ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Sunday, 29 June 2014

RAMADHAN PAHALA BERGANDA KEAMPUNAN TERBUKA

Kehidupan kita di dunia ini tidak bererti sekiranya kita tidak mendapat keredhaan dan rahmat dari Allah S.W.T dan lebih tidak bererti lagi jika segala kesalahan, keterlanjuran dan dosa-dosa yang kita lakukan tidak mendapat keampunan dari Allah SWT. maka, sebagai orang yang beriman kita dituntut agar sentiasa memohan keampunan kepada Allah di atas segala dosa yang telah kita lakukan samada dosa kecil mahupun dosa besar. Sesungguhnya bagi orang yang tidak memohon keampunan kepada Allah dengan menangguh-nangguhkannya atau melambat-lambatkan tindakan tersebut, mereka dianggap sebagai orang yang angkuh dan sombong dengan Allah SWT.

Maka bersempena bulan Ramadan yang penuh dengan keampunan dan sebagai orang yang beriman kita sentiasa mengharapkan keredhaan dan rahmat dari Allah S.W.T. Kerana itulah, kita dituntut agar mempertingkatkan amal bagi memperolehi keredhaan tersebut, terutama dengan memperbanyakkan amal ibadah di samping dikerjakan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Hari ini merupakan bulan untuk kita umat Islam menunaikan ibadah puasa, kita berpuasa dengan penuh kesabaran dan ikhlas kerana Allah semata-mata mengharapkan keampunan dan keredhaan dari Allah S.W.T. Begitu juga, bersamanya kita mengharapkan agar digandakan pahala, dibukakan pintu syurga, ditutup pintu neraka dan hidup kita dijauhi dari godaan syaitan.

Sabda Rasulullah SAW: "Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: apabila telah tiba bulan Ramadan, maka terbukalah semua pintu rahmat dan ditutup semua pintu neraka serta tangan-tangan syaitan dirantai." (Hadis riwayat Ahmad)

Kedatangan bulan Ramadhan amat digeruni dan ditakuti oleh syaitan kerana pada bulan ini Allah tidak membenarkannya menghasut serta menggoda manusia melakukan kejahatan dan maksiat. Pada bulan ini syaitan akan dirantai dan dibelenggu. Dalam hal ini Rasulullah S.A.W. menjelaskan dalam hadis baginda: "Daripada Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda apabila telah tiba bulan Ramadhan, maka terbukalah semua pintu rahmat dan ditutup semua pintu neraka serta tangan-tangan syaitan dirantai". (Hadis riwayat Ahmad) 

Mencari keredhaan dan keampunan Allah S.W.T adalah merupakan amalan harian hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertakwa, mereka tidak jemu dan berputus asa melakukannya kerana mereka yakin bahawa Allah akan mengurniakan kepada mereka keredhaan dan keampunan diatas segala dosa-dosa yang telah dilakukan selagi mana mereka terus memohan.

Justeru, Allah S.W.T yang bersifat Maha Pemurah dan Maha Pengampun tidak akan keberatan memberi keredhaan dan keampunan kepada hamba-hamba-Nya yang meminta dan memohan dirinya.

Salah satu hikmah diwajibkan kita berpuasa adalah untuk meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183: "Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa." 

Berdasarkan firman Allah tersebut, membawa maksud kepada kita bahawa kesan dari ibadah puasa bagi orang yang beriman ialah bertambah ketakwaan Mereka kepada Allah. Justeru, setelah kita melaksanakan ibadah puasa, adakah bertambah ketakwaan kita atau semakin berkurang?. Atau adakah jiwa kita semakin bersemangat untuk memperbanyakkan amal ibadah atau jiwa kita semakin lalai dan meringan-ringankan tuntutan ibadah?.

