ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Tuesday 31 January 2012

NOJA MASJID DAN TANGGUNGJAWABNYA

Berikut adalah tanggungjawab noja terhadap tugasnya untuk bersama-sama memakmurkan masjid:

  • Noja merupakan kelompok petugas masjid yang kita tidak boleh lupakan.  Mereka memainkan peranan penting untuk memastikan keselesaan jemaah dan menentukan bahawa kemudahan-kemudahan disediakan untuk pelaksanaan kegiatan-kegiatan masjid.
  • Noja seharusnya berkhidmat secara cekap, cepat dan ceria.
  • Noja seharusnya bekerjasama dengan Jawatankuasa Masjid untuk memberi layanan istimewa kepada jemaah dan pengunjung masjid, terutama sekali anak-anak kecil, para remaja dan golongan bukan Muslim.  
  • Untuk anak-anak kecil, para noja kita supaya melayani mereka dengan penuh kasih sayang – walaupun mereka nakal atau menangis di masjid.  
  • Untuk remaja, marilah kita melayani mereka dengan penuh ihsan – janganlah kita marahi atau mengherdek mereka walaupun mereka tidak berlaku atau berpakaian sopan di masjid.  Nasihatilah mereka dengan penuh hikmah supaya mereka tidak “lari” dari masjid kita.  
  • Untuk pengunjung yang bukan Islam, terimalah mereka dengan hati dan tangan terbuka.  Lihatlah kunjungan mereka sebagai peluang keemasan untuk memahamkan mereka tentang masjid, agama Islam dan umat Islam.
  • Jikalau para noja dapat melakukan apa yang telah di syorkan, maka, insyaAllah, masjid-masjid kita akan menjadi “besi berani” untuk semua lapisan masyarakat tidak kira usia dan latar belakang.
  • Setiap noja seharusnya mempunyai mentaliti atau minda penyelenggaraan (“maintenance mentality”).  Mentaliti penyelenggaraan ini telah dikupas oleh Almarhum Prof Syed Hussin AlAttas dalam bukunya berjudul “Intellectuals in Developing Societies”.  Beliau telah menyifatkan sesebuah masyarakat atau negara sebagai maju dan kehadapan jikalau pemimpin dan rakyat mempunyai sikap dan disiplin untuk menyelenggarakan keadaan sekeliling termasuk kebersihan, kekemasan dan keberkesanan kemudahan-kemudahan awam.
  • Ini bererti bahawa para noja yang bermentaliti penyelenggaraan adalah noja yang maju, berjaya dan berkesan.  
  • Noja mengambil endah semua aspek – aspek penyelenggaraan.  Masjid akan sentiasa bersih, kemas, selamat dan semua kemudahan berfungsi dengan baik.  
  • Ini adalah harapan kita bersama untuk menjadikan masjid kita, masjid kelas pertama.  
  • Noja seharusnya mempunyai visi untuk membangunkan masjid kita sebagia infra-struktur agama yang terbaik sekali.  InsyaAllah, kita boleh mencapai visi ini jikalau setiap noja menguatkan minda penyelenggaraannya sepertimana yang telah saya jelaskan.
  • Noja seharusnya diberi kursus-kursus peningkatan agar sama-sama dapat membangunkan satu angkatan noja yang berkemahiran dan berkesan. Ini adalah permulaan perjalanan kita ke tahap kecemerlangan.  
  • Di mana ada kelemahan atau kekurangan, marilah kita memperbaiki keadaan.  InsyaAllah, kita dapat membangun masjid kita sebagai Rumah Allah.

Thursday 12 January 2012

AGAR AMALAN TIDAK SIA-SIA

Setiap daripada kita tentu tidak mahu sekiranya apa yang kita amalkan daripada setiap amal-amal kita sehari-hari menjadi sia-sia dan tidak diterima oleh ALLAH SWT. Sedangkan kita telah berusaha bersungguh-sungguh dan menghabiskan segenap kudrat untuk melakukan dengan sebaik-baiknya.

