ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Thursday, 25 July 2013

NUZUL AL-QURAN DAN LAILATUL QADAR

Malam ini adalah malam Nuzul al-Quran. Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga  seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Apabila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
 
‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:
 
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)
 
Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.
 
Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. Maksudnya: ”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)
 
Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran
 
Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.
 
Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah  SWT: Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)
 
Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan  berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan  bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.
 
Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.
 
Panduan
 
Dari maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah seperti:
1.      Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran
2.      Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena dan Tulisan.
3.      Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.
 
Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.
 
Manakala penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”.
 
Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.
 
Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT.
 
Kesimpulan
 
Sebagai kesimpulannya marilah kita sama-sama menghayati nuzul al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi. Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah. Sekarang bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khasnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan penghinaan.

Monday, 22 July 2013

MASJID TERCANTIK DI MALAYSIA

Masjid bukan sekadar menjadi tempat beribadat kepada umat Islam sebaliknya sebagai pusat aktiviti umat Islam, kebudayaan, muamalat, dan perkembangan dakwah Islamiah. Sejak zaman permulaan Islam lagi, Rasulullah SAW menjadikan masjid sebagai tempat untuk menyampaikan dakwah.

Sejarah kemajuan dan gerakan Islam di serata pelusuk dunia hingga kini juga bermula dari Masjid. Ia dijadikan sebagai tempat umat Islam berhimpun untuk berbincang dan merancang pelbagai strategi termasuk mengukuhkan ekonomi Islam, perundangan dan penyebaran ilmu.

Di negara kita masjid menjadi simbol yang mencerminkan Islam sebagai agama rasmi. Sejarah pembinaan masjid di negara kita dipercayai bermula dengan kedatangan Islam yang bertapak di zaman Kesultanan Melayu melaka sekitar tahun 1700. 

Di sini kami paparkan 10 buah masjid yang dianggap tercantik di negara kita Malaysia.


Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya


Masjid ini juga digelar Masjid Besi. Mula dibina pada April 2004 siap sepenuhnya pada Ogos 2009. Masjid ini yang mempunyai keluasan sekali ganda berbanding Masjid Putra, yang terletak kira-kira 2.2 km ke utara. Direka berdasarkan 3 konsep iaitu angin, sederhana dan telus. Kira-kira 6,000 tan keluli digunakan bagi pembinaan tersebut yang mewakili kira-kira 70% manakala selebihnya adalah konkrit. Masjid Besi mempunyai keistimewaan yang tersendiri antaranya tiada pemasangan kipas ataupun alat penyaman udara di dalamnya, sebaliknya menggunakan gas penyejuk (gas district cooling atau GDC). Selain itu, masjid ini turut menggunakan Seni Bina Jaringan Wayar (Architectual Wire Mesh) atau Anyaman Masyrabiah yang diimport dari Jerman dan China.

Ini ditambah lagi dengan pembinaan dinding mihrab yang diperbuat daripada panel kaca setinggi kira-kira 13 meter. Uniknya, dinding mihrab ini tidak memantulkan kesan dari pancaran sebarang cahaya atau lampu menjadikan ukiran kaligrafi ayat suci berkenaan yang berwarna keemasan itu kelihatan jelas dan seolah-olah terapung di udara. Bahagian tepi bumbungnya sepanjang 40 kaki pula mampu mengelakkan jemaah yang bersolat di luar dewan solat utama terkena tempias hujan.


Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor
 

Merupakan masjid yang terbesar di Malaysia. Masjid Negeri Selangor Darul Ehsan ini menjadi lambang keagungan dan kedaulatan agama Islam di negeri ini. Perasmiannya oleh Sultan Selangor Darul Ehsan pada 11 Mac 1988 bersamaan 23 Rejab 1408 hijrah. Masjid ini mempunyai kubah yang terbesar di dunia. Empat menara tinggi dibina di keliling kubah. Merupakan menara masjid kedua tertinggi di dunia. Pembinaan masjid menggunakan teknologi terbaru. Kubah luar berdiri 300 kaki dari paras bumi dan garis pusat 170 kaki menjadi kubah agama yang terbesar pernah dibina sehingga kini. Bahagian luar kubah diperbuat daripada kepingan aluminium berlipat dan mempunyai panel yang menarik berwarna biru, tidak akan karat dan tahan beratus tahun.

Dewan Sembahyang utama seluas 73,000 kaki persegi ditutupi oleh satu kubah besar yang didokong oleh lapan tiang berbentuk empat persegi. Kubah itu mempunyai garis pusat 170 kaki dan 180 kaki tinggi. Setiap tiang mempunyai tangga dan dilengkapi lif. Ada tiga pintu masuk. Pintu masuk utama menghadap pusat bandar Shah Alam. Dihiasi dengan pancutan air setinggi 70 kaki. Pintu masuk Diraja terletak di sebelah kanan. Paip air untuk berwuduk paling moden telah dipasang. Pengunjung hanya perlu menyuakan tangan dan air akan keluar sendiri dan berhenti juga sendiri. Sebuah janakuasa tunggu sedia diadakan semasa ketiadaan bekalan elektrik. Dijangka tidak memerlukan penyelenggaraan selama 200 tahun. Bernilai 18 juta.


Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, Johor


Merupakan masjid negeri Johor yang terletak di Johor Bahru. Masjid ini telah dibuka dengan rasminya oleh Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar pada 1900. Masjid ini diberi nama Masjid Abu Bakar kerana mengambil sempena nama Almarhum Sultan Abu Bakar Daeng Ibrahim yang telah menitahkan pembinaannya kira-kira dalam tahun 1892 dengan perbelanjaan lebih dari $400,000. Masjid yang dibangunkan di atas sebuah bukit kecil di tepi Selat Tebrau menghala ke Singapura ini mempunyai 4 buah menara yang menyerupai beberapa buah masjid di negara-negara Asia Barat terutamanya di Mesir. Menaranya berbentuk 2 tingkat bulat di atas dan empat persegi di bawah serta berkubah.

Masjid ini boleh memuatkan kira-kira 3,000 umat Islam bersolat. Seni bentuk bangunan masjid ini telah direka oleh Tuan Haji Mohamed Arif bin Punak di bawah penguasaan jurutera Yang Berbahagia Dato' Yahya bin Awalluddin. Masjid ini juga merupakan mercutanda yang membuktikan bahawa jurutera-jurutera Melayu juga berkeupayaan membina bangunan-bangunan besar yang indah dan kukuh seperti di Eropah danTimur Tengah pada hujung abad ke-19. Bangunannya empat persegi dan banyak dipengaruhi oleh ciri-ciri bina Islam. Masjid ini berbentuk bujur sangkar dengan 4 buah anjung yang masing-masing mempunyai menara kubah.


Masjid Zahir, Alor Setar, Kedah


Masjid Zahir atau juga dikenali sebagai Masjid Zahrah merupakan Masjid Negeri Kedah. Bangunan bersejarah ini terletak di tengah-tengah bandar raya Alor Setar. Ia juga dikenali sebagai Masjid Raja kerana ia merupakan masjid Diraja dan terletak di perkarangan Istana Pelamin. Masjid Zahir merupakan mercu tanda yang terkenal di Alor Setar, dengan ciri kubah hitam - satu kubah utama dan lima kubah lebih kecil, yang melambangkan lima rukan Islam. Dibina pada tahun 1912, masjid ini pada asalnya adalah tanah pusara wira-wira Kedah yang gugur semasa mempertahankan Kedah dari serangan Siam (1821). Reka bentuk masjid ini diilhamkan dari Masjid Azizi di Bandar Langkat, Sumatera Utara. Upacara perasmiannya dilakukan pada hari Jumaat, 15 Oktober 1915 oleh DYMM Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Tunku Mahmud telah membaca khutbah Jumaat sementara baginda Sultan Abdul Hamid Shah mengimamkan solat Jumaat. Masjid ini merupakan antara mercu tanda seni bina negeri Kedah dan antara masjid tercantik di Malaysia.


Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Terengganu, Terengganu


Masjid Tengku Tengah Zaharah atau Masjid Terapung telah dinamakan sempenan nama bonda Al-Marhum Sultan TerengganuSultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah iaitu Tuanku Intan Zaharah binti Almarhum Tengku Seri Setia Raja. Masjid ini terletak 4 km dari pusat bandar Kuala Terengganu. Masjid ini mempunyai keindahan dan keunikan tersendiri berbanding dengan masjid lain yang telah dibina. Masjid ini dibina di atas air di muara Sungai Ibai yang sekaligus menjadikan masjid terapung yang terulung di Malaysia. Keluasan 1,372 meter persegi dan menara setinggi 30 meter, masjid ini mampu menampung jemaah sehingga 1,000 orang. Dengan gabungan hiasan taman, warna langit yang membiru, kilauan cahaya matahari dari permukaan air yang mengelilingi masjid itu serta tiupan angin dari Laut China Selatan, pastinya ia menjadi masjid yang paling nyaman dan mendamaikan memberi erti betapa keagungan syiar Islam terangkum dalam suatu bentuk tamadun yang terus berkembang.


