ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Saturday 18 February 2012

LIPUTAN BERITA SAMBUTAN MAULIDURRASUL MASJID ANNUR DI BERITA HARIAN

Di bawah ini ialah keratan akhbar Berita Harian bertarikh Rabu, 15 Februari 2012 mengenai laporan Sambutan Maulidurrasul Masjid Annur, Parit Rambai, Pontian, Johor. Sambutan tersebut telah diadakan pada 12 Februari 2012 bersamaan 19 Rabiul Awal 1433H. Kami mengucapkan terima kasih kepada wartawan yang membuat liputan berita tersebut iaitu En. Togi bin Marzuki.




Sunday 12 February 2012

SAMBUTAN MAULIDURRASUL MASJID ANNUR, PARIT RAMBAI, PONTIAN, JOHOR TAHUN 1433H

Alhamdulillah, pada hari ini iaitu hari Ahad 12 Feb, 2012 bersamaan 19 Rabiul Awal 1433H, Majlis Sambutan Maulidurrasul Masjid Annur, Parit Rambai, Pontian, Johor  tahun 1433H telah terlaksana dengan jayanya. Penduduk kampung beramai-ramai bergotong-royong bermula pada petang Jumaat 10 Feb. sehingga majlis selesai pada hari Ahad 12 Feb. 2012.  Majlis yang diadakah diperkarangan masjid telah dihadiri oleh penduduk kampung ini dan orang ramai daripada kampung-kampung lain. 

Majlis diserikan dengan ceramah utama yang disampaikan oleh Yang Berbahagia  Ustaz Haji Ahmad Hanif Bin Naim, Penolong Pengarah Bahagian Perundangan Syariah, Jabatan Agama Johor.

Di antara intipati ceramah beliau ialah:
  • Sayangilah Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW melebihi apa jua yang kita sayangi.
  • Jadikan hari keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW ini sebagai pemangkin untuk peningkatan keimanan kita kepada Allah SWT.
  • Kepada ibu dan bapa, didiklah anak-anak sebagaimana  Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW mendidik anak-anak dan cucu-cucu baginda.
  • Ibu bapa adalah guru kepada anak-anak melalui apa yang dilihat oleh mereka di rumah.
  • Kepada suami dan bapa, ikutlah perlakuan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW sebagai suami dan juga sebagai ketua keluarga.
  • Kepada anak-anak dan remaja, contohi dan sayangi Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW dan perlakuan yang baik kedua ibubapa kita. 

Di antara aktiviti Sambutan Maulidurrasul pada tahun ini ialah:
  • Gotong-royong mendirikan khemah.
  • Gotong-royong menyembelih dan melapah dua ekor lembu aqiqah. 
  • Perujian berzanji anak-anak Sekolah Kebangsaan Parit Rambai.
  • Pertandingan mewarna anak-anak Sekolah Kebangsaan Parit rambai.
  • Pertandingan nasyid anak-anak Sekolah Agama Al-Shariff, Parit Rambai
  • Pertandingan azan anak-anak Sekolah Agama Al-Shariff, Parit Rambai
  • Bacaan berzanji dan marhaban.
  • Perarakan dan selawat.
  • Bacaa Al-Quran dan terjemahannya.
  • Ucapan Pengerusi Masjid An-Nur.
  •  Ceramah utama oleh Yang Berbahagia  Ustaz Haji Ahmad Hanif Bin Naim, Penolong Pengarah Bahagian Perundangan Syariah, Jabatan Agama Johor.
  • Jamuan
  • Pengemasan akhir.

Pengerusi dan ahli jawatankuasa sambutan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas sumbangan harta benda, wang ringgit, tenaga dan juga idea sertaa kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak secara langsung bagi menjayakan sambutan pada tahun ini.
 




















