Berikut adalah tanggungjawab noja terhadap tugasnya untuk bersama-sama memakmurkan masjid:
- Noja merupakan kelompok petugas masjid yang kita tidak boleh lupakan. Mereka memainkan peranan penting untuk memastikan keselesaan jemaah dan menentukan bahawa kemudahan-kemudahan disediakan untuk pelaksanaan kegiatan-kegiatan masjid.
- Noja seharusnya berkhidmat secara cekap, cepat dan ceria.
- Noja seharusnya bekerjasama dengan Jawatankuasa Masjid untuk memberi layanan istimewa kepada jemaah dan pengunjung masjid, terutama sekali anak-anak kecil, para remaja dan golongan bukan Muslim.
- Untuk anak-anak kecil, para noja kita supaya melayani mereka dengan penuh kasih sayang – walaupun mereka nakal atau menangis di masjid.
- Untuk remaja, marilah kita melayani mereka dengan penuh ihsan – janganlah kita marahi atau mengherdek mereka walaupun mereka tidak berlaku atau berpakaian sopan di masjid. Nasihatilah mereka dengan penuh hikmah supaya mereka tidak “lari” dari masjid kita.
- Untuk pengunjung yang bukan Islam, terimalah mereka dengan hati dan tangan terbuka. Lihatlah kunjungan mereka sebagai peluang keemasan untuk memahamkan mereka tentang masjid, agama Islam dan umat Islam.
- Jikalau para noja dapat melakukan apa yang telah di syorkan, maka, insyaAllah, masjid-masjid kita akan menjadi “besi berani” untuk semua lapisan masyarakat tidak kira usia dan latar belakang.
- Setiap noja seharusnya mempunyai mentaliti atau minda penyelenggaraan (“maintenance mentality”). Mentaliti penyelenggaraan ini telah dikupas oleh Almarhum Prof Syed Hussin AlAttas dalam bukunya berjudul “Intellectuals in Developing Societies”. Beliau telah menyifatkan sesebuah masyarakat atau negara sebagai maju dan kehadapan jikalau pemimpin dan rakyat mempunyai sikap dan disiplin untuk menyelenggarakan keadaan sekeliling termasuk kebersihan, kekemasan dan keberkesanan kemudahan-kemudahan awam.
- Ini bererti bahawa para noja yang bermentaliti penyelenggaraan adalah noja yang maju, berjaya dan berkesan.
- Noja mengambil endah semua aspek – aspek penyelenggaraan. Masjid akan sentiasa bersih, kemas, selamat dan semua kemudahan berfungsi dengan baik.
- Ini adalah harapan kita bersama untuk menjadikan masjid kita, masjid kelas pertama.
- Noja seharusnya mempunyai visi untuk membangunkan masjid kita sebagia infra-struktur agama yang terbaik sekali. InsyaAllah, kita boleh mencapai visi ini jikalau setiap noja menguatkan minda penyelenggaraannya sepertimana yang telah saya jelaskan.
- Noja seharusnya diberi kursus-kursus peningkatan agar sama-sama dapat membangunkan satu angkatan noja yang berkemahiran dan berkesan. Ini adalah permulaan perjalanan kita ke tahap kecemerlangan.
- Di mana ada kelemahan atau kekurangan, marilah kita memperbaiki keadaan. InsyaAllah, kita dapat membangun masjid kita sebagai Rumah Allah.