MASJID ANNUR,
KAMPUNG PARIR RAMBAI, RAMBAH, PONTIAN, JOHOR DARUL TAKZIM
KEPADA AHLI KARIAH MASJID ANNUR
RAMADHAN ALMUBARAK
Marilah kita sama-sama menyemarakkan bulan Ramadhan dengan bertarawikh beramai-ramai di masjid kita Masjid Annur.
Ramadhan tiba lagi. Hari ini tanggal 1 Ramadhan umat Islam di seluruh dunia mula melaksanakan kewajipan berpuasa di
bulan Ramadhan. Syukur dan Alhamdulillah
jika kita masih berkesempatan berada di bulan Ramadhan kali ini. Kelebihan dan
keagungan yang ada di bulan ini adalah dengan adanya malam Lailatul Qadar yang
dirahsiakan kehadirannya sehingga mendapat keampunan dan pahala serta darjat yag
tertinggi bagi orang yang berjaya mendapatkan malam Lailatul Qadar. Amat
digalakkan pada bulan ini dengan
dipenuhi amal ibadah dan bertaqwa kepada Allah, disamping bersembahyang sunat,
istighfar, tasbih dan berzikir sepenuhnya.
1. Berpuasa wajib di bulan Ramadhan merupakan
tuntutan agama yang wajib dilakukan setahun sekali oleh setiap orang Islam yang
baligh, berakal serta berkemampuan untuk melaksanakannya. Hanya golongan
tertentu seperti orang tua yang sudah uzur ataupun sakit yang tiada harapan
sembuh juga wanita yang dalam keadaan haid dan nifas sahaja dikecualikan
daripada berpuasa. Walau bagaimanapun golongan ini tertakluk kepada kewajipan
untuk membayar fidyah ataupun menggantikan puasa pada bulan-bulan yang lain.
2. Perlu juga difahami betapa ketibaan Ramadan
merupakan sebahagian daripada nikmat kurniaan Ilahi yang perlu disyukuri kerana
hanya diberikan kepada insan-insan terpilih. Terdapat dikalangan kerabat, jiran
tetangga dan sahabat handai yang pada tahun lalu sama-sama berpuasa dan berhari
raya kini telah pergi selama-lamanya menyahut seruan Ilahi sekaligus tidak lagi
diberi keistimewaan oleh Allah SWT untuk menikmati anugerah Ramadan.
3. Justeru itu peluang keemasan yang datang
setahun sekali ini tidak patut dipersiakan dan berlalu pergi begitu sahaja
tanpa berusaha untuk melipatgandakan ketaatan. Tentunya suatu kerugian yang
amat besar apabila seseorang ditakdirkan melalui Ramadan hingga kepenghujungnya
tetapi tidak beroleh pengampunan dan pembebasan api neraka sepertimana yang
dijanjikan oleh Allah SWT. Untuk tujuan itu juga, persiapan rapi bagi menyambut
ketibaan Ramadan perlu dilakukan seiring dengan persiapan menjelang hari raya
yang terkadang menjadi tujuan utama berpuasa. Oleh itu setiap umat Islam perlu
membersihkan jiwa dan raga daripada pelbagai penyakit mazmumah sebagai
persediaan beroleh ganjaran yang tiada tolok bandingnya di Bulan Ramadan.
Betulkan niat dan tujuan berpuasa agar menjadi motivasi untuk mempertingkat
amal dan kebajikan.
4. Selain daripada itu persediaan mental dan
fizikal turut diperlukan bagi mengharungi jadual padat yang telah ditetapkan.
Bermula daripada terbit fajar hingga terbenam matahari seseorang perlu menahan
diri daripada makan dan minum juga semua perkara yang membatalkan puasa. Malah
bagi mencapai tingkatan puasa khusus seseorang perlu mempastikan seluruh
pancaindera terpelihara daripada berbuat dosa dan maksiat kepada Allah SWT.
Begitu pula seseorang yang hanya berpuasa tetapi tidak melaksanakan kewajipan
solat dan menutup aurat juga dikhuatiri gagal memperoleh kesempurnaan berpuasa
seperti yang diharap-harapkan.
5. Selain beribadah dengan modal kesihatan umat
Islam turut boleh beribadah dengan modal wang ringgit. Kewajipan menunaikan
zakat fitrah, memberi sedekah kepada golongan miskin dan memerlukan, memberi
makan dan minum untuk orang yang berpuasa semuanya merupakan ibadah yang
bersifat materilistik. Tanpa kemahiran mengurus sumber kewangan yang terhad
seseorang mungkin terlepas peluang untuk beribadah menggunakan wang ringgit.
