ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Monday, 26 May 2014

FALSAFAH DI SEBALIK PERISTIWA ISRAK DAN MI’RAJ


MAKHLUK CIPTAAN ALLAH
Ada tiga golongan makhluk Allah yang terlibat dalam perstiwa Israk dan Mi'raj iaitu Nabi Muhammad, Burak dan Malaikat Jibrail. Nabi S.A.W mewakili manusia yang dijadikan dari tanah dan dibekalkan akal dan nafsu. Burak pula mewakili binatang yang hanya dibekalkan nafsu tetapi mempunyai akal yang tidak sempurna sebagaimana manusia. Manakala malaikat pula adalah mewakili makhluk Allah yang dicipta dari cahaya yang hanya memiliki akal sahaja. Makhluk selain manusia yang mukallaf sebagaimana manusia ialah golongan jin yang dicipta dari api yang dibekalkan kepada mereka akal dan nafsu. 

AKAL DAN NAFSU
Secara ringkasnya perlakuan makhluk- makhluk Allah itu adalah berdasarkan kepada  apa yang ada kepada mereka iaitu akal dan nafsu. Akal adalah kemuncak kemuliaan pada setiap makhluk. Akal yang diberi oleh Allah jika digunakan dengan baik akan mendorong ke arah kebaikan dan kesejahteraan. Tetapi menggunakan hanya kepada pertimbangan akal semata-mata tidak boleh menjamin kebaikan dan kesejahteraan melainkan mesti dilandaskan berdasarkan kepada syariat Allah S.W.T. Ini adalah kerana kebaikan dan keburukan sesuatu perkara bukan mengikut pertimbangan akal semata-mata tetapi mestilah didasari oleh syariat dan peraturan Allah s.wt selaku pencipta dan pentadbir. Oleh yang demikian Allah S.W.T telah mengutus para nabi dan rasul disepanjang zaman sejak Nabi Adam a.s sehingga kepada nabi Muhammad S.A.W untuk menuntun manusia ke arah kebenaran: 

"Dan sesungguhnya telah Kami bangkitkan bagi tiap umat itu rasul, di mana rasul itu mengajak manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah dan menjauhi Thagut" 

PERTEMUAN DENGAN PENCIPTA
Dalam peristiwa Mi'raj tersebut ketiga-tiga makhluk Allah iaitu nabi sendiri, malaikat Jibrail dan Burak bergerak dari satu lapisan langit kepada satu lapisan langit sehingga sampai di Sidratul Muntaha.  Di Sidratul Muntaha inilah terhentinya perjalanan Mikraj Nabi S.A.W dari ditemani oleh malaikat Jibril dan Burak. Apabila Jibrail berundur ,maka nabi bertanya kepadanya: "Apakah sampai di sini engkau harus meninggalkan aku?. Jibrail menjawab: "Aku tidak boleh melangkah walau setapak pun melewati tempat ini..." 

Rasulullah S.A.W sendiri bertemu dengan Allah di mana diriwayatkan bahawa jarak di antara Baginda dengan Allah hanyalah jarak anak panah atau dekat lagi. Firman Allah dalam Al-Quran Surah an-Najm ayat 8-9:

"Kemudian ia mendekatkan dirinya ( kepada Nabi Muhammad S.A.W), lalu ia berjuntai sedikit demi sedikit sehingga menjadilah jarak (di antaranya dengan nabi Muhammad S.A.W) sekadar dua hujung busaran panah atau lebih dekat lagi". 

Maka dengan penghampiran ini, tersingkaplah segala tabir, terbukalah hijab, sehingga Nabi s.a.w melihat wajah Allah Rabbul Jalil. Maka disitulah juga nabi mendapat perintah mengejakan kefarduan solat sebanyak 50 waktu solat sehari semalam. 

MANUSIA DI DUA PERSIMPANGAN
Nabi seorang manusia yang kamil (sempurna) dapat mengatasi ketinggian malaikat maupun Burak untuk bertemu Allah S.W.T.  Ini bererti akal waras yang dipandu syariat  dapat mengawal nafsu menjadikan manusia mencapai kedudukan yang amat tinggi disisi Allah S.W.T.  Sebaliknya manusia yang diperkuda oleh nafsu semata-mata tanpa pertimbangan akal yang dipandu syariat menjadikan manusia dikedudukan yang amat rendah dan hina di mata  makhluk dan tiada nilai sedikitpun  di sisi Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T. dalam Surah At-Tin ayat 4 -6: 

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikannya ke tempat yang serendah-rendahnya ( Neraka ). Kecuali orang yang beriman dan beramal salih maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus" 

MANUSIA SECARA FITRAH 
Secara fitrahnya kita dapat merasai tentang nilai kemanusiaan dan  kemuliaan akal. Manusia dalam keadaan mana sekalipun sentiasa meletakkan kepala (akal) lebih tinggi dari pingggang (kemaluan/nafsu). Kita merasa amat tidak selesa apabila kita berbaring dalam keadaan yang condong bila mana kedudukan kepala terkebawah dari pinggang kita. Mengapa?. Jawabnya kerana kedudukan tersebut telah meletakan kedudukan kemaluan (nafsu) lebih tinggi dari kepala(akal/otak) kita. Dalam kedudukan yang sama (berbaring) ditempat yang rata permukaannya sekalipun kita merasa tidak merasa selesa apatah lagi sebaliknya. Bila kita letak bantal sebagai alas kepala , baru kita rasa selesa. Kita berjalan, duduk, makan, minum, semua keadaan tetap meletakkan kepala di atas mengatasi punggung. 

LAIN HALNYA BINATANG
Binatang makhluk yang ada akal tetapi tiada sempurna dan nafsu. Adanya nafsu untuk kelangsungan kehidupan di dunia. Akal tidak sempurna sebagaimana manusia, jin dan malaikat. Bukan juga mukallaf seperti jin dan manusia. Lembu misalnya, apabila makan rumput, ia akan meletakkan kepala searas dengan bumi. Kedudukan kepalanya pada waktu itu adalah jauh lebih rendah dari kemaluannya. Mereka selesa. Dan fitrah semulajadi kejadian mereka memang begitu. Itulah binatang. 

SUJUD MENYEMBAH ALLAH
Manusia yang mahu bersujud dihadapan Allah Azza Wajalla adalah nanusia yang paling mulia di sisiNya. Ketika bersujud, manusia berada dalam keadaan yang paling rendah dan hina kerana sengaja meletakan kepala lebih rendah dari kemaluan. Ia dilakukan semata-mata  sebagai tanda kehambaan dari seorang makhluk kepada khalik iaitu pencipta. Di Padang Mahsyar nanti ketika Nabi memohon Syafaat kepada Allah bagi memulakan perbicaraan terhadap umatnya dan umat-umat seluruhnya, nabi bersujud terlebih dahulu dihadapan Allah sehingga diperkenankan. Allah S.W.T.  memerentahkan kepada seluruh malaikat dan iblis untuk sujud kepada Adam. Semua sujud kecuali iblis. Ia engan dan takabur maka jadilah mereka dari kalangan orang-orang yang kafir. Firman Allah S.W.T.  di dalam Surah al-Baqarah ayat 34: 

"Dan ingatlah ketika Kami berfirman kepada para malaikat: " Sujudlah (tunduklah dengan membongkokkan badan sebagai memberi penghormatan ) kepada nabi Adam: " Lalu mereka sekalian sujud melainkan Iblis, ia enggan dan takbur serta ia menjadi sebahagian daripada golongan orang-orang yang kafir". 

Penghargaan:  JAIS 

No comments:

Post a Comment