Tidakkah kita bimbang menjadi orang yang sia-sia amalannya lalu menjadilah kita orang-orang yang rugi di akhirat kelak? ALLAH SWT berfirman, “Katakanlah (wahai Muhammad), “Adakah perlu kami beritahu kepadamu tentang orang yang paling rugi amalannya?” Iaitu orang-orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia sedangkan mereka beranggapan telah melakukan yang sebaik-baiknya.” (Surah al-Kahfi, 18: 103-104)

Kata al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H), “Ayat ini bersifat umum mencakupi setiap orang yang beribadah kepada ALLAH tetapi tidak menggunakan cara yang diredhai-NYA. Mereka beranggapan apa yang dilakukannya telah benar dan amal perbuatannya akan diterima, tetapi rupanya sangkaan mereka meleset dan amalnya pun ditolak.

Firman ALLAH, “... orang-orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia...” Maksudnya, mengerjakan amal yang bathil yang tidak bersesuaian dengan syariat yang telah ditetapkan dan diredhai serta diterima.
Firman ALLAH, “... sedangkan mereka beranggapan telah melakukan yang sebaik-baiknya.” Maksudnya, mereka menyangka bahawa mereka akan mendapat suatu manfaat dan mereka menyangka mereka adalah orang-orang yang diterima amalnya dan dicintai oleh ALLAH.” (Tafsir Ibnu Katsir, 5/202)

Pada hari ini ramai dari kalangan kita berlumba-lumba untuk beramal ibadah dengan semaksimum yang mungkin. Ibadah adalah sebahagian dari bentuk-bentuk amal usaha mengabdikan diri kepada ALLAH, TUHAN YANG MAHA ESA yang kepada-NYA sahaja kita memperhambakan diri serta meraih keredhaan dan rahmat-NYA.

Umumnya, sikap berlumba-lumba dalam amal ini adalah sikap yang sangat positif dan perlu dipandang baik. Di saat banyaknya kelompok manusia yang mengabaikan amal-amal ibadah sama ada yang wajib, fardu, atau sunnah, sikap sebahagian umat Islam lainnya yang berlumba-lumba dalam beramal kebaikan adalah wajar diikuti dan dicontohi.

Namun, dalam keghairahan kita beramal dan beribadah, adakala kita mungkin terlupa beberapa aspek utama yang menjadi tunjang diterimanya sesuatu amalan tersebut.

Pengertian ibadah

Ibadah kepada ALLAH TAALA adalah segala sesuatu yang apabila kita melaksanakannya atau meninggalkannya ia akan dicintai dan diredhai oleh ALLAH SWT.

Setiap amal ibadah diikat dengan beberapa syarat. Setiap amal ibadah perlu dilaksanakan dengan dalil, iaitu mengikuti sunnah. Amal ibadah tidak boleh direka mahupun diada-adakan.

Para ulama menyatakan bahawa, “Penetapan dalam ibadah adalah dengan mengambil dari apa yang telah ditetapkan (oleh dalil).” (Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 2/80)

Kemudian, setiap amal hendaklah dilaksanakan dengan ikhlas semata-mata kerana ALLAH dengan tidak mensyirikkan-Nya. Syarat dan kriteria asas inilah yang bakal menentukan sama ada amal-amal kita diterima oleh ALLAH ataupun tidak.

Mengikuti sunnah

Suatu perkara yang amat penting adalah melakukan amal ibadah itu dengan berpandukan al-Qur’an dan as-Sunnah. Tidaklah diterima suatu amalan jika tidak terdapat contohnya (atau saranannya) dari al-Quran dan as-Sunnah. Maka, jika sesuatu amalan yang dilakukan itu tidak terdapat saranannya dari dua sumber tersebut, maka ia bukanlah dari Islam walaupun ia diniatkan kerana ALLAH SWT.

ALLAH SWT berfirman, “Katakanlah (wahai Muhammad kepada mereka), “Jika kamu (benar-benar) mencintai ALLAH ikutilah aku, nescaya ALLAH mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.”.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 31)

Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) menjelaskan melalui tafsirnya:

“Ayat yang mulia ini menghukumi setiap mereka yang mengaku mencintai ALLAH tetapi mereka tidak mengikuti petunjuk Muhammad SAW. Maka jelaslah pengakuannya itu hanya suatu pendustaan sehingga mereka mengikuti syariat Muhammad dan agama nabawi di dalam setiap ucapan dan perbuatannya. Ini adalah sebagaimana yang terdapat dalam kitab sahih daripada Nabi SAW (katanya):

