Hari ini sebahagian besar daripada umat Islam menyambut kelahiran
Nabi Muhammad SAW. Namun, sejauh mana kita mengikuti tunjuk ajar baginda
SAW dalam memacu diri dan bangsa menuju kemajuan dan ketamadunan?
Ketahuilah, satu perkara yang ditekankan nabi kita ialah kebaikan
budi pekerti, sebagaimana sabdanya bermaksud: “Aku diutuskan untuk
menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Hadis riwayat al-Baihaqi) Membina
ummah berpekerti mulia adalah wawasan utama Nabi SAW. Baginda bukan
setakat menganjurkan umatnya berakhlak baik, tetapi baginda sendiri
mempamerkan perwatakan dan sahsiah terpuji.
Kita sedia maklum
keruntuhan dan kehancuran sesuatu tamadun silam yang sesetengahnya ada
dirakamkan Allah dalam al-Quran. Umatnya bukan calang-calang tahap ilmu
pengetahuannya. Malah, sesetengahnya berkemahiran tinggi dalam sains
dan teknologi sehingga binaan hebat dan kemajuan berinovasi berjaya
dihasilkan. Namun, akhirnya keutuhan tamadun fizikal mereka berkecai
akibat penderhakaan dan tatacara kehidupan menjijikkan.
Sebab itulah kita sebagai umat Islam yang cintakan Allah dan Rasulullah
SAW sewajibnya memperagakan akhlak peribadi luhur. Pernahkah kita
membaca kata-kata ini: “Budi pekerti yang baik adalah setengah daripada
agama. Ia terhasil melalui mujahadah oleh orang bertakwa dan latihan
oleh orang yang kuat beribadah”. “ Akhlak elok adalah pintu yang
terbuka daripada hati yang akan menghasilkan nikmat syurga di sisi
Tuhan. Budi pekerti keji adalah hasil daripada hati dan jiwa, malah ia
adalah penyakit yang menghilangkan kebahagiaan hidup abadi.” Ungkapan
penuh hikmah ini sebenarnya datang daripada Imam al-Ghazali dan anda
dapat mencarinya menerusi kitab agungnya, Ihya Ulumuddin dalam bab
latihan jiwa - pemurnian akhlak dan pengubatan.
Di sini jelas
menunjukkan Imam al-Ghazali pemimpin ulama tersohor meletakkan satu bab
khusus mengenai pembinaan akhlak. Sesungguhnya wacana berkaitan akhlak
tidak pernah dikesampingkan oleh mana-mana ulama sekalipun. Hakikat
ini menggambarkan kepada kita unsur kemajuan dan pembinaan umat sebagai
‘rahmatan lil alamin’ perlu direalisasikan kepada kehidupan yang
berpaksikan akhlak dan sahsiah munri.
Jalan menuju kebahagiaan hidup di dunia bukan hanya terletak kepada
kemewahan rezeki yang berupa harta benda dan kedudukan pangkat serta
darjat keturunan. Baginda SAW pernah mengingatkan kita jalan untuk
menggapai kebahagiaan hidup di dunia dan insya-Allah akan memperoleh
nikmat berkekalan di akhirat kelak adalah kehidupan yang berteraskan
akhlak baik. Sabda baginda: “Antara jalan kebahagiaan bagi manusia
adalah mempunyai akhlak yang mulia.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Demikian seorang sahabat baginda, Saidina Anas bin Malik turut
meninggalkan pesanannya supaya sentiasa menjadikan akhlak mulia sebagai
hidup peribadi.
Sayang sekali, segala khazanah mutiara hikmah pesanan
bestari Rasulullah SAW dan sahabatnya sudah kita abaikan serta jarang
sekali untuk kita renungkan! Anas berkata: “Seseorang akan sampai ke
makam yang tinggi di dalam syurga kerana akhlaknya walaupun ibadahnya
tidak banyak. Ada orang yang akan berada di dalam neraka paling bawah
disebabkan keburukan akhlaknya walaupun ibadahnya banyak.”
Kita
seharusnya banyak kali membaca pesanan Anas itu kerana ia mengandungi
peringatan yang akan memandu jiwa dan hati kita agar tidak memilih gaya
hidup bersulamkan perbuatan keji. Pesanan itu tidak tersasar dengan
satu lagi kisah berikutnya iaitu dikatakan bahawa baginda SAW pernah
ditanyakan mengenai seorang wanita yang begitu aktif mengerjakan ibadah
berpuasa pada siang hari, manakala pada sebelah malamnya khusyuk solat. Sayangnya, wanita itu dia suka menyakiti jiran tetangga dengan
lidahnya. Apabila baginda mendengar soalan daripada sahabatnya, baginda
mengatakan: “Tidak ada kebaikan bagi wanita itu. Dia adalah penghuni
neraka.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Hakim)
Oleh itu, janganlah
dek hebatnya kita mengerjakan amal ibadah, maka hati kita berasa akan
selamat daripada seksaan Allah di akhirat, sedang peribadi kita begitu
teruk, sehingga suka berburuk sangka, khianat, mengumpat, bercakap
bohong dan menabur fitnah. Kita yang hidup pada zaman mutakhir ini
wajar menghidupkan kembali zaman kegemilangan tamadun ummah dalam semua
lapangan hidup. Kita dianjurkan cemerlang dengan menjadi peneraju
kemajuan dunia sebagaimana umat Islam terdahulu pernah kecapi.
Namun, sebelum itu kita gilapkan dahulu peribadi kita dengan nilai
murni. Jangan hanya memandang kepada sudut fizikal semata-mata, sedang
aspek kemanusiaan dan kerohanian dibiarkan kerana jika demikian
ketamadunan didambakan tidaklah menjadi sempurna.
Kita seharusnya memacu diri dengan kekuatan iman yang tinggi,
memantapkan keutuhan ilmu dan memperkasakan sahsiah personaliti terpuji.
Kombinasi tiga elemen ini akan memahkota reputasi ummah sebagai umat
terbaik yang mengagumkan dunia. Percayalah!
Sumber
No comments:
Post a Comment