Masjid Muhammadi, Kota Baharu, Kelantan


Masjid Muhammadi merupakan Masjid Negeri dan terletak di Kota Bharu. Nama Masjid Muhammadi diambil sempena nama Sultan Muhammad ke-IV yang sangat berjasa kepada Negeri Kelantan. Ia juga dipanggil sebagai "Masjid Besar" di kalangan sesetengah rakyat Kelantan. Pada asalnya masjid ini diberi nama sebagai Masjid Besar Kota Bharu. Masjid ini telah dibina pada tahun 1867 pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad II (1830 - 1886) dengan menggunakan kayu-kayu yang terpilih. Pengubahsuaian bangunan masjid daripada kayu kepada struktur konkrit telah dilakukan pada tahun 1922 dan telah dirasmikan oleh oleh KDYMM Baginda Sultan Ismail Ibni Al-Marhum Sultan Muhammad IV pada 31 Julai 1931, dan dinamakan sebagai Masjid Muhammadi.

Luas keseluruhan masjid kini adalah 10,600 kaki persegi dan boleh memuatkan seramai 2,400 orang ahli jemaah. Peranan Masjid Muhammadi di dalam penyebaran dan pendidikan Islam di Kelantan amatlah istimewa. Di sinilah beberapa ulama besar Negeri Kelantan telah mengajar pelbagai ilmu agama. Di antaranya ialah Tuan Taba (1840-1891), Haji Wan Ali Kutan (1837-1912) dan Tok Kenali (1868-1933). Sistem pengajaran di masjid ini mempunyai persamaan dengan pengajaran di Masjidil Haram, Makkah di mana pelajar akan ke Makkah untuk menyambung pelajaran mereka setelah tamat pengajian di masjid ini. Masjid ini menjadi pusat penyebaran ilmu agama yang masyhur di Nusantara sehingga Kelantan dikenali sebagai "Serambi Mekah".


Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu, Sabah


Masjid Negeri Sabah merupakan masjid negeri bagi negeri Sabah. Masjid ini dibina di kawasan seluas 14.5 ekar. Terletak di kawasan  strategik bulatan Sembulan antara Jalan Mat Salleh dan Jalan Sembulan. Di masjid inilah letaknya Makam Pahlawan Sabah, iaitu tempat bersemadinya tokoh-tokoh Sabah terkenal. Antaranya Tun Fuad Stephens (Donald Stephens), Tun Mohd Hamdan Abdullah, Tun Pengiran Ahmad Rafae, Tun Said Keruak dan Tun Mohd Adnan Robert.


Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar, Perak


Masjid Ubudiah ialah sebuah masjid di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak yang dianggap salah satu masjid terindah di Malaysia dan merupakan simbol kebanggaan dan kepercayaan untuk kaum Muslim di Perak. Kubah emas dan menara masjid adalah bukti dari keindahan senibina Islam. Masjid Ubudiah dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Jalil Karamatullah Shah pada tahun 1917. Dari segi latar belakang sejarahnya Masjid Ubudiah yang terletak berhampiran dengan Istana Iskandariah ini, adalah merupakan masjid nazar. Ia diasaskan oleh Sultan Idris untuk membayar nazar kerana baginda telah pulih dari penyakitnya.

Pembangunan Masjid Ubudiah bermula dari zaman Sultan Idris Murshidul Adzam Shah I, Sultan Perak ke-28. Pada hari Jumaat, 26 September 1913, Sultan Idris Shah I, telah meletakkan batu asas masjid tersebut. Masjid ini telah siap dibina dan dibuka dengan rasminya oleh Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah (1916-1918.), Sultan yang ke-29, pada tahun 1917.

Seni reka yang diilhamkan oleh Encik Hubbeck telah menjadikan Masjid Ubudiah salah satu masjid yang mempunyai nilai seni reka yang bermutu tinggi sehingga ia mendapat tempat dalam peta pelancongan Malaysia.
Masjid ini berbentuk oktagon dan mempunyai 4 buah menara setinggi 126 kaki serta dikelilingi oleh kubah-kubah di bahagian dalam yang mana tiap-tiap satu garis pusatnya berukuran sepanjang 60 kaki. Bahagian-bahagian dalam dinding dan lantai masjid ini menggunakan batu marmar berwarna merah dan putih yang dibawa khas dari Itali dan London.


Masjid Putra, Putrajaya


Masjid Putra terletak di Wilayah Persekutuan Putrajaya. Masjid ini merupakan simbolik dan mercu tanda di Putrajaya. Masjid ini dinamakan sempena Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj. Pembinaan masjid ini bermula pada 1997 dan disiapkan dua tahun kemudian pada 1999. Kos pembinaan masjid ini menelan belanja kira-kira RM 250 juta dan kos penyelenggaraan anggaran RM 100 ribu. Pembinaan masjid ini berkonsepkan 2 konsep iaitu Timur Tengah dan Tradisional Melayu. Masjid ini terletak bersebelahan dengan Perdana Putra, pejabat Perdana Menteri Malaysia dan bersebelahan dengan Tasik Putrajaya.


Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur


Pembinaan masjid ini direalisasikan pada tahun 1996 dan siap dibina pada tahun 2000. Masjid ini terletak di di sebuah kawasan berbukit di Jalan Duta, berhampiran susur masuk ke pusat bandaraya Kuala Lumpur. Berkonsepkan ‘Masjid dalam Taman’ dan menggunakan konsep tradisi masjid-masjid Othmaniah di Turki. Boleh menampung seramai 17,000 orang jemaah pada satu-satu masa. Keluasan keseluruhan bangunan adalah kira-kira 47,000 meter persegi. Dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, masjid ini merupakan masjid yang termoden di Malaysia pada masa kini.


Sumber

Tuesday, 16 July 2013

10 MASJID TERBESAR DI DUNIA

Beberapa masjid di dunia mampu memuatkan hingga beribu-ribu jemaah. Masjid ini bukan saja menjadi tempat ibadah, tetapi juga bukti kemajuan seni bina peradaban Islam. Berikut adalah 10 masjid terbesar di dunia.
 
1. Masjidil Haram, Arab Saudi
Masjid terbesar di dunia, tentu saja Masjidil Haram di Makkah, Arab Saudi. Ia adalah tempat paling suci umat Islam. Di masjid ini terletaknya Kaabah yang menjadi kiblat solat bagi umat Islam di seluruh dunia. Masjidil Haram mempunyai asal-usul sejarah yang sangat panjang sejak zaman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Hari ini, Masjidil Haram mampu menampung 820,000 jemaah dan hingga empat juta pada musim Haji. Struktur bangunannya kini memiliki keluasan 356,800 meter persegi. Namun, kerja meluaskannya terus dilakukan. Masjidil Haram mencatat jumlah paling ramai pada musim haji.





2. Masjid Nabawi, Arab Saudi
Selepas Masjidil Haram, Masjid Nabawi di Madinah, Arab Saudi menjadi masjid kedua terbesar di dunia. Masjid ini adalah masjid paling suci kedua bagi umat Islam. Masjid Nabawi yang asal dibina pada tahun 622 dan berada di sebelah rumah Nabi Muhammad (SAW). Kini, Masjid Nabawi sudah menjalani beberapa kali peluasan dan tapak rumah Rasulullah (SAW) sekarang berada di dalam Masjid Nabawi di kawasan Raudah.



3. Masjid Imam Reza, Iran
Masjid Imam Reza ialah masjid ketiga terbesar di dunia dan sekali gus yang terbesar di Iran. Ia terletak di Mashhad, Iran. Masjid Imam Reza ialah masjid terbesar di dunia untuk ukuran bangunan utama iaitu seluas 598,657 meter persegi dan boleh memuatkan 700,000 Jemaah.
 




4. Taj ul Masajid, India
Masjid terbesar di India dan yang keempat terbesar di dunia ialah Taj ul Masajid. Masjid ini terletak di Bhopal, India. Taj ul Masajid siap dibina pada 1901. Bangunan masjid ini besar kerana ia turut menempatkan madrasah. Taj ul Masajid memiliki kapasiti 400,000 jemaah.






5. Masjid Istiqlal, Indonesia
Masjid Istiqlal di Jakarta ialah masjid kelima terbesar di dunia. Selain menjadi masjid terbesar di Indonesia, ia juga yang terbesar di Asia Tenggara. Masjid yang terletak di tengah-tengah bandar raya Jakarta ini dapat memuatkan seramai 120,000 jemaah.






6. Masjid Hassan II, Maghribi

Masjid yang keenam terbesar di dunia terletak di Casablanca, Maghribi, Afrika Utara. Masjid Hassan II turut menjadi masjid yang terbesar di Maghribi dan mampu menampung hingga 105,000 jemaah. Masjid ini siap dibina pada 1993.





 
7. Masjid Badshahi, Pakistan
Masjid ketujuh terbesar di dunia ialah Masjid Badshahi di Lahore, Pakistan. Masjid ini wujud sejak tahun 1673. Masjid Badshahi dibina pada zaman kesultanan Moghul yang keenam iaitu Aurangzeb. Ukurannya lebih besar daripada Masjid Faisal Pakistan, tetapi hanya dapat memuatkan seramai 100,000 jemaah.




 
8. Masjid Jama, India
India bukan saja mempunyai sebuah tetapi dua masjid yang tersenarai dalam masjid terbesar di dunia. Masjid Jama diiktiraf sebagai masjid kelapan terbesar di dunia. Masjid ini terletak di Delhi, India. Ia dibina pada 1656 dan mampu menampung seramai 85,000 jemaah.

 


 
9. Masjid Faisal, Pakistan
Masjid Faisal yang terletak di Islamabad ialah masjid yang terbesar di Pakistan dari segi kapasiti jemaah. Masjid Faisal memiliki keluasan 5,000 meter persegi. Dalam sekali solat, masjid ini dapat menampung 300,000 jemaah.

