Antara perkara pertama dilakukan Rasulullah SAW ketika sampai di
Madinah melalui proses hijrah ialah mendirikan masjid. Ia menandakan
pentingnya sebuah institusi yang menjadi tempat utama penyebaran Islam.
Semua aktiviti umat Islam tertumpu di masjid dan ia tidak hanya
membabitkan pelaksanaan ibadah khusus. Malah, semua aktiviti muamalah
umat Islam sebenarnya bermula di masjid. Oleh itu, masjid perlu sentiasa diimarahkan agar menjadi syiar yang menunjukkan kehebatan umat Islam.
Sepanjang pemerhatian pada minggu awal Ramadan, setiap masjid di
negara kita ‘hidup’ dengan pelbagai aktiviti keagamaan. Tidak seperti
bulan lain, jumlah kehadiran jemaah ke masjid pada Ramadan meningkat
secara mendadak. Mereka yang datang ke masjid ini yakin Allah sedang membuka pintu rahmat-Nya untuk sesiapa yang beribadah kepada-Nya. Sebelum masuk Subuh, masjid dihadiri jemaah yang baru selesai
bersahur. Keadaan ini berterusan sehinggalah lewat malam dengan solat
Tarawih, tadarus al-Quran, qiamullail dan sebagainya.
Inilah satu senario hebat yang berlaku dalam Ramadan. Sesungguhnya
keberkatan Ramadan serta ganjaran ditawarkan oleh Allah benar-benar
dapat menarik minat umat Islam yang mampu melihatnya dengan panduan
iman.
Perkongsian kali ini ingin mengajak kita semua untuk menginsafi
perbuatan sendiri sama ada kita termasuk dalam kategori mereka yang
berlumba-lumba mengimarahkan masjid atau sebaliknya.Bagi yang belum mengambil peluang, pastikan diri cuba untuk berada
di rumah Allah setiap hari, meskipun hanya seketika. Usah lepaskan
peluang untuk menjadi hamba-Nya yang berusaha mengimarahkan masjid
terutama pada Ramadan.
Adalah sesuatu yang sangat baik apabila kita dapat berusaha untuk
menunaikan solat fardu secara berjemaah di masjid. Cubalah untuk ke
masjid apatah lagi kita tidak disibukkan dengan makan dan minum pada
Ramadan.
Bagi yang bekerja, solat Zuhur antara yang boleh diusahakan untuk
dilaksanakan secara berjemaah di masjid. Sesungguhnya pahala besar
dijanjikan Allah SWT bagi mereka yang dapat menunaikan solat fardu
secara berjemaah.
Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Solat berjemaah itu lebih
baik daripada solat sendirian dengan 27 darjat.” (Riwayat Bukhari dan
Muslim)
Selain solat fardu, banyak amal ibadah sunah lain yang boleh
dilakukan secara berjemaah di masjid. Antara ibadah sunah yang hanya ada
pada Ramadan ialah solat sunat Tarawih.
Dari sudut bahasa, tarawih bermaksud berehat atau
bersenang-senang. Ini bermakna, solat sunat ini ibadah yang dilakukan
dengan tertib dan tenang meskipun bilangan rakaatnya banyak. Oleh itu, ingin disarankan di sini agar imam tidak tergesa-gesa
ketika mengetuai jemaah menunaikan solat Tarawih. Ia perlu dilakukan
secara tertib. Sesungguhnya amat besar pahala bagi mereka yang berusaha menghidupkan Ramadan dengan amal ibadah kepada Allah.
Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Sesiapa yang berdiri
(beribadat) pada malam Ramadan kerana iman dan mengharapkan ganjaran
(daripada Allah), diampunkan dosanya yang lalu.” (Riwayat Muslim)
Tadarus al-Quran juga antara ibadah banyak diadakan di masjid.
Ada mengadakannya selepas setiap solat fardu, tidak kurang juga yang
mengadakannya selepas selesai solat sunat Tarawih dan Witir. Amalan baik ini juga perlu kita sertai agar Ramadan dapat diisi dengan ibadah yang dijanjikan pahala oleh Allah SWT.
Dalam soal mengimarahkan masjid, satu perkara ingin disentuh ialah pembabitan anak kecil dengan aktiviti di masjid. Usaha ibu bapa membawa anak ke masjid untuk sama-sama menunaikan
ibadah adalah suatu yang baik. Anak perlu diberi didikan dari peringkat
awal agar hati mereka sentiasa suka melakukan ibadah.
Perkara ini ditunjukkan sendiri oleh Rasulullah SAW. Ketika Ibnu
Abbas masih kanak-kanak, beliau bercerita: “Rasulullah bangun solat
malam dan aku turut serta bersamanya. Aku berdiri di sebelah kiri
baginda. Baginda memegang kepalaku lalu menjadikan aku berada di sebelah
kanan baginda.” (Riwayat Bukhari)
Dalam masa sama, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mengingatkan
anak agar tidak membuat bising dan mengganggu jemaah dalam masjid yang
sedang melakukan ibadah.
Sebenarnya terlalu banyak aktiviti dianjurkan pihak masjid di
negara kita sepanjang Ramadan ini. Usah lepaskan peluang untuk sama-sama
menghidupkan masjid sepanjang Ramadan ini. Mudah-mudahan, hasil tarbiah Ramadan ini menjadi titik tolak
untuk mendidik diri agar terus mengimarahkan masjid pada bulan
seterusnya selepas Ramadan.
Oleh Mohd Shahrizal Nasir, UniSZA
No comments:
Post a Comment