifas atau sedang tawaf fardhu atau sunat. Menurut ulama Hanafi , orang yang sedang haid, nifas, mendengar khutbah bersetubuh, dalm bilik air, makan, mengajar ilmu dan belajar tidak perlu menjawab azan. Tetapi orang yang baca al-Quran hendaklah menjawab. Menurut ulama Syafie, apabila seseorang masuk masjid, hendaklah dia menjawab sambil berdiri dan tidak boleh melakukan solat tahiyyatul masjid. Ini bertujuan untuk menghimpunkan antara pahala menjawab dan pahala tahiyyatul masjid.

Sunat yang perlu dilakukan selepas azan
  • Selawat ke atas nabi Muhammad SAW.
  • Berdoa dengan doa yang ma'thur iaitu doa selepas azan.
  • Berdoa selepas azan Subuh iaitu memohon kesejahteraan daripada Allah SWT bagi kehidupan di dunia dan akhirat.
  • Tukang azan sunat duduk menunggu jemaah antara azan dan iqamah.

Azan untuk maksud lain selain daripada solat:
  • Azan di telinga kanak-kanak yang baru lahir, sunat diiqamahkan pada telinga kiri.
  • Azan di waktu kebakaran, waktu perang dan di belakang orang musafir.
  • Azan pada telinga orang yang berduka cita, orang yang jatuh, marah dan juga yang dirasuk jin atau syaitan. 

Iqamah

Sifat atau cara iqamah
  • Menurut jumhur selain ulama` Hambali, iqamat adalah sunat muakkat bagi solat fardhu. Ulama berbeza pendapat tentang iqamah. Menurut ulama Syafie, lafaz iqamah tidak berulang iaitu 11 kalimah kecuali lafaz "QAD QAAMATIS SYOLAH" ia diulang sebanyak dua kali

Hukum iqamah
  • Hukum Iqamah adalah sama dengan hukum azan, bezanya sunat dipercepatkan iqamah.Menurut mazhab yang empat, afdhal orang yang azan, dialah sendiri yang iqamah.
  • Pendapat ulama Syafie, sunat dilakukan iqamah di tempat yang lain dari tempat azan dan suara yang lebih rendah dari suara azan. Iqamah tidah boleh dibuat sehingga imam memberi keizinan.
  • Jemaah tidak boleh bangun ketika iqamah sehingga imam bangun atau datang.
  • Menurut Imam Syafie, sunat bangun setelah tamat Iqamah.
  • Di sunatkan iqamah dalam keadaan berdiri, suci, mengadap kiblat, tidak berjalan dan bercakap.

FIZIKAL DAN PRASARANA MASJID ANNUR, PARIT RAMBAI, PONTIAN, JOHOR

Masjid Annur, Kampung Parit Rambai, Pontian, Johor siap dibina pada tahun 1976. Masjid ini terletak di simpang empat Kampung Parit Rambai, di tengah-tengah kampung. Di sebelahnya ialah Klinik Desa Kampung Parit Rambai. Masjid ini dibina di atas tanah berkeluasan setengah ekar yang telah diwakafkan oleh Allahyarhan Hj. Yusof. Sehingga kini masjid ini telah diubahsuai sebanyak 4 kali, tidak termasuk beberapa penambahbaikan yang dilakukan secara gotong-royong.

Ruang solat masjid ini boleh menampung sehingga 600 jemaah pada satu-satu masa. Dengan adanya ruang tambahan yang tidak berdinding, lebih ramai jemaah boleh bersolat di masjid ini. 


Hadapan masjid.

Tanda nama masjid.

Sisi kiri masjid.

Sisi kanan masjid.

 Belakang ruang tambahan.

Hadapan ruang tambahan.

Ruang tambahan.

Jalur lebar untuk internet (wifi)

Parabola internet.

Tempat wuduk laki-laki.

Tempat wuduk perempuan.

Kentung lama.

Tempat masak.

Kenderaan untuk kegunaan kariah masjid.

Ruang solat.

Bahagian hadapan ruang solat.


Mimbar.

Allah SWT dan Muhammad SAW.

Detik waktu solat.

Rak kitab.

Papan kenyataan.

Ruang bertukar-tukar fikiran dan perbincangan.

Ruang menyediakan minuman.

Ruang sanitari.

