ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Monday 22 June 2015

RAMADHAN BULAN TRANSFORMASI DIRI

Setiap orang dalam dunia ini mahu mencipta kejayaan dalam kehidupan mereka. Mahu menjadi orang yang disayangi, dihormati dan mahukan kebaikan dalam seluruh tempoh kehidupannya. Bagaimanapun, semua itu tidak akan berhasil sekiranya mereka tidak tahu bagaimana untuk memulakannya.

Melalui program Tarbiah yang disiarkan secara langsung di stesen radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) setiap hari Jumaat jam 10.15 pagi bersama penceramah terkenal dan pakar transformasi diri  tanah air Prof. Dr. Muhaya Mohamad, kesempatan ini saya akan berkongsi beberapa tonggak utama perbincangan beliau sebagai asas penting untuk memulakan langkah bagi melakukan transformasi diri.

Sebagai seorang Islam kita mempunyai kekuatan yang amat hebat, apakah kekuatan itu? Jawapannya adalah doa. Dalam seluruh setiap detik kita menjalani hidup, perkara utama selain niat, adalah sentiasa memanjatkan doa kepada tuan empunya dunia ini iaitu Allah SWT. Antara doa yang barangkali boleh memandu hidup adalah “Ya Allah ya Tuhanku, Jadikanlah setiap hariku ini penambahan kepada agamaku, dan pada hari matiku adalah hari matinya segala dosa-dosaku”.

Doa mempunyai makna yang besar kepada setiap orang Islam yang hanya mengharap dan bergantung kepada kasih sayang Allah SWT dalam hidup. Setiap hari Allah SWT memberi peluang kepada kita untuk melakukan kebaikan. Dengan itu  kita wajar mengambil kesempatan yang ada untuk selalu memperbaiki diri dengan melengkapkan diri dengan ilmu agama sebagaimana yang diajar oleh ajaran Islam bagi mendapat keredhaan Allah di dunia dan akhirat.

Dalam hidup ini, sebenarnya setiap hari kita boleh menjadi orang baharu dengan menjadikan persekitaran sebagai guru kehidupan.  Selain itu juga perlu memastikan kita menambah diri kita dengan pengetahuan ilmu agama. Kesempatan yang kita miliki ini hendaklah digunakan dengan melihat setiap ciptaan Allah sebagai ruang untuk kita bermuhasabah diri dan membina minda positif untuk menjadi insan yang baik.

Dalam pada kita mahu menjadi insan yang sentiasa memperbaiki diri, kita juga disaran untuk memberi keutamaan dalam menjaga ibadah seperti sentiasa memeriksa kualiti solat, memperbaiki akhlak seperti akhlak Baginda Rasulullah SAW dan menjaga aurat. Perkara ini adalah asas bagi seorang mukmin yang mahu mengubah kehidupan ke arah hidup yang lebih bermatlamat. 

Tingkatkan Kualiti Diri 

Setiap kali kita ingin melakukan transformasi, perkara paling penting adalah meningkatkan standard pemikiran kita. Transformasi ialah meningkatkan diri kita ke satu tahap yang baru yang lebih baik. Bila menyebut tentang melakukan perubahan ianya bukan hanya melibatkan perubahan luaran, sebaliknya membina fokus kita daripada perkara-perkara fizikal kepada perkara yang bersifat spiritual iaitu kerohanian dan jiwa. Jika kita hanya menitikberatkan perkara luaran sahaja seperti menghias diri dengan pakaian yang indah tetapi tidak memelihara solat, tidak berlembut dalam akhlak, selalu berburuk sangka, dan hasad dengki, pasti ianya tidak akan membawa kita kemana-mana kerana transformasi yang bersifat luaran tidak akan kekal lama, malah ianya tidak membina kualiti pemikiran yang tinggi.

Orang yang mempunyai standard pemikiran yang tinggi memiliki personaliti yang tinggi. Mereka akan sentiasa memelihara perhubungan dengan Allah SWT dan dengan manusia. Berbuat baik dengan orang sekeliling dan menghormati sesiapa sahaja. Berfikiran positif atau selalu melihat orang lain adalah lebih baik dari diri sendiri merupakan kunci untuk membina keperibadian yang terpuji. Orang yang sentiasa bersangka baik tidak akan ada masa untuk mencela orang lain. Malah sekiranya berlaku perselisihan faham, diuji dengan kesakitan atau apa sahaja dugaan dalam hidup, ia merupakan peluang yang digunakan untuk bermuhasabah diri sendiri. 

