Umat Islam disaran sambut hari raya dengan kesyukuran tanpa dicemari perkara bercanggah.
SAHABAT
Rasulullah SAW, Anas pernah menceritakan bagaimana Rasulullah SAW
mendapati penduduk Madinah bergembira dalam dua hari. Lantas Baginda SAW
bertanya kepada mereka mengenai dua hari itu.
Mereka menjawab
bahawa mereka menyambut perayaan dan bergembira pada hari itu mengikut
amalan jahiliah. Baginda SAW menyatakan bahawa Allah sudah menggantikan
dua hari itu dengan hari yang lebih baik iaitu Hari Raya Korban dan Hari
Raya Fitrah.
Perkataan hari raya disebut juga dengan ‘ayd’ yang
merujuk kepada suatu keadaan di mana seseorang itu kembali mengecapi
suasana kegembiraan setiap tahun dan memastikan bahawa ia sentiasa
mengulang-ulang kegembiraan tersebut. Jadi apabila digandingkan kalimah
`ayd al-fitrah ia memberi maksud kembali kepada fitrah yang suci.
Dengan
kata lain, seseorang itu menyatakan kegembiraannya mengecapi sesuatu
yang fitrah, suci dalam dirinya. Ia adalah kesinambungan daripada proses
pentarbiahan dan penyucian jiwa sepanjang bulan Ramadan dengan
melakukan segala ketaatan kepada Allah.
Kedatangan hari raya
menjadikan umat Islam dapat bergembira atas taufik Allah yang
dikurniakan kepadanya. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Bagi orang
yang berpuasa ada dua kegembiraan yang mereka rayakan iaitu kegembiraan
ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya
dengan membawa bersama puasanya.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan
Imam Muslim daripada Abu Hurairah)
Ia menunjukkan apabila mereka
berbuka puasa setiap hari, mereka akan bergembira. Begitu juga apabila
selesai menyempurnakan fardu puasa selama sebulan pada Ramadan dan
menyambut hari raya, mereka bergembira buat kali kedua.
Kegembiraan
yang disambut itu bagaimanapun adalah kegembiraan bersumberkan taufik
Ilahi kepada mereka yang menjunjung titah perintah Allah sepanjang
Ramadan. Nikmat ketaatan itu terzahir pada peluang dan ruang dikurniakan
Allah kepada mereka untuk mengerjakan ibadah puasa dan menunaikan solat
sunat pada waktu malam Ramadan yang mulia.
Justeru, kemunculan
hari raya adalah untuk menyempurnakan kegembiraan yang baru saja selesai
mengerjakan ibadah puasa pada Ramadan. Maka tidak hairanlah pada hari
lebaran, orang mukmin akan bergembira dengan taufik Allah.
Ini
bertepatan firman Allah yang bermaksud: “Katakan dengan kelebihan dan
nikmat Allah, dengan itu maka bergembiralah kamu. Ia adalah lebih baik
dari apa harta yang kamu kumpulkan.” (Surah Yunus, ayat 58)
Walau
bagaimanapun, umat Islam tidak boleh bergembira secara solo atau
bersendirian pada hari yang mulia sebaliknya, kegembiraan itu perlu
dikongsi dengan orang lain terutama yang bertaraf miskin dan fakir.
Justeru,
Islam mensyariatkan zakat fitrah yang wajib bagi setiap individu
Muslim, anak dan isteri yang termasuk di dalam tanggungannya walaupun
dia juga dikategorikan sebagai miskin. Islam mengkehendaki setiap Muslim
membiasakan diri untuk menafkahkan hartanya sama ada ketika susah atau
senang dan membiasakan diri menjadi penyumbang. Walaupun dia sendiri
fakir, tetapi tetap menjadi penyumbang.
Nabi SAW bersabda
bermaksud: “Zakat diberikan orang kaya akan digunakan Allah untuk
membersihkan dirinya dari dosa. Manakala zakat orang miskin akan
dikembalikan kepadanya oleh Allah dengan jumlah yang lebih banyak dari
apa yang diberikannya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Imam Abu Daud)
Pada
hari raya, setiap individu Muslim yang berjaya menyempurnakan perintah
Allah pada Ramadan layak bergembira. Kegembiraan dan kesyukuran yang
dirayakan itu, bagaimanapun, tidak boleh disambut dengan melakukan
perkara bercanggah ajaran Islam.
