ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Tuesday 28 January 2014

REZEKI YANG BERKAT

Perkara penting dalam mencari rezeki bukannya berapa banyak yang kita peroleh tetapi sebaliknya, ada atau tidak keberkatan di dalam rezeki itu. Rezeki melimpah-ruah tidak sama konsepnya dengan rezeki yang halal dan berkat. Ada orang mempunyai rezeki yang banyak tetapi sayangnya di dalamnya tidak terdapat unsur keberkatan.

Di dalam Islam, keberkatan rezeki yang diinginkan adalah bermaksud rezeki yang bertambah dan mengandungi kebaikan di dalamnya. Rasulullah SAW telah menggariskan beberapa cara agar rezeki menjadi lancar, berkat dan halal. Antaranya;
  1. Menjauhi pekerjaan haram dan subahat. Setiap orang hendaklah taat kepada Allah SWT dan tidak melakukan dosa kerana dosa akan menutup pintu rezeki. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya." (riwayat at-Tirmizi). Selain itu, dekatkanlah diri kepada Allah dengan ibadah tambahan seperti solat Dhuha dan solat Tahajud.
  2. Bekerja sungguh-sungguh. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT senang melihat hamba-Nya bersusah payah (kelelahan) dalam mencari rezeki yang halal." (riwayat Adailami).
  3. Mengadu masalah rezeki hanya kepada-Nya. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Barang siapa tertimpa kemiskinan, kemudian ia mengadukannya kepada sesama manusia, maka tidak akan tertutup kemiskinannya itu. Namun, siapa sahaja yang mengadukannya kepada Allah, maka Allah akan memberinya rezeki, baik segera ataupun lambat." (riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi).
  4. Memperbanyakkan beristighfar Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa memperbanyak istighfar, Maka Allah SWT akan menjadikan setiap kesulitan kelapangan dan setiap kesempitan jalan keluar dan Allah akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak pernah disangka-sangkanya." (riwayat Imam Ahmad).
  5. Sabar dan banyak membaca la hawla wa laa quwwata illa billah. Diriwayatkan bahawa Salim, anak laki-laki ‘Auf bin Malik al-Asyja’iy telah ditawan oleh orang musyrik. Kemudian, ‘Auf datang mengadu kesedihannya kepada Rasulullah. Baginda SAW berkata: “Bertakwalah kepada Allah, bersabarlah dan aku anjurkan agar kamu dan isterimu memperbanyak bacaan, La hawlah wa laa quwwata illa billah. ‘Auf kembali ke rumahnya dan menyatakan suruhan Rasulullah SAW itu. Keduanya, segera melaksanakan perintah Rasulullah SAW. Akhirnya, anaknya berhasil meloloskan diri daripada musuh dan membawa ternakan kambingnya sebanyak 4,000 ekor di hadapan ayahnya. (Tafsir Qurthubi, surah al-Thalaq: 3).
  6. Tawakal sepenuhnya kepada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Jika kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benarnya, nescaya Allah akan memberikan rezeki kepada kamu, sebagaimana Allah telah memberi rezeki kepada burung yang berangkat di pagi hari dengan perut kosong dan kembali ke sarangnya dengan perut kenyang. (riwayat Bukhari).
  7. Bersedekah dan nafkahkan harta kepada yang berhak. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Ada tiga hal yang aku bersumpah kepadanya dan aku akan menyampaikan suatu berita kepadamu, maka perhatikan benar-benar: Tidak akan berkurang harta seseorang kerana sedekah dan tiadalah seseorang membuka pintu meminta-minta melainkan Allah akan membukakan kepadanya pintu kemiskinan." (riwayat al-Tirmizi).
  8. Tolong agama Allah dengan menegakkan syariat Islam. Firman Allah SWT bermaksud: Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu. (Muhammad: 7). Syariat Islam akan tegak dengan adanya daulah Islam. Islam sebagai jalan kehidupan tidak tegak dalam masyarakat saat ini dengan tidak sebagai wadah. Sistem perekonomian di mana umat mencari rezeki pada saat ini merupakan sistem perekonomian yang tidak mendukung mereka untuk mendapatkan rezeki yang banyak, lancar dan berkat. Sebenarnya Allah tidak memerlukan pertolongan kerana Allah Maha Kaya. Tetapi itulah cara bagi kita untuk menolong diri kita sendiri. Marilah kita menolong agama Allah, agar rezeki kita banyak, lancar, halal dan berkat.

Penghargaan dan terima kasih untuk Hashim Ahmad

Sunday 26 January 2014

CARA SYAITAN MENGUASAI TUBUH BADAN MANUSIA

Firman Allah SWT: Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka, padahal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain daripada tipuan belaka. Mereka itu tempatnya Jahannam dan mereka tidak memperoleh tempat untuk lari daripadanya. (an-Nisa’: 120-121)

Keterbukaan manusia mengundang kehadiran syaitan ke dalam diri masing-masing, sebenarnya ada kaitan dengan sifat mazmumah yang diamalkan dalam kehidupan seharian. Melalui pelbagai jenis sifat mazmumah, sama ada kita sedar atau tidak, sebenarnya telah menyediakan ruang kepada syaitan untuk menapak di dalam diri kita.

Apabila syaitan sudah meraja dalam diri, seseorang individu itu akan sanggup melakukan apa jua perbuatan keji dan mungkar kerana keinginan nafsu akan menjadi sebati dengan sifat jahat syaitan itu sendiri. Hati, suatu organ istimewa kurniaan Allah SWT kepada manusia pada saat dan waktu itu juga akan mula goyah apabila sedikit demi sedikit syaitan durjana mula merayap untuk menguasai tunjang di dalam badan manusia tersebut.
Berlumba-lumbalah nanti para syaitan untuk memenangi dan menguasai hati manusia. Mereka akan sedaya upaya menawan hati tersebut dan memujuk nurani manusia untuk melanggar segala perintah Allah SWT.