Saturday 11 February 2012

AWAS JERAT VALENTINE'S DAY

 Fenomena sebahagian remaja hari ini yang menjadikan Valentine’s Day sebagai perayaan paling diminati dan sangat-sangat ditunggu untuk diraikan bersama kekasih amat menggusarkan kita sebagai umat Islam. Menurut Ken Sweiger, perkataan “Valentine” berasal dari bahasa Latin yang mempunyai maksud “Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuat, dan Yang Maha Kuasa”. Menurutnya lagi, kata ini sebenarnya digunakan pada zaman Rom Kuno ditujukan kepada Nimrod dan Lupercus, tuhan orang Romawi. Sedar atau tidak, jika seseorang meminta orang lain atau pasangannya menjadi “To be my Valentine?”, maka dengan hal itu sesungguhnya ia telah secara terang melakukan suatu perbuatan yang bercanggah dengan aqidah umat Islam dan dimurkai Allah SWT. Ini kerana ia telah meminta seseorang menjadi “Sang Maha Kuasa” dan hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali budaya pemujaan berhala.

Berdasarkan kepada pandangan sebahagian besar tokoh- tokoh agama telah menyatakan bahawa menyambut atau meraikan Sambutan Hari Valentine ini adalah bertentangan dengan Syarak. Menurut Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia amalan ini adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam. Begitu juga Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Oleh itu, mimbar ingin menegaskan bahawa pengharaman dan larangan ini bukanlah kerana ingin menghalang keseronokan di atas aktiviti trend baru zaman moden tetapi ianya berlandaskan kepada apa yang dinyatakan di dalam al-Quran dan as-Sunnah yang menjadi panduan umat manusia bagi mengecapi keindahan hidup di dunia dan di akhirat. Justeru mimbar menyeru kepada jemaaah sekalian dan umat Islam agar tidak merayakan hari tersebut kerana ianya bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar serta boleh merosakkan akidah dan akhlak umat Islam.

Persoalan besar timbul ialah apakah yang menyebabkan gejala negatif seumpama ini terus berlaku?. Jawapannya ialah kerana kualiti keimanan umat Islam yang lemah dan kekaburan kita di dalam menegakkan prinsip-prinsip asas agama yang menjadi tunjang kehidupan seseorang muslim. Dengan ini kita terpesong dengan cara hidup yang sebenar. Kita juga jangan lupa bahawa syaitan dan sekutunya telah berjanji kepada Allah SWT untuk terus menyesatkan orang yang beriman. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa ayat 119:

Maksudnya: “Dan sungguh, aku akan menyesatkan mereka, dan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan menyuruh mereka membelah telinga binatang ternak; dan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang dita'ati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata".

Ingatlah bahawa agama Islam sangat mengambil berat dalam memperbetulkan pegangan akidah umatnya supaya pandangan dan sikap mereka menjadi lurus dan tasawwur mereka tentang sesuatu perkara menjadi jelas. Jangan kita mengikut contoh umat jahiliyah dahulu yang menganggap persoalan akidah hanya sekadar mengumumkan identiti diri dan melahirkan perbuatan baik sahaja sedangkan hakikat iman ialah panduan antara keyakinan dihati tentang dasar-dasar akidah dengan melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan tegahan-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 15: Maksudnya: “ Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman ialah orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang yang benar.”

Ayat ini mengisyaratkan bahawa kualiti iman boleh diukur dan dinilai melalui amalan seharian. Banyak dan berkualitinya amal soleh seseorang itu, maka tinggilah kualiti iman yang dimiliki dan begitulah sebaliknya. Oleh itu, iman yang sebenar adalah merupakan penjana kekuatan dan kecemerlangan ummah.

Islam sebagai agama fitrah dan sempurna, sentiasa menganjurkan kasih sayang sesama umatnya. Ini dapat dilihat melalui apa yang diungkapkan di dalam Kitab al-Quran dan dijelmakan oleh Rasulullah SAW. Menzahirkan kasih sayang kepada kekasih perlulah ada batasan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang diantara dua jantina berbeza tidak boleh hanya dengan janji manis di bibir. Tetapi ia perlu diikat dengan satu ikatan akad yang mampu menyimpul ikatan kukuh bagi menjamin zuriat, akhlak dan peribadi yang dinamakan sebagai perkahwinan. Keindahan dalam menzahirkan kasih sayang itulah yang dianjurkan oleh Islam dan perlulah disemai dan dibajai setiap hari tanpa perlu menunggu detik satu hari dalam setahun. Ingatlah bahawa kasih sayang yang utama adalah hanya kepada Allah SWT, rasul-Nya dan berjihad di jalan-Nya. Kasih sayang berlandaskan keimanan akan melahirkan cahaya keinsafan kepada hakikat diri dan pencipta-Nya sehingga sanggup berkorban dan mampu menundukkan hawa nafsu jahat.

Firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 207: Bermaksud: “ Dan di antara manusia ada Yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.”

Justeru bagi menyelamatkan agama dan ummah dari terus musnah akibat impak amalan-amalan bertentangan dengan aqidah dan syariah, mimbar menyeru kepada semua pihak agar mewar-warkan larangan Sambutan Valentine’s Day dari terus diraikan oleh umat Islam khususnya di negara kita ini, jangan kita terlibat dengan budaya songsang yang boleh melemahkan ummah dan menyesatkan. Wujudkanlah perasaan anti Valentine’s Day di dada dan minda, hadirkanlah rasa benci dan tidak akan meraikannya melalui penyertaan aktiviti-aktiviti yang menyalahi aqidah, syarak dan tamadun manusia. Mengakhiri khutbah pada minggu ini, sekali lagi mimbar menyeru semua pihak marilah sama-sama kita memperkasakan akidah kita, keluarga dan masyarakat kita demi masa depan agama, ummah dan negara dengan langkah berikut:
  1. Ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak dididik dengan ajaran Islam yang sebenar;
  2. Umat Islam khususnya remaja dilarang meniru amalan atau budaya kaum musyrik;
  3. Menanam rasa cinta dan kasih sayang kepada Allah SWT dan rasul-Nya;
  4. Menjauhi aktiviti bergaul bebas dengan pasangan yang bukan mahram dalam menyambut majlis tertentu; dan
  5. Meninggalkan sambutan atau perayaan yang tiada dalam syariat Islam.

Firman Allah SWT dalam surah al-A'raf ayat 96: Maksudnya: "Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."

Petikan teks khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Saturday 4 February 2012

SOLAT JUMAAT DAN ADAB-ADABNYA


Hari Jumaat adalah penghulu segala hari, hari yang paling agung di sisi Allah Subhanahu Wata'ala. Pada hari Jumaat Nabi Adam Alaihissalam dijadikan, dimasukkan ke dalam syurga, dikeluarkan dari syurga dan Baginda wafat pada hari tersebut.

Pada hari Jumaat terdapat satu ketika di mana tidak ada permintaan baik kepada Allah Subhanahu Wata'ala oleh seorang hamba yang Muslim melainkan dimakbulkan permohonannya itu, balasan bagi perbuatan baik atau buruk pada hari tersebut digandakan dan pada hari itu juga akan berlakunya Hari Kiamat. Keistimewaan hari Jumaat ditambah lagi dengan pensyariatan sembahyang Jumaat yang wajib dilaksanakan secara berjemaah bagi umat Islam yang mencukupi syarat-syaratnya.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala di dalam Surah Al Jumu'ah ayat 9 tafsirnya :
"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah dengan mengerjakan sembahyang Jumaat dan tinggalkanlah berjual beli pada saat itu, yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui hakikat yang sebenarnya".

Sesungguhnya ketegasan dan keprihatinan Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam terhadap tuntutan sembahyang Jumaat sangat jelas dan ketara ketika mana Baginda pernah bercita-cita untuk membakar rumah golongan yang tidak mengerjakan sembahyang Jumaat.

Namun begitu sembahyang Jumaat tidaklah diwajibkan jika berlaku halangan yang dibolehkan oleh syarak seperti keuzuran atau tidak dapat pergi ke masjid disebabkan oleh perkara yang tidak dapat dielakkan sehingga menyukarkan mereka pergi ke masjid seperti hujan rebut, banjir, peperangan dan sebagainya. Walau bagaimanapun itu tidak bermakna sembahyang Jumaat boleh dipandang ringan dan dicuaikan bahkan Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam memberi amaran bahawa barangsiapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat sebanyak tiga kali dengan sengaja tanpa sesuatu sebab, maka Allah Subhanahu Wata'ala akan menutup pintu hatinya dan dijadikan mereka orang-orang yang lalai dan munafik.

