Selamat Hari Raya Aidilfitri
MAAF ZAHIR
DAN BATIN
MAKLUMAN
DARIPADA
TN. HJ. MOHD. TALIB B HJ SALAMON, KETUA KAMPUNG
PARIT
RAMBAI MERANGKAP PENGERUSI JAWATANKUASA MASJID ANNUR:
MARHABAN
KELILING KAMPUNG AHLI KARIAH PARIT RAMBAI HILIR AKAN
DIADAKAN
PADA HARI PERTAMA HARI RAYA AIDILFITRI SELEPAS SOLAT SUNAT AIDILFITRI. SEMUA
AHLI KARIAH LELAKI YANG TUA DAN YANG MUDA, ABANG-ABANG,ADIK-ADIK
DAN ANAK-ANAK SERTA MENANTU YANG BALIK KAMPUNG
DIJEMPUT
MENYERTAINYA. MERIAHKAN AIDILFITRI DI KAMPUNG KITA DENGAN
MENGUNJUNGI
JIRAN TETANGGA SAMBIL BERSELAWAT DAN BERMAAFAN
UNTUK
MENGERATKAN TALI SILATURRAHIM KITA. BERKUMPUL
DI SIMPANG
EMPAT JAM 11.00 PAGI.
TOLONG SAMA-SAMA
HEBAHKAN…
Hari Raya Aidilfitri (Arab: عيد الفطر;
'Ayd al-Fiṭr; "perayaan fitrah") disambut pada 1 Syawal tahun Hijrah. Perayaan tersebut
juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah, dan Hari
Lebaran. Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang dirayakan oleh
umat Islam di seluruh dunia
dunia yang beragama Islam bagi menandakan berakhirnya bulan Ramadhan yang mana umat Islam
telah menjalani ibadat puasa dengan tekun
1. Perayaan Hari Raya Puasa merupakan berakhirnya
tempoh untuk membayar zakat fitrah iaitu zakat yang dikenakan
kepada mereka yang masih hidup sehingga masa itu. Zakat fitrah tidak perlu dibayar
bagi mereka yang telah meninggal dunia. Kebiasaannya orang Islam akan mula
membayar zakat fitrah semenjak bulan puasa bermula dan zakat fitrah ini
akan berhenti dikutip apabila solat sunat Aidilfitri dimulakan.
2. Oleh itu, pada kebiasaannya solat sunat
Aidilfitri dilewatkan sedikit berbanding solat sunat Aidiladha. Hikmahnya
dilewatkan sedikit solat sunat Aidilfitri adalah bagi membenarkan peluang bagi
mereka yang belum membayar zakar menunaikan kewajipan mereka dan disunatkan
makan dahulu sebelum pergi ke masjid.
3. Lazimnya di negara kita khususnya sebaik saja
diumumkan bahawa hari raya telah jatuh pada malam tersebut, sejurus itulah
kedengaran bunyi-bunyi mercun yang dipasang bagi meyemarakkan musim perayaan
ini. Di samping itu juga lagu-lagu hiburan yang bermacam-macam terus
berkumandang diikuti dengan pesta-pesta sehingga beberapa hari untuk
memeriahkan lagi suasana sambutan hari raya. Perkara ini adalah satu perkara
yang bertentangan dengan kehendak syara’ dan bercanggah dengan sunnah Baginda
Shallallahu ‘alaihi wasallam. Sama ada sedar atau tidak, pada hakikatnya dengan
melakukan perkara sedemikian kita seolah-olah meniru sesuatu kaum atau agama
lain bagaimana cara mereka merayakan hari kebesaran atau perayaan mereka. Umat
Islam sangat dilarang dari meniru dan mengikut-ikut cara itu.
CARA MENYAMBUT AIDILFITRI MENGIKUT SUNNAH
Islam
ada memperjelaskan di dalam kitab-kitab fiqah bagaimana cara menyambut hari
raya seumpama ini. Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah
serta agama paling sempurna dan lengkap.
Firman
Allah S.W.T:
“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama
kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu, dan Aku telah redha Islam itu
menjadi agamamu.”
– Surah al-Maaidah: 3.
