ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Saturday, 3 December 2011

KELEBIHAN ILMU BERBANDING HARTA

Ilmu dan harta sama penting untuk membangun ummah. Namun demikian ilmu mempunyai kelebihan berbanding harta. Dengan adanya ilmu pengetahuan, ia boleh dijadikan perantara untuk mencari harta benda. Namun dengan mempunyai harta yang banyak tetapi tidak ada ilmu untuk menguruskannya, harta akan habis jua. Dengan kata lain, sesiapa yang berkehendakkan dunia maka hendaklah dia berilmu dan sesiapa yang berkehendakkan akhirat hendaklah juga dia berilmu dan sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya hendaklah juga dia berilmu.

Allah SWT menegaskan: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna,” (az-Zumar: 9)

Manusia berilmu, hartanya berkembang secara maknawi. Mereka tidak merasa rugi berkongsi dengan orang lain. Bagi orang berilmu, mereka berpegang kukuh dengan pesanan hadis nabi: “Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; (iaitu) sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak-anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya,” (Hadis Riwayat Muslim)

Mengapa ilmu? Inilah antara sebabnya:
  1. Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu adalah pusaka nabi-nabi, manakala harta adalah pusaka Qarun dan Firaun.
  2. Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu memelihara kita, tetapi kita pula yang memelihara harta.
  3. Ilmu lebih baik daripada harta kerana orang yang berilmu ramai taulannya dan sebaliknya orang yang berharta ramai seterunya.
  4. Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu apabila dinafkahkan akan bertambah, tetapi harta pula apabila dinafkahkan akan berkurangan.
  5. Ilmu lebih baik daripada harta kerana orang yang berilmu diseru dengan nama yang mulia, manakala orang yang berharta diseru dengan nama bakhil.
  6. Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu tidak perlu dipelihara daripada pencuri, tetapi harta perlu dipelihara daripada pencuri.
  7. Ilmu lebih baik daripada harta kerana orang yang berilmu akan diberi syafaat diakhirat nanti, manakala orang yang berharta akan dihisab hartanya.
  8. Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu tidak akan binasa, manakala harta pula akan binasa.
  9. Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu itu melembutkan hati dan harta pula mengeraskan hati.
  10. Ilmu lebih baik daripada harta kerana yang berilmu mendakwa kehambaan dan yang berharta mendakwa ketuhanan.
  11. Ilmu lebih baik daripada harta kerana yang berilmu mendorong seseorang itu mencintai Allah sedangkan dengan harta yang banyak boleh menyebabkan seseorang itu lupa akan Allah SWT.
  12. Ilmu lebih mulia daripada harta kerana ilmu tidak akan binasa manakala harta pula akan habis kerana masa dan usia.
  13. Ilmu lebih baik daripada harta kerana orang berilmu tidak memerlukan harta manakala orang berharta memerlukan ilmu.


Ilmu menjadi pintu kepada beribu kebaikan. Ilmu menjadikan dunia yang gelap menjadi terang benderang. Ilmu mampu memberikan nikmat yang abadi. Islam melebihkan orang-orang berilmu dalam segala segi. Marilah kita menimba ilmu tanpa mengira usia. Dalam masa yang sama carilah harta sebanyak-banyaknya dan gunakannya kepeda jalah Allah SWT. Jika kita hendak kedua-duanya sekali iaitu dunia dan akhirat, kita perlu ada perlu ilmu...

No comments:

Post a Comment