Jangan merasakan diri masih muda, kuat dan bertenaga mampu hidup
hingga mencapai usia tua kerana barangkali esok, lusa atau lebih cepat
dari itu, Allah boleh ‘menjemput’ kita. Selagi masih diberi kesempatan hidup di dunia ini, bertaubatlah dan
kembali taat kepada perintah Allah. Lakukan kewajipan dan jauhi maksiat.
Jangan sia-siakan masa dan lakukan amal kebaikan sebanyak mungkin.
Sebahagian ulama mengatakan ada empat sebab suul khatimah (pengakhiran
yang buruk) iaitu; mengabaikan solat, minum khamr (arak), derhaka kepada
ibu bapa dan menyakiti kaum Muslim.
Bayangkan kita ‘dijemput’
Allah, ketika sedang berseronok dalam dunia yang melalaikan.
Nauzubillah! Andai kata masa itu kita boleh merayu, menangis, merintih
atau berteriak sekalipun untuk dihidupkan kembali, semuanya tiada guna
lagi.
Sesudah mati, bercerailah roh dari badan. Namun, kematian
sebenarnya bukan penamat kepada kehidupan kerana alam barzakh hanya
tempat ‘persinggahan’ sebelum dibangkitkan ke mahsyar untuk menghadapi
kehidupan kekal abadi.
Allah berfirman yang bermaksud: “Setiap yang bernyawa akan merasai mati. Sesungguhnya
akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Barang siapa yang
dijauhkan dari neraka dan dimasuk ke syurga, menanglah dia. Tidaklah
kehidupan dunia ini, melainkan kesenangan yang memperdayakan.” (Surah
Ali Imran ayat 185)
Perasaan takut kepada kematian pastinya akan menyelubungi mereka yang belum bersedia dengan bekalan akhirat.Islam
menganjur umatnya mengingati mati dengan cara melihat proses
penyempurnaan jenazah seperti memandikan, mengkafankan serta menghantar
jenazah ke kubur selain menziarahi orang sakit.Mengingati mati
pastinya menimbulkan keinsafan jika dilakukan secara
bersungguh-sungguh. Dari situ, kita akan sentiasa berusaha melakukan
lebih banyak amal kebajikan serta mengabdikan diri kepada Allah.
Berbeza
dengan ‘bercita-cita’ hendak mati. Perkara itu boleh membawa kepada
putus asa, tidak reda dan sabar menerima ujian malah membawa perkara
yang ditegah syarak iaitu membunuh diri.
Kita perlu menjadi orang terbaik di dalam masyarakat dengan memanfaatkan segala harta, tenaga atau ilmu yang ada ke jalan Allah.
Amalan bertaubat perlu sentiasa ditekankan dalam kehidupan seharian.
Rasulullah
bersabda yang bermaksud,
“Sebaik-baik manusia ialah orang yang diberi
panjang umur dan digunakan untuk membuat kebaikan sebanyak-banyaknya dan
sejahat-jahat manusia ialah orang yang diberi Tuhan umur panjang,
tetapi digunakan untuk melakukan kejahatan dan kerusuhan.” (Riwayat
Ahmad)
Memang wujud sebahagian manusia
yang merasakan kematian itu pengakhiran kepada kehidupan dan terhentinya
perjalanan manusia. Tidak ada kehidupan dan juga kebangkitan
lagi selepas itu dan bagi mereka kematian adalah kehancuran. Allah SWT
menjelaskan kehidupan dunia ini adalah sebagai tempat untuk manusia
(khususnya yang beragama Islam) mencari bekalan ke alam selepas
kematian. Kehidupan dunia bukanlah kenikmatan kerana ia terlalu
sedikit dan kecil, kehidupan selepas kematian itulah yang kekal. Allah
mengingatkan manusia supaya tidak tenggelam dalam kehidupan yang tidak
mengenal erti kematian.
Allah berfirman yang
bermaksud,
“Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan
kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh
Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha
mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya.
Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak
selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka
lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan.” (Surah
Hud ayat 15-16)
Kematian daripada perspektif Islam ialah proses perpindahan dari alam dunia ke alam barzakh. Ia
tempat penantian untuk ke alam akhirat. Kematian juga perpindahan dari
alam taklif (tanggungjawab) dan amal kepada alam ganjaran dan balasan
akhirat. Sesiapa yang melaksanakan walau sebesar zarah kebaikan
akan mendapat balasannya, begitu juga jika mereka melakukan sebesar
zarah kejahatan, akan menerima balasannya.
