Alhamdulillah dengan kasih sayang dan rahmat-Nya,
tahun ini kita dapat bersua lagi dalam meraikan Aidilfitri yang mulia. Kita
dapat bersama-sama menikmati hari kemenangan dan kebahagiaan ini yang pastinya
menyuburkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Aidilfitri telah
menyuburkan sifat takwa kepada Allah SWT melalui lafaz dan alunan kalimah
takbir yang memuji Allah dengan kalimah Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu
Akbar, Allah Maha Besar, yang bergema di seluruh pelusuk kota dan desa di
negara yang kita cintai ini.
Dalam kesemptan Adilfitri ini, kami mengajak teman-teman
sekalian untuk menghayati Hari Raya Aidilfitri dalam kehidupan kita pada hari ini.
1. Aidilfitri Hari Kemenangan dan Kegembiraan
Adilfitri adalah hari kemenangan dan kegembiraan
bagi seluruh umat Islam. Aidilfitri disambut sebagai satu kemenangan setelah berjaya
mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna. Kemenangan itu bukan saja
menang kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum pada siang hari di bulan Ramadan,
malah kejayaan menghalang diri daripada melakukan perkara-perkara dilarang ketika
berpuasa.. Lantaran itu Allah menganugerahkan kita sambutan Aidifitri bagi
meraikan hari kemenangan ini. Sambutlah kemenangan ini dengan penuh rasa taqwa
dan rendah diri pada kebesaran dan keangungan Allah SWT.
Kalimat 'fitri ' sendiri bermaksud fitrah, yang
membawa kita kembali kepada fitrah yang asal, yang bersih daripada dosa dan
noda. Dalam sebuah Hadith yang diriwayatkan At-Thabrani dari Ubadah bin Soib menyatakan
bahawa: "Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan
amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada
hari semua hati-hati akan mati, iaitu hari kiamat."
2. Aidilfitri Hari Raya Fitrah
Aidilfitri perlu difahami oleh Muslimin sebagai
satu bentuk ganjaran daripada Allah bagi mereka yang sabar dan taat beribadah
dengan penuh kesempurnaan sepanjang Ramadan al-Mubarak. Tujuannya hanya
mengharapkan keredaan-Nya.
Aidilfitri adalah hari yang amat istimewa. Ia
disambut khusus bagi merayakan kembalinya setiap Muslim kepada keadaannya asal
iaitu fitrah, yakni suci lagi bersih. Aidilfitri yang sebenar-benarnya adalah
kesinambungan kepada ketakwaan yang dituntut atas kita sepanjang mengerjakan
ibadah puasa. Ia adalah perayaan bagi meraikan kemenangan setiap mukmin melawan
godaan dan hawa nafsu.
Oleh itu, sambutan bagi merayakan Syawal perlu
sejajar dan selaras dengan kehendak serta tuntutan syariat. Kita perlu
melakukan amalan sunat seperti memperbanyakkan bertakbir dan berzikir
mengingati Allah. Mengerjakan solat sunat Aidilfitri dengan mengenakan pakaian
baru dan indah. Menziarahi sesama umat Islam sambil bermaaf-maafan seperti yang
dianjurkan oleh Rasulullah saw. Selain itu, kita wajib memelihara batas hukum
syarak supaya tidak terbabas daripada landasan ditetapkan Islam ketika meraikan
Aidilfitri. Sambutan Aidilfitri tidak seharusnya dicampur-adukkan dengan
perbuatan atau pelakuan yang sia-sia dan berunsurkan maksiat. Perkara itu bukan
saja bersalahan dengan konsep kembali kepada fitrah seseorang Muslim, malah
dikhuatiri turut mencemarkan nilai ibadah yang diusahakan sepanjang Ramadan.
3. Aidilfitri Hari Silaturahim
Aidilfitri adalah hari mengeratkan tali
persaudaraan dan menyuburkan silaturrahim. Islam meletakan nilai persaudaraan
dan kasih sayang itu di tempat yang amat tinggi dan utama. Hubungan persaudaraan
yang baik adalah satu usaha untuk membentuk individu yang berkualiti. Ini boleh
membawa kepada kesejahteraan dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan
bernegara. Dalam hubungan ini, sambutan Aidilfitri telah memberi ruang dan
pelaung yang luas ke arah pengkukuhan persaudaraan dan silaturahim melalui
ucapan salam Aidilfitri, kunjung mengunjungi dan saling bermaaf-maafan. Ketika
memohon kemaafan, mohonlah dengan penuh kesedaran dan ketika memberikan kemaafan,
berilahdengan penuh redha dan tulus ikhlas yang kita benar-benar
memaafkannya.
Allah SWT juga memerintahkan manusia supaya berlaku
baik terhadap jiran tetangga, sama ada jiran tetangga dekat ataupun jauh. Ini
jelas sebagaimana firman-Nya dalam Surah An-Nisaa', ayat 36 yang bermaksud: "Dan
hendaklah kamu beribadat kepada Allah, dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya
dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu
berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum
kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang
dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang
terlantar, dan juga hamba sahaya yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak
suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membanggakan dirinya."