Adalah
penting bagi kita untuk sentiasa menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai
petunjuk dalam mengendalikan upacara sambutan Aidilfitri kerana inilah masa
untuk kita semua membuktikan bahawa kita benar-benar telah menjadi seorang
insan yang bertaqwa setelah melalui ujian pada bulan Ramadan, kerana padanya
terdapat ibadah puasa yang berupaya membentuk golongan muttaqin(orang yang
bertakwa). Justeru itu, ada baiknya sekiranya kita mengetahui apakah
amalan-amalan yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w sempena menyambut
ketibaan hari lebaran Aidilfitri ini.
1. Bertakbir
Bertakbir pada tarikh
1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir
pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir
setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah.Firman
Allah S.W.T:
“Supaya kamu cukupkan
bilangan puasa (sebulanRamadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan
bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.” – Surah
al-Baqarah:185.
Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah
kita menuju ke masjid untu menunaikan solat Aidilfitri.
2. Ucapan selamat di Aidilfitri dan mendoakan
antara satu sama lain
Majoriti amalan umat
Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran
dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’.
Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam
meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz
Ibn Hajar al-’Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a
katanya:
“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka
mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah
menerimaamalan kami dan amalanmu).”
3. Meneruskan qiamullail
Jika sepanjang bulan
Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai
ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya
diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud.
Saranan ini tidak
bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa
yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat
tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari
berikutnyasesudah bulan Ramadan
4. Mandi pada pagi hari raya
Disunnahkan mandi di
pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke
tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya
mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab:“Tidak
harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat,
hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.” – Hadis riwayat Imam Syafie.
5. Makan sebelum solat Aidilfitri
Disunnahkan kaum
muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri.
Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada
hari raya.
Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada
pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma
untuk dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja.
“Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri
sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah
menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya
dalam jumlah yang ganjil.” – Hadis riwayat al-Bukhari
Namun, jika tidak
memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan lain
terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan
sama sekali, memadai dengan hanya meminum air.
6. Memakai pakaian yang indah
Disunnahkan kaum
muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya.
Imam Syafie r.h berkata:
“Aku lebih
menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari
raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan
tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju
yang bersih dan memakai wangi-wangian
Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun
mereka hendaklahmenghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta
perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki.
Bagi golongan kanak-kanak pula, Imam Syafie r.h menambah:
“Mengenai golongan
kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya,
baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh memakaiperhiasan emas atau
apa sahaja perhiasan
Semoga di pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik serta paling
mahal mengikut kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat hari raya.
Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak
disunnahkan kepada kaum wanita.
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Mana-mana wanita yang
memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat
menghidu kewangiannya, dia adalah penzina.” – Hadis riwayat al-Nasaai
Namun begitu bukanlah
bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama
yang menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita
untuk memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau
busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya.
Haruman-haruman yang kuat dan boleh menaikkan nafsu berahi hanyalah khusus
untuk suaminya.
7. Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya
Umat Islam dianjurkan
berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan.
“Termasuk sunnah,
iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu
sebelum berangkat.” – Hadis riwayat al-Tirmizi
Namun begitu bagi
yang sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh,
ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih
afdal berbanding menaiki kenderaan.
8. Jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali bersolat Aidilfitri
Disunnahkan juga
mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat
hari raya.
“Nabi s.a.w
melalui jalan yang berbeza pada hari raya.” – Hadis riwayat al-Bukhari
Imam Ibn Qayyim
al-Jauziyyah r.h berkata:
“Baginda s.a.w
selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat
pada hari raya. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman
dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain
berpendapat untukmemberikan barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk
memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu.
Menurut pendapat lain pula untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan.
Pendapat yang lebih tepat adalah supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh
(banyak langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah
satu langkah kakinya akan meninggikandarjat. Sedangkan langkah kaki yang lain
akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya.”
9. Tempat perlaksanaan solat hari raya
Sunnah mengerjakan
solat hari raya di kawasan lapang atau musolla (tempat terbuka seperti padang
sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang
dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat
berpegang kepada sunnah Nabi s.a.w. Apakah musolla itu berbeza dengan masjid?
“Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke
musolla. Ketika itu, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah
mengerjakan solat hari raya (tanpa ada sebarang solat sunat).” – Hadis
riwayat al-Bukhari
10. Mengerjakan Solat Aidilfitri
Di antara syiar yang
paling utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri
sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam.
