Fenomena sebahagian
remaja hari ini yang menjadikan Valentine’s Day sebagai perayaan paling diminati
dan sangat-sangat ditunggu untuk diraikan bersama kekasih amat menggusarkan kita
sebagai umat Islam. Menurut Ken Sweiger, perkataan “Valentine” berasal dari
bahasa Latin yang mempunyai maksud “Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuat, dan Yang
Maha Kuasa”. Menurutnya lagi, kata ini sebenarnya digunakan pada zaman Rom Kuno
ditujukan kepada Nimrod dan Lupercus, tuhan orang Romawi. Sedar atau tidak, jika
seseorang meminta orang lain atau pasangannya menjadi “To be my Valentine?”,
maka dengan hal itu sesungguhnya ia telah secara terang melakukan suatu
perbuatan yang bercanggah dengan aqidah umat Islam dan dimurkai Allah SWT. Ini
kerana ia telah meminta seseorang menjadi “Sang Maha Kuasa” dan hal ini sama
dengan usaha menghidupkan kembali budaya pemujaan
berhala.
Berdasarkan kepada pandangan sebahagian besar
tokoh- tokoh agama telah menyatakan bahawa menyambut atau meraikan Sambutan Hari
Valentine ini adalah bertentangan dengan Syarak. Menurut Panel Kajian Aqidah
(PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia amalan ini
adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam. Begitu juga Jawatankuasa
Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang
bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan bahawa amalan merayakan
Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut
bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.
Oleh itu,
mimbar ingin menegaskan bahawa pengharaman dan larangan ini bukanlah kerana
ingin menghalang keseronokan di atas aktiviti trend baru zaman moden tetapi
ianya berlandaskan kepada apa yang dinyatakan di dalam al-Quran dan as-Sunnah
yang menjadi panduan umat manusia bagi mengecapi keindahan hidup di dunia dan di
akhirat. Justeru mimbar menyeru kepada jemaaah sekalian dan umat Islam agar
tidak merayakan hari tersebut kerana ianya bertentangan dengan ajaran Islam yang
sebenar serta boleh merosakkan akidah dan akhlak umat Islam.
Persoalan
besar timbul ialah apakah yang menyebabkan gejala negatif seumpama ini terus
berlaku?. Jawapannya ialah kerana kualiti keimanan umat Islam yang lemah dan
kekaburan kita di dalam menegakkan prinsip-prinsip asas agama yang menjadi
tunjang kehidupan seseorang muslim. Dengan ini kita terpesong dengan cara hidup
yang sebenar. Kita juga jangan lupa bahawa syaitan dan sekutunya telah berjanji
kepada Allah SWT untuk terus menyesatkan orang yang beriman. Firman Allah SWT
dalam surah an-Nisaa ayat 119:
Maksudnya: “Dan sungguh, aku akan menyesatkan
mereka, dan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan menyuruh mereka
membelah telinga binatang ternak; dan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.
Dan sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang dita'ati selain dari
Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang
nyata".
Ingatlah
bahawa agama Islam sangat mengambil berat dalam memperbetulkan pegangan akidah
umatnya supaya pandangan dan sikap mereka menjadi lurus dan tasawwur mereka
tentang sesuatu perkara menjadi jelas. Jangan kita mengikut contoh umat
jahiliyah dahulu yang menganggap persoalan akidah hanya sekadar mengumumkan
identiti diri dan melahirkan perbuatan baik sahaja sedangkan hakikat iman ialah
panduan antara keyakinan dihati tentang dasar-dasar akidah dengan melaksanakan
perintah Allah SWT dan meninggalkan tegahan-Nya.
Firman
Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 15: Maksudnya: “ Sesungguhnya orang yang
benar-benar beriman ialah orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya,
kemudian mereka tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda
dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang yang benar.”
Ayat ini
mengisyaratkan bahawa kualiti iman boleh diukur dan dinilai melalui amalan
seharian. Banyak dan berkualitinya amal soleh seseorang itu, maka tinggilah
kualiti iman yang dimiliki dan begitulah sebaliknya. Oleh itu, iman yang sebenar
adalah merupakan penjana kekuatan dan kecemerlangan ummah.
Islam
sebagai agama fitrah dan sempurna, sentiasa menganjurkan kasih sayang sesama
umatnya. Ini dapat dilihat melalui apa yang diungkapkan di dalam Kitab al-Quran
dan dijelmakan oleh Rasulullah SAW. Menzahirkan kasih sayang kepada kekasih
perlulah ada batasan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang diantara dua
jantina berbeza tidak boleh hanya dengan janji manis di bibir. Tetapi ia perlu
diikat dengan satu ikatan akad yang mampu menyimpul ikatan kukuh bagi menjamin
zuriat, akhlak dan peribadi yang dinamakan sebagai perkahwinan. Keindahan dalam
menzahirkan kasih sayang itulah yang dianjurkan oleh Islam dan perlulah disemai
dan dibajai setiap hari tanpa perlu menunggu detik satu hari dalam setahun.
Ingatlah bahawa kasih sayang yang utama adalah hanya kepada Allah SWT, rasul-Nya
dan berjihad di jalan-Nya. Kasih sayang berlandaskan keimanan akan melahirkan
cahaya keinsafan kepada hakikat diri dan pencipta-Nya sehingga sanggup berkorban
dan mampu menundukkan hawa nafsu jahat.
Firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 207:
Bermaksud: “ Dan di antara manusia ada Yang mengorbankan dirinya kerana mencari
keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula amat belas-kasihan akan
hamba-hambanya.”
Justeru
bagi menyelamatkan agama dan ummah dari terus musnah akibat impak amalan-amalan
bertentangan dengan aqidah dan syariah, mimbar menyeru kepada semua pihak agar
mewar-warkan larangan Sambutan Valentine’s Day dari terus diraikan oleh umat
Islam khususnya di negara kita ini, jangan kita terlibat dengan budaya songsang
yang boleh melemahkan ummah dan menyesatkan. Wujudkanlah perasaan anti
Valentine’s Day di dada dan minda, hadirkanlah rasa benci dan tidak akan
meraikannya melalui penyertaan aktiviti-aktiviti yang menyalahi aqidah, syarak
dan tamadun manusia. Mengakhiri khutbah pada minggu ini, sekali lagi mimbar
menyeru semua pihak marilah sama-sama kita memperkasakan akidah kita, keluarga
dan masyarakat kita demi masa depan agama, ummah dan negara dengan langkah
berikut:
-
Ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak dididik dengan ajaran Islam yang sebenar;
-
Umat Islam khususnya remaja dilarang meniru amalan atau budaya kaum musyrik;
-
Menanam rasa cinta dan kasih sayang kepada Allah SWT dan rasul-Nya;
-
Menjauhi aktiviti bergaul bebas dengan pasangan yang bukan mahram dalam menyambut majlis tertentu; dan
-
Meninggalkan sambutan atau perayaan yang tiada dalam syariat Islam.
Firman
Allah SWT dalam surah al-A'raf ayat 96: Maksudnya: "Dan sekiranya penduduk
negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka
keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu
Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah
usahakan."
Petikan teks khutbah Jumaat Jabatan
Kemajuan
Islam
Malaysia
No comments:
Post a Comment