 
 
 
10. Masjid Sheikh Zayed, Emiriah Arab Bersatu
Masjid ini terletak di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu dan juga menjadi masjid yang terbesar di negaranya. Masjid Sheikh Zayed mempunyai keluasan 6,705 meter persegi dan mampu menampung 40,000 jemaah. Nama masjid ini diambil sempena nama pemimpin Emiriah Arab Bersatu iaitu Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan.


Monday, 15 July 2013

TIGA TINGKATAN PUASA DI BULAN RAMADHAN

Kehadiran Ramadan sangat dinanti-nantikan oleh mereka yang beriman kerana mereka sedar bahawa ia adalah rahmat daripada Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Mereka memahami bahawa Ramadan bukan hadir dengan 'tangan kosong', tetapi dipenuhi ganjaran dan dilimpahi dengan 'buah tangan' daripada Allah SWT.
 
Justeru, terpulanglah kepada kita sama ada untuk menerima kehadiran Ramadan kali ini dengan memuliakannya atau membiarkan ia berlalu begitu saja.


Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 bermaksud: “Wahai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa seperti diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”


Qada puasa sebelum Ramadan


Pada kesempatan ini, khatib ingin mengingatkan kepada mereka yang belum mengqadakan hutang puasa, menjelaskan fidyah yang diwajibkan, agar melunaskannya sebelum Ramadan menjelang.


Tanggungjawab ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia tetap akan menjadi perhitungan kita di dunia mahupun di akhirat. Justeru, janganlah kita cuai daripada melunaskannya mengikut garis panduan yang dikehendaki Allah SWT.


Ramadan adalah bulan tarbiah iaitu bulan yang mendidik setiap individu Muslim agar kembali mengabdikan diri kepada Allah SWT. Ibadah puasa misalnya, bukan sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga, tetapi juga berperanan mendidik mata daripada melihat perkara yang diharamkan, telinga daripada mendengar umpatan, lidah daripada menuturkan fitnah dan cacian, tangan daripada melakukan dosa dan permusuhan, kemaluan daripada melakukan kemaksiatan dan kaki daripada melangkah ke arah kejahatan dan kemungkaran.


Ibadah puasa juga mendidik kita bersifat ihsan dan melaksanakan tuntutan agama dengan penuh keikhlasan. Fikirkanlah, apakah balasan daripada Allah yang akan kita terima jika kita berpuasa, namun dalam masa sama, kita masih lagi terus melakukan kemungkaran?

Tiga tingkatan puasa


Al-Imam Al-Ghazali Rahimahullah di dalam karya agungnya, Ihya Ulumuddin telah membahagikan puasa kepada tiga tingkatan. Tingkatan paling rendah ialah puasa orang awam iaitu hanya menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum. Tingkatan pertengahan pula ialah puasa orang khusus iaitu turut berpuasa daripada melakukan segala bentuk maksiat dan dosa, manakala tingkatan tertinggi ialah puasa orang khusus lagi istimewa iaitu berpuasa dengan penuh ikhlas dan menjaga hati daripada dikotori dengan sifat mazmumah.


Pembahagian ini memberikan umat Islam ruang untuk berfikir tingkatan manakah mereka berada, seterusnya memperbaiki kualiti puasa mereka. Justeru, nilailah di manakah tingkatan puasa kita selama ini, mudah-mudahan dengan kehadiran Ramadan kali ini ibadah puasa kita mencapai matlamat puasa sebenar iaitu takwa seperti firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 bermaksud: “Wahai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa seperti diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”


Marilah kita jadikan Ramadan ini masa yang terbaik untuk kita bermuhasabah dan menghitung diri. Cerminlah diri kita! Adakah selama ini anggota tubuh yang Allah kurniakan terutama mulut, tangan, mata dan kaki kita gunakan untuk beribadah dan memberi manfaat kepada masyarakat, agama dan negara? Ataupun hanya kita gunakan untuk melakukan kerosakan, kehancuran dan kemudaratan.


Renungkanlah, jika selama ini kita tersalah perbuatan, kembalilah ke pangkal jalan sempena kedatangan bulan yang mulia ini. Bayangkanlah, betapa besar fadilat yang pasti dikurniakan Allah SWT kepada hamba-Nya yang ingin merebut peluang ini. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari Rahimahullah, daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW: “Apabila datangnya Ramadan, nescaya dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.”


Hadis ini menggambarkan keistimewaan bulan Ramadan dan betapa luasnya kesempatan untuk meraih pahala. Bahkan, Allah SWT juga membuka seluas-luasnya pintu keampunan untuk menerima taubat hamba-hambanya yang benar-benar bertakwa kepada-Nya.