Tetapi nampaknya peringatan Allah Subhanahu Wata'ala itu diambil ringan oleh segelintir manusia sehingga ada yang sengaja tidak hadir sembahyang Jumaat tanpa sebab. Dalam hal ini adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai orang Islam menegur dan memberi nasihat sesama Islam yang lain yang mengabaikan sembahyang Jumaat lebih-lebih lagi jika yang mengabaikan itu anak-anak kita sendiri, sanak saudara atau orang-orang yang dikenali. Kerana kita yakin nasihat dan teguran itu dapat merubah seseorang. Oleh itu kita jangan mudah lemah semangat kerana segan dan takut yang ditegur marah atau tersinggung maka kita rela membiarkan kesalahan dan kelalaian terus dilakukan.

Sebagaimana kita ketahui bahawa dalam setiap amal ibadat itu ada adab-adabnya, begitulah juga dengan sembahyang Jumaat. Dengan menyempurnakan adab-adab tersebut, kita akan beroleh pahala dan ibadat kita menjadi lebih sempurna.

Di antara adab-adab tersebut ialah sebelum pergi ke masjid, kita disunatkan mandi terlebih dahulu, memakai wangi-wangian dan berpakaian yang terbaik. Dalam cara berpakaian, sudah tentu pakaian tersebut hendaklah terbaik dan bersih. Bagi kita orang Melayu kelazimannya berpakaian cara melayu atau bergamis menjadi pilihan ketika bersembahyang dan adalah tidak munasabah kita menghadap Allah Subhanhu Wata'ala dengan berpakaian sekadar menutup aurat sahaja tanpa mengambil peduli apa yang hendak dipakai. Walaupun adab berpakaian bukanlah sebagai syarat sah atau tidak sembahyang tersebut, namun adalah lebih elok menghindarkan diri dari berpakaian sembarana seperti hanya memakai baju T atau T-Shirt lebih-lebih lagi yang mempunyai corak, gambar-gambar atau mengandungi perkataan-perkataan yang kurang elok ataupun pakaian tersebut tidak bersih dan berbau sehingga boleh menganggu kekhusyukan jemaah lain untuk beribadah. Jangan hanya kelihatan cantik dan bersih apabila hendak berjumpa orang tertentu atau ketika menghadiri majlis sahaja tetapi sewajarnya kita lebih cantik dan bersih ketika berhadapan dengan Allah Subhanahu Wata'ala.

Selain itu, kita disunatkan datang lebih awal ke masjid. Ketika hendak masuk masjid, jangan lupa berniat iktikaf dan menunaikan sembahyang sunat tahyatul masjid. Sebenarnya banyak hikmat yang boleh kita perolehi jika datang awal ke masjid di mana kita dapat beriktikaf, membaca Al-Quran, berzikir, berselawat dan sebagainya. Dan ketahuilah bahawa balasan bagi orang-orang yang hadir untuk menunaikan sembahyang Jumaat itu adalah berbeza berdasarkan awal atau akhirnya ia tiba ke masjid.

Pada hari tersebut, setiap pintu masjid ada dua malaikat yang mencatat orang-orang yang masuk ke masjid mengikut urutannya. Perumpamaan orang yang datang awal adalah bagaikan memperolehi pahala orang yang menyembelih korban seekor unta kemudian seperti berkorban seekor sapi, kemudian seperti berkorban seekor kambing, kemudian seperti menyembelih seekor ayam dan kemudian seperti memberi sedekah sebiji telur.

Apabila imam telah keluar naik ke mimbar, para malaikat pun menutup buku catatan mereka dan mendengar zikir yakni khutbah. Barangsiapa yang datang selepas itu, maka pahalanya untuk sembahyang itu sahaja. Maka alangkah ruginya bagi orang yang akhir datang kerana mereka bukan sahaja terlepas dari mendapat ganjaran bahkan juga tidak berkesempatan untuk membanyakkan ibadat, sedangkan pada hari Jumaat inilah sahaja peluang bagi sesetengah orang yang tidak berkesempatan untuk beriktikaf dan beribadat di masjid pada hari-hari yang lain.

