Oleh Masmawi Abdullah
PENAMPILAN kita dan isi masjid mencerminkan
darjat hubungan antara manusia dengan Allah dan hubungan antara manusia
dengan manusia. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tempat paling
dikasihi Allah di sesuatu negeri atau qariah ialah masjid.”
Umumnya,
wajah masjid akan bergantung kepada taraf keimanan manusia. Makin
tinggi iman maka makmurlah masjid itu dan sebaliknya, makin rendah iman
makin sunyilah masjid itu.
Dapat dikatakan bahawa aktiviti dan
penampilan masjid penggerak yang dapat memberikan petunjuk apakah umat
manusia dalam keadaan tebal atau tipis imannya.
Allah berfirman
bermaksud: “Jika Allah tidak mendorong sesetengah manusia menentang
pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat pertapaan
serta gereja kaum Nasrani dan tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga
masjid yang sentiasa disebut nama Allah dan sesungguhnya Allah akan
menolong sesiapa yang menolong agamanya (Islam). Sesungguhnya Allah Maha
Kuat lagi Maha Kuasa.” (Surah al-Haj, ayat 40)
Masjid di negara
kita makin berkembang jumlahnya serta mutu bangunannya bertambah
cantik, indah dan menarik. Ada masjid yang mewah dan meriah serta
makmur, dan ada juga yang mewah tetapi sunyi sepi. Ada pula yang daif
bangunannya tetapi aktif dengan kegiatan.
Masalah sekarang ialah
sejauh manakah masjid digunakan sesuai dengan peranan sebagai tempat
ibadat, tempat belajar, tempat berdakwah dan sebagainya.
Masjidil
Haram di Makkah al-Mukarramah, Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis dan
Masjid Nabawi di Madinah Al-Munawwarah, mengalami pembaikan dan
pembesaran bangunannya dari semasa ke semasa tanpa menjejaskan kedudukan
sebagai pusat ibadat, kebudayaan, pengembangan ilmu dan pembinaan
ummah.
Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya orang yang suka
memakmurkan masjid hanya orang yang beriman kepada Allah dan percaya
kepada hari akhirat, mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan orang yang
tidak takut selain Allah. Mudah-mudahan itulah orang mendapat petunjuk
Ilahi.” (Surah at-Taubah, ayat 18)
Pada zaman kegemilangan
Islam, umatnya menjadikan masjid sebagai markas pelaksanaan hubungan
antara manusia dengan Allah dan hubungan manusia dengan manusia
berlangsung sejak abad keenam Masihi hingga abad ke-13 Masihi sehingga
kita dapat menyaksikan peninggalan sejarah kegemilangan umat Islam
melampaui batas ruang dan waktu hingga kini.
Sejak abad ke-14
Masihi kita menyaksikan pergeseran mengenai peranan masjid apabila
masjid hanya menjadi tempat ibadat semata-mata dan antara sedar atau
tidak, ia menyebabkan peranan masjid menjadi sempit.
Keadaan itu
tambah dengan perilaku sesetengah umat Islam sendiri, apabila berada di
masjid bertuhankan Allah dan di luar masjid pula bertuhankan harta,
wanita, pangkat dan kuasa.
Kerana harta ia korbankan halal
haram, kerana wanita ia lupa daratan tidak nampak tuhan, kerana pangkat
dan kuasa ia menolak kebenaran Islam, pada hal inilah sebenarnya punca
keruntuhan yang menghancur leburkan iman seseorang.
Kita harus
mengembalikan peranan masjid secara utuh kukuh ke arah satu paradigma
baru, iaitu sebagai tempat ibadat dan muamalah yang berpedomankan kepada
al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.
Al-Quran banyak
menceritakan mengenai ibadat, muamalah, kemasyarakatan, ekonomi,
pengadilan, hubungan si kaya dengan si miskin dan lain-lain. Dengan
demikian, kesungguhan mengembalikan peranan masjid dengan suatu
paradigma baru amat penting.
Apabila kegiatan fardu kifayah
tidak bertolak kepada roh masjid, maka akan ada penyelewengan yang
menyimpang daripada landasan Islam, terpesong daripada naungan al-Quran
dan ajaran Rasulullah SAW, kerana akhirnya umat Islam dipengaruhi sistem
yang tidak secocok dengan Islam.
No comments:
Post a Comment