Hamba Allah Bukan Hamba Ramadan 

Dalam kesempatan kita berada di bulan Ramadan ini, kita boleh menjadikan bulan yang penuh kemuliaan ini sebagai titik tolak untuk transformasi diri dengan meletakkan kekuatan akidah iaitu memperakui keEsaan Allah SWT sebagai matlamat utama. Dengan kekuatan kepercayaan terhadap kekuasaan Allah swt pastinya menjadi pencetus semangat untuk kita melakukan amal ibadah hanya kerana Allah swt.

Namun setiap amalan yang dilakukan bukan hanya mahu mendapat tawaran ganjaran di bulan ramadan sahaja sebaliknya ketaatan kepada Allah seharusnya pada setiap masa. Sebagaimana yang sering diunagkapkan oleh para ulama ‘sekiranya kamu “menyembah” Ramadan, Ramadan akan berlalu pergi, tetapi jika kamu menyembah Allah, Allah  akan kekal abadi dan tetap hidup”.

Justeru itu, biarlah perubahan yang kita lakukan dengan niat untuk istiqamah sehingga kita meninggalkan dunia ini dan menemui Allah SWT bila tiba saatnya.

Ramadan ini kita jadikan sebagai langkah awal untuk membuat perubahan diri sama ada dari segi amal ibadah kepada Allah, hubungan sesama kita atau urusan pekerjaan mencari rezeki yang halal. Dengan ini sudah pasti kita akan dapat menjadi insan yang bukan hanya bermanfaat untuk diri sendiri tetapi memberi kebaikan kepada orang lain.

Apa yang pasti, setiap sesuatu yang kita lakukan walau sebesar zarah sekalipun akan dinilai Allah dan dipertanggungjawabkan. Jadi, mulailah dengan kejernihan hati, jiwa yang kental dan kekuatan roh bahawa hidup ini hanya milik dan untuk Allah. Nescaya kita akan dapat memandu hidup ini pada landasan yang diredahai Allah.

Bagaimanapun, setiap dugaan kehidupan seperti diuji dengan masalah kesihatan dan sebagaimanya harus diterima dengan hati yang terbuka, malah jika kita bersyukur dengan ujian Allah ia akan menambahkan lagi ganjaran pahala kepada kita. Selalu meletakkan fikiran pada keadaan yang sentiasa positif akan melatih kita tenang berhadapan cabaran hidup pada hari ini dan mendatang. 

Prof. Dr. Muhaya juga turut mengajak setiap pembaca memiliki Jurnal Kehidupan masing-masing. Tujuan Jurnal Kehidupan ini ialah untuk kita mencatat apa sahaja perkara baik yang kita mahu dan akan lakukan. Dengan ini, secara tidak langsung akan menentukan halatuju kehidupan dan akan merangsang kita untuk melakukan perkara yang baik setiap hari.

Kehadiran Ramadhan yang sudah sampai ke pertengahan ini mudah-mudahan menjadi asbab kepada kita untuk mentransformasikan diri menjadi insan yang bertaqwa kepada Allah. Dengan jiwa yang fokus kepada Allah, beriman kepada malaikat dan hari kiamat kita tidak akan menjadi manusia yang degil kepada setiap suruhanNya. Malahan setiap hari kita terus menanam azam untuk menjadi manusia yang lebih baik dan bermanfaat.

Sumber

Saturday 20 June 2015

PUASA DAN TAKWA

SESUNGGUHNYA hubungan antara puasa dan taqwa amatlah erat. Ini kerana seseorang yang berpuasa dengan menjaga segala adabnya di samping melaksanakan segala ketaatan sama ada yang fardu atau yang sunat sudah pasti menatijahkan takwa. Hal ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t, Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu dari kamu supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183) 
 
Sayid Qutub berkata: Demikianlah ayat ini menonjolkan matlamat agung dari ibadat puasa itu iaitu untuk mencapai takwa. Takwa itulah yang bersemarak dalam hati ketika mengerjakan fardu puasa kerana menjunjung perintah Allah dan mengutamakan keredaan-Nya. 
 