Apatah lagi menjelang musim perayaan banyak wang yang akan digunakan untuk
tujuan tersebut. Justeru itu, asingkan sebahagian wang gaji yang diperoleh
untuk terlibat sama menginfaqkan harta di bulan Ramadan yang cukup besar
ertinya terutama bagi yang tiada. Malah doa golongan tersebut mampu memberi
keberkatan dan kecukupan kepada rezeki yang sedia ada walaupun tampak sedikit di
pandangan mata.
6. Demi untuk merealisasikan tuntutan ibadah di
Bulan Ramadan setiap individu Muslim perlu menyediakan perancangan program
ibadah sepanjang bulan. Selain program pelaksanaan ibadah wajib seperti
berpuasa di siang hari dan solat lima waktu, banyak ibadah sunat boleh
dilakukan. Rancangkan berapa muka surat al-Quran mampu dibaca untuk dapat
khatam di penghujung Ramadan. Rancangkan pula sejumlah bilangan zikir seperti
tahlil, tahmid dan tasbih yang mampu di baca selama sebulan. Malah yang lebih utama
persiapan untuk beroleh ganjaran beribadah di Malam Lailatulqadar yang boleh
dilakukan dengan berusaha untuk solat tarawih setiap malam. Ini diikuti pula
dengan kesanggupan untuk beribadah di sepuluh malam terakhir daripada Ramadan
yang berkemungkinan besar berlaku peristiwa lailatulqadar.
7. Sesungguhnya kegembiraan bertemu Ramadan
hanya dapat dirasai oleh individu yang tahu akan berbagai kelebihan yang khusus
disediakan dalam bulan tersebut. Adapun bagi golongan yang lalai dan lemah iman
berbagai alasan dan helah mula direka hanya kerana enggan menunaikan kewajipan
berpuasa. Ibadah puasa bagi mereka umpama suatu penyiksaan batin yang tidak
tertanggung sehingga tanpa segan silu makan di khayalak ramai tanpa sekelumit
rasa berdosa. Seolah-olah mereka nekad ditangkap oleh penguatkuasa agama
berbanding melaksanakan ibadah puasa sebagai manefestasi keimanan dan
kepercayaan kepada Ilahi.
8. Marilah kita semua bergembira dengan ketibaan
Bulan Ramadan al-Mubarak. Marilah kita semua berazam untuk menjadikan puasa tahun
ini lebih berkualiti daripada tahun-tahun yang lalu. Ini kerana peluang yang
ada semakin terhad berbanding umur dunia yang semakin deras menuju ke
penghujungnya. Malah kegembiraan dan kejayaan sebenar yang bakal dikecapi
adalah berpunca daripada kesempurnaan ibadah puasa yang bakal dilakukan demi
mencapai makam takwa kepada Allah SWT.
Antara
Keistimewaan Yang Terdapat Pada Bulan Ramadan ialah:
1. Disyariatkan Ibadah Puasa
Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan yang mana
pada bulan ini disyariatkan ibadah yang amat mulia di sisi ALLAH, iaitu puasa.
2. Bulan Diturunkan Al-Quran
Kalamullah al-Quran telah diturunkan pada bulan ini. Seluruh umat Islam
beriman bahawa al-Quran merupakan kitab yang menjadi petunjuk bagi sekalian
hamba ALLAH untuk membezakan di antara kebenaran dan kebatilan.
3. Pintu Syurga Terbuka Luas
Pada bulan Ramadan yang penuh berkat ini juga dibuka seluas-luasnya
pintu syurga bagi mereka yang beriman dan taat kepada perintah ALLAH. Bahkan,
di bulan yang mulia ini jugalah ALLAH melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada
hamba-NYA yang menjadi penyebab memudahkan mereka masuk ke syurga.
4.
Pintu Rahmat (Belas Kasihan Terhadap Hamba-NYA)
Terbuka Luas
Pada
bulan Ramadan pintu-pintu Rahmat dibuka. ALLAH meluaskan rahmat-NYA agar
menaungi seluruh hamba-hamba-NYA yang tekun beribadah dan taat kepada-NYA
dengan memberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.
5. Pintu Langit Terbuka Luas
ALLAH membuka pintu langit seluas-luasnya pada bulan Ramadan yang mulia
ini untuk menurunkan limpahan rahmat-NYA kepada sekalian hamba-hamba-NYA serta
segala amalan-amalan berbentuk ketaatan kepada-NYA akan naik secara terus
kepada-NYA
6. Pintu-Pintu Neraka Tertutup Rapat
Pintu-pintu neraka pula ditutup serapat-rapatnya pada bulan Ramadan. Ia
menunjukkan bahawa pada bulan Ramadan yang mulia ini hamba-hamba ALLAH yang
tekun beribadah dan menurut segala perintah-NYA terlindung daripada dorongan
untuk melakukan perbuatan-perbuatan terlarang yang boleh menjadi penyebab untuk
mereka dicampakkan ke dalam api neraka.
