Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH
kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan
penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhanNya dan
meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang
bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.
Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasalam merupakan seorang manusia yang mempunyai
akhlak yang amat mulia, merupakan kekasih Allah Subhanahu Wataala dan
menjadi kesayangan umat Islam sejagat. Allah Subhanahu Wataala berfirman
dalam surah Al-Qalam ayat 4 tafsirnya:
"Dan sesungguhnya engkau benar-benar mempunyai akhlak yang sangat mulia".
Sememangnya
kasih sayang umat Islam terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam
amat ketara. Baginda dipuja, disanjungi dan dihormati serta keperibadian
dan cara hidup baginda menjadi ikutan dan tauladan bagi setiap umat
Islam. Kasih sayang umat Islam terhadap baginda terbukti apabila
sebarang cacian yang dilemparkan kepada baginda oleh pihak-pihak yang
tidak bertanggungjawab amat mengusik hati umat Islam sehingga ada yang
bangkit menyatakan rasa marah demi mempertahankan kehormatan dan
kesucian Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam.
Adapun di antara cara menyatakan kasih sayang kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam ialah:
Pertama: Kita hendaklah mentaati segala suruhan dan meninggalkan segala larangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam:
Di
dalam Al-Qur'an, Allah Subhanahu Wataala memerintahkan kepada umat
manusia untuk mentaati suruhan dan meninggalkan larangan rasulNya
sebagaimana firmanNya dalam surah Al-Hasyr ayat 7 tafsirnya:
"Dan
apa jua suruhan yang diberikan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasalam kepada kamu maka terimalah (amalkanlah), dan apa jua yang kamu
dilarang melakukannya maka tinggalkanlah, dan bertakwalah kepada Allah,
sesungguhnya Allah sangat berat siksaNya"
Kedua: Kita hendaklah mentauladani akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam.
Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasalam diutus untuk menyempurnakan akhlak manusia.
Diriwayatkan dari Abu Hurairah Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu
Alaihi Wasalam bersabda:
"Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan semulia-mulia akhlak".
Ketiga:
Kita hendaklah menghidupkan sunah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam
dengan berpegang teguh kepada ajaran Al-Qur'an dan sunah baginda.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam bersabda dalam sebuah hadis
maksudnya:
Dari
Ibni Abas Radiallahu Anhuma "Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasalam bersabda: Sesungguhnya aku tinggalkan untuk kamu, selama kamu
masih berpegang kepadaNya maka kamu tidak akan tersesat selama-lamanya,
iaitu kitab Allah (Al-Qur'an) dan sunah nabiNya"
Keempat: Memperbanyakkan selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam.
Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam surah Al-Ahzab ayat 56 tafsirnya:
"Sesungguhnya
Allah dan malaikat-malaikatNya berselawat kepada nabi. Wahai
orang-orang yang beriman, berselawatlah kepadanya serta ucapkanlah salam
dengan penuh penghormatan"
Muslimin yang dirahmati Allah,
Barangsiapa
yang mencintai Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam dengan keikhlasan
hati, maka mereka akan mendapat fadilat dan kelebihan, antaranya akan
memperolehi kasih dan cinta Allah Subhanahu Wataala, di samping mendapat
keampunan dosa-dosa kecil. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu
Wataala dalam surah Al-Imran ayat 31 tafsirnya:
"Katakanlah
wahai Nabi Muhammad! Jika kamu mengasihi Allah maka ikutlah aku,
nescaya Allah mengasihani kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu. Dan Allah
maha pengampun lagi maha pengasih".
Sesiapa
yang mencintai Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam juga akan
memperolehi kemanisan dan kesempurnaan iman, serta akan mendapat
kedudukan di sisi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam. Oleh yang
demikian, lazimkanlah diri kita agar sentiasa berselawat ke atas
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Alangkah
beruntungnya kehidupan seorang muslim yang sentiasa berselawat ke atas
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam. Ia jelas menunjukkan tanda ingatan
dan kasih sayang terhadap baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam.
Ingatan dan tanda kasih sayang ini pula dibalas oleh baginda sendiri
melalui ganjaran yang tidak terhingga. Betapa ruginya apabila peluang
ini diabaikan dan dilaksanakan begitu saja.
Sama-samalah
kita berdoa semoga kita tergolong di kalangan umat Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasalam yang akan mendapat kedudukan yang istimewa dan
syafaat baginda di hari akhirat kelak. Amin Ya Rabbal Alamin.
Surah Al-Ahzab ayat 21 tafsirnya:
"Demi
sesungguhnya, pada diri Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam itu ada
contoh yang baik bagi kamu iaitu bagi orang yang menharapkan keredhaan
Allah dan kebahagiaan hari akhirat, serta banyak berzikir mengingati
Allah".
Sumber: Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darissalam
No comments:
Post a Comment