Adalah sungguh bijak bagi kita merebut segala peluang yang Allah sediakan pada bulan Ramadan ini, daripada kita mensia-siakannya. Kerana kita belum pasti lagi sama ada kita berpeluang atau tidak untuk terus bersama dengan Ramadan pada tahun hadapan. Kerana sesungguhnya Allah telah menyediakan dalam bulan Ramadan ini satu malam yang nilai keberkatan dan ganjaran pahalanya pada malam tersebut lebih baik dari seribu bulan. Firman Allah dalam surah al-Qadr: "Sesungguhnya kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu?, malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!." 

Asbabun Nuzul ayat tersebut diriwayatkan daripada Mujahid Rahimahullah dikatakan Rasulullah S.A.W telah menyebut tentang kisah seorang lelaki dari bani Israel yang telah menggunakan kekuatan senjatanya dan kemahirannya untuk berperang pada jalan Allah maka orang Islam pun kagum di atas kehebatannya lalu Allah menurunkan ayat tersebut.

Dalam riwayat yang lain pula, dari Ali bin Aurah pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut tentang kisah empat orang bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikitpun tidak derhaka kepada Allah lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka. Lalu Jibril A.S datang memberitahu kepada Rasulullah S.A.W bahawa Allah S.W.T menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril AS berkata kepada Rasulullah S.A.W ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan, ini menjadikan Rasulullah S.A.W dan para sahabat amat gembira dengan perkhabaran Jibril tersebut.

Dari surah al-Qadr tersebut dapatlah kita fahami bahawa besar kelebihannya bagi orang yang beribadah pada malam Lailatul Qadar. Amalan yang dikerjakan pada malam tersebut digandakan. Samada salat yang kita kerjakan, bacaan al-Quran atau zikrullah yang kita ucapkan serta amalan-amalan lain digandakan oleh Allah S.W.T. Kerana itulah, bagi mendapatkan malam tersebut Rasulullah S.A.W mempertingkatkan dengan melakukan ibadah pada malam-malam sepuluh terakhir Ramadan dan bukan hanya setakat bagi dirinya sahaja malahan Baginda menyuruh ahli keluarganya bangun bersama-sama untuk beribadah. "Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh hari terakhir Ramadan, Baginda akan mempertingkatkan amal ibadah, menghidupkan malam dan mengejutkan ahli keluarga." (Hadis riwayat Bukhari)

Orang yang tekun beribadah semata-mata untuk menemui malam Lailatul Qadar pasti akan mendapat rahmat yang telah dijanjikan Allah S.W.T terutama dengan melakukan amalan seperti berikut:
  1. Menghayati malam tersebut dengan memperbanyakkan beribadah seperti mengerjakan salat sunat, membaca Al-Quran, berzikir, beriktikaf, berdoa dan sebagainya.
  2. Beriman dengan yakin bahawa malam Lailatul Qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan beribadah serta dikerjakan semata-mata kerana Allah S.W.T dengan mengharapkan rahmat dan keampunan-Nya.
  3. Dalam kita melaksanakan ibadah di malam Lailatul Qadar hendaklah kita bertaubat dengan sebenar-benarnya iaitu taubat nasuha dengan terus beristiqamah tetap teguh mengerjakan suruhan Allah S.W.T dan meninggalkan segala larangan-Nya.
  4. Perbanyakkan berdoa terutama doa khusus untuk malam Lailatul Qadar. Iaitu sepertimana yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah R.A.
"Saya pernah bertanya kepada Rasulullah S.A.W seandainya saya mengetahui malam Lailatul Qadar dengan tepat. Apa yang patut saya akan doakan pada saat itu. Baginda menjawab berdoalah dengan doa berikut: "Ya Allah Ya Tuhanku sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan sentiasa memberi keampunan di atas kesalahan hamba-Mu oleh itu maafkanlah segala kesalahanku." (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

