ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Saturday, 17 January 2015

TANGGUNGJAWAB UMAT ISLAM

Setiap makhluk yang dicipta oleh ALLAH di dunia ini mempunyai tanggungjawab dan peranan masing-masing. Tumbuhan, haiwan dan manusia telah diberi tugas oleh ALLAH. Terpulanglah kepada makhluk-makhluk Nya melaksanakannya. Manusia merupakan salah satu makhluk yang diciptakan oleh ALLAH dan diberi tanggungjawab banyak sekali berbanding dengan makhluk-makhluk yang lain. Ini adalah kerana manusia telah dikurniakan akal fikiran yang waras. 

Tanggungjawab dan peranan manusia terbahagi kepada lima yang utama:
  • Tanggungjawab kepada ALLAH
  • Tanggungjawab kepada masyarakat dan agama
  • Tanggungjawab kepada suami kepada isteri dan begitu sebaliknya (kekeluargaan)
  • Tanggungjawab anak terhadap orang tuanya
  • Tanggungjawab terhadap diri sendiri 

1. TANGGUNGJAWAB KEPADA ALLAH

Sebagai hamba ALLAH yang lemah kita mestilah sentiasa mentaati perintah ALLAH dan meninggalkan laranganNya. Kita mestilah menyembah ALLAH kerana Dia telah menciptakan kita dengan sebaik-baiknya.
 

Firman ALLAH: Hai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertaqwa. Dialah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air hujan dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untukmu; kerana itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi ALLAH, padahal kamu mengetahui. (Al-Baqarah 2:21-22) 

Manusia juga dipertanggungjawab mempelajari ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah.
Ilmu fardhu ain wajib dituntut seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Begitu juga ilmu fardhu kifayah, seperti solat jenazah dan sebagainya.
Sebagai contoh, solat memang sangat dititikberatkan dalam ilmu fardhu ain kerana ia dapat membuatkan seseorang hamba lebih kenal kepada siapakah penciptanya. Solat adalah suatu bentuk ibadah yang sudah dikenali sejak dahulu. Ia merupakan fardhu ain bagi agama. 

Namun demikian, solat didalam Islam mempunyai keistimewaan tertentu, sesuai dan selaras dengan Islam itu sendiri sebagai ajaran dan cara hidup yang sempurna dan lengkap bagi manusia. 

2. TANGGUNGJAWAB KEPADA MASYARAKAT DAN AGAMA 

Tiada seorang pun manusia didunia ini hidup keseorangan. Manusia telah dijadikan hidup berpasang-pasangan dan hidup dalam komuniti atau masyarakat. Sebagai salah seorang yang tergolong dalam komuniti ini, kita juga berperanan dalam membawa masyarakat Islam ke arah kehidupan yang berlandaskan Islam. 

Dakwah Dan Kebangkitan Ummah. Dakwah membersihkan masyarakat supaya yang ma’ruf senang diamalkan dan yang mungkar sukar dilakukan. Jika kita perhatikan masyarakat kita pada hari ini, perkara yang sebaliknya pula yang menjadikan kebiasaan. Dalam masyarakat kini, mungkar berleluasa dan orang-orang yang beriman dan yang kafir sama-sama bergiat bagi mengembangkan maksiat. 2 Sesungguhnya mungkar yang lebih besar pada masa kini ialah kezaliman dengan tidak menghukum dengan hukum-hukum ALLAH. Oleh kerana pemerintahan pada hari ini tidak tegak di atas dasar Islam. Umat Islam wajib membersihkan dirinya daripada sebarang noda syirik. Cara yang jelas bagi melaksanakan pembersihan ini adalah melalui amar ma’ruf dan nahi mungkar. Oleh itu jelaslah bahawa kebangkitan umat Islam dalam menentang syirik dan menegakkan Islam, mestilah berteraskan dakwah Islam. Tugas ini tidak boleh diabaikan oleh umat Islam. Tugas kepimpinan ini wajib dijaga sepenuhnya kerana ia merupakan anugerah ALLAH. 