Ketahuilah! Dari sudut kesihatan, puasa adalah kaedah terbaik bagi memelihara anggota badan daripada penyakit. Melalui berpuasa unsur racun di dalam makanan dapat dihapuskankan. Dr Hisyam Ibrahim AI-Khatib dalam karyanya ‘Al-Wafi Fi Al-Tib’ menjelaskan puasa juga telah memberi peluang kepada organ di dalam tubuh badan untuk memperbetulkan semula sistem penghadaman. Ia juga menjadi penawar mujarab kepada penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, pertambahan lemak dan peningkatan gula dalam darah.


Lihatlah betapa besarnya hikmah Allah SWT mewajibkan hamba-Nya berpuasa. Selain meningkatkan keimanan dan ketakwaan, ia juga bermanfaat kepada tubuh badan. 

Tuesday, 9 July 2013

MASJID ANNUR: RAMADHAN ALMUBARAK

MASJID ANNUR,
KAMPUNG PARIR RAMBAI, RAMBAH, PONTIAN, JOHOR DARUL TAKZIM

KEPADA AHLI KARIAH MASJID ANNUR



 


RAMADHAN ALMUBARAK

Marilah kita sama-sama menyemarakkan bulan Ramadhan dengan bertarawikh beramai-ramai di masjid kita Masjid Annur.

Ramadhan tiba lagi. Hari ini  tanggal 1 Ramadhan umat Islam di seluruh dunia mula melaksanakan kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan. Syukur dan Alhamdulillah jika kita masih berkesempatan berada di bulan Ramadhan kali ini. Kelebihan dan keagungan yang ada di bulan ini adalah dengan adanya malam Lailatul Qadar yang dirahsiakan kehadirannya sehingga mendapat keampunan dan pahala serta darjat yag tertinggi bagi orang yang berjaya mendapatkan malam Lailatul Qadar. Amat digalakkan pada bulan ini  dengan dipenuhi amal ibadah dan bertaqwa kepada Allah, disamping bersembahyang sunat, istighfar, tasbih dan berzikir sepenuhnya.

1.  Berpuasa wajib di bulan Ramadhan merupakan tuntutan agama yang wajib dilakukan setahun sekali oleh setiap orang Islam yang baligh, berakal serta berkemampuan untuk melaksanakannya. Hanya golongan tertentu seperti orang tua yang sudah uzur ataupun sakit yang tiada harapan sembuh juga wanita yang dalam keadaan haid dan nifas sahaja dikecualikan daripada berpuasa. Walau bagaimanapun golongan ini tertakluk kepada kewajipan untuk membayar fidyah ataupun menggantikan puasa pada bulan-bulan yang lain.

2.  Perlu juga difahami betapa ketibaan Ramadan merupakan sebahagian daripada nikmat kurniaan Ilahi yang perlu disyukuri kerana hanya diberikan kepada insan-insan terpilih. Terdapat dikalangan kerabat, jiran tetangga dan sahabat handai yang pada tahun lalu sama-sama berpuasa dan berhari raya kini telah pergi selama-lamanya menyahut seruan Ilahi sekaligus tidak lagi diberi keistimewaan oleh Allah SWT untuk menikmati anugerah Ramadan.

3.  Justeru itu peluang keemasan yang datang setahun sekali ini tidak patut dipersiakan dan berlalu pergi begitu sahaja tanpa berusaha untuk melipatgandakan ketaatan. Tentunya suatu kerugian yang amat besar apabila seseorang ditakdirkan melalui Ramadan hingga kepenghujungnya tetapi tidak beroleh pengampunan dan pembebasan api neraka sepertimana yang dijanjikan oleh Allah SWT. Untuk tujuan itu juga, persiapan rapi bagi menyambut ketibaan Ramadan perlu dilakukan seiring dengan persiapan menjelang hari raya yang terkadang menjadi tujuan utama berpuasa. Oleh itu setiap umat Islam perlu membersihkan jiwa dan raga daripada pelbagai penyakit mazmumah sebagai persediaan beroleh ganjaran yang tiada tolok bandingnya di Bulan Ramadan. Betulkan niat dan tujuan berpuasa agar menjadi motivasi untuk mempertingkat amal dan kebajikan.

4.  Selain daripada itu persediaan mental dan fizikal turut diperlukan bagi mengharungi jadual padat yang telah ditetapkan. Bermula daripada terbit fajar hingga terbenam matahari seseorang perlu menahan diri daripada makan dan minum juga semua perkara yang membatalkan puasa. Malah bagi mencapai tingkatan puasa khusus seseorang perlu mempastikan seluruh pancaindera terpelihara daripada berbuat dosa dan maksiat kepada Allah SWT. Begitu pula seseorang yang hanya berpuasa tetapi tidak melaksanakan kewajipan solat dan menutup aurat juga dikhuatiri gagal memperoleh kesempurnaan berpuasa seperti yang diharap-harapkan.