Marilah sama-sama kita menyambut kedatangan bulan Ramadhan dengan penuh rasa kecintaan dan kerinduan. Kita juga perlu membuat persediaan dan persiapan samaada dari segi jasmani dan rohani supaya Ramadhan yang disambut itu benar-benar dapat dihayati segala kelebihan dan keistimewaannya. sebagai seorang Islam kita sawajarnya merebut dan mendapatkan segala peluang keemasan dan keistimewaannya yang terdapat di dalam bulan tersebut yang terdiri daripada tawaran pahala yang berlipat kali ganda serta anugerah Lailatul Qadar dan keampunan dari segala dosa dan kesalahan.
Sabda Rasulullah S.A.W.: "Barang siap merasa gembira dengan sebab kedatangan bulan Ramadhan nescaya Allah Taala mengharamkan jasadnya daripada api neraka". (Hadis riwayat Ahmad) 

Allah S.W.T. sangat menyayangi hamba-hambaNya dan ruang rahmat ini perlu direbut dengan petunjuk Allah S.W.T, "Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam) dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar. (Surah al-Isra' ayat : 9)

Semoga kita terus mendapat hidayah dan pahala berganda di bulan yang mulia ini, Wallahua'lam.

Ustazah Sabariah Bt. Haji Salleh P.P.T
Penolong Pengarah
Unit Ukhuwah Bahagian Dakwah
Jabatan Agama Islam Selangor.

RAMADHAN: BULAN BONUS UMAT ISLAM

Bulan ramadhan  adalah "Syaidul Syuhur" iaitu penghulu bulan. Apabila ia disebut sebagai penghulu, maka bererti ia melebihi dari bulan-bulan yang lain dari sudut fadhilat dan kelebihannya. Di dalam Al-Quran ia disebut secara terang dan jelas berbanding bulan-bulan yang lain. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 185: 

"Bulan ramadhan yang  diturunkan al-Quran padanya, dimana al-Quran menjadi petunjuk kepada manusia dan yang menerangkan tentang pertunjuk dan yang membezakan antara hak dan bati" 

Dalam bulan ramadhan terdapat banyak amalan-amalan yang tiada pada bulan lain malah digandakan pahalanya lebih dari bulan-bulan yang lain. Tidak hairanlah kalau dikatakan bahawa bulan ramadhan ini ialah bulan mendapat bonus dari Allah s.w.t. Sebab itu kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya yang bukan hanya satu bonus yang ditawarkan malah sangat banyak dan berlipat kali ganda pula. Penjawat awam dapat duit raya setakat RM500 dan di Pulau Pinang RM 400. Kalaulah gaji seseorang RM3,000 maka sebenarnya kadar bonus RM500 itu hanya sekadar 1/6 dari gaji tidak sampaipun sekali ganda. Itupun kalau kita tak dapat heboh seluruh dunia.

Ini pula bonus Allah s.w.t yang akan kita dapat di negeri yang kekal abadi, Apakah kita tidak mahu merebutnya ?. Amalan yang sunat dibulan ramadhan adalah sama dengan ganjaran amalan wajib. Antara amalan yang terdapat pada bulan ramadhan yang tidak terdapat pada bulan lain ialah puasa, zakat fitrah,  kelebihan beramal pada lailatul kadar dan solat tarawih. Allah s.w.t memberikan ganjaran kepada hambanya bagi satu amalan yang baik ialah dengan 10 pahala ( 10 kali ganda ) sehingga kepada 700 pahala dan lebih dari itu. Di dalam Al-quran Allah s.w.t berfirman dalam Surah Al-Baqarah  ayat 261      : 

"Bandingan (derma atau nafkah) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah seumpama sebiji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai, setiap tangkai itu mengandungi 100 biji. Allah melipatkan pahala bagi siapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas( kurnianya ) lagi Maha Mengetahui"

Maknanya satu amal kebajikan Allah beri bonus paling minima dengan 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda dan lebih lagi . Contohnya mereka yang melakukan ibadat di Masjidil Haram Makkah akan diganjar dengan 100,000 ganjaran. Bayangkan jika dilakukan pada bulan ramadhan. Mana ada Syarikat di dunia ini yang boleh beri kita bonus sebanyak itu. Malah Multi Level markerting (MLM) pun tidak dapat memberi pulangan dan kelebihan sebesar itu.