Firman ALLAH:
Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat:
Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah dimuka bumi. (Al-Baqarah;30)

Untuk membezakan diri daripada golongan munafik.

ALLAH menjelaskan hakikat orang munafik didalam firmanNya:
Orang-orang munafik laki-laki dan perempuan, sebahagian mereka dengan sebahagian yang lain adalah sama, mereka menyuruh membuat yang mungkar dan melarang berbuat makruf. (At-Taubah:67)
 

Ayat diatas menerangkan bahawa orang-orang munafik mempunyai satu risalah dalam hidup mereka, iaitu menghalangi jalan ALLAH. Oleh itu, dakwah sebenar ialah tugas yang
membezakan diantara orang mu’min dengan munafik.
 

Untuk menyelamatkan ummah 

Tujuan musuh-musuh Islam adalah untuk melemahkan umat Islam sendiri. Mereka sentiasa berusaha untuk menutup kebenaran. Oleh itu umat Islam wajib bangkit rencana dan musnahkan musuh-musuh Islam. Apabila ALLAH menurunkan azab-Nya ke atas kaum yang zalim dan ingkar kepada-Nya, maka ALLAH akan meliputi seluruhnya tanpa membezakan di antara yang zalim dan soleh jika kemungkaran tidak ditentang. 

Firman ALLAH:
Telah dilaknati orang-orang kafir dari Bani Israel dengan lisan Dawud Isa ibn Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas. Mereka satu sama lain tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat.. (Al-Maidah:78)
Menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab
.

Ia juga hendaklah menjadi seorang masyarakat yang bertanggungjawab terhadap masyarakatnya. Ia memastikan bahawa masyarakatnya mengamalkan Islam dalam semua aspek sama ada dari segi politik, sosial, pendidikan, perundangan, ketenteraan dan sebagainya. Sekiranya Islam pada keseluruhannya tidak dijadikan sebagai landasan perjalanan masyarakat, maka hendaklah ia berusaha dengan muslim yang lain didalam satu kumpulan untuk menegakkan Islam walaupun terpaksa menghadapi kerugian dari segi harta benda dan jiwa untuk melaksanakan peranannya sebagai seorang anggota masyarakat Islam yang bertanggungjawab. Dalam erti kata yang lain, 3 Hakimiyyah ALLAH dapat dibangunkan dengan sempurna. 

Selain itu didalam hampir semua negara–negara ini kemungkaran seperti mengilang arak, kegiatan perjudian dalam segala rupa bentuk tempat maksiat dan sebagainya tidak diharamkan secara mutlak. Umpamanya arak sekiranya dikilang atau diimport tanpa lesen. 

3. TANGGUNGJAWAB SUAMI TERHADAP ISTERI DAN SEBALIKNYA (KEKELUARGAAN) 

Sekiranya telah tiba masanya untuk ia mendirikan rumahtangganya sendiri, maka mestilah ia memilih teman hidup yang baik seperti yang telah disyariatkan oleh Islam. Hendaklah ia membina rumah tangga di atas dasar Islam. 4 Sekiranya ia seorang lelaki maka mestilah dipenuhi tanngungjawabnya sebagai seorang suami, dan begitulah juga sebaliknya iaitu wanita. 

Tanggungjawab suami terhadap isterinya ialah memberi nafkah zahir dan batin, memberi kasih sayang, melindungi isterinya, membimbing keluarganya ke jalan Islam dan lain-lain lagi. Tanggungjawab isteri terhadap suaminya pula ialah, melayani suaminya dengan baik, lemah-lembut, menyahut panggilan suaminya dengan merendah suaranya, menumpahkan kasih sayang sepenuhnya dan lain-lain lagi. 