Tuesday 6 December 2011

MASJID SEBAGAI PUSAT ILMU

Memandangkan tingginya kemuliaan masjid maka Rasulullah SAW telah menyatakan dalam sebuah hadis baginda betapa besarnya pahala dan balasan bagi umatnya yang membangunkan dan memakmurkan masjid.

Sabda Rasulullah SAW:
 مَنْ بَنَى مَسْجِدًا يَبْتَغِى بِهِ وَجْهَ اللهِ بَنَى الله ُ لَهُ بَيْتًا فِى الْجَنَّةِ
Maksudnya, “Barangsiapa mendirikan sebuah masjid dengan mengharapkan keredhaan Allah SWT nescaya didirikan baginya sebuat rumah didalam syurga.” (hadis riwayat al Bukhari).

Namun dalam usaha menjaga kebersihan masjid janganlah pula sampai masjid tidak dibenarkan diguna untuk sesuatu majlis ilmu, baik untuk golongan dewasa mahu pun untuk anak anak kita semua, hanya kerana dikhuatiri mereka akan membawa kekotoran (tanah dan/atau lunpur yang lekat dikaki atau di kasut/selipar) ke sekitar tepian bangunan masjid; tegahan sedemikian tidak lah sesuai dalam usaha untuk memakmurkan masjid sebagai rumah Allah dan tempat beribadat serta mengembangkan ilmu.


Sabda Rasulullah SAW:                 
"عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ : أَمَرَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّممِبِنَآءِ الْمَسَاجِدِ فِى الدُّوَرِ وَأَنْ تُنَظَّفَ وَتُطَيَّبَ.
Maksudnya: “Daripada ‘Aisyah ra katanya, “Rasulullah SAW menyuruh umatnya mendirikan masjid-masjid di kawasan penempatan atau perkampungan dan menyuruh supaya masjid-masjid itu sentiasa dibersihkan dan diharumkan” 

Peradaban Islam melonjak dalam bidang ilmu sains dan teknologi; perdagangan dan keadilan sosial sehinggalah mewarnakan norma dan tata budaya zaman bermula abad kelapan masihi. Hal ini menarik warga sezaman dari Timur dan Barat untuk menimba ilmu dan kepakaran di pusat ilmu yang ketika itu dikenali sebagai madrasah, maktab atau jamiah yang semuanya berpusat di masjid di serata negara Islam. Sebahagiannya pulang berbekal ilmu pengetahuan yang dikembangkan menerusi epistemologi dan peradaban Islam dalam bidang matematik, falsafah, perubatan, kimia, fizik, kejuruteraan, perundangan dan lain-lain.

Kegemilangan peradaban ilmu ini diungkapkan oleh Herbert A Davies: Orang Muslim telah mendirikan universiti besar selama beberapa abad jauh mengatasi Eropah Kristian. Perpustakaan besar dibangunkan, berisi beratus ribu jilid buku yang terdaftar dan tersusun rapi. Ramai orang Kristian belajar di Universiti Cordova membawa ilmu dan kebudayaan ke negeri asal mereka. 

Marilah kita berfikir. Bagaimanakah sejarah itu boleh kita ulangi? Bagaimanakah universiti di negara Islam kembali menjadi pusat kecemerlangan ilmu termaju mendahului saingannya di Timur dan Barat? Apakah sekadar kita berpuas hati dengan catatan nostalgia bahawa masjid pernah menjadi pusat pembangunan peradaban Islam?

Lima langkah perlu difahami dan dihayati.


Pertama: Seluruh umat Islam khususnya golongan pelajar dan pendidik perlu memurnikan niat, meningkatkan komitmen dan penghayatan ilmu. Makna penghayatan ilmu bukan sekadar memencil diri membaca, menekuni, memahami dan meluahkan kembali mantra ilmu di atas kertas untuk memenuhi tuntutan mendapatkan segulung ijazah. Bagi umat Islam, penghayatan ilmu bermakna berusaha memaju dan merealisasikan ilmu dalam konteks amalan, pekerjaan, perniagaan, pentadbiran dan pembangunan ummah.

Kedua: Kita juga perlu meningkatkan minat dan amalan membaca bahan ilmu. Membaca adalah arahan pertama wahyu Ilahi. Membaca adalah kaedah untuk mendapatkan ilmu. Maka pada Ramadan yang mulia ini, marilah bersama-sama kita memulakan langkah memperbanyakkan membaca dan memahami al-Quran sebagai sumur ilmu utama disamping bahan ilmiah lain.

