UMAT
Islam yang berkemampuan dan sudah cukup segala syarat, bakal menunaikan
ibadat haji tidak lama lagi. Justeru, pelbagai persediaan dilakukan
seperti kursus haji dan umrah sebagai bekalan kepada jemaah yang akan
menunaikan ibadat haji nanti.
Di pihak keluarga bakal jemaah haji
pula, tidak ketinggalan turut meraikan sanak-saudara yang akan
menunaikan ibadat haji. Pelbagai perkara dilakukan bagi meraikan
pemergian bakal jemaah haji itu.
Ada sebahagiannya mengadakan
majlis doa selamat, sebahagian yang lain pula sibuk mengatur dan
merancang segala keperluan yang perlu dibawa saudara mereka ke Tanah
Suci. Bagi pihak pengurusan haji pula, beberapa persediaan dibuat untuk
pemergian bakal jemaah haji ke Tanah Suci.
Ibadat haji merangkumi
ibadat solat, puasa dan zakat. Lantaran itu ia diletakkan di tempat
yang terakhir di dalam kewajipan yang wajib ditunaikan oleh seseorang
Islam. Dengan erti kata lain, sebelum seseorang itu melaksanakan ibadat
haji, maka ibadat solat, puasa dan zakat sudah dilaksanakan dengan baik
selaras dengan kehendak syarak.
Oleh itu, jika harta atau wang
yang dikumpulkan kerana hendak menunaikan ibadat haji itu cukup nisab
dan haulnya, maka adalah wajib terlebih dulu dikeluarkan zakat kerana
setiap harta yang hendak digunakan bagi menunaikan ibadat haji, mestilah
ia harta yang suci dan halal, bukan yang ada di dalamnya hak orang
lain, syubahat atau harta yang diperoleh secara tidak halal.
Jika
diperhatikan dari segi kemampuan dan keupayaan, begitu ramai orang
Islam yang memenuhi syarat tetapi masih belum mendapat rahmat untuk
menjadi tetamu Allah. Maka beruntunglah sesiapa dirahmati Allah
dibukakan hatinya untuk berkunjung ke Baitullah yang menjadi tumpuan
umat Islam di seluruh dunia.
Lebih beruntung lagi bagi setiap
yang menjadi tetamu Allah itu ialah sesiapa diterima ibadat hajinya oleh
Allah sebagai haji mabrur. Ini kerana haji mabrur adalah jihad paling
afdal dan balasannya tidak lain hanyalah syurga.
Oleh itu kita
hendaklah sentiasa berusaha menjadi hamba Allah yang taat dan patuh
terhadap segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya. Sehubungan
itu, janganlah sekali-kali kita merosakkan ibadat haji yang dikerjakan
dengan percakapan atau perbuatan tidak berfaedah atau menyakiti insan
lain.
Kita harus mempunyai pertahanan diri yang kuat. Antaranya
ialah untuk menanamkan sifat sabar dalam diri kita; sabar daripada
perasaan marah; sabar daripada berbuat kerosakan; sabar di atas
kesusahan yang bakal ditempuh dan sabar dalam menerima ujian daripada
Allah.
Janganlah juga ibadat kita rosak kerana melakukan perkara
mungkar serta kepercayaan yang bertentangan dengan ajaran Islam, seperti
mengumpat, mencaci, memaki hamun dan mengutip batu di Tanah Suci untuk
dibawa balik ke tanah air.
Oleh itu bagi setiap orang Islam yang
ingin mengerjakan ibadat haji mestilah mengetahui segala rukun dan adab
haji dengan betul supaya hajinya diterima oleh Allah.
Apalah
gunanya jika ibadat haji yang mempunyai ganjaran dan kelebihan begitu
besar seperti ganjaran orang yang berjihad di jalan Allah itu rosak dan
binasa disebabkan perkara mungkar dan khurafat yang kita kerjakan. Malah
ibadat haji yang kita kerjakan itu tidak diterima oleh Allah dan ia
menjadi sia-sia.
Oleh yang demikian, bakal jemaah haji seharusnya
mengambil perhatian berat berhubung perkara ini dan menghindarkan diri
daripada melakukan perkara mungkar dan khurafat. Mudah-mudahan dengan
kita menjauhi segala perkara mungkar dan khurafat itu ibadat haji kita
akan diterima oleh Allah.
Allah berfirman yang bermaksud,
"Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu bagi
orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah, sesiapa
mengingkari kewajipan haji, sesungguhnya Allah Maha Kaya tidak
memerlukan sesuatu dari semesta alam" (Surah Ali 'Imran: 97).
Oleh Mohd Shukri Hanapi
No comments:
Post a Comment