Malam ini adalah malam Nuzul al-Quran. Peristiwa nuzul al-Quran menjadi
satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi
lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul
al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan
Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari
atas ke bawah. Apabila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW
maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang
serius memikirkan rahsia al-Quran.
‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang
menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat,
sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan
rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai
mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara
pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan
segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun
burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti
kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini;
kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab
dan menerima balasan). (Al-An’am:38)
Al-Quran adalah hidayah,
rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi
kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur
bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan
di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi
peringatan.
Dalam sejarah kehidupan
Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW
melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah
Al-‘Alaq. Maksudnya: ”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian
makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu
Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia
mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)
Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul
al-Quran
Lailatul Qadar pula
ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya.
Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan
dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.
Apakah kaitannya
malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara
satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis
Rasulullah SAW di antaranya firman Allah
SWT: Maksudnya:
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar
itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu,
turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala
perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah
Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)
Mengikut satu
pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan
satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4
orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka
sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan
perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW
menyatakan bahawa Allah SWT menurunkan
yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan
Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau
kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.
Dalam hadis yang lain
Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan
bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang
ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.
Panduan
Dari maklumat serba
sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat
Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah seperti:
1. Tidak ada perkara
yang tidak terdapat dalam al-Quran
2. Ayat pertama
diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui
perantaraan Pena dan Tulisan.
3. Kelemahan umat Nabi
Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita
mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.
Apabila disebutkan
bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya
memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan
fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial,
perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat
dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat
Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.
Manakala penurunan
al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu ‘baca’ di mana
membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi
dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia
mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini menguatkan lagi
bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting
dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui
satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”.
Perkara ketiga ialah
hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat
akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah
maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu
digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah
dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam
al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan
iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh
hidup kita dan usia kita dalam ibadah.
Bagi mencari
malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada
menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23,
25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa
hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman
Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23
Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW.
menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar
supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam
Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas
dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari
satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari
bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu
tetap dirahsiakan oleh Allah SWT.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya marilah kita
sama-sama menghayati nuzul al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang
penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab
induk’ panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan
manusia yang lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui
penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi. Membaca al-Quran itu adalah suatu
ibadah. Sekarang bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada
menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam
al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya
memajukan dunia ini dan khasnya memajukan umat Islam dan seterusnya
mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan penghinaan.
No comments:
Post a Comment