5.   Selain beribadah dengan modal kesihatan umat Islam turut boleh beribadah dengan modal wang ringgit. Kewajipan menunaikan zakat fitrah, memberi sedekah kepada golongan miskin dan memerlukan, memberi makan dan minum untuk orang yang berpuasa semuanya merupakan ibadah yang bersifat materilistik. Tanpa kemahiran mengurus sumber kewangan yang terhad seseorang mungkin terlepas peluang untuk beribadah menggunakan wang ringgit. Apatah lagi menjelang musim perayaan banyak wang yang akan digunakan untuk tujuan tersebut. Justeru itu, asingkan sebahagian wang gaji yang diperoleh untuk terlibat sama menginfaqkan harta di bulan Ramadan yang cukup besar ertinya terutama bagi yang tiada. Malah doa golongan tersebut mampu memberi keberkatan dan kecukupan kepada rezeki yang sedia ada walaupun tampak sedikit di pandangan mata.

6. Demi untuk merealisasikan tuntutan ibadah di Bulan Ramadan setiap individu Muslim perlu menyediakan perancangan program ibadah sepanjang bulan. Selain program pelaksanaan ibadah wajib seperti berpuasa di siang hari dan solat lima waktu, banyak ibadah sunat boleh dilakukan. Rancangkan berapa muka surat al-Quran mampu dibaca untuk dapat khatam di penghujung Ramadan. Rancangkan pula sejumlah bilangan zikir seperti tahlil, tahmid dan tasbih yang mampu di baca selama sebulan. Malah yang lebih utama persiapan untuk beroleh ganjaran beribadah di Malam Lailatulqadar yang boleh dilakukan dengan berusaha untuk solat tarawih setiap malam. Ini diikuti pula dengan kesanggupan untuk beribadah di sepuluh malam terakhir daripada Ramadan yang berkemungkinan besar berlaku peristiwa lailatulqadar.

7.  Sesungguhnya kegembiraan bertemu Ramadan hanya dapat dirasai oleh individu yang tahu akan berbagai kelebihan yang khusus disediakan dalam bulan tersebut. Adapun bagi golongan yang lalai dan lemah iman berbagai alasan dan helah mula direka hanya kerana enggan menunaikan kewajipan berpuasa. Ibadah puasa bagi mereka umpama suatu penyiksaan batin yang tidak tertanggung sehingga tanpa segan silu makan di khayalak ramai tanpa sekelumit rasa berdosa. Seolah-olah mereka nekad ditangkap oleh penguatkuasa agama berbanding melaksanakan ibadah puasa sebagai manefestasi keimanan dan kepercayaan kepada Ilahi.

8.  Marilah kita semua bergembira dengan ketibaan Bulan Ramadan al-Mubarak. Marilah kita semua berazam untuk menjadikan puasa tahun ini lebih berkualiti daripada tahun-tahun yang lalu. Ini kerana peluang yang ada semakin terhad berbanding umur dunia yang semakin deras menuju ke penghujungnya. Malah kegembiraan dan kejayaan sebenar yang bakal dikecapi adalah berpunca daripada kesempurnaan ibadah puasa yang bakal dilakukan demi mencapai makam takwa kepada Allah SWT.


Antara Keistimewaan Yang Terdapat Pada Bulan Ramadan ialah:

1. Disyariatkan Ibadah Puasa
Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan yang mana pada bulan ini disyariatkan ibadah yang amat mulia di sisi ALLAH, iaitu puasa.

2. Bulan Diturunkan Al-Quran
Kalamullah al-Quran telah diturunkan pada bulan ini. Seluruh umat Islam beriman bahawa al-Quran merupakan kitab yang menjadi petunjuk bagi sekalian hamba ALLAH untuk membezakan di antara kebenaran dan kebatilan.

3. Pintu Syurga Terbuka Luas
Pada bulan Ramadan yang penuh berkat ini juga dibuka seluas-luasnya pintu syurga bagi mereka yang beriman dan taat kepada perintah ALLAH. Bahkan, di bulan yang mulia ini jugalah ALLAH melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-NYA yang menjadi penyebab memudahkan mereka masuk ke syurga.

4. Pintu Rahmat (Belas Kasihan Terhadap Hamba-NYA)
    Terbuka Luas
      Pada bulan Ramadan pintu-pintu Rahmat dibuka. ALLAH meluaskan rahmat-NYA agar menaungi seluruh hamba-hamba-NYA yang tekun beribadah dan taat kepada-NYA dengan memberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.