Beruntunglah golongan manusia yang berupaya menangkis godaan tersebut. Mengikut para ulama, syaitan akan menguasai tubuh badan manusia melalui sepuluh pintu iaitu:
  1. Melalui sifat sombong dan angkuh. Dua sifat inilah yang amat mudah tersemai dan menyubur dalam diri manusia. Ia berpunca daripada sifat keegoan manusia itu sendiri yang lazimnya akan mudah hanyut ketika dilimpahi kemewahan dan kesenangan.
  2. Melalui sifat sombong dan melalui sifat bakhil dan kedekut. Setiap harta benda dan kemewahan yang diperoleh adalah kurniaan Allah SWT yang seharusnya dibelanjakan ke jalan yang hak. Ia boleh digunakan untuk membantu kesempitan hidup orang yang memerlukan, sama ada melalui kewajipan berzakat atau bersedekah.
  3. Melalui sifat takbur dan bongkak. Sifat ini selalunya bertapak dalam diri seseorang manusia yang merasakan dia sudah memiliki segala-galanya dalam hidup ini. Mereka terlupa bahawa kesenangan dan kenikmatian yang dikurniakan itu boleh ditarik oleh Allah SWT pada bila-bila masa sahaja. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang takbur. (an-Nahl:23)
  4. Sifat khianat. Khianat yang dimaksudkan bukan sahaja melalui perbuatan merosakkan sesuatu yang menjadi milik orang lain, tetapi juga mengkhianati hidup orang lain dengan tidak mematuhi apa- apa bentuk perjanjian, perkongsian dan sebagainya.
  5. Sifat tidak suka menerima ilmu dan nasihat. Junjungan Rasulullah SAW selalu menasihati para sahabat agar mereka menjauhkan diri masing-masing daripada menjadi golongan keempat dalam kalangan manusia yang dibenci Allah iaitu golongan yang tidak suka diri mereka dinasihati atau mendengar nasihat orang lain. 
  6. Melalui sifat hasad. Perasaan hasad dengki selalunya akan diikuti dengan rasa benci dan dendam yang berpanjangan. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: Hindarilah kamu daripada sifat hasad kerana ia akan memakan amalan kamu sebagaimana api memakan kayu yang kering. (riwayat Bukhari dan Muslim
  7. Melalui sifat suka meremehkan orang lain. Sifat ego manusia ini selalunya akan lahir apabila seseorang individu itu merasakan dirinya sudah sempurna jika dibandingkan dengan orang lain. Orang lain dilihat terlalu kecil dan kerdil jika dibandingkan dengan apa yang telah dia miliki. Abu Umamah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafikialah orang tua Muslim, orang yang berilmu dan imam yang adil. (riwayat Muslim) 
  8. Melalui sifat ujub atau bangga diri. Menurut Imam Ahmad, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Jangan kamu bersenang lenang dalam kemewahan kerana sesungguhnya hamba Allah itu bukan orang yang bersenang- senang sahaja." (riwayat Abu Naim daripada Muaz bin Jabal) 
  9. Melalui sifat suka berangan- angan. Islam adalah anti kemalasan. Orang yang berat tulang untuk berusaha bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup akan dipandang hina oleh Allah SWT dan manusia. Mereka lebih gemar berpeluk tubuh dan menyimpan impian yang tinggi tetapi amat malas berusaha untuk mendapatkannya. 
  10. 10 Melalui sifat berburuk sangka. Seseorang yang suka menuduh orang lain melakukan sesuatu kejahatan tanpa diselidiki terlebih dahulu amat dicela oleh Islam. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Nanti akan ada seseorang berkata kepada orang ramai bahawa mereka sudah rosak. Sesungguhnya orang yang berkata itulah sebenarnya yang telah rosak dirinya. (riwayat Muslim)

Penghargaan dan terima kasih untuk Wan Marzuki Wan Ramli

Wednesday 22 January 2014

HIKMAH DISEBALIK KETIKA BERWUDHU'

Hikmah semasa kita berwudhu'
  1. Ketika berkumur, berniatlah kita dengan, “Ya Allah, ampunilah dosa mulut dan lidahku ini”. Penjelasan: Kita hari-hari bercakap benda-benda yang tak berfaedah.
  2. Ketika membasuh muka, berniatlah kita dengan, “Ya Allah, putihkanlah muka ku di akhirat kelak, Janganlah Kau hitamkan muka ku ini”. Penjelasan: Ahli syurga mukanya putih berseri-seri.
  3. Ketika membasuh tangan kanan, berniatlah kita dengan, “Ya Allah, berikanlah hisab-hisab ku ditangan kanan ku ini”. Penjelasan: Ahli syurga diberikanhisab-hisabnya di tangan kanan.
  4. Ketika membasuh tangan kiri, berniatlah kita dengan, “Ya Allah, janganlah Kau berikan hisab-hisab ku di tangan kiri ku ini”. Penjelasan: Ahli neraka diberikan hisab-hisabnya di tangan kiri.
  5. Ketika membasuh kepala, berniatlah kita dengan,”Ya Allah, lindunganlah daku dari terik matahari di padang Masyar dengan Arasy Mu”. Penjelasan: Panas di Padang Mahsyar macam matahari sejengkal di atas kepala.
  6. Ketika membasuh telinga, berniatlah kita dengan,”Ya Allah, ampunilah dosa telinga ku ini” Penjelasan: Hari-hari mendengar orang mengumpat, memfitnah dll.
  7. Ketika membasuh kaki kanan, berniatlah kita dengan.”Ya Allah, permudahkanlah aku melintasi titian Siratul Mustaqqim”. Penjelasan: Ahli syurga melintasi titian dengan pantas sekali.
  8. Ketika membasuh kaki kiri, berniatlah kita dengan,”Ya, Allah, bawakanlah daku pergi ke masjid-masjid, surau-surau dan bukan tempat-tempat maksiat” Penjelasan: Qada’ dan Qadar kita di tangan Allah.

Ramai di antara kita yang tidak sedar akan hakikat bahawa setiap yang dituntut dalam Islam mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Bersyukur dan bertaubatlah selalu.

Tuesday 21 January 2014

NAK DAPAT PAHALA DAN KESEMPURNAAN BERSOLAT, MESTI KHUSUK DALAM SOLAT

Firman Allah dalam surah al-Maun, ayat 4 dan 5 bermaksud: “Maka kecelakaan besar bagi orang yang solat. (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya.”

Kadangkala berdepan dengan peringatan ini ada sesetengah di kalangan kita bertanya: “Apakah yang dapat mengubati kelalaian dalam solat? Apakah cara untuk menjadikan solat itu khusyuk?”



Menurut Allamah Dr Hassan Ali al-Saqqaf melalui bukunya Sifat Solat Nabi Yang Sahih, setiap orang yang ingin menunaikan solat secara khusyuk hendaklah mempelajari ilmu fiqah mengenai solat. Malah, katanya orang terbabit wajib mengetahui syarat sah dan rukunnya, mengetahui perkara membatalkan solat dan mengenal amalan sunat dalam solat.

Pendek kata seseorang itu perlu mengetahui segala hukum ataupun ketentuan yang berkaitan dengan pelaksanaan ibadat solat. Apabila seseorang mengetahui semua perkara yang semestinya dilakukan dalam melaksanakan solat, sama ada rukun, syarat, perbuatan yang membatalkan solat dan sunatnya, maka pasti akal fikirannya akan sibuk memikirkan hal berkenaan dan tertumpulah hatinya.