Perlu diingat bahawa apabila khatib berkhutbah, para jemaah hendaklah mendengar dan menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap khutbah yang disampaikan, dengan berbuat demikian kita akan mendapat ganjaran daripada-Nya sekaligus memperolehi ganjaran pengampunan terhadap dosa-dosanya sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Abi Hurairah Radiallahuanhu dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda maksudnya:

"Sesiapa yang mandi kemudian datang untuk bersembahyang Jumaat lalu mengerjakan sembahyang sunat sempurnanya, kemudian dia diam untuk mendengarkan khutbah sehingga khatib selesai berkhutbah lalu bersembahyang Jumaat bersama imam, maka dia diberi keampunan terhadap dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat yang berikutnya dan ditambah lagi tiga hari". (Riwayat Al-Imam Muslim)

Apa yang mendukacitakan, terdapat segelintir jemaah tidak memberikan tumpuan terhadap khutbah yang disampaikan, ada yang leka bercerita bahkan terdapat juga antara jemaah yang tidak sempat mendengar khutbah kerana lewat hadir ke masjid. Sikap sebeginilah perlu diubah, kita setentunya maklum bahawa dalam khutbah itu terdapat pengajaran dan peringatan untuk kita sama-sama muhasabah dan memperbaiki diri, maka sudah sewajarnya khutbah yang disampaikan hendaklah didengar, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan.

Selain dari itu, bagi menjaga kehormatan dan keharmonian masjid, para ibu bapa atau penjaga adalah dinasihatkan untuk mengawasi dan memata-matai anak mereka supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh menganggu kekhusyukan para jemaah lain untuk beribadat seperti menasihatkan mereka supaya tidak berbuat bising, baibun dan sebagainya.

Marilah kita menunaikan sembahyang Jumaat itu dengan sebaik-baiknya tanpa meninggalkan adab-adabnya, manfaatkanlah hari Jumaat yang hanya sekali dalam seminggu itu dengan amal ibadat bagi mendapatkan ganjaran yang dijanjikan. Mudah-mudahan dengan demikian kita mendapat rahmat dari Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Mu'minuun ayat 1-3 tafsirnya :
"Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman. Iaitu orang-orang khusyuk dalam sembahyangnya. Dan orang-orang yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang tidak berguna".

Sumber: Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam

HAYATI PERISTIWA PENTING DALAM ISLAM

Berikut adalah antara peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dan menjadi titik tolak dalam peradaban manusia yang juga mempengaruhi kehidupan mereka sebagai khalifah di muka bumi ini. Hayatilah peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam bulan-bulan Islam ini. 


MUHARRAM
  • Maal Hijrah/Awal Muharram pd 1 hr bulan
  • Hari Asyura disambut pada 10 haribulan muharam
  • Asyura di ambil dari perkataan asyir berkmaksud 10
  • Kematian Saidina Husein b. Ali ( cucunda Rasulullah s.a.w ) di Karbala pd 10 haribulan tahun 61 Hijrah.
  • Penciptaan Nabi Adam AS
  • Bahtera Nabi Nuh AS tersadai di atas Bukit Al Judi
  • Nabi Ibrahim AS diselamatkan dari api yang membakarnya
  • Nabi Idris AS dan Nabi Nabi Isa diangkat ke langit.

SAFAR
  • Peperangan Bani Qainuqak pd thn ke-3 Hijrah.
  • Peperangan Khaibar pd thn ke-1 Hijrah
  • Kegeringan baginda Rasulullah s.a.w

RABIUL AWWAL
  • Perlantikan baginda Rasulullah s.a.w menjadi rasul.
  • Peristiwa persembunyian Rasulullah s.a.w dan Saidina Abu Bakar di gua Hira’ untuk berhijrah ke Madinah pd 2 , 3 dan 4 haribulan.
  • Pembinaan masjid pertama di Quba’ pd 8 haribulan
  • Hari keputeraan Rasulullah s.a.w pd 12 haribulan.
  • Ketibaan Rasulullah di Madinah dlm peristiwa Hijrah.
  • Kewafatan Rasulullah s.a.w pd 12 haribulan.

RABIUL AKHIR
  • Berlakunya peperangan Jamal (Unta), perang saudara pertama dalam sejarah Islam.
  • Penyerahan kuasa pemerintahan dari Hasan b. Ali kpd Mu’awiyah.
  • Tegaknya kerajaan Umaiyah.