5. Pintu Langit Terbuka Luas
ALLAH membuka pintu langit seluas-luasnya pada bulan Ramadan yang mulia ini untuk menurunkan limpahan rahmat-NYA kepada sekalian hamba-hamba-NYA serta segala amalan-amalan berbentuk ketaatan kepada-NYA akan naik secara terus kepada-NYA

6. Pintu-Pintu Neraka Tertutup Rapat
Pintu-pintu neraka pula ditutup serapat-rapatnya pada bulan Ramadan. Ia menunjukkan bahawa pada bulan Ramadan yang mulia ini hamba-hamba ALLAH yang tekun beribadah dan menurut segala perintah-NYA terlindung daripada dorongan untuk melakukan perbuatan-perbuatan terlarang yang boleh menjadi penyebab untuk mereka dicampakkan ke dalam api neraka.

7. Syaitan dan Jin Dirantai
Pada bulan Ramadan syaitan dan jin dirantai untuk menghindari mereka dari mengganggu atau menghasut orang-orang yang beriman. Ada juga ulama mentafsirkan maksud syaitan dibelenggu ialah syaitan tidak dapat merosakkan ibadah manusia pada bulan Ramadan kerana ketekunan manusia melakukan ibadah puasa serta ibadah-ibadah lain. Ini kerana, ibadah puasa itu dapat mengawal nafsu mereka dari terdorong melakukan perkara mungkar.

8. Pada Bulan Ini Terdapat Lailatul Qadar
Pada bulan ini juga terdapat satu malam yang lebih mulia berbanding 1000 bulan, iaitu Malam Lailatulqadar. Bahawa lailatulqadar bermaksud malam yang memiliki keagungan kerana diturunkan al-Quran pada malam tersebut, turunnya para malaikat, melimpahnya rahmat dan keampunan ALLAH serta ALLAH akan menganugerahkan keagungan (kemuliaan) kepada mereka yang beribadah pada malam itu. Selain itu, apa sahaja yang ditakdirkan untuk kita pada tahun berikutnya ditetapkan oleh ALLAH pada malam itu.


Pesta Menuai Ganjaran Pahala Ramadan

1.  Sebagai satu rahmat Allah SWT pada bulan Ramadhan ini, usaha membangun sahsiah Muslim seutuhnya perlu dipraktikkan di sepanjang bulan Ramadhan ini. Bahkan pelaksanaan ibadat puasa dan ibadat-ibadat lain pada sepuluh hari terakhir Ramadan perlu dipergiatkan dan diperbanyakkan.

2   Ini kerana tempoh tersebut merupakan kemuncak ibadat puasa sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW. Di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. daripada Saiyidatina Aishah r.a., sesungguhnya Nabi SAW adalah sangat giat mendekatkan diri kepada Allah SWT (beribadat) pada sepuluh hari terakhir Ramadan.

3.  Tunggak ibadah pada bulan Ramadan ialah ibadah puasa iaitu menahan diri bukan sahaja dari makan dan minum bahkan dari segala perkara maksiat dan yang membatalkan pahala puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

4.  Dalam konteks ibadah puasa, kejayaan menempuh ujian perlu disertai dengan sifat sabar. Sifat sabar merupakan perkara asas dalam kehidupan kita seharian terutamanya sabar dalam menghadapi segala macam ujian hidup. Sifat sabar ini dapat menjadikan kita seorang Muslim yang tabah dan mempunyai jati diri dalam menghadapi ujian dan ranjau kehidupan. Firman Allah SWT dalam surah al-Zumar ayat 10, maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang bersabar akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.

5.  Oleh itu hendaklah kita merebut peluang yang sangat berharga ini dengan beribadah yang disertai dengan rasa kesyukuran dan kegembiraan, ikhlas dan yakin terhadap kurniaan Allah yang tidak ternilai banyaknya. Sesungguhnya keistimewaan dan kelebihan berpuasa dalam bulan Ramadan tidak akan kita nikmati jika tidak dilakukan dengan sempurna dan penuh keikhlasan.
 



Syukur dan Alhamdulillah. Kami mengucapkan terima kasih  kepada ahli kariah Masjid Annur khususnya di Parit Rambai Hilir yang dapat meluangkan masa bersama-sama bertahlil kirim arwah (punggahan) dan juga yang membantu membuat persediaan majlis itu pada 6 Julai 2013 yang lepas.

Berikut adalah sumbangan dan perbelanjaan:

Pendapatan daripada sumbangan               =  RM917.00
Perbelanjaan:
  - Jamuan (RM618.60)
  - Peralatan kebersihan masjid (RM133.60)
  - Selipar (RM64.00)
  - Label-label di majid (RM49.30)
     Jumlah                                                                                                                                                                                 =  RM865.50
Baki di tangan                                             =  RM51.50              


Sekian, Terima Kasih