Sambutan hari raya dalam Islam
tidak perlu dimeriahkan dengan program berlandaskan tuntutan hawa nafsu.
Hari raya perlu dimulakan dengan takbir dan solat sunat hari raya. Ia
menunjukkan hari raya mempunyai hubungan rapat dengan makna dan tuntutan
ibadah dalam Islam.
Pada hari raya itu mempunyai makna rabbani,
hubungan dengan Allah. Bukanlah ertinya hari raya yang sebenar jika ada
beranggapan boleh melakukan apa saja tanpa mengira batasan agama. Pada
hari raya juga tidak bermakna seseorang Muslim memutuskan hubungan
dengan Allah.
Kita perlu membetulkan suatu kefahaman bahawa
tamatnya bulan Ramadan, maka tamatlah hubungan mereka dengan masjid,
solat berjemaah, solat sunat dan membaca al-Quran.
Barangkali
inilah yang dikatakan oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi ketika menyindir
kelakuan sesetengah umat Islam yang beranggapan sedemikian dengan
katanya: “Sesiapa yang menyembah Ramadan, maka Ramadan telah pergi.
Tetapi sesiapa yang menyembah Allah maka Dia sentiasa hidup tanpa mati.”
Justeru, tidak hairanlah kita melihat fenomena di tanah air
apabila berada pada awal Ramadan, masjid dan surau penuh sesak dengan
jemaah yang datang beribadah, tetapi apabila Ramadan mula melabuhkan
tirainya, makin susut pengunjung masjid.
Jika kita menginsafi
bahawa Ramadan adalah bulan terbaik untuk mentarbiah diri dan hati
dengan makna keimanan, ketakwaan dan mencari kelebihan yang ada di sisi
Allah, kita tidak akan dapati seseorang itu boleh memutuskan hubungannya
dengan Allah walaupun Ramadan berlalu pergi.
Dia percaya bahawa
latihan yang diterima pada Ramadan menjadikan dirinya terus membuat
hubungan dengan Allah selepas Ramadan. Dia tidak akan memutuskan
hubungan mesranya dengan Penciptanya.
Barangkali ada benarnya
kata-kata salafussoleh bahawa seburuk-buruk kaum ialah kaum yang hanya
kenal Allah pada Ramadan saja. Kita hendaklah menjadi rabbani sepanjang
masa dan waktu, bukan menjadi orang yang melakukan ketaatan hanya pada
Ramadan.
YaPEIM mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil
Fitri, Maaf Zahir Batin kepada semua muslimin dan muslimat, marilah kita
menyambut hari raya dengan penuh kesyukuran dan keinsafan,
mudah-mudahan Allah menambah lagi nikmat kepada kita, keluarga,
masyarakat dan negara tercinta.
INTI PATI
Kemunculan
hari raya adalah untuk menyempurnakan kegembiraan yang baru saja selesai
mengerjakan ibadah puasa pada Ramadan dan orang mukmin akan bergembira
dengan taufik Allah.
Umat Islam tidak boleh bergembira secara
solo atau bersendirian pada hari yang mulia sebaliknya, kegembiraan itu
perlu dikongsi dengan orang lain terutama yang bertaraf miskin dan
fakir.
Islam mensyariatkan zakat fitrah yang wajib bagi setiap individu Muslim.
Islam
mengkehendaki setiap Muslim membiasakan diri untuk menafkahkan hartanya
sama ada ketika susah atau senang dan membiasakan diri menjadi
penyumbang.
Sambutan hari raya dalam Islam tidak perlu
dimeriahkan dengan program berlandaskan tuntutan hawa nafsu sebaliknya
perlu dimulakan dengan takbir dan solat sunat hari raya.
Latihan yang diterima pada Ramadan menjadikan diri Mukmin terus membuat hubungan dengan Allah selepas Ramadan.
No comments:
Post a Comment