Kehidupan kita di dunia ini tidak bererti
sekiranya kita tidak mendapat keredhaan dan rahmat dari Allah S.W.T dan lebih
tidak bererti lagi jika segala kesalahan, keterlanjuran dan dosa-dosa yang kita
lakukan tidak mendapat keampunan dari Allah SWT. maka, sebagai orang yang
beriman kita dituntut agar sentiasa memohan keampunan kepada Allah di atas
segala dosa yang telah kita lakukan samada dosa kecil mahupun dosa besar.
Sesungguhnya bagi orang yang tidak memohon keampunan kepada Allah dengan
menangguh-nangguhkannya atau melambat-lambatkan tindakan tersebut, mereka
dianggap sebagai orang yang angkuh dan sombong dengan Allah SWT.
Maka bersempena bulan Ramadan yang penuh dengan
keampunan dan sebagai orang yang beriman kita sentiasa mengharapkan keredhaan
dan rahmat dari Allah S.W.T. Kerana itulah, kita dituntut agar mempertingkatkan
amal bagi memperolehi keredhaan tersebut, terutama dengan memperbanyakkan amal
ibadah di samping dikerjakan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh.
Hari ini merupakan bulan untuk kita umat Islam
menunaikan ibadah puasa, kita berpuasa dengan penuh kesabaran dan ikhlas kerana
Allah semata-mata mengharapkan keampunan dan keredhaan dari Allah S.W.T. Begitu
juga, bersamanya kita mengharapkan agar digandakan pahala, dibukakan pintu
syurga, ditutup pintu neraka dan hidup kita dijauhi dari godaan syaitan.
Sabda Rasulullah SAW: "Daripada Abu
Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: apabila telah tiba bulan
Ramadan, maka terbukalah semua pintu rahmat dan ditutup semua pintu neraka
serta tangan-tangan syaitan dirantai." (Hadis riwayat Ahmad)
Kedatangan bulan Ramadhan amat digeruni dan ditakuti
oleh syaitan kerana pada bulan ini Allah tidak membenarkannya menghasut serta
menggoda manusia melakukan kejahatan dan maksiat. Pada bulan ini syaitan akan
dirantai dan dibelenggu. Dalam hal ini Rasulullah S.A.W. menjelaskan dalam
hadis baginda: "Daripada Abu Hurairah R.A.
bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda apabila telah tiba bulan Ramadhan, maka
terbukalah semua pintu rahmat dan ditutup semua pintu neraka serta
tangan-tangan syaitan dirantai". (Hadis riwayat Ahmad)
Mencari keredhaan dan keampunan Allah S.W.T adalah
merupakan amalan harian hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertakwa, mereka tidak
jemu dan berputus asa melakukannya kerana mereka yakin bahawa Allah akan
mengurniakan kepada mereka keredhaan dan keampunan diatas segala dosa-dosa yang
telah dilakukan selagi mana mereka terus memohan.
Justeru, Allah S.W.T yang
bersifat Maha Pemurah dan Maha Pengampun tidak akan keberatan memberi keredhaan
dan keampunan kepada hamba-hamba-Nya yang meminta dan memohan dirinya.
Salah satu hikmah diwajibkan kita berpuasa
adalah untuk meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat
183: "Wahai orang-orang yang beriman, kamu
diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu
daripada kamu supaya kamu bertakwa."
Berdasarkan firman Allah tersebut, membawa maksud
kepada kita bahawa kesan dari ibadah puasa bagi orang yang beriman ialah
bertambah ketakwaan Mereka kepada Allah. Justeru, setelah kita melaksanakan
ibadah puasa, adakah bertambah ketakwaan kita atau semakin berkurang?. Atau
adakah jiwa kita semakin bersemangat untuk memperbanyakkan amal ibadah atau
jiwa kita semakin lalai dan meringan-ringankan tuntutan ibadah?.
Adalah sungguh bijak bagi kita merebut segala
peluang yang Allah sediakan pada bulan Ramadan ini, daripada kita
mensia-siakannya. Kerana kita belum pasti lagi sama ada kita berpeluang atau
tidak untuk terus bersama dengan Ramadan pada tahun hadapan. Kerana
sesungguhnya Allah telah menyediakan dalam bulan Ramadan ini satu malam yang
nilai keberkatan dan ganjaran pahalanya pada malam tersebut lebih baik dari
seribu bulan. Firman Allah dalam surah al-Qadr: "Sesungguhnya
kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar, dan apa
jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu?,
malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun
malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara
(yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); sejahteralah malam (yang
berkat) itu hingga terbit fajar!."
Asbabun Nuzul ayat tersebut diriwayatkan daripada
Mujahid Rahimahullah dikatakan Rasulullah S.A.W telah menyebut tentang kisah
seorang lelaki dari bani Israel yang telah menggunakan kekuatan senjatanya dan
kemahirannya untuk berperang pada jalan Allah maka orang Islam pun kagum di
atas kehebatannya lalu Allah menurunkan ayat tersebut.