Lailatul qadar diberi oleh Allah s.w.t pada bulan ramadhan dengan pahala yang lebih baik dari seribu bulan. Bayangkan kalau 1000 bulan dijadikan tahun, maka jumlahnya ialah 83 tahun 3 bulan. Umur manusia akhir zaman pun kebanyakan tidak akan sampai ke tahap itu sebagaimana disebutkan oleh nabi s.a.w: 

"Umur umatku adalah antara 60 hingga 70 tahun" 

Allah s.w.t menyatakan di dalam Surah al-qadr: 

"Sesungguhnya kami telah menurunkan al-quran pada malam qadar. Dan apakah engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam qadar itu?. Malam Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin tuhan mereka,untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar" 

Membaca al-Quran misalnya diganjar oleh Allah s.w.t pada setiap huruf yang dibaca dengan satu kebajikan dan seterusnya digandakan dengan 10 kebajikan. Rasulullah s.a.w bersabda: 

"Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran baginya satu kebaikan dan satu kebaikan itu digandakan denga sepuluh. Aku tidak mengatakan : Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu satu huruf" 

Orang yang bersedekah pada bulan ramadhan juga diganjar pahala yang berlipat ganda sebagaimana rasulullah s.a.w telah bersabda: 

"Sesiapa yang bersedekah menyediakan makanan bagi orang yang berpuasa, maka baginya pahala sebanyak mana orang yang berpuasa itu tanpa dikurangi pahala mereka" 

Saturday, 28 June 2014

KELEBIHAN PUASA DI BULAN RAMADAN

Firman Allah ( Ayat Al-Baqarah ayat 183 dan 185 ) 

"Wahai orang-orang beriman!! Kamu diwajibkan berpuasa sebagimana yang diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa". 

Bagi orang-orang Islam yang beriman, bulan Ramadhan adalah bulan yang dinanti-nantikan ketibaannya oleh setiap ummat Islam, memandangkan ia bulan yang mulia dan memberi begitu banyak manfaat dan keistimewaan, faedah, fadhilat dan masa depan yang cerah bagi mereka yang tahu dan menghayatinya. 

KEUTAMAAN RAMADHAN
Terdapat puluhan hadis Rasulullah saw yang menjelaskan tentang fadhilat dan keutamaan pusa di bulan Ramadhan, bukan sahaja untuk manfaat ummat Islam di akhirat kelak, malah ianya memberi faedah yang besar untuk kesihatan tubuh badan manusia di dunia ini.

ANTARA FADHILAT DAN KELEBIHAN BERPUASA DI BULAN RAMADHAN.
1. Pintu langit dibuka
2. Pintu-pintu syurga di buka 

FADHILAT YANG LAIN
1. Mereka yang berpuasa akan mendapat balasan syurga
2. Orang yang berpuasa dimakbulkan permintaanya oleh Allah SWT
3. Orang yang berpuasa mendapat 2 kegembiraan iaitu semasa berbuka dan apabila bertemu dengan Allah pada hari kiamat kelak
4. Orang yang berpuasa mendapat peliharaan Allah Swt
5. Orang yang berpuasa dengan sempurna dijanjikan mahligai yang indah di syurga
6. Setiap kali sujud orang yang berpuasa, dikurniakan 1700 kebajikan, dibinakan mahligai di syurga dan 70,000 malaikat memohon keampunan baginya dari pagi hingga petang.