JAMADIL AWWAL
  • Kelahiran Saidina Ali b. Talib pd 8 haribulan.
  • Berlakunya peperangan Bani

JAMADIL AKHIR
  • Khalifah Abu Bakar as-Siddiq meninggal dunia pd 23 haribulan tahun 13 Hijrah.
  • Perlantikan Saidina Umar sebagai khalifah kedua pd 8 haribulan tahun 13 Hijrah.
  • Berlakunya peperangan Yarmuk di zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab dlm tahun 13 Hijrah.
  • Serangan atas Kota Makkah dan tembakan bangunan Kaabah tahun 7 Hijrah oleh tentera al-Hajjaj as-Saqafi.
  • Pembunuhan atas Abdullah b. Zubir yg memerintah Kota Makkah oleh al-Hajjaj as-Saqafi bg pihak Khalifah Abdul Malik b. Marwan.
  • Kelahiran Siti Fatimah az-Zahrah binti Rasulullah s.a.w pd 20 haribulan.

REJAB
  • Berlaku peristiwa Isra’ Mikraj pd 26/27 haribulan.
  • Sembahyang lima waktu disyariatkan dlm peristiwa Isra’ Mikraj.
  • Berlakunya peperangan Tabuk, peperangan terakhir disaksikan Rasulullah s.a.w.

SYA’BAN
  • Malam Nisfu Sya’ban pd 14 haribulan.
  • Penukaran kiblat dr Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis ke Kaabah pd 15 haribulan.
  • Peperangan Bani Mustalik tahun ke-5 Hijrah.

RAMADHAN
  • Bulan Ramadhan difardukan atas umat Islam mengerjakan ibadah puasa.
  • Berlakunya peperangan Badar pd 8 haribulan tahun ke-2 Hijrah.
  • Penyempurnaan pembukaan Kota Makkah pd 10 haribulan tahun ke-8 Hijrah.
  • Permulaan turunnya ayat2 suci al-Quran pd 17 haribulan.
  • Tragedi pembunuhan Saidina Ali dlm tahun ke-40 Hijrah,beliau wafat dlm kecederaan ketika memasuki Masjid Kufah pd 17 Ramadhan tahun ke-40 Hijrah.

SYAWAL
  • Umat Islam merayakan Hari Raya Fitri pd 1 haribulan.
  • Berlakunya peperangan Khandak pd tahun ke-5 Hijrah.
  • Kejayaan tentera Islam pd zaman pemerintahan Khalifah Umar merampas Bandar Madain.
  • Tentera Islam berjaya menawan Istana Raja Parsi yg dikenali dengan nama Istana Putih.

ZULKAEDAH
  • Peristiwa Umrah, Perjanjian Hudaibiyah dan Baiah Ridhwan berlaku dlm bulan ini.
  • Rasulullah s.a.w menunaikan Haji Wida’.

ZULHIJJAH
  • Orang Islam yg mampu difardukan menunaikan haji di Makkah pd setiap bln ini.
  • Peristiwa Haji Wida’ berlaku pd 8 haribulan tahun ke-10 Hijrah.
  • Rasulullah s.a.w menyampaikan pidato kpd kaum muslimin di Bukit Arafah sebelum selesai ibadah haji.
  • Saidina Umar al-Khattab wafat setelah dibunuh oleh Abu Lukluk berbangsa Parsi beragama Majusi pd malam Rabu akhir bulan ini pd 23 Hijrah.
  • Saidina Uthman b. Affan dibunuh di rumahnya di samping tangannya memegang al-Quran pd 18 haribulan tahun 35 Hijrah.
  • Penyerahan kuasa di Kufah oleh Saidina Hassan b. Ali kepada Muawiyah b. Abi Sufian.

HAYATI SAMBUTAN HARI KEPUTERAAN NABI MUHAMMAD SAW (MAULIDURASUL)

Insyaallah pada hari Ahad 5 Februari 2012 bersamaan 12 RabiulAwal 1433 kita akan menyambut Ulangtahun Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW (Maulidurasul). Hari selain daripada hari-hari biasa dimana kita mengingati dan merindui seorang 'hamba Allah' yang amat kita sayangi.
 