“Rasulullah s.a.w
telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari
raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan
sesudahnya.” – Hadis riwayat al-Bukhari
Disunnahkan menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya
Aidilfitri. Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata:
“Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar
menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di
masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan
menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya,
baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah).”
- Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.
Para jemaah tidak diwajibkan menghadiri atau mendengar khutbah hari raya.
Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat hari raya, sesiapa yang tidak ingin
turut serta mendengar khutbah maka dia dibenarkan meninggalkan majlis itu.
Abdullah bin al-Sa’ib r.a berkata:
“Aku pernah
menghadiri solat hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai solat baginda
bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk
mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar.”
– Hadis riwayat Abu Daud.
11. Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri
Islam adalah agama
yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi
tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk
menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha
untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari
raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam.
Suasana kegembiraan
ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan
hari rayaAidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah,
seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan
pelbagai lagi.
Rasulullah s.a.w
sendiri telah membenarkan pendudukMadinah al-Munawwarah bergembira apabila
munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.
“Nabi s.a.w pernah
datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka
bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu
baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari
(raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi:
Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebihbaik,
iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai
12. Berziarah
dan merapatkan hubungan baik sesama Muslim
Nabi s.a.w pernah bersabda: Barangsiapa
yang suka untuk diperluaskan baginya rezekinya, dan ditangguhkan (dipanjang)
umurnya, maka hendaklah dia menyambung (mengukuh) hubungan persaudaraannya (
Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
13. Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan
Syawal
Sabda Rasulullah
s.a.w:
“Sesiapa yang
berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan
Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” – Hadis riwayat Muslim.
Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Cara yang paling
afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri
secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh
para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie r.h.
Namun, seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada
di awal, pertengahanmahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan
secara berturut-turut atau berpisah-pisah.
Afdhal menyempurnakan
puasa bulan Ramadan yang ditinggalkan terlebih dahulu diikuti puasa sunat di
bulan Syawal. Perbuatan ini lebih bertepatan dengan maksud hadis di atas untuk
mendapat keutamaannya, iaitu seolah-olah berpuasa setahun.
KESILAPAN-KESILAPAN YANG DISEDARI ATAU TIDAK DISEDARI DI HARI RAYA AIDILFITRI
Dalam
pada masa yang sama, secara amat ringkas di sertakan beberapa kesilapan-kesilapan
kerap berlaku di musim perayaan Aidilfitri:-
- Sentuhan:
Berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah
rumah jiran dan rakan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat para ulama dalam
bab ini. Ia lebih baik dijauhi terutama apabila melibatkan pemuda dan pemudi.
- Aurat
& Ipar: Ipar duai yang tidak
menjaga aurat di antara satu sama lain ketika berada di dalam rumah. Seperti
adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah sedangkan abang iparnya berada
di rumah. Termasuk juga, tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup
aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang
terdedah.
- Wangian
Wanita: Kaum wanita memakai wangian dan solekan ala artis di musim perayaan
lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram.
- Pakaian
Wanita: Pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya
lalu bertandang ke khalayak ramai.
-
Ziarah Kubur: Berkumpul
beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang lain dengan alasan
untuk membaca Yasin yang agak panjang dan meletihkan jika berdiri. Larangan ini
disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai oleh Imam Khatib
As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga dilarang ( Mughni Al-Muhtaj, 1/354
; Minhaj at-Tolibin)
-
Meninggalkan solat: Kerana terlalu sibuk beraya di sana sini ada ketikanya
meninggalkan solat.
- Buat Dosa
Lagi: Kembali melakukan dosa yang ditinggalkan di bulan
Ramadhan. Syawal dijadikan tempat lambakan maksiat yang tidak seharusnya
dilakukan. Puasa enam boleh menghindari diri daripada melakukan perkara-perkara
yang berdosa. Jangan hancurkan seluruh kebaikan yang baru hendak sebati ketika
beribadah di bulan Ramadhan. Teruskan kebaikan itu di bulan Syawal.
SEMOGA AIDILFITRI TAHUN INI LEBIH
BAIK DARIPADA TAHUN-TAHUN DULU