Keduanya hendaklah orang terbabit bangun pada malam hari bagi melaksanakan solat tahajud dua rakaat, empat rakaat ataupun lebih, namun seelok-eloknya dia menunaikan solat tahajud itu sendirian dan tidak berjemaah. Hal ini diisyaratkan dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan dari sebahagian malam bertahajudlah kamu sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu menempatkanmu di tempat yang terpuji.” (Surah al-Isra, ayat 79) Seseorang itu perlu memulakan solat tahajud dengan dua rakaat yang ringan demi mengikuti sunah Nabi Muhammad SAW. Apabila baginda SAW bangun pada sebahagian malam bagi menunaikan solat, baginda memulakan solat dengan dua rakaat yang ringan, sebagaimana diriwayatkan Imam Muslim.

Riwayat Muslim lagi daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang daripada kamu bangun pada (sebahagian) malam, maka hendaklah dia membuka solatnya dengan (melakukan) solat dua rakaat yang ringan.” Seseorang yang dapat membiasakan diri dengan melakukan ibadah sebegini, insya-Allah hatinya akan hadir (memberi tumpuan) dan solatnya khusyuk dengan izin Allah SWT. Selebihnya, hendaklah dia bermohon kepada Allah SWT dengan penuh kesungguhan agar diberi taufik ataupun kekuatan dalam melakukan ibadah yang terbaik. 

Khusyuk sangat penting dalam mengerjakan solat, bahkan ia menentukan pahala solat yang akan diterima oleh seseorang. Nabi SAW menegaskan: “Sesungguhnya seorang lelaki yang melakukan solat, dia hanya mendapat pahala satu persepuluh, satu persembilan, satu perlapan, satu pertujuh, satu perenam, satu perlima, satu perempat, satu pertiga ataupun setengahnya.” (Riwayat Abu Ya’la).

Perbuatan memejamkan mata dalam solat menurut Dr Hassan Ali al-Saqqaf adalah mustahab (sunat) apabila ia boleh menenangkan hati, membantu melahirkan kekhusyukan dan membantu merenungi makna yang dibaca dalam solat, sama ada ayat al-Quran mahupun zikir lainnya.

Apa saja yang dapat menolong untuk melahirkan khusyuk solat ataupun ketaatan lainnya, maka ia dikira sunat. Hal ini disepakati kalangan ulama ahli penelitian (tahqiq), antaranya Imam Nawawi yang menegaskan: “Adapun memejamkan mata dalam solat...maka menurut pendapat yang terbaik adalah dibolehkan dan tidak makruh apabila tidak ada bahayanya, kerana boleh jadi perbuatan memejamkan kedua-dua mata itu mampu membantu melahirkan khusyuk dan menumpukan hati.” Ibn al-Mundzir dalam kitab al-Ausath mengatakan: “Menurut alim ulama bagi menjaga kualiti solat (khususnya menjaga mata) apabila seseorang yang menunaikan solat tidak mencapai khusyuk dalam solatnya, maka hendaklah dia memejamkan kedua-dua matanya.”

Sumber

Monday 20 January 2014

MAKSUD BACAAN DALAM SOLAT

Solat adalah tiang agama dan khusyuk adalah sangat penting dalam menunaikan solat, supaya solat yang dilakukan itu tidak sia-sia,InsyaAllah. Ketika mulut terkumat-kamit membaca bacaan-bacaan dalam solat, fahamkah kita akan maksud bacaan-bacaan tersebut? 
 
Firman Allah: "Dan dirikanlah olehmu solat, kerana sesungguhnya solat itu dapat mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar” [Al Ankabut 29:45]
 
Adalah penting untuk kita fahaminya kerana salah satu cara untuk khusyuk dalam solat adalah memahami segala perkataan yang dibaca ketika solat.
  1. Takbiratul-Ihram:  Mengucapkan Allahu-Akbar untuk memulakan solat. Perkataan Allahu-Akbar itu tidak boleh ditukar dengan lafaz lain dan diucapkan tanpa rasa was-was.”Allah Maha Besar”
  2. Doa Iftitah“Allah Maha Besar sebesar-besarnya. Dan puji-pujian bagi Allah sebanyak-banyaknya. Dan Maha Suci Allah siang dan malam. Kuhadapkan mukaku, kepada yang menjadikan langit dan bumi, aku cenderung lagi berserah kepada Allah, dan bukanlah aku dari golongan orang-orang yang menyekutukan Allah. Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku, dan matiku kuserahkan hanya kepada Allah seru sekalian alam. Sekali-kali tidaklah aku menyekutukan-Nya. Dan dengan demikian aku ditugaskan, dan aku adalah dari golongan orang-orang Islam.”
  3. Al-Fatihah“Dengan nama Allah yg Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Tuhan sekalian alam. Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Raja bagi hari pembalasan. KepadaMu kami menyembah,dan kepadaMu kami meminta pertolongan. Tunjukkan kami jalan yang lurus. Iaitu jalan org yg Engkau telah kurniakan nikmat kpd mereka,bukan (jalan) org2 yg telah Engkau murkai,dan bukan pula (jalan) org2 yg sesat”
  4. Bacaan ketika rukuk:  “Maha suci Allah yang Maha Agung dengan sifat kepujian-Nya.”
  5. I’tidal“Allah mendengar akan orang yang memuji-Nya. Ya Tuhan kami! Bagi-Mu segala puji.”
  6. Bacaan ketika sujud“Maha suci Allah yang Maha Agung dengan sifat kepujian-Nya.”
  7. Bacaan ketika duduk di antara dua sujud“Ya Allah ampunilah daku, rahmatilah daku, kayakan daku, angkatlah darjatku, rezekikanlah aku, berilah aku hidayah, sihatkanlah aku dan maafkanlah aku.”
  8. Tahiyyat Awal: “Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah.”
  9. Tahiyyat akhir/Tasyahud akhir“Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Kurniakanlah rahmat dan kesejahteraan Kepada junjungan mulia Muhammad saw dan ke atas ahli keluarga baginda yang mulia, sebagaimana rahmat dan kesejahteraan yang telah Engkau kurniakan kepada Ibrahim dan ahli keluarga Ibrahim. Dan limpahkanlah berkatMu kepada Muhammad dan ahli keluarga Muhammad seperti mana berkatMu kepada Ibrahim dan ahli keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau yang amat terpuji lagi amat mulia.”
  10. Salam:  Sekurang-kurang salam ialah “Assalamu’alaikum” bermaksud: “salam sejahtera ke atas kamu.”
  11. Doa Qunut: “Ya Allah, tunjukkanlah aku sebagaimana orang yang telah Engkau tunjukkan. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang yang telah Engkau pimpinkan. Berkatlah hendaknya untuk apa-apa yang telah Engkau berikan kepadaku. Jauhkan aku dari segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperoleh pimpinanMu. Dan tidak mulia orang yang Engkau musuhi, telah memberi berkat Engkau, oh Tuhan, dan Maha Tinggi Engkau. Maka hanya untuk Engkau tetapkan. Aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dirahmati Allah jugalah kiranya Muhammad, Nabi yang buta-huruf, dan keluarganya dan sahabat-sahabatnya, dan diberiNya kesejahteraan”.
 