AMAL IBADAH DI BULAN RAMADHAN
Dalam khutbah terakhir bulan Sya'ban untuk persediaan menghadapi bulan Ramadhan, Rasulullah saw telah memberi nasihat kepada ummat Islam supaya menyempurnakan amal ibadah sepanjang bulan ramadhan, antaranya ialah:
  • Solat sunat Tarawih
  • Solat-solat sunat yang lain
  • Bantu membantu sesama umat islam seperti bersedekah dan seumpamanya
  • Memberikan hidangan berbuka puasa
  • Banyakkan membaca tahlil
  • Banyakkan beristighfar dan bertaubat, memohon keampunan kepada Allah swt
  • Banyakkan berdoa memohon syurga dan perlindungan dari azab neraka
  • Banyakkan bersabar, kerana bulan Ramadhan adalah bulan kesabaran.
  • Tinggalkan dan jauhi dari segala perbuatan maksiat dan kemungkaran, kerana ia boleh menghapuskan ganjaran pahala ibadah kita.

Oleh itu marilah sama-sama kita berpuasa dengan seikhlas-ikhlasnya. Jangan kita hanya berpuasa, kerana ikut orang lain berpuasa atau kerana bapa kita puasa, maka kita juga kena puasa. Hayatilah kelebihan-kelebihan berpuasa, agar kita sempurna di dunia dan di akhirat.

KEUTAMAAN BULAN RAMADAN

MAKNA RAMADHAN

Ramadhan membawa maksud panas yang sangat terik. Dinamakan demikian kerana pada bulan tersebut di tanah Arab kebiasaanya cuaca adalah panas, terik dan kering. Maka makna panas tersebut  diharapkan dapat membakar segala kekotoran dosa orang yang berpuasa dan yang menghidupkan ibadah di sepanjang bulan Ramadan.

KEISTIMEWAAN BULAN RAMADHAN

Bulan Ramadhan mempunyai beberapa nama berdasarkan kepada kelebihan dan keistimewaannya. Nama-nama tersebut ialah:

1. Saiyidus Syuhur (Penghulu sekalian bulan)

Oleh kerana Ramadhan disebut di dalam Al-Quran dan terlalu banyaknya keistimewan dan kelebihan Ramadhan maka ia mendapat gelaran sebagai Penghulu sekelian bulan. Di sana adanya ibadah puasa selama sebulan penuh, Zakat fitrah, Solat Tarawih, Lailatul Qadar, Nuzul al-Quran, Tadarus al-Quran, Kelebihan sedekah, Qiamullail, Tazkirah, Iktikaf dan lain-lain lagi.

Rasulullah menegaskan bahawa: 

"Seandainya manusia mengetahui keistimewaan Ramadan, nescaya mereka ingin supaya sepanjang tahun itu adalah Ramadhan." 

2.  Syahrul Syiam - Bulan Puasa

Firman Allah s.w.t dalam Surah al-Baqarah ayat 183: 

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu mudah-mudahan kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa" 

Madrasah Ramadhan selama sebulan adalah untuk mencapai sifat taqwa kepada Allah S.W.T. meninggalkan puasa Ramadhan tanpa uzur syar'ei adalah berdosa dan menjadi kafir apabila menafikan kewajibannya. Nabi s.a.w telah bersabda: 

"Pegangan Islam dan dasar-dasarnya adalah tiga perkara, sesiapa meninggalkan salah satu daripadanya maka ia adalah kafir iaitu penyaksian keesaan Allah, mendirikan solat dan puasa Ramadhan"(Hadis Riwayat Abu Ya'la dan al-Dailami)

"Sesiapa yang berbuka (tidak berpuasa) satu hari daripada bulan Ramadhan dengan tiada uzur dan tiada sakit, nescaya tiadalah dapat diqadha' puasanya oleh puasa sepanjang masa walaupun dia melakukannya" (Hadis Riwayat Bukhari) 

3.  Syahrul Quran - Bulan Quran

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 185: 

"Bulan Ramadhan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai hidayah (petunjuk) kepada manusia dan keterangan-keterangan tentang petunjuk dan pemisah antara yang hak dan yang bhatil" 

Nabi s.a.w telah bersabda: 

