Setiap individu pasti pernah didatangi tetamu. Tetamu yang datang
berkunjung ke rumah pastinya dengan hajat dan keperluan tertentu. Islam
amat menitikberatkan hubungan antara sesama manusia. Justeru, sejak daripada awal Islam menggariskan adab bagi memuliakan tetamu ke rumah.
Tetamu yang datang adalah amanah Allah yang harus ditunaikan haknya.
Tuan rumah bertanggungjawab ke atas tetamu selama berada di rumahnya
serta wajib menafkahkan sebahagian rezekinya buat tetamu itu. Dengan menghormati tetamu dan menyempurnakan haknya, ia menjadikan
seseorang Muslim itu memiliki iman yang sempurna apatah lagi tetamu itu
saudara seagama. Namun, tetamu bukan Islam turut mendapat layanan yang sama daripada tuan rumah beragama Islam.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud; "Tidak sempurna iman seseorang
itu, sehingga dia mengasihi saudaranya, sebagaimana dia mengasihi
dirinya sendiri." (Hadis riwayat Muslim).
Menghormati dan memuliakan tetamu adalah sunnah rasul dan nabi. Malah,
Nabi Ibrahim a.s adalah antara rasul yang amat memuliakan tetamunya.
Baginda menerima tetamu dengan hati terbuka dan melayani mereka dengan
baik.
Allah s.w.t merakamkan perihal Nabi Ibrahim a.s ini menerusi firman-Nya
bermaksud: "Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu
Ibrahim yang dimuliakan? Tatkala mereka masuk mendapatkannya lalu
memberi salam dengan berkata: "Salam sejahtera kepadamu!'', Ibrahim
menjawab: "Salam sejahtera kepada kamu!" (sambil berkata dalam hati):
Mereka ini orang yang tidak dikenali. Kemudian ia masuk mendapatkan ahli
rumahnya dan dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang
dipanggang). Lalu dihidangkan kepada mereka sambil berkata: "Silakanlah
makan." (Surah adz-Dzaariyaat, ayat 24-27).
Hakikatnya, amalan menghormati tetamu bukan saja menunjukkan ciri-ciri
perilaku terpuji, malah berkait rapat dengan tahap keimanan seseorang
Muslim.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Barang siapa yang beriman dengan
Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menghormati tetamunya. Barang
siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia
menyambung silaturahim." (Hadis riwayat Bukhari).
Di antara adab memuliakan tetamu dianjurkan Islam ialah:
- Menyambut tetamu dengan perasaan gembira dan wajah yang manis
- Saling bertanya khabar berita serta bertukar-tukar cerita yang baik.
- Sedaya-upaya menyembunyikan sebarang masalah keluarga agar tidak diketahui tetamu.
- Menyajikan hidangan makanan kepada tetamu.
- Menyediakan tempat tidur yang baik serta kemudahan yang diperlukan jika mereka bermalam di rumah.
- Sediakan mengikut tahap kemampuan tuan rumah.
- Tidak terlalu berkira, tak pula terlalu berlebihan dan bukan dengan niat untuk bermegah-megah dengan rezeki serta kemewahan yang ada.
Allah s.w.t berfirman di dalam al-Quran bermaksud: "Dan juga mereka
(yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya
tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil dan (sebaliknya) perbelanjaan
mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan
bakhil) itu." (Surah al-Furqaan, ayat 67).
Rasulullah s.a.w bersabda: "Bertamu (menziarah) itu tiga hari dan
selebihnya siang mahupun malam. Tidak halal bagi seorang Muslim menetap
di rumah saudaranya sehingga saudaranya itu berdosa kerananya. Sahabat
bertanya: Bagaimana caranya dia berdosa? Jawab Baginda: Orang itu
menetap di rumah saudaranya, padahal saudaranya itu tidak mempunyai
apa-apa lagi yang akan dihidangkan (diberikan) kepada tetamunya itu."
(Hadis riwayat Bukhari).
Keadaan ini adalah bagi mengelak perasaan terbeban tuan rumah. Amalan
yang pada awalnya dikira sebagai amalan yang mulia, tetapi jika ia
berlarutan sehingga menyusahkan tuan rumah, ia dikhuatiri akan
menimbulkan suasana tidak selesa malah boleh menimbulkan perbalahan dan
persengketaan pada kemudian hari.
Dalam konteks yang lebih besar lagi, rakyat sebuah negara yang diiktiraf
sebagai antara negara Islam contoh, seharusnya kita rakyat Malaysia
sentiasa mempamerkan akhlak dan budaya yang terpuji kepada khalayak yang
berkunjung ke negara ini.
Tanpa mengira agama dan budaya, mereka seharusnya diberi bantuan
sewajarnya sepanjang di negara ini. Sifat ringan mulut memberi bantuan
apabila diajukan soalan oleh tetamu negara dan disertakan dengan
senyuman adalah antara cara bagi menunjukkan tatasusila dan budaya
rakyat Malaysia.
Sesungguhnya tetamu mengundang rahmat daripada Allah s.w.t
,menghilangkan dosa penghuni rumah dan menjanjikan pahala sedekah buat
tuan rumah yang berusaha sebaik mungkin memuliakan tetamu menurut
tuntutan Islam.
Sumber
No comments:
Post a Comment