InsyaAllah dengan memahami maksud bacaan-bacaan tersebut, kita dapat meningkatkan rasa khusyuk dalam setiap solat yang kita tunaikan.

Saturday 18 January 2014

ORANG YANG BERIMAN MEMULIAKAN TETAMUNYA

Setiap individu pasti pernah didatangi tetamu. Tetamu yang datang berkunjung ke rumah pastinya dengan hajat dan keperluan tertentu. Islam amat menitikberatkan hubungan antara sesama manusia. Justeru, sejak daripada awal Islam menggariskan adab bagi memuliakan tetamu ke rumah.

Tetamu yang datang adalah amanah Allah yang harus ditunaikan haknya. Tuan rumah bertanggungjawab ke atas tetamu selama berada di rumahnya serta wajib menafkahkan sebahagian rezekinya buat tetamu itu. Dengan menghormati tetamu dan menyempurnakan haknya, ia menjadikan seseorang Muslim itu memiliki iman yang sempurna apatah lagi tetamu itu saudara seagama. Namun, tetamu bukan Islam turut mendapat layanan yang sama daripada tuan rumah beragama Islam.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud; "Tidak sempurna iman seseorang itu, sehingga dia mengasihi saudaranya, sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri." (Hadis riwayat Muslim).

Menghormati dan memuliakan tetamu adalah sunnah rasul dan nabi. Malah, Nabi Ibrahim a.s adalah antara rasul yang amat memuliakan tetamunya. Baginda menerima tetamu dengan hati terbuka dan melayani mereka dengan baik.

Allah s.w.t merakamkan perihal Nabi Ibrahim a.s ini menerusi firman-Nya bermaksud: "Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Ibrahim yang dimuliakan? Tatkala mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: "Salam sejahtera kepadamu!'', Ibrahim menjawab: "Salam sejahtera kepada kamu!" (sambil berkata dalam hati): Mereka ini orang yang tidak dikenali. Kemudian ia masuk mendapatkan ahli rumahnya dan dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkan kepada mereka sambil berkata: "Silakanlah makan." (Surah adz-Dzaariyaat, ayat 24-27).

Hakikatnya, amalan menghormati tetamu bukan saja menunjukkan ciri-ciri perilaku terpuji, malah berkait rapat dengan tahap keimanan seseorang Muslim.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menghormati tetamunya. Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia menyambung silaturahim." (Hadis riwayat Bukhari).

Di antara adab memuliakan tetamu dianjurkan Islam ialah:
  • Menyambut tetamu dengan perasaan gembira dan wajah yang manis 
  • Saling bertanya khabar berita serta bertukar-tukar cerita yang baik. 
  • Sedaya-upaya menyembunyikan sebarang masalah keluarga agar tidak diketahui tetamu. 
  • Menyajikan hidangan makanan kepada tetamu. 
  • Menyediakan tempat tidur yang baik serta kemudahan yang diperlukan jika mereka bermalam di rumah. 
  • Sediakan mengikut tahap kemampuan tuan rumah. 
  • Tidak terlalu berkira, tak pula terlalu berlebihan dan bukan dengan niat untuk bermegah-megah dengan rezeki serta kemewahan yang ada.

Allah s.w.t berfirman di dalam al-Quran bermaksud: "Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu." (Surah al-Furqaan, ayat 67).

Rasulullah s.a.w bersabda: "Bertamu (menziarah) itu tiga hari dan selebihnya siang mahupun malam. Tidak halal bagi seorang Muslim menetap di rumah saudaranya sehingga saudaranya itu berdosa kerananya. Sahabat bertanya: Bagaimana caranya dia berdosa? Jawab Baginda: Orang itu menetap di rumah saudaranya, padahal saudaranya itu tidak mempunyai apa-apa lagi yang akan dihidangkan (diberikan) kepada tetamunya itu." (Hadis riwayat Bukhari).

Keadaan ini adalah bagi mengelak perasaan terbeban tuan rumah. Amalan yang pada awalnya dikira sebagai amalan yang mulia, tetapi jika ia berlarutan sehingga menyusahkan tuan rumah, ia dikhuatiri akan menimbulkan suasana tidak selesa malah boleh menimbulkan perbalahan dan persengketaan pada kemudian hari.

Dalam konteks yang lebih besar lagi, rakyat sebuah negara yang diiktiraf sebagai antara negara Islam contoh, seharusnya kita rakyat Malaysia sentiasa mempamerkan akhlak dan budaya yang terpuji kepada khalayak yang berkunjung ke negara ini.

Tanpa mengira agama dan budaya, mereka seharusnya diberi bantuan sewajarnya sepanjang di negara ini. Sifat ringan mulut memberi bantuan apabila diajukan soalan oleh tetamu negara dan disertakan dengan senyuman adalah antara cara bagi menunjukkan tatasusila dan budaya rakyat Malaysia.

Sesungguhnya tetamu mengundang rahmat daripada Allah s.w.t ,menghilangkan dosa penghuni rumah dan menjanjikan pahala sedekah buat tuan rumah yang berusaha sebaik mungkin memuliakan tetamu menurut tuntutan Islam.

Sumber

Friday 17 January 2014

MENJAGA KEBERSIHAN SEBAHAGIAN KESEMPURNAAN IMAN

Kita sudah lali membaca paparan media mengenai senario masyarakat mengabaikan kebersihan dan keindahan. Sebenarnya pihak berkuasa sentiasa melaksanakan pelbagai pendekatan ke arah mengubah sikap berkenaan. Akibat menganggap kebersihan dan keindahan alam sekitar suatu hal remeh, timbullah gejala penyakit dan musibah seperti demam denggi dan kencing tikus. Bukan sedikit yang menjadi mangsa penyakit itu, namun sejauh kita mengambil iktibar dengannya?

Jelas, masyarakat kita masih di takuk lama yang begitu liat untuk berubah. Mereka bukannya tidak jijik dengan persekitaran kotor, tetapi sikap untuk memelihara dan menjadikan amalan menjaganya secara sukarela belum berputik di dalam diri. Malah, ada menganggap urusan menjaga kebersihan dan keindahan persekitaran adalah bidang tugas pekerja yang diberikan kontrak. Tidak ramai yang mahu menjadikannya sebagai satu tanggungjawab bersama.

Lalu mungkin tercetus di kotak fikiran: "Mengapakah aku pula yang kena menjaganya, sedangkan aku bayar untuk ke tandas ini? Bukannya masuk 'free!'" Begitulah sikap kita selama ini. Malanglah seandainya sikap negatif seperti ini terus menjalar ke segenap peringkat masyarakat sehinggakan anak kita di sekolah pun menganggap aspek menjaga kebersihan suatu hal kecil yang bukan menjadi tanggungjawab mereka.

