ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Wednesday, 7 December 2011

AZAN DAN IQAMAH

Azan

Azan dari segi bahasa ialah "memberitahu". Dari segi Syarak ialah "Satu gabungan perkataan tertentu untuk mengetahui masuk waktu sembahyang". Juga boleh diertikan sebagai pemberitahuan tentang waktu sembahyang dengan lafaz-lafaz tertentu.

Dalil al-Quran yang bermaksud; "Jika kamu dipanggil (diseru) untuk sembahyang…." ( Surah al-Maidah :58)

Dalil Hadis yan bermaksud; "Apabila tiba waktu sembahyang hendaklah salah seorang dari kamu melakukan azan dan yang lebih tua dari kamu hendaklah menjadi Imam". (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; "Jika kamu berada bersama-sama dengan kambing kamu atau di kebun kamu dan engkau berazan untuk sembahyang, hendaklah engkau angkatkan suara menyuruh orang bersembahyang, sebab suara orang yang azan tidak didengar oleh jin atau manusia ataupun sesuatu kecuali dia menyaksikan baginya pada hari akhirat".

Hukum Azan

Azan dan Iqamah menurut jumhur selain Mazhab Hambali ialah sunat muakkad bagi lelaki yang sembahyang di masjid, semua sembahyang lima waktu dan sembahyang Jumaat. Tidak sunat untuk sembahyang yang lain seperti sembahyang hari raya, gerhana matahari, terawih dan sembahyang jenazah. Ulama Syafie dan Maliki menambah bahawa orang perempuan hanya disunatkan iqamah dan tidak perlu azan.

Azan bagi sembahyang yang luput dan sembahyang bersendirian.

Mengikut pendapat yang muktamad daripada Mazhab Syafie adalah sunat azan dan iqamah bagi orang yang bersembahyang bersendirian samada sembahyang tunai atau qadha, walaupun mendengar azan. Jika hendak melakukan sembahyang Jamak hendaklah diazan untuk sembahyang yang pertama. Makruh meninggalkan azan dan iqamah bagi sembahyang lima waktu, tetapi jika telah melakukan sembahyang tanpa kedua-duanya maka tidak perlu diulang semula.

Syarat-syarat Azan
  • Masuk waktu
  • Hendaklah dengan bahasa Arab
  • Azan dan Iqamah mesti didengar.
  • Tertib dan Muwalat diantara lafaz azan dan iqamah, tidak sah azan tanpa tertib dan muwalat dan hendaklah diulang semula.
  • Azan mestikah dilakukan seorang sahaja. Jika dilakukan secara berkumpulan dan serentak hukumnya sah.
  • Orang yang melakukan azan hendaklah seorang Muslim lelaki yang berakal. Termasuk bertaqwa, mengetahui sunnah Rasul, mengetahui waktu-waktu sembahyang, adil dan amanah. 

Cara dan sifat Azan

Ahli ahli fekah sependapat lafaz-lafaz azan diriwayatkan secara mutawatir dan tidak ditambah dan tidak dikurangi. Caranya disebut dua kali, dua kali. Mereka sependapat mengatakan bahawa azan Subuh ada tambahan "ASHSHALAATU KHAIRUM MINAN NAUUM" sebanyak dua kali. Golongan Syafie menerima "Tajri" iaitu melafazkan dua kalimah syahadah dengan perlahan kemudian melafazkan semula keduanya dengan nyaring.


Kalimah-kalimah Azan :
  Azan & Iqamah
Antara perkara-perkara yang dilarang

Haram talhin  (berlagu-lagu) ketika azan dan iqamah jika lagu-lagu itu mengubah makna kalimah-kalimahnya atau menimbulkan kewahaman yang ditegah. Seperti contoh-contoh berikut:
  • Memanjangkan huruf "hamzah" pada kalimah  asyhadu maka menjadilah hamzah itu sebagai istifham (tanda tanya).
  • Memanjangkan huruf "ba" pada kalimah akbar maka menjadilah ia sebagai jama' kepada kabar  yang bererti gendang yang satu muka.
  • Mengwakafkan pada kalimah la ilaha yang bererti "tiada Tuhan" dan memulakan bacaan pada kalimah  illallah (إلا الله) yang bererti "melainkan Allah" maka perkara ini boleh membawa kepada kufur.
  • Memanjangkan huruf "alif" pada kalimah Allah kerana melebihi pada huruf mad dan lin daripada kadar yang dibaca oleh orang Arab maka itu adalah salah.
  • Menukar huruf "alif" kepada huruf "ha" pada kalimah Allah.
  • Memanjangkan huruf "hamzah" pada kalimah akbar
  • Tidak menyebut huruf "ha" pada kalimah as-shalah  maka menjadilah maksudnya seruan menuju ke neraka. – (Hawasyi Tuhfah al-Muhtaj: 1/473)