Ketiga: Marilah kita bersama memperkasakan potensi ilmu dalam kehidupan seharian dengan memanfaatkan kewujudan pusat ilmu seperti universiti, kolej, maktab, sekolah dan masjid. Universiti perlu berperanan penyubur kecemerlangan dan budaya ilmu menerusi aktiviti formal dan tidak formal.

Keempat: Marilah kita merealisasi dan menghayati ilmu dengan melaksanakan apa yang kita fahami. Kita juga perlu menggunakan hasil penyelidikan dan inovasi yang dilakukan termasuk warga kampus untuk manfaat umat sejagat.

Kelima: Kita perlu terus berinovasi untuk menghadapi cabaran dan saingan sejagat, selari inisiatif kerajaan menjadikan 2010 sebagai Tahun Inovasi. Inovasi bukan hanya untuk golongan intelektual, karyawan dan seniman semata-mata. Inovasi boleh dan perlu dilakukan oleh seluruh umat Islam dalam bidang kepakaran, pekerjaan dan minat masing-masing.

Sebahagian petikan tulisan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia

SAHSIAH PEGAWAI YANG MENGURUSKAN MASJID/SURAU

Berikut adalah antara sahsiah diri di kalangan pegawai-pegawai yang menguruskan masjid/surau:
  1. Hendaklah seorang yang beriman, berilmu, berakhlak dan beramal soleh serta melaksanakan tugas dan amanah kerana Allah swt untuk mewujudkan masyarakat yang berilmu, harmoni dan bersatu padu kearah mengekalkan masyarakat yang bertamadun.
  2. Pengurus Masjid hendaklah sentiasa berusaha meningkatkan pengetahuan Islam, undang-undang, peraturan serta kemahiran yang berkaitan supaya tugasnya dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.
  3. Mengelakkan diri daripada terlibat dengan isu-isu yang boleh mendatangkan keresahan, ketegangan dan perpecahan di kalangan masyarakat.
  4. Berusaha mengawal dan menjaga keharmonian masyarakat setempat daripada unsur-unsur dalaman dan luaran yang mencemarkankesucian Islam seperti: a. perpecahan masyarakat, b. penyelewengan akidah, c. gejala sosial dan keruntuhan akhlak, d. kegiatan maksiat dan jenayah.
  5. Mengutamakan maslahah dan kepentingan umum daripada kepentingan peribadi.
  6. Tidak boleh menggunakan harta benda masjid kecuali dengan kebenaran.
  7. Ditegah dari terlibat dengan kegiatan yang menyalahi akidah seperti tahayyul, khurafat, bidaah dan sebagainya.
  8. Ditegah dari terlilbat dengan kegiatan yang menyalahi undang-undang jenayah termasuk jenayah syariah.
  9. Pengurus masjid hendaklah sentiasa menghayati nilai-nilai murni dan sifat-sifat mahmudah (terpuji) antarnya ikhlas, penuh keazaman, amanah, tekun, cekap, semangat setiakawan dan menjauhkan diri dari sifat-sifat mazmumah (tercela) antaranya takabbur, riya, bangga diri, wujud dan sebagainya.
  10. Pengurus masjid hendaklah sentiasa memberikan layanan yang mesra kepada semua pihak yang berurusan tanpa memilih kasih.
  11. Taat setia dan patuh kepada arahan Jabatan Agama Johor.
  12. Memberi teguran dengan hikmah dan bersedia menerima teguran.
  13. Pengurus masjid hendaklah memastikan segala kegiatan masjid hendaklah dirancang dan dilaksanakan denga memberi keutamaan kepada waktu sembahyang.
  14. Tidak melakukan perkara yang mencemarkan kesucian masjid seperti: a. Makan minum di tempat solat, b. Bergaduh dan sebagainya.
  15. Tidak membuat apa-apa keputusan yang menyentuh perkara dasar kecuali mendapat kelulusan daripada Majlis/Jabatan Agama/pihak yang bertanggungjawab.
  16. Jangan mengeluarkan apa-apa hukum atau pendapat yang boleh mengelirukan masyarakat (Etika Imam).

