ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Sunday 26 August 2012

BERMAAFAN DAN MENGERATKAN SILATURAHIM DI AIDILFITRI

Sempena Aidilfitri ini, amalan ziarah perlu dijadikan ‘jadual’ wajib supaya ahli keluarga dapat berkumpul bagi mengenali saudara-mara mereka. Generasi muda banyak berubah kerana di musim perayaan ini, mereka lebih suka duduk di rumah sambil ‘menghadap’ televisyen. Bukan saja televisyen menjadi penghalang untuk berziarah, ‘ketagihan’ terhadap laman sosial facebook juga menyebabkan mereka leka sehingga ada tetamu yang datang berziarah ke rumah tidak diendahkan.

Apabila tiada semangat dan penghayatan berziarah, lambat laun hubungan persaudaraan antara saudara mara atau jiran tetangga pasti renggang.
Tidak pelik jika ada di kalangan masyarakat kita yang tidak mengenali saudara sepupu padahal zaman dulu, hubungan itu cukup rapat. Begitu juga di kawasan kejiranan di bandar, ada yang tidak pernah bertegur sapa padahal sudah bertahun berjiran. Sikap seumpama itu perlu dihindarkan kerana ia menggambarkan sikap pentingkan diri sendiri dan sombong.

Sabda Rasulullah diriwayatkan Imam Bukhari: Daripada Abu Hurairah, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia menghormati tetamunya dan barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia menyambung silaturahim.

Aidilfitri yang disambut seluruh umat Islam perlu dinikmati bersama, dihiasi dengan ziarah menziarahi dan bermaafan. Hidup berpecah belah akan melemahkan umat Islam. Sebuah hadis daripada Abu Hurairah katanya: Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat janganlah dia menyakiti jirannya, dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Hadis riwayat Bukhari).

Aidilfitri patut digunakan bagi menziarahi saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia menyambung silaturahim.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Amalan kunjung mengunjung dapat mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama Islam dan membuka pintu rahmat dan keberkatan dalam hidup setiap Muslim. Itulah suasana kegembiraan yang dapat dirasai setiap Muslim yang menunaikan perintah Allah sepanjang Ramadan.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Akhir-akhir ini ramai di kalangan anak muda lebih gemar menghabiskan masa di rumah pada hari raya.  Di tambah pula dengan pelbagai rancangan menarik di televisyen, golongan ini beranggapan amalan berziarah adalah amalan lama. Ada yang mengambil peluang cuti hari raya untuk makan angin bersama rakan dan menganjurkan aktiviti hiburan yang tidak berfaedah dan melalaikan. Fenomena itu perlu dibanteras kerana remaja perlu faham kehidupan dunia ini tidak boleh dipisahkan dengan perancangan akhirat.  Keseronokan melampau menyebabkan mereka tergolong di kalangan yang rugi di akhirat kelak.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 185).

Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami (Allah) menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal (ta’aruf).” (Surah al-Hujurat, ayat 13).

Dalam konteks di Malaysia, penganjuran rumah terbuka bagi golongan yang berkemampuan dapat menghidupkan suasana ziarah. Amalan mulia itu, bukanlah syariat yang diwajibkan namun jika dilakukan menurut panduan umum syarak, ia boleh menjadi ibadah yang menguntungkan.

Firman Allah yang bermaksud: “Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!’’, Ibrahim menjawab: “Salam sejahtera kepada kamu!” (sambil berkata dalam hati): “Mereka ini orang-orang yang tidak dikenali.” Kemudian dia masuk mendapatkan ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: “Silakanlah makan.” (Surah al-Dzariyat, ayat 24-27).

Namun, terdapat adab yang perlu dipatuhi antaranya tuan rumah perlu bijak menguruskan majlis supaya tidak berlaku pembaziran. Penganjur tidak boleh ‘pilih bulu’ dengan menjemput tetamu yang kaya dan ternama sahaja sebaliknya semua golongan.

Sunday 19 August 2012

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN
 
Aidilfitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang yang dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna. Kemenangan itu bukan saja menang kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang Ramadan, malah kejayaan menghalang diri daripada melakukan perkara dilarang, di mana jika dilakukan akan terbatal puasanya. Oleh kerana itu, Allah menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan itu.
 
Kegembiraan ini khas kepada mereka yang berpuasa kerana telah berpuasa penuh sebulan, kejayaan melawan nafsu makan dan pancaindera yang lain dan ketiga, melunakkan syaitan-syaitan.
 
Semoga hari raya kali ini kita berusaha bersungguh untuk melaksanakan tuntutan Nabi SAW dalam meraikan hari raya. Bergembiralah meraikannya. Sesungguhnya bergembira di hari raya adalah sunnah Nabi SAW manakala bersedih-sedihan di hari raya pula bukan daripada ajaran Islam. Apa yang terbaik itu adalah mengikut petunjuk Nabi SAW.