Redha
Allah S.W.T. adalah terletak pada redha ibu bapa kita. Kalau ibu bapa kita
marah atau kecil hati dengan kita, maka jawabnya susah lah hidup kita. Bukan
hanya di dunia kita tak selamat (tiada keberkatan), malah lebih teruk nasib kita
di akhirat nanti.
Jadi, kita sama-sama menyeru kepada diri kita semua agar mentaati dan jagalah kedua
ibu bapa anda sebaik mungkin. Sementara mereka masih hidup ini, cubalah
berbakti kepada mereka seberapa banyak yang boleh.
Sebenarnya banyak bakti yang boleh dilakukan kepada ibu
bapa. Bakti itu bukan sahaja berbentuk material semata-mata, malah ianya
merangkumi elemen spiritual dan hubungan kasih sayang yang perlu ditunjukkan
oleh setiap insan bernama ANAK. Apatah lagi jika ibu bapa kita semakin uzur dan
memerlukan lebih perhatian.
Berikut ini 10 bakti /kebaikan yang boleh kita lakukan untuk ibu
bapa kita.
1. Menghulurkan bantuan kewangan @ material
Ada ibu bapa yang berdepan dengan masalah kewangan. Mereka tidak dapat lagi
melakukan tugas seharian disebabkan faktor usia. Jika bekerja, tetapi tidak
mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat.
Justeru menjadi tanggungjawab anak memberi nafkah atau bantuan kewangan kepada
ibu bapa. Sumbangan itu tidak seberapa berbanding yang dibelanjakan ibu bapa
untuk membesar dan mendidik anak.
2. Menyediakan tempat tinggal
Dalam kes ibu bapa yang hilang tempat tinggal atau tidak sesuai untuk didiami,
menjadi tanggungjawab anak menyediakan tempat tinggal lebih sesuai kepada ibu
bapa. Paling baik jika ibu bapa dibawa tinggal bersama agar dapat menjamin
keselamatan dan keperluan harian mereka diuruskan dengan baik.
3. Memberi kasih sayang
Kasih sayang adalah sebagai membalas kasih sayang yang selama ini dicurahkan
ibu bapa. Jadi, seharusnya kasih sayang itu dibalas sebaik-baiknya. Anak yang baik tidak melupakan jasa dan kasih sayang ibu bapa. Anak soleh
sentiasa memohon kepada Allah S.W.T. agar ibu bapa mereka diberkati dan
dicucuri rahmat.
Firman Allah S.W.T. bermaksud :
"Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka
mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku ketika kecil."
(Surah al-Isra, ayat 24)
4. Memberi perhatian
Ibu bapa yang diabaikan akan kesunyian. Mereka terasa disisih dan dan seperti
tidak dipedulikan. Hal ini memberi tekanan perasaan dan menyebabkan kemurungan.
Keadaan ini jika berterusan memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental
ibu bapa. Ramai ibu bapa yang disisihkan dan dihantar ke rumah penjagaan orang tua. Sukar
diterima akal anak mendakwa tidak mampu menjaga ibu bapa, sedangkan mereka
mampu menjaga dan membesarkan beberapa anak.
5. Memenuhi permintaan
Ibu bapa sering memerlukan bantuan anak untuk melaksanakan sesuatu keperluan.
Permintaan itu mungkin dalam bentuk kewangan, tenaga dan masa. Memenuhi permintaan ibu bapa perlu diutamakan berbanding melakukan tugas lain.
Sesungguhnya, memenuhi permintaan ibu bapa lebih baik berbanding melakukan
ibadat sembahyang sunat, berpuasa sunat dan seumpamanya.
Malah, keutamaan berbakti kepada ibu bapa lebih utama daripada berjihad di
medan perang. Diriwayatkan daripada Bukhari dan Muslim, Ibnu Umar berkata :
Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad SAW: "Apakah perbuatan
disukai oleh Allah?" Lalu Baginda SAW bersabda: "Sembahyang pada
waktunya." "Kemudian apa?", tanya saya lagi. Baginda SAW
menjawab: "Berbakti kepada kedua ibu bapa." Saya bertanya,
"Apa lagi?" Jawab Baginda SAW: "Berjihad pada jalan
Allah."
6. Melakukan apa yang disukai
Ibu bapa tentu mengharapkan anaknya melakukan sesuatu yang baik pada pandangan
mereka. Melakukan perkara yang tidak sukai ibu bapa bermakna melakukan
perbuatan derhaka. Anak derhaka kepada ibu bapa tidak mendapat keberkatan dalam
kehidupannya. Sesiapa derhaka kepada ibu bapa disegerakan balasan di dunia dan
tidak terlepas di akhirat.
Sabda Rasulullah SAW. bermaksud ;
"Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia ialah zina dan
menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa." (Hadis riwayat at-Tirmizi).
Dalam hadis lain diriwayatkan al-Hakam bermaksud:
"Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya
hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa.
Maka, sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa
hidupnya sebelum mati."
7. Bercakap dengan lemah lembut
Satu cara menjaga perasaan ibu bapa adalah bercakap lemah lembut dengan mereka.
Suara hendaklah direndahkan dan jangan membantah permintaan mereka.
Firman Allah SWT bermaksud:
"Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah
SAW, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua-dua orang tua. Jika salah
seorang telah lanjut usianya atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali
engkau berani berkata terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak
mereka. Tetapi, berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut."
(Surah al-Israk, ayat 23).
Sesungguhnya, anak ditegah membantah kata-kata ibu bapa dengan suara tinggi
atau bermaksud merendahkan kedudukan ibu bapa. Lebih baik berdiam diri daripada
berkata-kata yang mungkin menyinggung perasaan ibu bapa. Kemudian jika ada
kesempatan, gunakan cara yang lembut untuk menjelaskan keadaan sebenar.
8. Menghadiahkan kejayaan
Jadi, jika memperoleh kejayaan dalam pelajaran, mendapat pekerjaan, dinaikkan
pangkat dan seumpamanya, seharusnya dimaklumkan kepada ibu bapa. Ibu bapa
dibawa bersama-sama dalam majlis untuk meraikan kejayaan itu.
9. Meluangkan masa bersama-sama
Anak yang tinggal berasingan dengan ibu bapa perlu kerap meluangkan masa
mengunjungi mereka. Ibu bapa berasa senang menerima kunjungan dan menatap wajah
anaknya.
10. Mendoakan kebaikan untuk ibu bapa
Anak perlu sentiasa mendoakan kebaikan untuk ibu bapanya. Amalan mendoakan
kebaikan untuk ibu bapa perlu diteruskan walaupun mereka meninggal dunia.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
"Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya,
melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan memberi manfaat,
ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak yang soleh yang
sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya." (Hadis riwayat
Muslim).
Kebaikan dilakukan anak terhadap ibu bapa sebenarnya amat kecil. Anak tidak
mampu untuk membalas jasa ibu bapa sepenuhnya biarpun dia berbakti sepanjang
hayatnya. Gunakan kesempatan yang ada untuk melakukan bakti terhadap ibu bapa sebaik
mungkin. Masa untuk anak berbakti kepada ibu bapa sebenarnya semakin suntuk.
Lambat laun ibu bapa akan meninggal dunia. Bertindaklah sebelum terlambat, selagi ibu bapa atau salah seorangnya masih
hidup. Jangan jadi macam saya, dah meninggal baru nak menyesal.