Barangkali ada yang tidak terkejut apabila media tempatan melaporkan 10,257 tandas awam di bawah selian pihak berkuasa tempatan berada di tahap kurang memuaskan. Daripada jumlah itu, hanya 350 mencapai tahap lima bintang, sebagaimana dinyatakan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan sebelum ini.

Kita sepatutnya berasa malu dengan paparan sebegini, apatah lagi sewaktu negara giat mempromosikan program mega negara Tahun Melawat Malaysia 2014. Pelancong asing selama ini menganggap negara kita adalah sebuah negara Islam contoh yang maju dengan pencapaian pesat dalam pelbagai bidang. Sekiranya aspek kebersihan pun tidak dijaga, di mana kita mahu meletakkan muka? Sebagai negara Islam contoh kita tidak seharusnya menunggu program seperti kempen menjaga kebersihan atau sewaktu Tahun Melawat Malaysia sahaja untuk kita pamerkan sikap cintai kebersihan.

Ini kerana menjaga kebersihan adalah sikap yang sudah dianjurkan oleh Islam dan menjadi salah satu tunjang kepada prinsip keimanan. Islam menganjurkan kita sebagai umatnya agar sentiasa memelihara diri, keluarga dan persekitaran kita dengan unsur yang bersih. Malah, suatu ketika dulu kita sudah dikempenkan dengan satu slogan 'Keluarga Sihat, Keluarga Sejahtera'. Kempen itu mengajak kita semua memulakan usaha menghidupkan budaya memelihara kebersihan dan mencintai keindahan dari dalam rumah sendiri.

Namun, entah di mana silapnya kita, kempen dan strategi disusun semuanya tidak meninggalkan kesan untuk tempoh lama. Ingatlah Islam menerusi Nabi Muhammad SAW mengajar kita cara terbaik untuk menjalani kehidupan yang sihat iaitu berdasarkan platform pencegahan sebelum datangnya sesuatu penyakit.

Rasulullah SAW memperkenalkan satu set gaya hidup yang sihat dan seandainya kita patuh, akur dan menuruti segala petua pernah disampaikan baginda, maka kita mampu melalui kehidupan di dunia dalam situasi sejahtera. Malah, kita dapat mengelakkan diri, keluarga dan masyarakat daripada terjebak dalam wabak penyakit yang berbahaya.

Sabda Nabi SAW: "Bersihkanlah halaman rumah kamu. Jangan samakan diri kamu dengan orang Yahudi." (Hadis riwayat Abu Daud)

Persekitaran yang kotor, memualkan dengan timbunan sampah sarap menjijikkan pastinya akan menjadi 'istana' idaman bagi nyamuk dan lalat untuk memindahkan bakteria, virus, protozoa dan segala kuman penyakit ke dalam tubuh manusia. Lalat misalnya, meskipun sejenis haiwan kecil, tetapi sangat berbahaya dan mampu mengundang penyakit kronik seperti demam malaria, demam berdarah dan pes (sejenis penyakit berjangkit). Demikianlah juga halnya dengan nyamuk yang sering membawa musibah besar seandainya kita kurang peka dan bersikap 'tak apa' dengan gejala persekitaran kotor.

Sabda Rasulullah SAW lagi, mafhumnya: "Bersihkan jasmani kamu, nescaya Allah akan menyucikan jiwa kamu." (Hadis riwayat Muslim).

Nyata baginda SAW begitu mengambil berat aspek memelihara kebersihan kerana ia ada hubung kaitnya dengan soal keimanan.

Iman dan kebersihan seolah-olah 'saudara kembar' yang tidak mungkin terpisah sama sekali. Atas sebab peri pentingnya aspek kebersihan sehingga baginda begitu aktif memberikan pelbagai pesanan buat kita semua. Cuma kitalah yang sering mengabaikan pesanan baginda selama ini dan natijahnya kita sendiri menanggung akibat buruk daripada sikap kita meremehkan ajaran sunahnya.

Justeru, marilah kita serlahkan nilai hidup Islam sebenar yang antara lain ialah mempamerkan budaya cintakan alam kehidupan bersih dan indah.

Sumber

Thursday 16 January 2014

SIFAT ORANG MUKMININ DAN MUKMINAT

Mukmin bererti orang beriman, iaitu orang yang mempercayai dengan sepenuh hati, mengikrarkan dengan lisan dan mengamalkan dasar keimanan; iman kepada Allah, malaikat, kitab-Nya, rasul-Nya, hari akhirat serta takdir baik dan buruk.

Perkataan Mukmin berasal daripada kata dasar (Arab; amana, iman) dan ianya merujuk kepada seorang lelaki beriman, manakala seorang wanita beriman disebut Mukminah. Kata jamak Mukmin ialah Mukminin, sementara jamak bagi Mukminah ialah Mukminat.

Orang Mukmin mempunyai sifat tertentu sebagaimana dijelaskan dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW, antaranya ialah: 

  1. Memelihara solat dan khusyuk ketika mengerjakannya - Firman Allah dalam surah al-Mukminun, ayat 2 bermaksud: "Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya." 
  2. Meninggalkan perkara sia-sia lagi tercela - Firman-Nya bermaksud: "Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia." (Surah al-Mukminun, ayat 3) 
  3. Menjaga kemaluan - Firman Allah bermaksud: "Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela." (Surah al-Mukminun, ayat 5 dan 6) 
  4. Mereka amanat yang dipertanggungjawabkan dan menunaikan janji - Firman Allah bermaksud: "Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya." (Surah al-Mukminun, ayat 8) 
  5. Bertaubat, beribadat kepada Allah, menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran - Firman Allah bermaksud: "(Mereka itu ialah) orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan serta menjaga batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian)." (Surah at-Taubah, ayat 112) 
  6. Tidak mementingkan diri sendiri dan tidak membenci saudara seagamanya, bahkan mengasihi saudaranya tanpa mengira darjat, keturunan, kaya atau miskin - Daripada Anas RA, daripada Nabi SAW sabdanya: "Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri." (Riwayat Muttafun Alaih) 
  7. Ganjaran bagi orang Mukmin - Dalam al-Quran Allah memberikan pelbagai janji kepada orang Mukmin. Janji Allah itu antara lain berupa pengampunan dan kenikmatan hidup di akhirat, iaitu syurga. Firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 25 bermaksud: "Dan berilah khabar gembira kepada orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai..." Allah juga menjanjikan kemuliaan kepada orang Mukmin, antaranya: 
  8. Mendapat petunjuk dan keamanan - Firman-Nya dalam surah al-An'am, ayat 82 bermaksud: "Orang yang beriman dan tidak mencampurkan iman mereka dengan kezaliman, bagi mereka itulah keamanan dan merekalah yang mendapat petunjuk." 
  9. Mendapat kejayaan dan kemenangan - Firman-Nya dalam surah al-Mukminun, ayat 1 bermaksud: "Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman." 
  10. Mendapat syafaat - Firman-Nya bermaksud: "Pada hari itu, tidak lagi berfaedah syafaat kecuali orang yang diizinkan oleh Allah dan orang yang diredai perkataannya." (Surah Thaha, ayat 109) 
  11. Keteguhan hati - Firman-Nya dalam surah Ibrahim, ayat 27 bermaksud: "Allah menetapkan pendirian orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat..." 
  12. Dapat memperbaiki amalan - Firman-Nya dalam surah al-Ahzab, ayat 70 dan 71 bermaksud: "Wahai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, supaya Dia memberi taufik dengan menjayakan amal kamu dan mengampunkan dosamu..."