Allah SWT
berfirman yang bermaksud,
“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah,
nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat
kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).”
(Surah al-Zalzalah ayat 7- 8).
Ibnu Qayyim berkata,
“Allah
menjadikan pusingan alam ini sebanyak tiga pusingan, iaitu alam dunia,
alam barzakh dan alam akhirat yang kekal abadi.Pada setiap alam ini ada hukumnya yang tersendiri”.
Seorang mukmin yang beriman akan bersungguh-sungguh
mempelajari ayat al-Quran dan hadis yang memuatkan penjelasan supaya
mereka bersedia menghadapi kematian.
Islam mempunyai keistimewaan tersendiri berbeza dengan agama dan anutan lain. Islam menceritakan setiap kematian dan alam selepasnya itu secara terperinci berbeza dengan agama lain. Setiap
satu diperjelaskan dan hukum setiap alam yang bakal dilalui semua
manusia. Seseorang Muslim akan jelas mengenai kehidupan akhirat jika
matlamat hidupnya di dunia juga jelas. Kita sering memikirkan
saat kesakitan menghadapi sakaratul maut, dosa dan pahala, kedahsyatan
alam kubur, saat kebangkitan dan perhitungan amalan serta balasan syurga
dan neraka.Ramai orang pada hari ini tidak menghiraukan urusan mengingati kematian.Bahkan, ada yang takut membicarakannya.
Kesan
itu membawa kepada kejahilan dan pandangan negatif mengenainya. Sebab
itu, mereka bebas melaksanakan apa saja di muka bumi. Kita juga
mendapati ramai yang melupakan kematian, seolah-olah kematian itu
ditulis untuk orang lain. Akibatnya, ramai menghabiskan waktu, tenaga,
pemikiran mereka untuk urusan dunia.Apabila manusia tidak mengingati kematian, Allah mencabut ketakutan dari jiwa musuh Islam terhadap orang Islam.
Ia
disebutkan di dalam hadis Rasulullah s.a.w bermaksud
“Allah mencabut
dari dalam hati musuh rasa kehebatan Islam, lalu Allah akan jadikan bagi
kamu satu penyakit wahan”. Sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w,
Apakah wahan itu Ya Rasulullah? Nabi bersabda: “Cinta kepada dunia dan
benci kepada kematian”.(Riwayat Muslim)
Anjuran mengingati mati bukannya untuk minta manusia cepat mati atau meninggalkan segala urusan dunia.
Islam
tidak menyuruh umatnya bercita-cita cepat mati kerana perbuatan itu
sangat dilarang. Sebaliknya, apabila mengingati kematian mendorong
mereka menetapkan wawasan jelas dalam hidup di dunia dan akhirat. Manusia
yang banyak mengingati mati sentiasa menginsafi dirinya dan menyedari
Allah Maha Memerhati serta Mengawasi setiap gerak gerinya setiap masa. Maka, mereka memendekkan angan-angannya dan banyak melakukan kebajikan.
Hakikat
ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud,
“Katakanlah (wahai
Muhammad): Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu,
tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada
Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia
memberitahu kepada kamu apa yang kamu lakukan (serta membalasnya)”.
(Surah al-Jumu’ah ayat 8)
Rasulullah s.a.w dalam sabdanya yang
bermaksud,
“Perbanyakkanlah mengingati mati yang akan menghapuskan
kelazatan. Jika ia diingati dan direnung pada waktu susah, nescaya
perasaan akan menjadi lapang dan tenang dan jika ia diingati pada waktu
senang, nescaya hati dan perasaan akan sedar dan menginsafi diri”
(Riwayat al-Bazzar dan al-Baihaqi)
Ingat mati juga menimbulkan
rasa kasih sayang sesama manusia khususnya keluarga, jiran dan
masyarakat setempat. Bermula dari situ lahirlah perasaan tanggungjawab
membimbing diri dan keluarga supaya bersungguh-sungguh beramal menuntut
keredaan Allah. Sedarilah, jika tidak segera bertaubat
dikhuatiri kita mati dalam keadaan sia-sia. Sebab itu, kita perlu
sentiasa mengingati mati dengan diiringi istighfar dan taubat. Usaha
itu bagi memastikan diri mencapai darjat takwa serta mati dalam keadaan
Islam. Kematian seseorang Muslim juga bergantung kepada amalan yang
dilakukan sepanjang kehidupan.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud,
“Dan, sesungguhnya amalan itu bergantung dengan penutupnya.” (Riwayat al-Bukhari)
No comments:
Post a Comment