Tanggungjawab Ibubapa 

Apabila dikaji hadith-hadith Rasulullah SAW yang berkaitan dengan kewajipan ibubapa maka para ulama’telah menggariskan berbelas-belas tanggungjawab iaitu: 
  • Memilih isteri yang solehah
  • Azan dan iqamah di telinga bayi
  • Melakukan tahnik
  • Mencukur rambut
  • Melakukan aqiqah
  • Memberi nama yang baik
  • Mengkhatankannya
  • Memberikan kasih sayang
  • Menyamakan pemberian
  • Memberikan makan dan minum serta pakaian yang halal
  • Mengasingkan tempat tidur
  • Memberikan pendidikan agama 

4. TANGGUNGJAWAB ANAK TERHADAP ORANG TUANYA 

Dalam al-Qur’an banyak terdapat ayat-ayat yang menerangkan bagaimana besar dan beratnya kewajipan dan tanggungjawab seorang anak terhadap ibu bapanya. Sehingga perintah dan suruhan berbakti dan berbuat baik kepadanya disertakan dengan perintah dan suruhan menyembah dan beribadah kepada ALLAH. 

Firman ALLAH:
Dan hendaklah kamu menyembah (dan berbakti) kepada ALLAH dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu, dan hendaklah kamu berbuat baik dengan sesungguhnya kepada ibubapa. (Al-Nisa:36)
 

Dan Tuhanmu telah memerintah supaya kamu semua tidak menyembah melainkan Dia, dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa, jika salah seorang dari mereka itu atau kedua-duanya sampai umur tua dalam peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka ‘uh’, dan janganlah engkau herdik mereka, tetapi berkatalah kepada mereka dengan perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua kerana sayang, dan katakanlah, ”Ya Tuhanku, kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka peliharaku di waktu kecil. ” (Bani-Israel:23-24) 

Dari beberapa ayat-ayat al-Qur’an diatas jelaslah menunjukkan betapa besarnya kewajipan mentaati dan berbakti kepada dua ibu bapanya dan ia merupakan amalan takarrub kepada ALLAH yang sangat besar pahalanya. Dan sebaliknya melakukan sesuatu sama ada perkataan atau perbuatan yang boleh mengecilkan hati keduanya apatahlagi sampai menderhakainya adalah suatu dosa yang sangat besar disisi ALLAH. 

Hukum berbakti kepada ibubapa 

Jelas dari al-Qur’an, sunnah dan ijmak ulama’ taat serta berbakti kepada kedua ibu bapa hukumnya wajib. Suruhan dan perintah taat kepada keduanya dalam al-Qur’an disertakan dengan perintah taat kepada ALLAH sendiri. Demikian juga perintah mensyukuri dan berterimakasih kepada keduanya juga disertakan dengan perintah bersyukur kepada ALLAH sendiri. 

Firman ALLAH:
Dan Kami wajibkan manusia taat kepada ibubapanya, ibunya telah mengandungkan dia dalam keadaan lemah bertambah lemah, sedang putus susunya adalah dalam dua tahun. (Kami perintah) Hendaklah engkau bersyukur kepada-Ku dan ibu bapamu, kepada-Kulah tempat kembali. (Luqman:14)
 

5. TANGGUNGJAWAB TERHADAP DIRI SENDIRI 

Sebagai seorang yang mukhallaf kita telah dipertanggungjawab oleh ALLAH dalam banyak perkara. Dari sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara. Sebagai umat Islam, tanggungjawab terhadap diri sendiri adalah penting juga selepas tanggungjawab terhadap ALLAH, agama, masyarakat dan sebagainya. 

Tanggungjawab seorang muslim 

Sebagai seorang muslim, kita mestilah menuntut ilmu selagi hayat dikandung badan. Sesungguhnya menuntut ilmu adalah suatu perkara yang sangat dituntut dalam Islam. Malah ia merupakan perkara yang wajib ke atas laki-laki dan perempuan-perempuan. Selain itu, Rasulullah SAW juga menekankan bahawa tuntutlah ilmu itu dengan bersungguh-sungguh dan di mana sahaja. 

Sabda Rasulullah SAW
Tuntutlah ilmu sehingga ke negeri China…

Selain itu juga, sebagai muslim, kita dituntut menjaga akhlak dan tatasusila dalam pergaulan seharian. Tunjukkanlah akhlak Islam yang kamil terhadap semua orang termasuklah yang bukan Islam. Ini dapat mencerminkan betapa mulianya dan indahnya Islam di kaca mata masyarakat.
 