Wednesday 15 January 2014

JANGAN BERPUTUS ASA MEMOHON KEAMPUNAN ALLAH SWT

Manusia tidak dapat lari daripada dosa dan pahala. Ini adalah suatu realiti yang mesti disedari oleh kita. Tindakan kita, sama ada ia sedikit saja ataupun dilakukan secara tersembunyi, semuanya tidak terlepas daripada pemerhatian Allah SWT. Firman-Nya dalam surah al-Zalzalah, ayat 7 dan 8 bermaksud: "Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!"

Ada orang pahalanya lebih banyak berbanding dosa dan begitu juga sebaliknya. Bagi kita yang banyak dosa sudah semestinya wajar segera menginsafinya dan membersihkan diri daripadanya. Kita tidak sepatutnya menangguhkan taubat dengan alasan kemungkinan masih ada banyak waktu pada kemudian hari. Alasan seperti itu tidak bersandarkan kepada kepastian yang tentunya akan berakhir dengan suatu kekecewaan.

Imam Nawawi berkata, seseorang hendaklah berwaspada terhadap bahaya menangguhkan taubat kerana Allah SWT akan mencabut nyawa seseorang hamba tanpa sebarang tanda atau amaran. Menurutnya, bahaya ditakutkan daripada tindakan suka menangguhkan taubat ialah disebabkan dosa itu sendiri yang mula menjadikan keras hati dan akhirnya menyusul dengan kebinasaan.

"Janganlah kamu melupakan kisah Iblis yang sebelumnya mempunyai kedudukan baik, ahli ilmu dan ibadat, tetapi kerana dosanya, akhirnya ia jatuh kepada keadaan sangat hina dan kufur. Demikianlah pula dialami Bal'am bin Ba'ura yang tergoda oleh harta benda kerana disuruh mendoakan kecelakaan terhadap Nabi Musa AS sehingga nasibnya rugi dan binasa selama-selamanya."

Sesetengah orang soleh berkata, hitamnya hati disebabkan melakukan maksiat. Tandanya ialah seseorang itu tidak gementar melakukan maksiat dan tidak berasa kemanisan melakukan ketaatan, bahkan tidak mahu menerima sesuatu nasihat.

Kita minta berlindung daripada hal serupa itu. Janganlah hendaknya kita menjadi riyak dengan maksiat, sampai ke tahap mentertawakan hukum-hakam. Ingatlah firman-Nya dalam surah al-Ankabut, ayat 40 yang bermaksud: "Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggemparkan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri."

Cuma umat Nabi Muhammad SAW tidak disegerakan balasan terhadap maksiat dilakukan mereka, sebagaimana dialami oleh umat nabi terdahulu.

Diriwayatkan bahawa Nabi Adam AS berkata, Allah SWT memberikan kepada umat Nabi Muhammad empat kehormatan yang tidak diberikan kepadanya.

"Taubatku hanya diterima di Makkah sedangkan umat Muhammad bertaubat di mana saja dia berada, nescaya taubat mereka diterima. Sesungguhnya aku berpakaian. Namun, ketika aku berbuat maksiat, Dia menjadikan aku telanjang dengan serta-merta sedangkan ketika umat Muhammad berbuat maksiat dalam keadaan telanjang, Dia memberikan pakaian kepada mereka.Ketika aku berbuat maksiat, Dia memisahkan aku dengan isteriku sedang umat Muhammad juga berbuat dosa, namun Allah tidak memisahkan mereka dengan isteri-isterinya. Dia masukkan mereka ke syurga jika bertaubat."

Nabi Adam diciptakan Allah SWT dan diberikannya roh, kemudian dibawa malaikat ke syurga. Namun, sekali sahaja bersalah dengan tidak sengaja, baginda diturunkan ke dunia. Kisah baginda dirakamkan dalam surah Thaha, ayat 117 hingga 123.

Itu cerita Nabi Adam iaitu rasul pilihan Allah. Bagaimana keadaannya dengan kita yang mempunyai banyak dosa dan terus melakukan dosa tanpa ada rasa bersalah, malah enggan bertaubat?

Bagaimana pula jika sudah bertaubat, tetapi masih mengulangi maksiat? Kata ulama, jika kita sudah bertaubat, kemudian kembali mengerjakan dosa, hendaklah bertaubat lagi dan begitulah seterusnya.

Kita sebagai Muslim ataupun Muslimah tidak harus berputus asa daripada keampunan Tuhan dan rahmat-Nya yang luas. Firman-Nya dalam surah an-Nisa, ayat 110 bermaksud: "Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri, kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." 

Ayuh kita berusaha mengikis noktah hitam dari dalam hati dan kita perkuatkan azam untuk menjaga diri agar tidak kembali melakukan dosa. Tiada daya daripada kita, melainkan kekuatan datang daripada-Nya.

Marilah kita menghayati dan mengamalkan doa disampaikan Imam Nawawi ini: "Ya Tuhanku! Hamba-Mu yang melarikan diri sudah kembali kepada pintu rahmat-Mu, hamba-Mu yang berdosa kembali kepada kebenaran dan hamba-Mu yang berdosa datang dengan memohon keampunan. Ampunilah aku dengan kemurahan-Mu dan terimalah aku dengan kurnia-Mu dan pandanglah aku dengan pandangan rahmat-Mu. Ya Allah! Ampunilah dosaku yang lalu dan peliharalah sisa umur hayatku. Sesungguhnya kebaikan itu semua ada pada-Mu dan Engkaulah yang paling menyayangi dan mengasihi."