" Puasa dan al-Quran memberi syafaat kepada para hamba pada Hari Kiamat. Puasa berkata: "Wahai Tuhanku aku telah menhalangnya daripada makan dan minum serta mengikut syahwat pada siang hari, maka izinkanlah aku memberi syafaat kepadanya". Al Quran berkata: " wahai Tuhanku, aku telah menghalanginya daripada tidur pada malam hari, maka izinkan aku member syafaat kepadanya, lalu diterimalah syafaat keduanya"(Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Abi dunya, al-Tabrani dan Hakim) 

4.  Syahrul Sabr - Bulan Kesabaran

Ibadah puasa dan ibadah sabar punya hubungan yang erat. Allah menjanjikan ganjaran pahala yang tidak terbatas kepada orang-orang yang sabar di dalam Al-Qur'an, 

"Sesungguhnya orang-orang yang bersabar akan disempurnakan (ganjaran) pahala mereka tanpa batas." (Surah az-Zumar:10) 

Dalam hadis nabi pernah bersabda, 

"Seandainya seorang memaki engkau atau mengatakan kamu bodoh, maka katakanlah ‘Sesungguhnya aku sedang berpuasa, aku sedang berpuasa'. (Sahih Al-Jami As-Saghir) 

5.  Syahrul Rahmah  - Bulan Kerahmatan

6.  Syahrul Magfirah - Bulan Keampunan

7.  Syahrul Najah - Bulan Kemenangan dan bebas dari api Neraka

Nabi bersabda: 

"Ramadhan itu awalnya rahmat, pertengahannya adalah keampunan dan di akhirnya dibebaskan dari api neraka" 

Termasuk dalam kemenangan ialah apabila umat Islam telah berjaya dan mencapai kemenangan yang besar dalam bulan Ramadhan. Antaranya ialah terakam dalam sejarah:

a.  Kemenangan di dalam Peperangan Badar al-Kubra yang berlaku pada 17 Ramadhan
b.  Dapat menawan Kota Makkah dari tangan kafir quraisy dan memasuki kota Makkah yang disebut sebagai Fathu al-Fakkah

8.  Syahrul Jud - Bulan Murah hati

Nabi telah bersabda dalam hadisnya: 

"Orang yang memberikan hidangan berbuka puasa kepada orang lain yang berpuasa, ia akan mendapat pahala orang tersebut tanpa sedikitpun mengurangi pahalanya." (Hadis  Riwayat Tirmidzi) 

9.  Syahrul Barakah - Bulan Keberkatan

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: 

"Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan ( dengan kelebihan yang lain): Bulan penuh keberkatan, Allah memfardhukan puasa atas kamu, dibuka pintu-pintu Syurga, dikunci pintu-pintu Neraka, dibelenggu Syaitan ( supaya tidak mengganggu umat Muhammad S.A.W daripada melakukan pelbagai ibadat), di dalam ada Malam Qadar iaitu satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Sesiapa yang tiada diberikan kebajikan malam itu maka sesungguhnya dia tidak diberikan kebajikan kepadanya" 

PENGISIAN RAMADHA
1.      Berpuasa pada siangnya dengan puasa yang sebenarnya. 
2.      Menghidupkan malam dengan amalan yang disyariatkan termasuk qiamullail 
3.      Meningkatkan amalan harian 
4.      Menunaikan solat tarawih 
5.      Bertadarus al-quran 
6.      Menunaikan zakat fitrah dan zakat yang lain 
7.      Beriktikaf terutama 10 malam terakhir 
8.      Memperbanyakkan sedekah 
9.      Memberi makanan kepada orang yang berpuasa 
10.  Besahur 
11.  Bersederhana dalam berbelanja dan makan minum 
12.  Menjaga pancaindera dari melakukan maksiat 
13.  Menunaikan umrah jika mampu

Ustaz Khairuddin bin Haiyon
Penolong Pengarah Bahagian Dakwah
Unit Penerangan & Penerbitan, JAIS