Menjadi seorang muslim yang soleh 

Seseorang muslim yang berpegang teguh kepada tujuan hidup Islam akan membentuk kehidupannya menurut tuntutan-tuntutan Islam. Ia akan membentuk hidupnya diatas landasan aqidah yang sahih. 5 Sentiasa menjaga kesejahteraan imannya dengan berpegang teguh dengan segala perintah ALLAH serta bersungguh–sungguh menjauhi larangan ALLAH. Tidak lalai terhadap yang wajib dan tidak memandang ringan terhadap yang haram. Berterusan berusaha memperbaiki diri dari sudut iman, amal, akhlak dan ilmu demi untuk mendekatkan diri kepada ALLAH. 

Menjauhi maksiat
Sesorang muslim itu juga mestilah menjauhi dirinya dari maksiat. Memandang berat terhadap dosa-dosa besar, 6 berwaspada terhadap dosa-dosa kecil dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjauhinya.
 

Imam Al-Ghazali memberi peringatan:
Di dalam tuntutan ad-Din, terdapat dua perkara yang sangat penting untuk diperhatikan. Pertama, meninggalkan dan menjauhi segala sesuatu hal yang dilarang dan diharamkan. Kedua, berbuat taat dan menunaikan segala perintah, beribadah dan berbakti kepada ALLAH.


Di antara keduanya itu, menjauhi segala yang dilarang dan diharamkan itu adalah sesuatu hal yang terlalu berat, kerana ketaatan melaksanakan perintah-perintah ALLAH memang mampu dilaksanakan, tetapi meninggalkan dan menjauhi apa yang dilarang dan diharamkan itu, tiada yang mampu kecuali orang-orang yang benar. 

Untuk menjadikan iman jauh dari pengaruh maksiat, hendaklah seseorang muslim itu menjaga adab-adab yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. 7 Ini adalah kerana kebiasaannya syaitan itu menyerang manusia dari pintu-pintu yang terlemah didalam dirinya. Oleh itu, hendaklah ia membentengi dirinya daripada serangan-serangan syaitan. 

PENUTUP

Kesimpulannya, kita sebagai umat Islam yang berlandaskan pegangan Al-Quran dan sunnah, seharusnya kita sedar akan peranan dan tanggungjawab kita dalam setiap aspek dan tuntutan Islam. Sesungguhnya kita haruslah mengambil berat akan tanggungjawab dan peranan kita sebagai khalifah di muka bumi ini agar hidup kita diberkati dan diredhai oleh ALLAH. Muslim yang sejati dan benar adalah manusia yang sedar hatinya, celik matanya dan terbuka pintu imannya. (Keperibadian Muslim:Muhammad ‘Ali Hasyim;Jil 1, hal 18) 

Enam dosa-dosa besar sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibn Hajar didalam Fathul Bari ialah: Setiap dosa yang telah dijelaskan dengan nas al-Qur’an atau sunnah bahawa ia adalah dosa besar, atau dijelaskan padanya balasan seksa yang dahsyat, atau dijelaskan padanya hukum hudud, atau sangat ditegah melakukannya. Dosa-dosa besar itu banyak, antaranya syirik, sihir, riba, zina, minum arak dan sebagainya. (Fathul Bari : Ibn Hajar Al-Asqalani ;Jil 15, hal 200) 

Tujuh adab-adab ini telah ditunjukkan oleh rasulALLAH, ia bersangkutan dengan: 
  • Mata dan apa yang dilihatnya
  • Telinga dan apa yang didengarinya
  • Lidah dan apa yang diucapkannya
  • Perut dan sumber yang bagaimana dimasukkan ke dalamnya
  • Tangan dan apa yang dilakukannya
  • Kaki dan ke mana diarahkannya
  • Kemaluan dan bagaimana dijagainya
  • Hati dan dosa-dosa yang dilakukannya