Takwa itulah yang mengawal hati dari merosakkan ibadat puasa dengan maksiat walaupun maksiat yang berbisik dalam hati. Orang-orang yang dihadapkan ayat-ayat al-Quran ini kepada mereka memang sedar betapa tingginya makam takwa di sisi Allah dan betapa beratnya timbangannya dalam neraca Allah. Takwa itulah matlamat yang ditujukan oleh jiwa mereka dan ibadat puasa hanya merupakan salah satu alat untuk mencapai takwa serta salah satu jalan yang menyampaikan kepada takwa. Oleh sebab itulah ayat ini mengangkat takwa di hadapan mata mereka selaku matlamat yang gemilang yang dituju oleh mereka menerusi ibadat puasa. 
 
Berdasarkan ayat di atas dapatlah disimpulkan bahawa natijah puasa itu ialah untuk mencapai ketakwaan. Inilah hikmah yang terbesar dari perlaksanaan ibadat puasa yang penuh dengan adab dan etikanya. Di sini diterangkan maksud takwa. 
 
Takwa pada bahasa diertikan dengan takut kepada Allah ada juga dengan maksud melaksanakan sesuatu yang diperintahkan dan meninggalkan sesuatu yang dilarang oleh Allah dan Rasulnya. Begitu juga diertikan dengan pemuliharaan dari terjatuh ke lembah maksiat. 
 
Seterusnya dinyatakan pandangan ulama berkenaan dengan takwa antaranya:
  • Saidina Ali berkata: Takwa ialah takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan. Reda dengan sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesudahan.
  • An-Nasr Abazi berkata: Takwa ialah seorang hamba bertakwa atau memelihara selain daripada Allah.
  • Abu Bakar Muhammad ar-Rauzabari berkata: Takwa ialah menjauhi apa yang menjauhimu daripada Tuhan.
  • Talq bin Habib berkata: Takwa ialah amalan dengan ketaatan Allah atas cahaya Allah.
  • Abu Hafs berkata: Takwa hanya pada halal semata-mata dan bukan yang lain.
  • Dikatakan juga takwa mempunyai peringkat: Bagi orang awam dengan selamat daripada syirik. Bagi orang khusus dengan selamat daripada maksiat. 

Bagi wali-wali dengan selamat bertawassul dengan perbuatan dan bagi Nabi takwa dengan selamat nisbah perbuatan apabila takwa mereka daripada-Nya kepada-Nya.
lIbn Ataillah Rahimahullah berkata: Bagi takwa zahir dan batin. Zahirnya dengan menjaga had dan batasan serta batinnya dengan niat dan ikhlas.
  • Abu al-Husein al-Zanjani Rahimahullah berkata: Siapa yang modalkan hartanya takwa, nescaya beratlah segala lidah daripada mensifatkan baunya.
  • Al-Wasiti Rahimahullah berkata: Takwa ialah seseorang memelihara dari takwanya yakni dari melihat ketakwaannya.
  • Abdullah bin Mas’ud r.a. mengatakan: Takwa adalah kamu sentiasa mengingati Allah dan tidak melupakannya, dipatuhi dan tidak diderhakai, disyukuri dan tidak diingkari.
  • Umar Ibn al-Khatab bertanya kepada Ubai bin Ka’ab sebutkan ciri-ciri takwa kepadaku? Jawab Ubai: Apakah tuan pernah melintasi kawasan dengan penuh duri? Umar menjawab: Ya. Katanya bagaimana tuan lakukan? Umar menjawab: Saya amat berhati-hari bagi menghindarinya daripada terkena duri. Kata Ka’ab: begitulah ketakwaan.