Sumber

Tuesday 14 January 2014

TUNAIKANLAH SOLAT DENGAN PENUH RASA KEHAMBAAN

Bagi anda yang ingin mengerjakan solat, terlebih dahulu perlu bersuci. Apabila anda sudah memastikan semuanya suci termasuk tempat dan pakaian, bahkan anggota badan anda melalui wuduk, janganlah lupa isi badan anda yang menjadi diri anda sendiri iaitu hati. Bersungguh-sungguhlah menyucikan hati dengan bertaubat dan menyesal atas perbuatan terlanjur serta memusatkan keazaman untuk meninggalkannya pada masa akan datang. Jadi, sucikanlah batin anda itu kerana batiniah (hati) adalah tempat yang dilihat oleh Tuhan.

Adapun menutup aurat, ketahuilah ia membawa maksud menutup tempat yang jelek pada badan anda daripada mata manusia. Sesungguhnya yang zahir daripada badan anda adalah tempat pandangan manusia. Namun, bagaimanakah fikiran anda mengenai aurat batin anda dan rahsia anda yang cela, sedangkan ia tidak dilihat selain oleh Tuhan anda Azza wa Jalla? 

Oleh itu, bentangkanlah segala kekejian itu pada hati anda dan mintalah diri anda menutupkannya. Yakinlah bahawa tiada suatu pun yang dapat menutupkannya pada penglihatan Allah Taala. Hanya segala kekejian itu dapat ditutup oleh penyesalan, malu dan takut. Dengan menghadirkan segala kekejian itu ke dalam hati, dapatlah anda memperoleh faedah, menggerakkan ‘tentera’ takut dan malu dari tempat persembunyiannya. Lalu dengan yang demikian, anda hinakan diri anda dan hati anda akan menjadi tenteram di bawah perasaan malu itu. Tegak berdirilah anda di hadapan Allah Azza wa Jalla, sebagaimana berdirinya hamba yang berdosa, berbuat jahat dan melarikan diri selama ini sudah menyesal. Ia kembali kepada tuannya dengan kepala menekur kerana malu dan takut.

Adapun menghadap kiblat, yakni memalingkan wajah zahir anda dari pihak lain kepada pihak Baitullah. Adakah anda berpendapat, bahawa memalingkan hati dari segala hal yang lain kepada perintah Allah Azza wa Jalla, tidak diminta daripada anda? Sebenarnya, amat jauh daripada yang demikian! Sesungguhnya segala yang zahir ini adalah penggerak bagi batin, pengendalian dan penenangan bagi segala anggota badan dengan penetapan arah yang satu itu. Justeru, segala yang zahir itu (gerak fizikal) tidaklah menderhakai hati. Ini kerana apabila ia menderhakai dan menganiayai di dalam segala geraknya dan berpalingnya kepada semua pihak itu, nescaya dia menarik hati daripada wajah Allah Azza wa Jalla.

Dari itu, hendaklah wajah hati anda bersama dengan wajah tubuh anda! Ketahuilah, sekiranya muka tidak menghadap ke arah Baitullah, kecuali dengan berpaling kepada selainnya, maka begitu juga hati tidak akan berpaling kepada Allah Azza wa Jalla kecuali dengan mengosongkan hati itu daripada selain-Nya. Sabda Nabi SAW, mafhumnya: “Apabila berdirilah hamba kepada solatnya, maka hawa nafsunya, wajahnya dan hatinya berpaling kepada Allah Azza wa Jalla adalah seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya.” Adapun iktidal dengan berdiri betul adalah berdiri lurus dengan diri zahir dan hatinya di hadapan Allah Azza wa Jalla. Hendaklah kepala anda iaitu anggota tubuh anda yang tertinggi menekur, menunduk dan melihat ke bawah. Malah, hendaklah merendahkan kepala dari ketinggiannya memberi pengertian kepada keharusan bagi hati untuk merendahkan, menghinakan dan melepaskan daripada sifat keangkuhan dan kesombongan.

Selain itu, hendaklah ada pada ingatan anda di sini yakni tergurisnya di hati berdiri di hadapan Allah Azza wa Jalla pada huru-hara pandangan ketika datang untuk pertanyaan amal.

Ketahuilah, dalam keadaan ini sesungguhnya anda adalah berdiri di hadapan Allah Azza wa Jalla. Dia melihat kepada anda. Dari itu berdirilah di hadapan-Nya sebaik mungkin. Sekiranya anda boleh berdiri di hadapan penguasa atau raja dengan baik dan penuh perhatian, mengapa tidak apabila anda berdiri di depan Tuhan? - Disusun berdasarkan kitab Ihya Ulumuddin)

Sumber

MENJADI UMAT ISLAM YANG TERBAIK

Hari ini sebahagian besar daripada umat Islam menyambut kelahiran Nabi Muhammad SAW. Namun, sejauh mana kita mengikuti tunjuk ajar baginda SAW dalam memacu diri dan bangsa menuju kemajuan dan ketamadunan?

Ketahuilah, satu perkara yang ditekankan nabi kita ialah kebaikan budi pekerti, sebagaimana sabdanya bermaksud: “Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Hadis riwayat al-Baihaqi) Membina ummah berpekerti mulia adalah wawasan utama Nabi SAW. Baginda bukan setakat menganjurkan umatnya berakhlak baik, tetapi baginda sendiri mempamerkan perwatakan dan sahsiah terpuji. 

Kita sedia maklum keruntuhan dan kehancuran sesuatu tamadun silam yang sesetengahnya ada dirakamkan Allah dalam al-Quran. Umatnya bukan calang-calang tahap ilmu pengetahuannya. Malah, sesetengahnya berkemahiran tinggi dalam sains dan teknologi sehingga binaan hebat dan kemajuan berinovasi berjaya dihasilkan. Namun, akhirnya keutuhan tamadun fizikal mereka berkecai akibat penderhakaan dan tatacara kehidupan menjijikkan.

Sebab itulah kita sebagai umat Islam yang cintakan Allah dan Rasulullah SAW sewajibnya memperagakan akhlak peribadi luhur. Pernahkah kita membaca kata-kata ini: “Budi pekerti yang baik adalah setengah daripada agama. Ia terhasil melalui mujahadah oleh orang bertakwa dan latihan oleh orang yang kuat beribadah”. “ Akhlak elok adalah pintu yang terbuka daripada hati yang akan menghasilkan nikmat syurga di sisi Tuhan. Budi pekerti keji adalah hasil daripada hati dan jiwa, malah ia adalah penyakit yang menghilangkan kebahagiaan hidup abadi.” Ungkapan penuh hikmah ini sebenarnya datang daripada Imam al-Ghazali dan anda dapat mencarinya menerusi kitab agungnya, Ihya Ulumuddin dalam bab latihan jiwa - pemurnian akhlak dan pengubatan. 

