ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Friday, 17 January 2014

MENJAGA KEBERSIHAN SEBAHAGIAN KESEMPURNAAN IMAN

Kita sudah lali membaca paparan media mengenai senario masyarakat mengabaikan kebersihan dan keindahan. Sebenarnya pihak berkuasa sentiasa melaksanakan pelbagai pendekatan ke arah mengubah sikap berkenaan. Akibat menganggap kebersihan dan keindahan alam sekitar suatu hal remeh, timbullah gejala penyakit dan musibah seperti demam denggi dan kencing tikus. Bukan sedikit yang menjadi mangsa penyakit itu, namun sejauh kita mengambil iktibar dengannya?

Jelas, masyarakat kita masih di takuk lama yang begitu liat untuk berubah. Mereka bukannya tidak jijik dengan persekitaran kotor, tetapi sikap untuk memelihara dan menjadikan amalan menjaganya secara sukarela belum berputik di dalam diri. Malah, ada menganggap urusan menjaga kebersihan dan keindahan persekitaran adalah bidang tugas pekerja yang diberikan kontrak. Tidak ramai yang mahu menjadikannya sebagai satu tanggungjawab bersama.

Lalu mungkin tercetus di kotak fikiran: "Mengapakah aku pula yang kena menjaganya, sedangkan aku bayar untuk ke tandas ini? Bukannya masuk 'free!'" Begitulah sikap kita selama ini. Malanglah seandainya sikap negatif seperti ini terus menjalar ke segenap peringkat masyarakat sehinggakan anak kita di sekolah pun menganggap aspek menjaga kebersihan suatu hal kecil yang bukan menjadi tanggungjawab mereka.

Barangkali ada yang tidak terkejut apabila media tempatan melaporkan 10,257 tandas awam di bawah selian pihak berkuasa tempatan berada di tahap kurang memuaskan. Daripada jumlah itu, hanya 350 mencapai tahap lima bintang, sebagaimana dinyatakan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan sebelum ini.

Kita sepatutnya berasa malu dengan paparan sebegini, apatah lagi sewaktu negara giat mempromosikan program mega negara Tahun Melawat Malaysia 2014. Pelancong asing selama ini menganggap negara kita adalah sebuah negara Islam contoh yang maju dengan pencapaian pesat dalam pelbagai bidang. Sekiranya aspek kebersihan pun tidak dijaga, di mana kita mahu meletakkan muka? Sebagai negara Islam contoh kita tidak seharusnya menunggu program seperti kempen menjaga kebersihan atau sewaktu Tahun Melawat Malaysia sahaja untuk kita pamerkan sikap cintai kebersihan.

Ini kerana menjaga kebersihan adalah sikap yang sudah dianjurkan oleh Islam dan menjadi salah satu tunjang kepada prinsip keimanan. Islam menganjurkan kita sebagai umatnya agar sentiasa memelihara diri, keluarga dan persekitaran kita dengan unsur yang bersih. Malah, suatu ketika dulu kita sudah dikempenkan dengan satu slogan 'Keluarga Sihat, Keluarga Sejahtera'. Kempen itu mengajak kita semua memulakan usaha menghidupkan budaya memelihara kebersihan dan mencintai keindahan dari dalam rumah sendiri.

Namun, entah di mana silapnya kita, kempen dan strategi disusun semuanya tidak meninggalkan kesan untuk tempoh lama. Ingatlah Islam menerusi Nabi Muhammad SAW mengajar kita cara terbaik untuk menjalani kehidupan yang sihat iaitu berdasarkan platform pencegahan sebelum datangnya sesuatu penyakit.

Rasulullah SAW memperkenalkan satu set gaya hidup yang sihat dan seandainya kita patuh, akur dan menuruti segala petua pernah disampaikan baginda, maka kita mampu melalui kehidupan di dunia dalam situasi sejahtera. Malah, kita dapat mengelakkan diri, keluarga dan masyarakat daripada terjebak dalam wabak penyakit yang berbahaya.

Sabda Nabi SAW: "Bersihkanlah halaman rumah kamu. Jangan samakan diri kamu dengan orang Yahudi." (Hadis riwayat Abu Daud)

Persekitaran yang kotor, memualkan dengan timbunan sampah sarap menjijikkan pastinya akan menjadi 'istana' idaman bagi nyamuk dan lalat untuk memindahkan bakteria, virus, protozoa dan segala kuman penyakit ke dalam tubuh manusia. Lalat misalnya, meskipun sejenis haiwan kecil, tetapi sangat berbahaya dan mampu mengundang penyakit kronik seperti demam malaria, demam berdarah dan pes (sejenis penyakit berjangkit). Demikianlah juga halnya dengan nyamuk yang sering membawa musibah besar seandainya kita kurang peka dan bersikap 'tak apa' dengan gejala persekitaran kotor.

Sabda Rasulullah SAW lagi, mafhumnya: "Bersihkan jasmani kamu, nescaya Allah akan menyucikan jiwa kamu." (Hadis riwayat Muslim).

Nyata baginda SAW begitu mengambil berat aspek memelihara kebersihan kerana ia ada hubung kaitnya dengan soal keimanan.

Iman dan kebersihan seolah-olah 'saudara kembar' yang tidak mungkin terpisah sama sekali. Atas sebab peri pentingnya aspek kebersihan sehingga baginda begitu aktif memberikan pelbagai pesanan buat kita semua. Cuma kitalah yang sering mengabaikan pesanan baginda selama ini dan natijahnya kita sendiri menanggung akibat buruk daripada sikap kita meremehkan ajaran sunahnya.

Justeru, marilah kita serlahkan nilai hidup Islam sebenar yang antara lain ialah mempamerkan budaya cintakan alam kehidupan bersih dan indah.

Sumber

No comments:

Post a Comment