Menurut pandangan jumhur ulama bahawa mengucapkan
tahniah di Hari Raya merupakan sesuatu perkara yang disyari'atkan di dalam
Islam. Al-Imam Al-Qalyubi menaqalkan daripada Al-Imam Ibnu Hajar bahawa memberi
atau mengucapkan tahniah pada hari-hari raya, bulan-bulan dan tahun-tahun
(kerana ketibaannya) merupakan perkara yang disunatkan.
Al-Imam Al-Baijuri mengatakan bahawa inilah yang
yang dii'timadkan. Manakala amalan saling ziarah menziarahi terutama sekali
saudara mara terdekat dan sahabat handai merupakan suatu tradisi yang sentiasa
diamalkan ketika menyambut Hari Raya. Amalan ini juga sebenarnya termasuk di dalam
perkara yang digemari dan disyariatkan di dalam Islam.
Dalil yang menunjukkan pensyariatannya sebagaimana
yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu 'anha, beliau berkata: (Yang maksudnya)
"Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam masuk kepadaku, dan di sisiku ada
dua orang anak perempuan yang menyanyi dengan nyanyian Bu'ats. Lalu Baginda
baring di atas hamparan dan memalingkan mukanya,
dan kemudian Abu Bakar masuk,
lalu mengherdikku dengan berkata: "Seruling syaitan di sisi (di tempat) Nabi SAW" Rasulullah SAW menghadap kepada Abu Bakar
lalu berkata: "Biarkan mereka berdua itu." Melalui riwayat Hisyam Baginda menambah:
"Wahai Abu Bakar, masing-masing kaum ada hari rayanya, dan hari ini adalah
Hari Raya kita."
4. Aidilfitri Mengukuh Perpaduan
Kita tidak boleh menafikan bahawa Negara kita
Malaysia adalah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum. Dari aspek
positif, semua perayaan kaum utama di negara ini dikenal pasti sebagai wadah
yang mampu untuk menjana perpaduan antara kelompok yang berbeza latar belakang keturunan,
budaya dan agamanya. Oleh itu, setiap kali tiba musim
perayaan, majlis rumah terbuka diadakan bagi
mengukuhkan hubungan dan integriti antara kaum. Ini tidak kerkecuali dengan
perayaan Aidilfitri yang kita rayakan ini.
Suasana sedemikian memperlihatkan pengaruh antara
budaya semakin diterima dan mendapat tempat di kalangan anggota masyarakat
majmuk di negara ini. Dalam hal ini, Islam sememangnya menggalakkan umatnya berkenal-kenalan
dengan bangsa lain. Kita dituntut memperlihatkan ketinggian syiar Islam pada
mata penganut agama lain sebagai usaha endekatkan diri mereka kepada kita sebagai
ummatan wa sotan. Ini seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 143
yang Maksudnya: "Dan demi kianlah (seperti Kami telah memimpin kamu ke
jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang
pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan
kepada umat manusia (mengenai yang benar dan yang salah)."
5. Aidilfitri
Mengukuh Keimanan
Hari Raya tidak memisahkan kita dengan umat Islam
di negara lain sekalipun kita dipisahkan lautan dan sempadan. Namun, hubungan
kasih sayang, silaturrahim dan persaudaraan dengan umat Islam di lain-lain negara
tetap utuh dan kukuh. Ikatan persaudaraan ini berpaksikan kepada aqidah
Islamiah yang sebenar.
Walau bagaimanapun, masih ada ruang yang boleh
diambil kesempatan oleh musuh Islam untuk memecah belahkan perpaduan dan
merosakan aqidah umat Islam melalui fahaman, perlakuan atau perbuatan yang bertentangan
dengan ajaran Islam. Pelbagai bentuk ancaman yang
membahayakan aqidah umat Islam baik yang disedari atau tidak disedari telah
meresap dalam kehidupan umat Islam kini. Justeru itu, umat Islam diminta lebih
berwaspada terhadap ancaman ini, kerana ia boleh menghancur leburkan kehidupan
aman masyarakat dan negara kita.
Antara ancaman yang mendatang ini ialah faham
sekularisma dan liberalism yang tertegak atas dasar pemisahan agama dari
kehidupan, amalan sihir, ajaran sesat, penyalah gunaan dadah, syabu atau seumpamanya
dan ajaran-ajaran yang bercanggah dengan fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah yang
diamalkan di Negara ini.
Dalam mendepani muslihat dan ancaman tersebut, umat
Islam mesti memperkukuhkan amalan dan amal ibadah seperti yang dilakasanakan dalam
bulan Ramadhan, menguasai ilmu fardu ain dan fardu kifayah, mempelajari dan
memahami ajaran dan syariat Islam dengan baik dengan merujuk kepada golongan
alim ulama yang arif dan muktabar.
Akhirnya, semoga kita semua beroleh kejayaan dan
kemenangan dalam mengharungi ujian di bulan Ramadhan yang baru berlalu. Jiwa
mukmin akan merintih dan sedih melihat Ramadhan berlalu pergi, sekalipun
gembira menyambut kedatangan Syawal yang mulia. Semoga Aidilfitri ini, dapat
kita raikan dengan penuh keimanan dan ketaqwaan. Mudah-mudahan ibadah kita hari ini kita lebih baik dari hari
semalam dan tahun ini lebih baik dari tahun sebelum, insya Allah.
No comments:
Post a Comment