Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH
kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan
penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhanNya dan
meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang
bertaqwa dan beriman serta selamat didunia dan selamat diakhirat.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Agama islam mengajar umatnya supaya menanamkan dalam jiwa mereka sifat-sifat mahmudah (terpuji)
seperti berbuat baik, sabar, adil, ikhlas, menepati janji, perihatin,
pemedulian, bertolak ansur, bekerjasama, berkasih sayang dan memberikan
pertolongan kepada mereka yang memerlukan dan sebagainya.
Jika
sifat mahmudah tersebut ada pada diri seseorang, sudah setentunya akan
melahirkan manusia yang pengasih dan pemurah yang sekaligus akan
mengukuhkan lagi tali persaudaraan sesama kaum kerabat, jiran tetangga,
sahabat handai dan masyarakat. Inilah faktor utama kearah menjamin
kesejahteraan hidup beragama, berbangsa, bernegara dan hidup
bermasyarakat. Didalam Al-Quran Allah Subhanahu Wataala memerintahkan
hamba-hambanya supaya bertolong-tolongan dan bantu-membantu kearah
perkara yang berkebajikan. Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala
dalam surah Al-Maidah ayat 2, tafsirnya:
"Dan
hendaklah kamu bertolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan
janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan pada melakukan dosa
(maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah kerana
sesungguhnya Allah Maha Melihat berat azab seksanya bagi sesiapa yang
melanggar perintahnya."
Sebagai
umat islam, kita digalakkan bersifat pemurah dan tidak bersifat bakhil,
tidak bersifat mementingkan diri sendiri dan juga tidak ambil peduli
dengan penderitaan orang lain. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam
surah Al-Imran ayat 180, tafsirnya:
"Dan
janganlah sekali-kali orang yang bakhil dengan harta benda yang telah
dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahannya menyangka bahawa
kebakhilan itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka.
Mereka akan dikalungkan dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari
kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah milik segala warisnya langit dan
bumi. Dan Allah Maha Mengetahui akan segala apa yang kamu kerjakan."
Muslimin yang dirahmati Allah,
Bagitulah
indahnya dan cantiknya agama islam yang mahukan umat manusia hidup
bahagia dan sejahtera. Alhamdulillah, kita amat bersyukur kerana rakyat
dan penduduk dinegara ini memiliki sifat terpuji itu iaitu pemurah,
perihatin dan pemedulian. Ini terbukti jika ada mereka yang ditimpa
kesusahan atau bencana alam seperti kejadian yang telah berlaku
baru-baru ini iaitu kejadian banjir dan tanah susur yang melanda
dibeberapa temapt dinegara ini, rakyat dan penduduk dinegara kita turut
sama-sama berganding bahu menghulurkan bantuan.
Kita
jua amat beruntung mempunyai seorang raja yang sangat perihatin
terhadap penderitaan rakyat Baginda sehingga sanggup berangkat bercemar
duli ketempat-tempat yang dilanda banjir.
Ketahuilah
bahawa sifat tolong-menolong itu dikehendaki oleh agama islam dan
amalan tolong-menolong itu adalah tanda orang pemurah, dermawan dan
murah hati. Itulah salah satu sifat yang dimiliki oleh Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam yang patut kita contohi. Kerana sifat pemurah
itu sangat banyak ganjarannya.
Ingatlah
wahai kaum muslimin, dalam kita melakukan amal kebajikan itu hendaklah
disertai dengan niat ikhlas kerana Allah Subhanahu Wataala. Sesungguhnya
apa pun jua bantuan yang disumbangkan dengan tujuan ikhlas semata-mata
kerana Allah Subhanahu Wataala, akan dapat menghapuskan dosa dan
kesalahan, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah
Al-Baqarah ayat 271, tafsirnya:
"Kalau
kamu zahirkan sedekah-sedekah itu secara terang, maka yang demikian
adalah baik kerana menjadi contoh yang baik. Dan kalau pula kamu
sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang
fakir miskin, maka itu adalah lebih baik bagi kamu, dan Allah akan
menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan
ingatlah Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu
lakukan."
Sesungguhnya
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam memberikan pertolongan dengan
ikhlas kepada siapa sahaja yang memerlukan bantuan tanpa mengira bangsa,
keturunan, agama dan negara. Kemurahan hati Baginda itu telah
diceritakan dalam sebuah hadis maksudnya:
"Dari
Anas Radiallahu Anhu, sesungguhnya seorang lelaki telah meminta kepada
Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam kambing kepunyaan Baginda yang digembala
diantara dua gunung. Lalu Baginda pun memberikan kepada lelaki itu
kambing tersebut. Lalu lelaki itu pulang kenegerinya, dan kepada kaumnya
dia berkata: Hendaklah kamu mengikut islam, kerana sesungguhnya
Muhammad memberi bantuan yang tidak sedikit, sebagai orang yang tidak
takut kepapaan." (Riwayat Al-Imam Muslim)
Dari
kisah tersebut jelas menunjukkan bahawa Baginda Rasulullah Sallallahu
Alaihi Wassalam memberikan bantuan tanpa memilih orang yang tertentu
sahaja, sebaliknya Baginda ikhlas memberikannya kepada sesiapa sahaja,
Baginda bersikap terbuka dan memberikan bantuan dengan seadanya selagi
Baginda mampu dan terdaya. Itulah sifat yang wajar kita contohi,
bantulah orang-orang yang susah dan memerlukan pertolongan. Inilah
diantara ciri-ciri sifat ihsan yang diredhai dan disukai oleh Allah
Subhanahu Wataala.
Oleh
yang demikian, dalam kesempatan ini marilah kita menghulurkan sedekah,
atau derma atau apa jua pertolongan ikhlas kerana Allah Subhanahu
Wataala, dan sumbangan tersebut bolehlah dihantar ketempat-tempat yang
telah ditentukan. Semoga dengan demikian kita mendapat naungan dan
rahmat Allah Subhanahu Wataala dan kita berdoa agar negara kita
dihindarkan dari ditimpa apa jua musibah dan malapetaka, Amin Yarrabal
Alamin.
Surah Al-Baqarah ayat 264, tafsirnya:
"Wahai
orang-orang yang beriman jangan rosakkan pahala amal sedekah kamu
dengan perkataan membangkit-bangkit dan kelakuan yang menyakiti, seperti
rosaknya pahala amal sedekah orang yang membelanjakan hartanya kerana
hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riya). Dan ia pula tidak beriman
kepada Allah dan hari akhirat."
Sumber: Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darissalam
No comments:
Post a Comment