ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Thursday, 1 August 2013

MENCARI UNTUK MENEMUI LAILATULKADAR

Lailatulqadar bermakna malam al-Qadar iaitu satu malam pada Ramadan yang sangat mulia, bahkan lebih baik daripada seribu bulan sehingga direkodkan al-Quran dalam satu surah khusus.

Firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) ini pada malam (lailatul) Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam al-Qadar itu? 

“Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perintah (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.” (Surah al-Qadr, ayat 1 hingga 5)

Oleh kerana mulianya malam al-Qadar, Rasulullah SAW menganjurkan agar umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan pelbagai amal ibadat yang membawa kerahmatan. 

Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi Muhammad SAW sabdanya (bermaksud): “Sesiapa menghayati malam al-Qadar dengan mengerjakan solat (dan pelbagai ibadat lain) sedang dia beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya dia diampunkan dosanya yang lalu.” (Riwayat Bukhari) 

Rasulullah SAW sendiri menunjukkan contoh yang baik kerana baginda memperuntukkan banyak waktu pada 10 malam akhir Ramadan dengan beriktikaf di masjid dan mengerjakan ibadat tanpa rasa jemu untuk menyambut malam al-Qadar.

Aisyah RA menceritakan: “Biasanya Rasulullah SAW berusaha dengan bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal ibadat pada 10 malam yang akhir (dari bulan Ramadan) berbanding waktu lain.” (Riwayat Muslim) 

Mengenai malam al-Qadar, Aisyah RA menyampaikan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam al-Qadar pada malam ganjil dalam 10 malam yang akhir dari Ramadan.” (Riwayat Bukhari) 

Jadi, malam ganjil itu ialah malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadan. Dalam pada itu, ada hadis yang menyatakan malam al-Qadar pernah ditemui di zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadan. 

Ada juga hadis menyatakan malam yang mulia itu pernah ditemui pada zaman baginda pada malam 23 Ramadan. Namun, baginda pernah menyuruh seorang sahabat bertanya mengenai waktu malam al-Qadar, agar dia bersedia menghayatinya pada malam 27 Ramadan. 

Daripada keterangan itu dapat difahami malam al-Qadar berubah-ubah dalam lingkungan ‘10 malam yang akhir' Ramadan. Waktu tepat berlakunya malam al-Qadar tetap dirahsiakan agar setiap orang Islam menghayati 10 malam yang akhir Ramadan dengan amal ibadat kerana dengan cara itulah sahaja mudah-mudahan akan dapat menemuinya dan dapat pula rahmat diharapkan.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar RA beberapa sahabat Nabi SAW bermimpi melihat malam al-Qadar pada tujuh malam terakhir Ramadan kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Menurutku, mimpi kalian itu memang tepat pada tujuh malam terakhir Ramadan. 

Siapa yang ingin mencari malam al-Qadar hendaklah ia mencarinya pada tujuh malam terakhir pada Ramadan.” (Riwayat Bukhari) Daripada Abu Salamah RA, bahawa dia bertanya kepada Abu Said RA mengenai malam al-Qadar, kemudian Abu Said mengatakan: “Kami pernah beriktikaf bersama Nabi SAW pada 10 hari yang tengah pada Ramadan.

“Kemudian pada pagi hari yang ke-20 baginda keluar dan memberitahu kami: ‘Aku diberitahu mengenai tanggal malam al-Qadar, namun aku lupa, maka carilah malam al-Qadar pada 10 malam yang ganjil pada akhir Ramadan.’ 

“Aku bermimpi bersujud di tanah yang berair dan berlumpur, maka siapa yang beriktikaf dengan Rasulullah SAW hendaklah ia kembali beriktikaf lagi (pada 10 malam yang akhir dan ganjil itu).” 

Kata Abu Sa'id RA: “Kami kembali beriktikaf lagi tanpa melihat segumpal awan pun di langit, tiba-tiba awan muncul dan hujan pun turun sehingga air mengalir melalui atap masjid yang ketika itu dibuat daripada pelepah pohon kurma, kemudian solat dilakukan. Aku melihat Rasulullah SAW bersujud di atas tanah yang berair dan berlumpur sehingga aku melihat bekas lumpur di dahi Rasulullah SAW.” (Riwayat Bukhari) 

Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas RA Nabi SAW pernah bersabda: “Carilah malam al-Qadar pada 10 malam akhir Ramadan, pada sembilan malam atau tujuh malam atau lima malam akhir (mulai malam 21 atau 23 atau 25).”

No comments:

Post a Comment