“Sesiapa yang melakukan suatu amal yang tidak ada perintahnya daripada kami, maka amalan tersebut tertolak (tidak diterima).” (Hadis Riwayat Muslim).” (Tafsir Ibnu Katsir, 2/32)

Dalam ayat yang lain, ALLAH SWT menjelaskan, “Jika datang kepada kamu petunjuk daripada-Ku, maka sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku itu nescaya dia tidak akan sesat dan dia tidak akan menderita (dengan azab sengsara).” (Surah Thoha, 20: 123)

Dalam usaha mengikuti sunnah ini, tidak dapat tidak seseorang itu perlu terlebih dahulu mempelajari sunnah itu sendiri. Maka, dari sinilah pentingnya aspek ilmu. Supaya apabila kita berilmu, kita akan dapat mengenal pasti apa yang sunnah dan apa yang bukan.

Tidaklah nanti kita hanya bersangka-sangka sahaja suatu amalan itu sunnah dan mendatangkan kebaikan, tetapi rupanya tidak. Dengan ilmulah kita mampu mengenal pasti sumber-sumber yang betul dalam mengambil sunnah dan agama ini, mengetahui sesuatu hadis itu sahih atau pun tidak, memahami maksud suatu hadis, memahami tafsir ayat-ayat al-Quran, dan seumpamanya.

Sebagai contoh, pada hari ini ada sebahagian umat Islam yang mengamalkan zikir-zikir harian tertentu yang tidak diketahui sumber ambilannya, kaifiyat tatacaranya, dan fadilatnya. Contohnya, ada yang mengamalkan bacaan tahlil (laa ilaaha illallah) sehingga 10000 kali setiap hari dan berkeyakinan padanya memiliki fadilat-fadilat tertentu jika diamalkan dengan jumlah tersebut. Kemudian ada juga yang mengamalkan selawat syifa’ di setiap kali sebelum tidur supaya dijauhkan dari pelbagai penyakit.

Tetapi bila diteliti, kita pun tidak tahu dari mana datangnya kaedah dan bentuk-bentuk pengamalan zikir-zikir seperti ini. Tidak dari sunnah, tidak juga dari amalan para sahabat Rasulullah.
 
Ikhlas dan tidak syirik

Setiap amal ibadah yang hendak dilaksanakan mestilah di atas landasan aqidah Islam yang suci murni dari segala bentuk kesyirikan serta ikhlas semata-mata kerana ALLAH SWT. Setiap amal yang dilakukan di luar ruang lingkup aqidah Islam dan keikhlasan yang tulus, maka ia akan menjadi sia-sia.

ALLAH SWT berfirman, “Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepada engkau (Wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripada engkau: “Demi sesungguhnya, sekiranya Engkau (dan pengikut-pengikutmu) berbuat syirik, sudah tentu segala amalanmu akan terhapus, dan engkau akan tetap menjadi orang-orang yang rugi.”.” (Surah az-Zumar, 39: 65)

Oleh itu, bagi kita yang memiliki semangat dan keghairahan dalam beramal hendaklah memberi perhatian dan penekanan dalam dua aspek utama ini. Di samping berusaha bersungguh-sungguh mengikuti sunnah, dia juga perlu bersungguh-sungguh menjaga kemurnian aqidahnya dengan menjauhi segala bentuk syirik kepada ALLAH.

Jangan nanti beramal separuh mati, tetapi dalam hatinya bercampur dengan riak, aqidahnya bergelumang pula dengan kepercayaan-kepercayaan syirik seperti mendustakan takdir, mempercayai ramalan bintang (horoskop), terlibat dalam perbomohan, tangkal dan pelbagai bentuk bidaah khurafat. Takut-takut kita menyangka telah berbuat sebaik-baiknya, tetapi rupanya sia-sia belaka. Wallahualam.

Sumber: Sinar harian

Wednesday 11 January 2012

DOSA MENINGGALKAN SOLAT


Semua orang yang mengaku beragama Islam sebenarnya sedar tentang kewajipan melakukan solat. Namun, ramai yang kesedarannya hanya bermain di hujung lidah sahaja. Tidak turun ke hati dan dizahirkan dengan perbuatan. Maka, bukan suatu yang ganjil sekiranya kita dapati orang yang beragama Islam, namun gagal mendirikan solat. Mungkin kerana malas ataupun jahil akan akibatnya.