7. Syaitan dan Jin Dirantai
Pada bulan Ramadan syaitan dan jin dirantai untuk menghindari mereka
dari mengganggu atau menghasut orang-orang yang beriman. Ada juga ulama
mentafsirkan maksud syaitan dibelenggu ialah syaitan tidak dapat merosakkan
ibadah manusia pada bulan Ramadan kerana ketekunan manusia melakukan ibadah
puasa serta ibadah-ibadah lain. Ini kerana, ibadah puasa itu dapat mengawal
nafsu mereka dari terdorong melakukan perkara mungkar.
8. Pada Bulan Ini
Terdapat Lailatul Qadar
Pada bulan ini juga terdapat satu malam yang lebih mulia berbanding
1000 bulan, iaitu Malam Lailatulqadar. Bahawa lailatulqadar bermaksud malam
yang memiliki keagungan kerana diturunkan al-Quran pada malam tersebut,
turunnya para malaikat, melimpahnya rahmat dan keampunan ALLAH serta ALLAH akan
menganugerahkan keagungan (kemuliaan) kepada mereka yang beribadah pada malam
itu. Selain itu, apa sahaja yang ditakdirkan untuk kita pada tahun berikutnya
ditetapkan oleh ALLAH pada malam itu.
Pesta Menuai Ganjaran Pahala
Ramadan
1. Sebagai satu rahmat Allah SWT pada bulan Ramadhan
ini, usaha membangun sahsiah Muslim seutuhnya perlu dipraktikkan di sepanjang
bulan Ramadhan ini. Bahkan pelaksanaan ibadat puasa dan ibadat-ibadat lain pada
sepuluh hari terakhir Ramadan perlu dipergiatkan dan diperbanyakkan.
2 Ini kerana tempoh tersebut
merupakan kemuncak ibadat puasa sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah
SAW. Di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. daripada
Saiyidatina Aishah r.a., sesungguhnya Nabi SAW adalah sangat giat mendekatkan
diri kepada Allah SWT (beribadat) pada sepuluh hari terakhir Ramadan.
3. Tunggak ibadah pada bulan
Ramadan ialah ibadah puasa iaitu menahan diri bukan sahaja dari makan dan minum
bahkan dari segala perkara maksiat dan yang membatalkan pahala puasa bermula
dari terbit fajar hingga terbenam matahari.
4. Dalam konteks ibadah puasa,
kejayaan menempuh ujian perlu disertai dengan sifat sabar. Sifat sabar
merupakan perkara asas dalam kehidupan kita seharian terutamanya sabar dalam
menghadapi segala macam ujian hidup. Sifat sabar ini dapat menjadikan kita seorang
Muslim yang tabah dan mempunyai jati diri dalam menghadapi ujian dan ranjau
kehidupan. Firman Allah SWT dalam surah al-Zumar ayat 10, maksudnya: Sesungguhnya
orang-orang yang bersabar akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.
5. Oleh itu hendaklah kita
merebut peluang yang sangat berharga ini dengan beribadah yang disertai dengan
rasa kesyukuran dan kegembiraan, ikhlas dan yakin terhadap kurniaan Allah yang
tidak ternilai banyaknya. Sesungguhnya keistimewaan dan kelebihan berpuasa
dalam bulan Ramadan tidak akan kita nikmati jika tidak dilakukan dengan
sempurna dan penuh keikhlasan.
Syukur dan Alhamdulillah. Kami mengucapkan
terima kasih kepada ahli kariah Masjid
Annur khususnya di Parit Rambai Hilir yang dapat meluangkan masa bersama-sama
bertahlil kirim arwah (punggahan) dan juga yang membantu membuat persediaan
majlis itu pada 6 Julai 2013 yang lepas.
Berikut adalah sumbangan dan perbelanjaan:
Pendapatan daripada sumbangan = RM917.00
Perbelanjaan:
- Jamuan
(RM618.60)
- Peralatan
kebersihan masjid (RM133.60)
- Selipar
(RM64.00)
- Label-label
di majid (RM49.30)
Jumlah = RM865.50
Baki di tangan = RM51.50
Sekian, Terima Kasih
No comments:
Post a Comment