ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Wednesday, 16 October 2013

JABAL AL-RAHMAH

Di Padang Arafah, jemaah haji dari jauh disambut dengan dua mercu tanda penting. Satu ialah Masjid Nimira dan satu lagi, Jabal Al-Rahmah.  Jabal Al-Rahmah ialah sebuah bukit kecil dan di sinilah Rasulullah (SAW) menyampaikan khutbah terakhirnya yang sehingga ini menjadi panduan umat Islam, meliputi secara mendalam aspek ekonomi, sosial dan politik. 

Satu tiang kecil putih di puncak bukit itu menjadi tanda tempat Baginda berdiri lebih 14 abad lalu. Dan sehingga kini ia menjadi impian bagi setiap jemaah untuk tiba di Jabal Al-Rahmah dan berdoa di situ. 

Pada musim haji, pemandangannya tidak ada beza. Jemaah, termasuk yang tua dan wanita berpusu-pusu mendaki bukit berkenaan dan cuba untuk mendapatkan tempat yang terbaik untuk menunaikan solat, bedoa, bertasbih, bertahmid dan sebagainya. 

Di sinilah tempat Rasulullah menyampaikan khutbah terakhirnya kepada kita dan kerana itu ia begitu penting untuk kita berada di sini, sedekat yang mungkin. Dengan berada di sini melambangkan kasih kita kepada Baginda. Tidak ada perasaan yang lebih hebat selain mengikuti jejak Rasulullah. Berharap semua umat Islam juga dapat melaksanakan pesanan Baginda yang diucapkan dari sini. 

Ada juga menganggap Jabal Al-Rahmah sebagai tempat paling sesuai untuk berdoa mendapatkan jodoh atau mengikat kasih sayang. Satu daripada kisah lucu yang pernah berlaku ialah mengenai seorang suami yang ketika dalam perjalanan ke bukit itu meminta isterinya mengaminkan apa saja doa yang dibacanya di atas bukit itu. Antara doa yang dibaca si suami ialah mendapat jodoh apabila pulang ke tanah air dan ia diaminkan oleh si isteri. Apabila kembali ke tanah air memang betul lelaki itu dipertemukan jodohnya seorang lagi. 

Ramai ulama berulang kali mengingatkan jemaah supaya tidak mengaitkan tempat itu dengan ibadah haji. Bagaimanapun, bukit itu seolah-olah menjadi besi berani yang menarik jemaah, tidak kira dari mana asal mereka. Padang ini begitu besar dan seseorang boleh duduk di mana-mana. Tetapi di Jabal Al-Rahmah ini kita boleh memperoleh semangat yang begitu tinggi dan meningkatkan kasih sayang kita kepada Baginda. 

Pada musim haji, bukit itu sesak dengan jemaah yang berihram. Sinaran terik matahari tidak menghalang mereka untuk mendaki atau berdiri di atas bukit itu. Dari jauh Jabal Al-Rahmah itu kelihatan seperti sekeping kain pelbagai warna, kerana ratusan, malah ribuan payung pelbagai warna yang digunakan oleh jemaah untuk melindungi mereka daripada sinaran matahari. 

Di benua Arab, Jabal Al-Rahmah juga dikenali sebagai Jabal Al-Dua atau Bukit Untuk Berdoa. Batu hitam mengelilingi bukit berkenaan ialah kira-kira setinggi 300 meter. Tiang putih di atasnya pula setinggi tujuh meter. Dari situ, seseorang boleh melihat keluasan Arafah. Meskipun untuk berdiri di puncak bukit berkenaan tidak termasuk dalam ibadah haji, ramai percaya ia adalah amalan yang perlu dilakukan ketika berada di Arafah. Ia jelas satu kesilapan kerana berwukuf di Arafah ialah untuk menghabiskan masa beribadah, termasuk bertakbir dan bertahmid.

No comments:

Post a Comment