Di sini jelas menunjukkan Imam al-Ghazali pemimpin ulama tersohor meletakkan satu bab khusus mengenai pembinaan akhlak. Sesungguhnya wacana berkaitan akhlak tidak pernah dikesampingkan oleh mana-mana ulama sekalipun. Hakikat ini menggambarkan kepada kita unsur kemajuan dan pembinaan umat sebagai ‘rahmatan lil alamin’ perlu direalisasikan kepada kehidupan yang berpaksikan akhlak dan sahsiah munri.

Jalan menuju kebahagiaan hidup di dunia bukan hanya terletak kepada kemewahan rezeki yang berupa harta benda dan kedudukan pangkat serta darjat keturunan. Baginda SAW pernah mengingatkan kita jalan untuk menggapai kebahagiaan hidup di dunia dan insya-Allah akan memperoleh nikmat berkekalan di akhirat kelak adalah kehidupan yang berteraskan akhlak baik. Sabda baginda: “Antara jalan kebahagiaan bagi manusia adalah mempunyai akhlak yang mulia.” (Hadis riwayat al-Baihaqi) Demikian seorang sahabat baginda, Saidina Anas bin Malik turut meninggalkan pesanannya supaya sentiasa menjadikan akhlak mulia sebagai hidup peribadi. 

Sayang sekali, segala khazanah mutiara hikmah pesanan bestari Rasulullah SAW dan sahabatnya sudah kita abaikan serta jarang sekali untuk kita renungkan! Anas berkata: “Seseorang akan sampai ke makam yang tinggi di dalam syurga kerana akhlaknya walaupun ibadahnya tidak banyak. Ada orang yang akan berada di dalam neraka paling bawah disebabkan keburukan akhlaknya walaupun ibadahnya banyak.” 

Kita seharusnya banyak kali membaca pesanan Anas itu kerana ia mengandungi peringatan yang akan memandu jiwa dan hati kita agar tidak memilih gaya hidup bersulamkan perbuatan keji. Pesanan itu tidak tersasar dengan satu lagi kisah berikutnya iaitu dikatakan bahawa baginda SAW pernah ditanyakan mengenai seorang wanita yang begitu aktif mengerjakan ibadah berpuasa pada siang hari, manakala pada sebelah malamnya khusyuk solat. Sayangnya, wanita itu dia suka menyakiti jiran tetangga dengan lidahnya. Apabila baginda mendengar soalan daripada sahabatnya, baginda mengatakan: “Tidak ada kebaikan bagi wanita itu. Dia adalah penghuni neraka.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Hakim) 

Oleh itu, janganlah dek hebatnya kita mengerjakan amal ibadah, maka hati kita berasa akan selamat daripada seksaan Allah di akhirat, sedang peribadi kita begitu teruk, sehingga suka berburuk sangka, khianat, mengumpat, bercakap bohong dan menabur fitnah. Kita yang hidup pada zaman mutakhir ini wajar menghidupkan kembali zaman kegemilangan tamadun ummah dalam semua lapangan hidup. Kita dianjurkan cemerlang dengan menjadi peneraju kemajuan dunia sebagaimana umat Islam terdahulu pernah kecapi.

Namun, sebelum itu kita gilapkan dahulu peribadi kita dengan nilai murni. Jangan hanya memandang kepada sudut fizikal semata-mata, sedang aspek kemanusiaan dan kerohanian dibiarkan kerana jika demikian ketamadunan didambakan tidaklah menjadi sempurna.
Kita seharusnya memacu diri dengan kekuatan iman yang tinggi, memantapkan keutuhan ilmu dan memperkasakan sahsiah personaliti terpuji. Kombinasi tiga elemen ini akan memahkota reputasi ummah sebagai umat terbaik yang mengagumkan dunia. Percayalah! 

Sumber

MENCONTOHI AKHLAK BAGINDA RASULULLAH SAW

Hari ini adalah hari keputeraan Junjungan Besar Nab Muhammad SAW. Semoga sambutan memperingati peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW ini dapat menjadi pemangkin kepada penyatuan ummah dalam membangunkan negara yang tercinta ini.

Sewajarnya kita mencontohi keperibadian Nabi Muhammad SAW. Allah SWT berfirman yang maksudnya, "Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah adalah contoh ikutan yang terbaik". (surah al-Ahzab, ayat 21).

Peribadi Rasulullah SAW adalah model yang sangat agung untuk kita contohi. Di antara keperibadian dan akhlak mulia Nabi Muhammad ialah:
  • Baginda berdoa dengan penuh khusuk sambil air matanya sentiasa berlinangan.
  • Wajah baginda sentiasa ceria, elok dan sempurna sehingga sejuk mata yang memandang baginda.
  •  Baginda memiliki perasaan halus (mudah menangis).
  • Baginda mengambil wuduk sebelum tidur dan berzikir hingga lena.
  • Baginda gemar makan beramai-ramai daripada berseorangan.
  • Baginda benci kemegahan dan perhiasan yang cantik kerana ia melambangkan kesombongan dan keangkuhan.
  • Baginda makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang.
  • Baginda tidak pernah mengumpat atau mencerca apa lagi menghina orang lain.
  • Baginda memelihara rambutnya dengan kemas.
  • Baginda suka membalas hadiah.
  • Baginda mengucap salam kepada ahli rumah ketika hendak keluar daripada rumah atau semasa masuk ke rumah.
  • Baginda sangat berlemah-lembut dengan isteri-isterinya dan ahli keluarganya.
  • Baginda sentiasa memulakan salam kepada sesiapa yang ditemui.
  • Baginda bersalaman dengan sahabatnya dan memeluk mereka ketika berjumpa.
  • Baginda tidak melepaskan tangannya sehingga orang yang dijabatnya itu melepaskan tangannya.
  • Baginda tidak menatap atau merenung wajah orang lain lama-lama.
  • Baginda sangat menghormati orang tua dan mengasihani orang muda dan kanak-kanak.
  • Baginda tidak pernah bangun dari sesuatu majlis makan sehingga tetamu lain bangun.
  • Baginda tidak pernah menjulurkan kakinya di hadapan sahabat.
  • Baginda suka bercakap lambat-lambat dan menyebut perkataan dengan jelas.
  • Baginda sentiasa menumpukan perhatian kepada orang yang bercakap dengannya.
  • Baginda tidak pernah ketawa terbahak-bahak, cuma tersenyum sedikit.
  • Baginda sangat fasih dan manis dalam tutur bicara.
  • Baginda sangat sabar dan tabah apabila menghadapi setiap cabaran dan kesusahan.
  • Baginda sangat kasih terhadap umatnya.
  • Baginda tidak pernah mengambil rezeki Allah melebihi keperluan asas makan minum baginda. Rezeki yang melebihi keperluan akan ditabur untuk tujuan fisabilillah.
  • Baginda sentiasa membantu orang lain walaupun baginda sendiri dalam kesusahan.
  • Baginda tidak menghina orang miskin dan tidak rasa terhina bergaul dengan mereka.