TANGGUNGJAWAB DAN SENARAI TUGAS IMAM MASJID

Berikut adalah antara tanggungjawab dan senarai tugas Imam sesuatu masjid:
  1. Menjadi pegawai syarie dalam kariah masjid itu dan mengimamkan solat fardhu dan apa-apa solat berjemaah lain di masjid itu;
  2. Mengetuai urusan fardu kifayah ke atas jenazah orang Islam yang mati di kariah masjid itu sehingga sempurna dikebumikan;
  3. Membaca khutbah Jumaat dan khutbah Hari Raya;
  4. Memberikan nasihat dan tunjuk ajar dalam perkara-perkara tentang agama Islam kepada anak kariah masjid itu sedaya upayanya
  5. Mengetuai, mengawasi dan mengatur pengajaran agama Islam di kalangan anak-anak kariah masjid itu;
  6. Membimbing bilal, siak dan anak kariah masjid itu dalam menjalanan tugas-tugas Imam;
  7. Menghadiri tiap-tiap mesyuarat Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah masjid itu; dan
  8. Menerima dan mematuhi apa-apa arahan yang diberikan oleh JAJ.

TANGGUNGJAWAB DAN SENARAI TUGAS BILAL MASJID/SURAU

Berikut adalah antara tanggungjawab dan senarai tugas bilal di masjid/surau:
  1. Menjaga waktu solat fardhu;
  2. Azan serta Qamat bagi tiap-tiap solat fardhu sehari semalam dalam lingkungan masa dari jam 5.00 pagi hingga 9.00 malam;
  3. Membaca Tarhim dan Ayat Al-Quran sebelum Azan bagi solat Subuh dan Taslim dan Ayat Quran sebelum Azan bagi solat Jumaat;
  4. Membaca ayat Al-Quran yang tertentu ketika Imam atau Khatib menaiki Mimbar pada solat Jumaat;
  5. Membaca Salawat dan Doa Ringkas ketika Imam atau Khatib duduk antara dua khutbah dalam solat Jumaat dan solat Hari Raya;
  6. Mengingatkan jemaah tentang niat solat Hari Raya dan Kaifiatnya sebelum solat itu dimulakan;
  7. Menggantikan Imam sebagai Imam Rawatib dan sebagai Imam Tarawikh dalam bulan Ramadhan semasa ketiadaan Imam;
  8. Berselawat solat Tarawikh;
  9. Bertadarus membaca Al-Quran di masjid;
  10. Mengajar Muqaddam dan Al-Quran kepada kanak-kanak;
  11. Mengajar perkara-perkara Fardhu’ Ain kepada orang dewasa di waktu-waktu yang ditetapkan;
  12. Mengajar dan berlatih membaca Marhaban dan Berzanji;
  13. Memandikan jenazah orang Islam apabila diminta berbuat demikian;
  14. Memimpin Tahlil Arwah dan Doa Selamat, Marhaban dan Berzanji apabila diminta berbuat demikian;
  15. Membacakan Yasin kepada orang sakit apabila diminta berbuat demikian;
  16. Menghadiri tiap-tiap mesyuarat Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah masjid itu; dan
  17. Menerima dan mematuhi apa-apa arahan yang diberikan oleh MAIJ atau Nazir atau Imam masjid itu.

TANGGUNGJAWAB DAN SENARAI TUGAS BENDAHARI MASJID DAN PEMERIKSA KIRA-KIRA

Berikut adalah antara tanggungjawab dan senarai tugas Bendahari Masjid:
  • Menyimpan buku kira-kira kewangan jawatankuasa dengan betul.
  • Menerima segala bayaran untuk jawatankuasa atau derma untuk kebajikan masjid atau surau dengan mengeluarkan resit rasmi jawatankuasa.
  • Membuat pembayaran yang telah dipersetujui oleh jawatankuasa dengan disertakan baucar-baucar yang sah.
  • Dibenarkan menyimpan dalam tangan wang tunai sebanyak yang telah ditetapkan oleh jawatankuasa.
  • Menyimpan semua wang kepunyaai masjid atau surau di dalam bank Islam atau mana-mana bank secara perbankkan Islam dengan persetujuan Pegawai Tadbir Agama daerah/Kadi Daerah.


Berikut adalah antara tanggungjawab dan senarai tugas Pemeriksa Kira-kira:
  • Dua (2) orang dari kalangan ahli kariah selain Ahli Jawatankuasa hendaklah dilantik sebagai pemeriksa kira-kira untuk memeriksa kewangan masjid atau surau bagi tempoh tiga (3) tahun.
  • Pemeriksa Kira-kira hendaklah memeriksa buku kira-kira bagi tiap-tiap empat (4) bulan sekali dan memberi laporan lengkap atas pemeriksaan itu kepada jawatankuasa.