Sekiranya Islam itu diumpamakan sebagai rumah, maka tiang yang menjadi tunjang kepadanya ialah solat. Demikianlah perumpamaan yang telah dibuat oleh Rasulullah SAW dalam menyatakan peri pentingnya solat dalam kehidupan beragama seseorang muslim.

Ia sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Solat itu tiang agama, sesiapa mendirikan solat maka dia telah mendirikan agama dan sesiapa meninggalkan solat dia telah meruntuhkan agama”. (riwayat Baihaqi)

Justeru, sesiapa yang meninggalkan solat walaupun mengerjakan ibadah-ibadah yang lain seolah-olah memiliki rumah yang indah dan mewah, tetapi tidak mempunyai tiang yang kukuh untuk menjaminnya kekal teguh. Maka, lama-kelamaan rumah tersebut akan runtuh dan musnah menyembah bumi. Perumpamaan ini begitu signifikan sekali sekiranya dikaitkan dengan realiti masyarakat Islam yang ada pada hari ini.

Bukan sedikit yang meninggalkan solat walaupun tetap melakukan ibadah yang lain seperti menunaikan zakat dan berpuasa di bulan Ramadan. Sebahagian mereka pula pada umumnya tidak meninggalkan solat, tetapi lalai serta alpa dalam mengerjakannya dengan kata lain suka melengah-lengahkan solat dan bersolat di akhir waktu. Sebahagian lagi walaupun mendirikan solat namun gagal untuk menumpukan hati dengan penuh khusyuk dan tawaduk ketika melakukan solat. Solat hanya menjadi rutin biasa dalam kehidupannya tanpa memberikan kesan yang positif kepada keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Bahkan, semakin hari mereka semakin jauh dari agama Allah SWT. Akhirnya, di atas kealpaan dan kelalaian ini, maka mereka digolongkan dalam neraka bersama dengan azab yang tidak terperi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Kecelakaanlah bagi orang yang solat, iaitu orang yang lalai daripada solatnya. (al-Maa’un: 4-5). Allah SWT juga berfirman yang bermaksud: (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Orang-orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang. (al-Muddathir: 43)

Meninggalkan solat merupakan dosa yang boleh menghampirkan seseorang itu dengan kekufuran. Ini adalah kerana, solat adalah penghubung seseorang hamba kepada penciptanya. Sekiranya solat tidak dikerjakan, maka terputuslah hubungan dengan Allah SWT. Bukti seseorang itu masih beriman kepada Allah SWT ialah solat. Ini dapat dilihat dari firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Aku ini Allah, tidak ada tuhan selain Aku. Dan dirikanlah solat itu semata-mata untuk mengingati Daku. (Taha: 14)

Bahkan, ada beberapa hadis yang menyatakan bahawa seseorang itu boleh dianggap kufur sekiranya meninggalkan solat. Antaranya, hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah r.a menyatakan, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Antara seorang lelaki Muslim dengan syirik dengan kufur kepada Allah, ialah solatnya yang ditinggalkan. (riwayat Muslim)

Hadis lain yang memperkatakan tentang kekufuran akibat meninggalkan solat dengan sengaja asalah: “Perjanjian antara kami dengan mereka itu adalah solat, maka sesiapa yang meninggalkannya, maka kufurlah dia”.

Namun, terdapat perbezaan pandangan di kalangan para ulama berhubung hukum meninggalkan solat dengan sengaja, sama ada kufur atau berdosa besar.

Pandangan-pandangan ini boleh dibahagikan kepada dua, iaitu:
  1. Golongan pertama berpandangan bahawa orang yang meninggalkan solat secara sengaja, namun tidak mengingkari tentang kewajipannya dikira sebagai berdosa besar (fasiq). Tetapi dia tidak dianggap kafir. Sebaliknya, orang yang meninggalkan solat dalam keadaan dia menafikan kewajipannya akan dianggap sebagai kafir.
  2. Golongan kedua pula berpandangan bahawa meninggalkan solat secara sengaja atau malas boleh menyebabkan seseorang itu menjadi kafir, bukan berdosa besar.