Perkara –perkara sunat yang dilakukan ketika azan
  • Orang yang berazan hendaklah orang yang lantang dan elok suaranya.
  • Azan hendaklah secara berdiri.
  • Orang yang berazan hendaklah orang yang merdeka, baligh, adil, amanah, orang yang soleh dan mengetahui waktu sembahyang.
  • Orang yang berazan hendaklah dalam keadaan suci daripada hadas.
  • Orang yang berazan hendaklah boleh melihat kerana orang buta tidak mengetahui waktu dan kemungkinan dia tersalah.
  • Hendaklah dia meletakkan jari-jari tangannya dikedua-dua telinganya.
  • Hendaklah dia menyebut dengan cara berhenti diantara dua kalimah.
  • Hendaklah menghadap kiblat. Disunat memusingkan kepala ke kanan ketika menyebut "HAYYA `ALAS SHOLAH" dan kekiri ketika menyebut "HAYYA `ALAL FALAH".
  • Disunatkan jarak masa antara azan dan iqamah.
  • Hendaklah azan dengan ikhlas.
  • Tukang azan seeloknya terdiri dari dua orang.
  • Sunat azan awal waktu.
  • Boleh menjemput pemimpin untuk sembahyang.
  • Sunat tidak berdiri sebelum azan selesai kerana berlakunya pergerakan ketika azan menyerupai Syaitan.

Makruh ketika azan
  • Makruh azan tersebut tanpa melakukan perkara–perkra sunat yang lepas.
  • Makruh dilagukan dan dipanjangkan azan sehingga mengubah kalimah- kalimah azan atau menambah dan mengurangkannya.
  • Makruh berjalan.
  • Makruh dilakukan tathwib meliankan waktu subuh.
  • Haram keluar masjid selepas azan.
  • Makruh Azan sebelum fajar dalam bulan Ramadhan kalau ditakuti mengganggu orang yang sedang sahur.
  • Menjawab seruan azan dan iqamah; Jumhur ulama termasuk Syafie berpendapat sunat menjawab bagi orang yang mendengar azan dan iqamah. Caranya dengan mengucapkan seperti orang yang mengucapkan azan dan iqamah itu, kecuali pada kalimah "HAYYA `ALAS SHOLAH" dan "HAYYA `ALAL FALAH" hendaklah dijawab "LAA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAAH". Dalam taswib hendaklah dijawab "SODAQTA WA BARARTA". Menurut jumhur ulama, mesti menjawab walaupun dalam keadaan berjunub, haid, nifas atau sedang tawaf fardhu atau sunat. Menurut ulama Hanafi , orang yang sedang haid, nifas, mendengar khutbah bersetubuh, dalm bilik air, makan, mengajar ilmu dan belajar tidak perlu menjawab azan. Tetapi orang yang baca al-Quran hendaklah menjawab. Menurut ulama Syafie, apabila seseorang masuk masjid, hendaklah dia menjawab sambil berdiri dan tidak boleh melakukan solat tahiyyatul masjid. Ini bertujuan untuk menghimpunkan antara pahala menjawab dan pahala tahiyyatul masjid.

Sunat yang perlu dilakukan selepas azan
  • Selawat ke atas nabi Muhammad SAW.
  • Berdoa dengan doa yang ma'thur iaitu doa selepas azan.
  • Berdoa selepas azan Subuh iaitu memohon kesejahteraan daripada Allah SWT bagi kehidupan di dunia dan akhirat.
  • Tukang azan sunat duduk menunggu jemaah antara azan dan iqamah.

Azan untuk maksud lain selain daripada solat:
  • Azan di telinga kanak-kanak yang baru lahir, sunat diiqamahkan pada telinga kiri.
  • Azan di waktu kebakaran, waktu perang dan di belakang orang musafir.
  • Azan pada telinga orang yang berduka cita, orang yang jatuh, marah dan juga yang dirasuk jin atau syaitan. 

Iqamah

Sifat atau cara iqamah
  • Menurut jumhur selain ulama` Hambali, iqamat adalah sunat muakkat bagi solat fardhu. Ulama berbeza pendapat tentang iqamah. Menurut ulama Syafie, lafaz iqamah tidak berulang iaitu 11 kalimah kecuali lafaz "QAD QAAMATIS SYOLAH" ia diulang sebanyak dua kali

Hukum iqamah
  • Hukum Iqamah adalah sama dengan hukum azan, bezanya sunat dipercepatkan iqamah.Menurut mazhab yang empat, afdhal orang yang azan, dialah sendiri yang iqamah.
  • Pendapat ulama Syafie, sunat dilakukan iqamah di tempat yang lain dari tempat azan dan suara yang lebih rendah dari suara azan. Iqamah tidah boleh dibuat sehingga imam memberi keizinan.
  • Jemaah tidak boleh bangun ketika iqamah sehingga imam bangun atau datang.
  • Menurut Imam Syafie, sunat bangun setelah tamat Iqamah.
  • Di sunatkan iqamah dalam keadaan berdiri, suci, mengadap kiblat, tidak berjalan dan bercakap.

No comments:

Post a Comment