ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Wednesday, 16 October 2013

KESAN IBADAH KORBAN

Zulhijah adalah bulan berkat yang dipenuhi dengan peristiwa ibadah haji dan korban. Bagi umat Islam, Aidiladha sudah sinonim dengan amalan korban. Ibadah itu adalah sesuatu yang berbentuk sosial yang amat dituntut agama kepada yang mampu iaitu hukumnya sunat muakad, iaitu sunah yang digalakkan atau dituntut ke atas setiap individu Muslim yang merdeka, berakal, baligh dan berkemampuan melakukannya. Insya-Allah dengan niat berkorban kerana Allah dengan hati penuh ikhlas, kita akan mendapat ganjaran pahala dan hidup dilingkari keberkatan.

Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Kautsar ayat 2 yang bermaksud, “Maka kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai tanda bersyukur.”

Firman Allah itu menjelaskan kepada kita perihal ibadah korban yang memperingatkan kita nilai kesyukuran dan ketakwaan kepada Allah. Jadi, dapatlah kita katakan bahawa melaksanakan ibadah korban itu adalah manifestasi iman dan takwa seorang mukmin. Sekarang kita tinjau pula apa sabda Rasulullah s.a.w. Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi, Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Aku diperintahkan dengan menyembelih korban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu.” 

Ibadah korban bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai Al-An’am iaitu seperti unta, lembu, kerbau, biri-biri dan kambing pada hari Nahar atau Hari Raya Haji (10 Zulhijah) dan pada hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijah) kerana bertaqarrub (iaitu mendekatkan diri) kepada Allah. 

Ibadah korban menjadi landasan terbaik ke arah penyediaan kekuatan diri untuk menghadapi cabaran. Ia lambang ketakwaan seseorang hamba kepada Allah, asalkan korban yang dilakukan itu berdetik daripada hati yang tulus ikhlas kerana-Nya sebagaimana maksud firman Allah dalam surah al Hajj ayat 37, bahawa yang dinilai dan diterima Allah hanya ibadah korban yang dilakukan dengan hati ikhlas berasaskan takwa.  

Ibadah korban mempunyai nilai ganjaran pahala besar yang dijanjikan Allah. Walaupun ia hanya sunat muakad hukumnya, tetapi bagi yang mampu jika tidak menunaikan ibadah korban itu hukumnya makruh.  

Nabi s.a.w berpesan melalui hadisnya, “Tidak ada amalan yang dilakukan anak Adam pada Aidiladha yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada hari kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan Allah memberi pahala ibadah korban itu sebelum darah binatang korban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah korban kamu.” (Hadis riwayat at Tirmidzi dan Ibnu Majah). Demikian fadilat ibadah korban daripada perspektif ganjaran pahala.  

Namun demikian, ibadah korban sebagaimana tujuan membuktikan ketakwaan seseorang hamba Allah juga akan dapat membentuk ekologi kehidupan komuniti umat Islam yang bersatu dan saling bantu membantu. Hal itu pasti dijana kukuh kerana seseorang yang melakukan ibadah korban itu akan membahagi-bahagikan daging korban kepada orang miskin yang memerlukan.  

Secara tidak langsung hikmah yang tersirat ini akan membuahkan sikap prihatin dalam sesebuah masyarakat. Sikap membantu dan peka kepada orang miskin sesama Islam sangat dituntut dalam agama.  

Dengan itu juga akan lahirlah masyarakat Islam yang aman dan harmoni. Tiada lagi unsur dengki, tetapi yang dibina adalah semangat ukhuwah berasaskan ketakwaan dan mengharapkan keredaan Allah. Ibadah korban akan membudayakan ahli masyarakat hidup dalam sikap pemedulian yang kental.  

Hubungan silaturahim itulah yang akan mengukuhkan perpaduan ummah selain dapat mengerjakan syiar Islam. Imam al Ghazali pernah mengatakan, “Silaturahim adalah amalan mulia nabi dan rasul, sehinggakan orang yang memutuskan silaturahim dianggap telah melakukan dosa besar. Jadi, ibadah korban itu adalah landasan terbaik dan berkesan untuk memupuk silaturahim dan membentuk umat Islam yang bersatu.”  

Keseluruhannya, amalan korban itu mengandungi falsafah tersirat yang sangat wajar diaplikasikan dalam segenap lapangan kehidupan. Jangan hanya kita melihat ia sebagai suatu ibadah, tetapi dalam kehidupan seharian kita lupa untuk membudayakan sikap berkorban untuk golongan memerlukan.  

Jika sikap sanggup berkorban itu sudah sebati dan berbudaya mantap dalam diri setiap umat Islam, tentu akan wujud ikatan ukhuwah yang mantap dan dapat hidup bersatu dalam suasana aman damai. Ini sekali gus dapat memperkasa jati diri ummah dengan penampilan perwatakan yang kondusif dan mulia.  

Nabi bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang menyenangkan orang susah, Allah akan menyenangkannya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup keburukan seorang Muslim, Allah akan menutup keburukannya di dunia dan akhirat. Dan Allah akan menolong seorang hamba selagi ia berusaha untuk menolong saudaranya.” (Hadis riwayat Muslim)  

Demikian Islam mengajar umatnya hidup dalam suasana harmoni dan bersatu. Oleh itu, ibadah korban dalam Aidiladha adalah wadah terbaik untuk merealisasikan matlamat tersebut dan seterusnya dilanjutkan sebagai amalan hidup. Dengan sikap hidup bermuafakat, saling membantu antara satu sama lain, serta nilai kekitaan yang padu, pastinya seseorang mukmin itu dapat meluaskan wilayah kebaikan serta melebarkan jaringan kebajikan sebagai insan yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah. Inilah pengertian tersirat daripada ibadah korban itu.  

Justeru, umat Islam sepatutnya meneruskan erti berkorban dalam kehidupan seharian dan tidak hanya semasa Aidiladha. Jika amalan tersebut diterapkan dan dijadikan satu budaya peribadi setiap insan, pasti kehidupan bermasyarakat dan bernegara akan memancarkan senario yang amat kondusif dan dinamik.

Sumber

No comments:

Post a Comment