Justeru, orang yang meninggalkan solat itu perlu untuk mengucap kalimah syahadah semula dan bertaubat dengan dosa kekufuran tersebut.

Daripada kedua-dua pandangan ini, pandangan pertama dilihat lebih tepat. Ini kerana, perkataan kufur atau kafir dalam hadis-hadis tersebut bermaksud melakukan dosa besar.
Walaupun begitu, ini bukanlah bermaksud kita boleh meninggalkan solat sewenang-wenangnya. Ia tetap dosa besar dan boleh mengundang murka daripada Allah SWT.

Solat yang ditunaikan secara sempurna seperti yang disunnahkan oleh Rasulullah SAW menjadi asas penting kepada kecemerlangan didunia dan di akhirat. Menerusi solat seseorang itu dididik dan dilatih agar sentiasa mengingati Allah, memperbanyakkan zikir, istiqamah dengan amalan soleh, berdisiplin dengan waktu, menjauhkan kemungkaran dan sebagainya.

Pendek kata, dengan mendirikan solat dan menghayati makna di sebalik solat itu menjadi asas kepada kebahagiaan hakiki di dunia dan di akhirat.

Sumber: Utusan Malaysia

Saturday 7 January 2012

MESYUARAT SAMBUTAN MAULIDURASUL







Satu mesyuarat merancang Sambutan Maulidurrasul pada tahun ini diadakan di Masjid Annur pada 6 Januari 2012, hari Jumaat malam Sabtu. Hasil perbincangan adalah seperti berikut:
  1. Hari: Ahad 12 Februari 2012. 
  2. Masa: Bermula pukul 7.30 pagi
  3. Tempat: Masjid Annur
  4. Pengisian: Ceramah utama, perarakan dan berselawat, bacaan berzanji dan marhaban, dan pertandingan untuk anak-anak seperti pertandingan nasyid, perujian berzanji, azan dan mewarna.

Ahli jawatankuasa:
  • Penaung:  Penghulu Mukim Rimba Terjun
  • Pengerusi:  Tn. Hj. Mohd Talib B. Hj. Salamon
  • Pengerusi Pengelola: En. Mohd Yazed B Othman
  • Setiausaha:  En. Hasan B. Kasmuri
  • Pen. Setiausaha:  En. Arman B Sulaiman
  • Bendahari: En. Mohd Yazed Bin Othman
  • Penyambut Tetamu: Tn. Hj. Mohd Darom B Sanihat
  • Jemputan Penceramah: Tn. Hj. Mohd Sapii B. Kadar
  • Tajaan dan Sumbangan: Tn. Hj. Mohd Sapii B. Kadar  
  •  Keselamatan:  En. Mohd. Kushairi Mat Saad
  • Lampu dan Pembesar Suara:  En. Misman B Surat   
  • Persiapan pentas dan Backdrop:  En. Sakhon B Tukiran
  • Bacaan Berzanji  dan Marhabban:  Tn. Hj. Mohd Samsuri B. Kadar
  • Perarakan dan  Kompang:  En. Sakhon B Tukiran
  • Pertandingan Nasyid dan berzanji:  Pn. Siti Jurinah Hj Salamon
  • Pertandingan Anak-anak Sekolah:  Pn. Hjh. Masnawiyah Bt Masod
  • Juruacara Hari Utama:   En. Arman B Sulaiman
  • Kutipan Sumbangan:   Parit Rambai Hilir - En. Hamdan Hj Hairani, Parit Rambai Ulu -   Pn. Joharian Bt Taslimani, Parit Gantung -  En. Tonggal B Tulus
  • Tukang Masak Jamuan:  Tn. Hj. Kamari B Sahed
  •  Rewang Lelaki:  En. Abu Hairan B. Selamat
  • Rewang Wanita:  Pn. Masitah hj. Hassan 
  • Peralatan Masak dan Khemah:  En. Zaini Othman
  • Kebersihan dan  Pengemasan:  En. Jasni Taib
  • Pengelola Jamuan:   En. Mohd Jazuli B Sanihat
  • Minuman:  En. Lokman b Johar 
  • Pengangktan:  En Khusairi B M Saad
  • Pengelola Rakan Muda:  En. Kamal B Kassim