Untuk kesekian kalinya, sekali lagi kita menyambut Hari Keputeraan Nabi Muhammad SAW, Junjungan besar dan agung. Nabi terakhir yang telah menukarkan dunia ini dari zaman kegelapan kepada cahaya yang memberi rahmat keseluruh alam. Kita sebagai ummah yang terbaik tidak sepatutnya hanya menyambut hari kelahiran baginda setakat itu sahaja tanpa menghayati kehidupan Rasulullah yang menjadi insan contoh yang terbaik.
 
Umat Islam sewajarnya menghayati kehidupan Rasulullah SAW dan mencontohi baginda sebagai insan terbaik, bukannya setakat menyambut hari kelahiran baginda. Rasulullah SAW adalah role model yang perlu dicontohi kerana perbuatan menjadikan insan lain yang tidak mencontohi baginda sebagai contoh menyebabkan kita kehilangan prasyarat untuk menjadi Khalifah Allah SWT. Rasulullah SAW adalah role model yang perlu dicontohi dan jika menjadikan insan lain bukan mencontohi akhlak Rasulullah sebagai role model maka ia tidak memenuhi pra syarat untuk mencakupi peranan manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi.

Ummah yang mutakhir ini menerima penghinaan seperti yang berlaku di Afghanistan dan baru-baru ini penaklukan kuasa unipolar dan hegemoni Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya di Iraq menunjukkan bahawa tanpa berpegang teguh kepada Tali Allah (Agama) dan ajaran serta panduan Rasulullah bumi umat Islam tidak akan selamat. Mereka berpegang kepada tali yang lain dari tali Allah dan menjadikan ideologi asing ciptaan manusia sebagai pegangan perjuangan menyebabkan ummat Islam begitu mudah dikalahkan.
 
Rasulullah SAW tidak dijadikan sebagai pimpinan contoh yang perlu diikuti tetapi mengambil contoh role model yang lain dari Rasulullah menyebabkan umat Islam menerima musibah penghinaan yang tidak ada bandingannya dalam sejarah.
 
Rasulullah membawa kemajuan, perpaduan dan pembangunan peradaban yang tinggi.  Peninggalan usaha baginda menjadikan Islam mentadbir 2/3 daripada muka bumi. Seandainya umat Islam terus menunjukkan kesungguhan yang sama tidak mustahil Islam akan diterima secara sukarela oleh segenap lapisan masyarakat di serata dunia. Kalau ummah berpegang kepada ajaran Rasulullah tidak mungkin mereka akan berpecah dan tidak mungkin juga ada negara umat Islam yang boleh menjadi alat kuasa AS dan konco-konconya dengan menjadikan bumi mereka pengkalan untuk AS dan sekutunya melancarkan penaklukan.
 
Bersempena dengan hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w ini, marilah kita kembali ke pangkal jalan beristiqamah dengan tuntutan Islam dan tidak memilih jalan-jalan yang lain dari agama suci ini. Marilah kembali menjadikan Rasulullah sebagai sumber rujukan dalam perjuangan. Kepada ahli-ahli dan penyokong harakah Islamiyah saya mengajak supaya memantapkan iltizam meneruskan perjuangan di zaman penuh cabaran ini bagi merealisasikan matlamat perjuangan kita bersama. Kita sewajarnya mencontohi perjuangan junjungan besar dan ummah menjadikan kita sebagai contoh warisan kepada kesinambungan perjuangan.

Berikut adalah petikan khutbah haji wida' yang disampaikan oleh Rasulullah SAW dengan penuh syahdu di Padang Arafah ketika Baginda mengerjakan Haji Wida’ bersama dengan lebih kurang 124,000 para sahabat sebelum kewafatan Baginda. Jadikanlah isi kandungan khutbah ini sebagai pedoman hidup seluruh umat Islam akhir zaman.

Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutnya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak diatas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah lemah dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah `ibadah Haji’ sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam takwa dan beramal solah.

Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.