Sumber: Jabatan Agama Johor

Monday 5 December 2011

TANGGUNGJAWAB DAN SENARAI TUGAS SETIAUSAHA MASJID DAN TIMBALANNYA

Berikut adalah antara tanggungjawab dan senarai tugas Setiausaha Masjid:
  • Memanggil mesyuarat biasa dan jawatankuasa dengan persetujuan Pengerusi dan menjalankan segala keputusannya.
  • Bertanggungjawab berkenaan dengan urusan surat-menyurat, menyimpan buku-buku, fail-fail dan surat-surat keterangan yang berkaitan dengan jawatankuasa.
  • Hadir dalam semua mesyuarat dan mengambil minit, peringatan, butir-butir dan keputusan mesyuarat.
  • Menyediakan minit mesyuarat dan laporan tahunan.
  • Menyimpan daftar-daftar nama dan rumah-rumah kediaman orang-orang Islam dalam kampung atau kariahnya.
  • Menyimpan daftar kematian orang-orang Islam dalam kampung atau kariahnya.
  • Menyimpan daftar harta benda masjid atau surau dan daftar tanah wakaf di dalam kampung atau kariahnya.

Berikut adalah antara tanggungjawab dan senarai tugas Penolong Setiausaha Masjid:
  • Penolong Setiausaha hendaklah membantu Setiausaha menjalankan semua urusan pentadbiran jawatankuasa dan akan menggantikannya pada masa Setiausaha tidak hadir dalam mana-mana mesyuarat.

Sumber: Jabatan Agama Johor

TANGGUNGJAWAB DAN SENARAI TUGAS PENGERUSI MASJID DAN TIMBALANNYA

Berikut adalah antara tanggungjawab dan senarai tugas Pengerusi Masjid:
  • Mempengerusikan semua mesyuarat jawatankuasa dan bertanggungjawab berhubung dengan keadaan ketenteraman dan kesempurnaan mesyuarat.
  • Mempunyai kuasa untuk menandatangani sebarang surat bagi jawatankuasa.
  • Mempunyai kuasa meluaskan sebarang perbelanjaan kerana perkara mustahak dan serta merta dengan kadar yang ditetapkan oleh mesyuarat jawatankuasanya dan kemudian disahkan oleh mesyuarat jawatankuasa.
  • Membuat apa-apa laporan atau syor mengenai tugas atau kelakuan Jawatankuasa atau Pegawai Masjid atau Surau jika wajar berbuat demikian.

Berikut adalah antara senarai tugas Timbalan Pengerusi Masjid:
  • Timbalan Pengerusi jawatankuasa hendaklah menjalankan tugas Pengerusi semasa Pengerusi tidak hadir dalam mana-mana mesyuarat.

Sumber: Jabatan Agama Johor

Sunday 4 December 2011

MAKNA BACAAN DALAM SOLAT

Dengan mengetahui makna bacaan dalam solat, semoga kita bertambah khusuk semasa bersolat.


Allah Maha Besar

Doa Iftitah
Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya.
Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang.
Aku hadapkan wajahku bagi Allah Tuhan yang mencipta langit dan bumi.
dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik.
Sesungguhnya solatku, Ibadatku, hidupku, matiku, adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam.
Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.


Al-Fatihah
Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani.
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
Yang maha pemurah lagi maha mengasihani.
Yang menguasai hari pembalasan.
Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan.
Tunjukilah kami jalan yang lurus.
Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.


Bacaan ketika rukuk
Maha Suci TuhanKu Yang Maha Mulia dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika bangun dari rukuk
Allah mendengar pujian orang yang memujinya.

Bacaan ketika iktidal
Wahai Tuhan kami, bagi Engkaulah segala pujian.

Bacaan ketika sujud
Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika duduk di antara dua sujud
Ya Allah, ampunilah daku,
Rahmatilah daku,
kayakan daku,
angkatlah darjatku,
rezekikan daku,
berilah aku hidayah,
sihatkanlah daku dan
maafkanlah akan daku.


Bacaan ketika Tahiyat Awal
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah.
Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya.
Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh.
Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah.
Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.


Bacaan ketika Tahiyat Akhir
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah.
Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya.
Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh.
Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah.
Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.
Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim.
Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini.
Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.


Doa Qunut
Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki.
Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan.
Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin.
Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku.
Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan.
Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau.
Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu.
Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi.
Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau.
Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan.
Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau.
Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.