Allah juga menyebut bahawa hanya orang yang bertakwa mendapat hidayah. Ini kerana orang-orang yang bertakwa adalah orang yang paling agung dalam mengambil dari petunjuk al-Quran mereka juga membandingkan dan mengukur kelayakan al-Quran itu pada diri mereka.
Disini dinyatakan beberapa faktor bagi mendapat ketakwaan:
  • Merasakan pengawasan daripada Allah s.w.t Yang Maha Esa Lagi Maha Tinggi
  • Melaksanakan ibadat yang wajib dan juga yang sunat dengan penuh keikhlasan.
  • Menjauhi segala maksiat sama ada yang zahir mahupun yang batin seperti riak, ujub, takbur dan lain-lain.
  • Sentiasa mengkaji sifat orang yang bertakwa dan sejarah mereka seperti sejarah para anbiya terutamanya sirah Nabi Muhammad s.a.w dan para salafus salih terutamanya para sahabat.
  • Sentiasa berdampingan dengan orang-orang yang soleh. Pada saat yang sama menjauhi daripada golongan yang fasik dan yang derhaka kepada Allah.
  • Banyak tadabbur dan mengkaji ayat-ayat Allah sama ada ayat-ayat kaumiyah (alam) atau pun ayat-ayat maqru’ah (ayat-ayat al-Quran) kerana ia boleh mendatangkan keinsafan dan yang lebih utama membawa kepada makrifatullah. Dengan makrifah seseorang sudah pasti berjalan atas keredaan Allah tanpa merasa goyah dan boleh terpedaya oleh musuh yang nyata yakni syaitan.

Seterusnya kaitan puasa dengan takwa amatlah sinonim ini kerana orang yang berpuasa bersungguh-sungguh menjaga pantang larang dan melaksanakan adab-adab puasa sama ada yang zahir atau batin selaras dengan saranan Rasulullah. Justeru puasa amat mudah untuk menatijahkan takwa yang akan menjadi kemuncak perhambaan manusia kepada Tuhannya. 

Dengan takwa seolah-olah manusia mendapat pelbagai jenis keistimewaan sehingga Imam al-Ghazali menyebut didalam kitabnya Minhaj al-Abidin antaranya:
  • Mendapat sokongan dan dokongan daripada Allah.
  • Dikurniakan kemudahan dalam kehidupan.
  • Dimurahkan rezeki.
  • Dimenangkan ke atas musuh.
  • Diberi hidayah dan taufik.
  • Dikurniakan syurga pada hari akhirat.
  • Diselamatkan daripada neraka.

Oleh itu, marilah sama-sama meningkatkan prestasi ibadat puasa kita untuk mencapai ketakwaan dan dengannya kita menjadi golongan yang meraih kebahagiaan dunia seterusnya merentasi akhirat.

Sumber

Thursday 18 June 2015

SELAMAT BERPUASA DI BULAN RAMADHAN

Hari ini Khamis 18 Jun 2015 atau 1 Ramadhan adalah hari pertama umat Islam di Malaysia mula berpuasa. Selamat mengerjakan ibadah berpuasa di bulan Ramadhan. Kepada putera dan puteri kami, beribadahlah di bulan Ramadhan ini walau berada di perantauan. 

1. "Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu sekalian puasa, sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu sekalian bertaqwa." (QS Al-Baqarah:183 ).

2. "Bulan Ramadhan, bulan yang didalamnya diturunkan Al-Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang haq dengan yang bathil ), karena itu barangsiapa diantara kamu menyaksikan (masuknya bulan ini ), maka hendaklah ia puasa... " (Al-Baqarah:185).

3. "Telah bersabda Rasulullah saw.: Islam didirikan di atas lima perkara: Bersaksi bahwa tidak ada Ilah selain Allah, dan sesungguhnya Muhammad ituadalah utusan Allah. Mendirikan shalat mengeluarkan zakat puasa di bulan Ramadhan menunaikan haji ke Ka'bah. (HR.Bukhari Muslim).

4. "Diriwayatkan dari Thalhah bin 'Ubaidillah ra.: bahwa sesungguhnya ada seorang bertanya kepada Nabi saw.: ia berkata: Wahai Rasulullah beritakan kepadaku puasa yang diwajibkan oleh Allah atas diriku. Beliau bersabda: puasa Ramadhan. Lalu orang itu bertanya lagi: Adakah puasa lain yang diwajibkan atas diriku?. Beliau bersabda: tidak ada, kecuali bila engkau puasa Sunnah."

Dari ayat-ayat dan hadits-hadits di atas, kita dapat mengambil pelajaran:
1. Puasa Ramadhan hukumnya Fardu ‘Ain (dalil 1, 2, 3 dan 4).
2. Puasa Ramadhan disyari'atkan bertujuan untuk menyempurnakan ketaqwaan (dalil 1).