Friday 3 February 2012

HUKUM MENINGGALKAN SOLAT JUMAAT

Hari Jumaat adalah hari yang paling agung daripada hari-hari yang lain, sehinggakan keagungannya disebutkan dalam sebuah hadits bahawa hari Jumaat adalah lebih baik daripada Hari Raya Adha dan Hari Raya Fitri. Daripada Abu Lubabah bin ‘Abdul Mundzir Radhiallahu ‘anhu, meriwayatkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 

Maksudnya:
“Sesungguhnya hari Jumaat ialah kepala sekalian hari dan hari yang terbesar di sisi Allah, dan ia lebih besar di sisi Allah daripada Hari Raya Adha dan Hari Raya Fitri...” (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Sembahyang fardhu Jumaat diwajibkan (fardhu ‘ain) ke atas setiap lelaki Islam yang merdeka, baligh, berakal, bermuqim dan tidak ada keuzuran. Kewajipan mengerjakannya ada disebutkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala di dalam al-Qur’an, sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Jumu‘ah: 9)


Namun bagaimana pula dengan orang yang senghaja meninggalkan sembahyang fardhu Jumaat tanpa sebarang keuzuran? Perlu diingat, sesiapa yang meninggalkan sembahyang fardhu Jumaat tanpa ada uzur syar‘i adalah perbuatan dosa dan melanggar perintah Allah, apatah lagi jika meninggalkannya tiga kali berturut-turut, hatinya akan dicap oleh Allah sebagai hati orang munafiq.

Abu al-Ja‘di adh-Dhamriy Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“Sesiapa yang meninggalkan Jumaat tiga kali tanpa keuzuran maka dia adalah munafiq.” (Hadits riwayat Ibnu Hibban)

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata:

Maksudnya:

Maksudnya:
“Aku menitikberatkan (memerintahkan) supaya seorang lelaki itu bersembahyang dengan beramai-ramai (berjemaah), kemudian aku berazam untuk membakar rumah-rumah mereka (lelaki) yang meninggalkan sembahyang Jumaat.” (Hadits riwayat Muslim)

Oleh itu, orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat janganlah sekali-kali meninggalkan sembahyang fardhu Jumaat melainkan ada keuzuran syar‘i. Ini kerana perbuatan itu adalah melanggar perintah Allah dan orang yang meninggalkan sembahyang fardhu Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut dicap sebagai orang munafiq.

“Barangsiapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat tiga kali berturut-turut maka dia telah membuang Islam itu di belakangnya (meninggalkannya).” (Hadits riwayat Abu Ya‘la)

Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahhu ‘anhu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda kepada satu kaum yang tidak bersembahyang fardhu Jumaat, Baginda bersabda:
Meninggalkan Solat Jumaata Melanggar Perintah Allah

Mereka yang ada keuzuran yang diberi kelonggaran (rukhshah) pada meninggalkan sembahyang berjemaah adalah tidak diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat seperti sakit yang boleh menambahkan lagi sakit atau melambatkan sembuh, sakit cirit birit kerana takut akan mencemarkan kebersihan masjid atau sibuk kerana menguruskan mayat yang ditakuti jika dilambatkan akan menyebabkan mayat menjadi busuk.

Wednesday 1 February 2012

JEMPUTAN KE SAMBUTAN MAULIDURASUL MASJID ANNUR, PARIT RAMBAI, PONTIAN, JOHOR TAHUN1433H/2012

Ahli Jawatan Kuasa Sambutan Maulidurasul masjid Annur dengan sukacitanya menjemput ahli kariah dan warga Kampung Parit Rambai hadir beramai-ramai ke majlis tersebut pada hari Ahad, 12 Februari 2012 bertempat di Masjid Annur.

Atur Cara Sambutan

Jumaat, 10 Februari 2012 pukul 3.00 Petang - Gotong-royong mendirikan khemah.
 
Sabtu, 11 Februari 2012 bermula pukul 2.00 petang 
  • Perujian berzanji SKPR
  • Pertandingan mewarna SKPR
  • Pertandingan nasyid SAPR
  • Pertandingan azan SAPR.

Sabtu, 11 Februari 2012 bermula pukul 9.00 malam
  • Perujian berzanji dewasa
  • Pertunjukan LCD.
  • Rewang beramai-ramai

Ahad, 12 Februari 2012 bermula pukul 7.30 pagi
  • Perarakan dan berselawat
  • Bacaan berzanji dan berselawat
  • Doa 
  • Bacaan al-Quran dan terjemahannya
  • Ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Masjid Annur
  • Ceramah utama Sambutan Maulidurasul
  • Jamuan
  • Pengemasan

Sekian, terima kasih.