Dalam riwayat yang lain pula, dari Ali bin Aurah pada
satu hari Rasulullah SAW telah menyebut tentang kisah empat orang bani Israel
yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikitpun tidak
derhaka kepada Allah lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka. Lalu
Jibril A.S datang memberitahu kepada Rasulullah S.A.W bahawa Allah S.W.T
menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah
al-Qadar dan Jibril AS berkata kepada Rasulullah S.A.W ayat ini
lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan, ini menjadikan Rasulullah S.A.W
dan para sahabat amat gembira dengan perkhabaran Jibril tersebut.
Dari surah al-Qadr tersebut dapatlah kita fahami
bahawa besar kelebihannya bagi orang yang beribadah pada malam Lailatul Qadar.
Amalan yang dikerjakan pada malam tersebut digandakan. Samada salat yang kita
kerjakan, bacaan al-Quran atau zikrullah yang kita ucapkan serta amalan-amalan
lain digandakan oleh Allah S.W.T. Kerana itulah, bagi mendapatkan malam
tersebut Rasulullah S.A.W mempertingkatkan dengan melakukan ibadah pada
malam-malam sepuluh terakhir Ramadan dan bukan hanya setakat bagi dirinya
sahaja malahan Baginda menyuruh ahli keluarganya bangun bersama-sama untuk
beribadah. "Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila masuk
sepuluh hari terakhir Ramadan, Baginda akan mempertingkatkan amal ibadah,
menghidupkan malam dan mengejutkan ahli keluarga." (Hadis riwayat Bukhari)
Orang yang tekun beribadah semata-mata untuk menemui
malam Lailatul Qadar pasti akan mendapat rahmat yang telah dijanjikan Allah S.W.T
terutama dengan melakukan amalan seperti berikut:
- Menghayati malam tersebut dengan memperbanyakkan beribadah seperti mengerjakan salat sunat, membaca Al-Quran, berzikir, beriktikaf, berdoa dan sebagainya.
- Beriman dengan yakin bahawa malam Lailatul Qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan beribadah serta dikerjakan semata-mata kerana Allah S.W.T dengan mengharapkan rahmat dan keampunan-Nya.
- Dalam kita melaksanakan ibadah di malam Lailatul Qadar hendaklah kita bertaubat dengan sebenar-benarnya iaitu taubat nasuha dengan terus beristiqamah tetap teguh mengerjakan suruhan Allah S.W.T dan meninggalkan segala larangan-Nya.
- Perbanyakkan berdoa terutama doa khusus untuk malam Lailatul Qadar. Iaitu sepertimana yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah R.A.
"Saya pernah bertanya kepada Rasulullah S.A.W
seandainya saya mengetahui malam Lailatul Qadar dengan tepat. Apa yang patut
saya akan doakan pada saat itu. Baginda menjawab berdoalah dengan doa berikut:
"Ya Allah Ya Tuhanku sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan sentiasa
memberi keampunan di atas kesalahan hamba-Mu oleh itu maafkanlah segala
kesalahanku." (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)
Marilah sama-sama kita menyambut
kedatangan bulan Ramadhan dengan penuh rasa kecintaan dan kerinduan. Kita juga
perlu membuat persediaan dan persiapan samaada dari segi jasmani dan rohani
supaya Ramadhan yang disambut itu benar-benar dapat dihayati segala kelebihan
dan keistimewaannya. sebagai seorang Islam kita sawajarnya merebut dan
mendapatkan segala peluang keemasan dan keistimewaannya yang terdapat di dalam
bulan tersebut yang terdiri daripada tawaran pahala yang berlipat kali ganda
serta anugerah Lailatul Qadar dan keampunan dari segala dosa dan kesalahan.
Sabda Rasulullah S.A.W.: "Barang siap merasa gembira dengan sebab
kedatangan bulan Ramadhan nescaya Allah Taala mengharamkan jasadnya daripada
api neraka". (Hadis riwayat Ahmad)
Allah
S.W.T. sangat menyayangi hamba-hambaNya dan ruang rahmat ini perlu direbut
dengan petunjuk Allah S.W.T, "Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk
ke jalan yang amat betul (agama Islam) dan memberikan berita yang mengembirakan
orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka
beroleh pahala yang besar. (Surah al-Isra' ayat : 9)
Semoga kita terus mendapat hidayah dan pahala
berganda di bulan yang mulia ini, Wallahua'lam.
Ustazah Sabariah Bt. Haji Salleh P.P.T
Penolong Pengarah
Unit Ukhuwah Bahagian Dakwah
Jabatan Agama Islam Selangor.
Penolong Pengarah
Unit Ukhuwah Bahagian Dakwah
Jabatan Agama Islam Selangor.
No comments:
Post a Comment