ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Friday 28 September 2012

SOLAT: MEMBACA SURAH DALAM SOLAT

Membaca surah dalam solat sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w:
  1. Rasulullah s.a.w. terkadang-kadang membaca surah yang panjang, terkadang yang sederhana, terkadang yang pendek apabila dikehendaki oleh keadaan.
  2. Rasulullah s.a.w. sentiasa membaca surah pada awalnya, tidak memulai dari pertengahan atau akhirnya.
  3. Rasullulah s.a.w. pernah membaca surah Al A’raf di solat maghrib, sebahagian di rakaat pertama dan sebahagian di rakaat kedua.
  4. Rasullulah s.a.w. pernah membaca Surah al-Zalzalah di kedua-dua rakaat solat Subuh.
  5. Rasullulah s.a.w. pernah membaca dua-dua surat dari surah Al Mufashshal di satu-satu rakaat.
  6. Rasullulah s.a.w. memanjangkan bacaan surat di solat Subuh.
  7. Rasullulah s.a.w. memanjangkan bacaan di solat Subuh pada tiap-tiap hari, lebih panjang daripada segala solat fardhu yang lain pada hari itu.
  8. Rasullulah s.a.w.pernah membaca dalam solat sir surah yang ada di dalamnya sujud tilawah. Baginda bersujud dan para makmum ikut bersujud.
  9. Surah terpendek yang dibaca baginda dalam solat Subuh ialah surah Qaf dan surah-surah yang sepertinya. Lazimnya bacaan baginda 60 hingga 100 ayat pada tiap-tiap rakaat. Pada hari Jumaat Subuh, baginda tetap membaca surah As Sajadah pada rakaat pertama dan surah Ad Dahri/Al Insan.
  10. Bacaan pada solat Zohor ialah surah Sajdah atau kira-kira 30 ayat pada tiap-tiap rakaat. Baginda pernah membaca surah Al-A’la dan Al-Lail atau Al-Buruj dan At-Tariq dan surah-surah yang sepertinya. Baginda juga pernah membaca surah Luqman dan Az-Zariyat. Pada suatu masa baginda pernah memanjangkan rakaat solat Zohor yang pertama hingga tidak terdengar suara telapak kaki pun.
  11. Rasulullah membaca di solat Jumaat surah Al Jumuah dan Al Munafiqun, ada kala surah Al A’la dan Al Ghasiyah.
  12. Rasulullah s.a.w. membaca di solat hari raya ialah Surah Qaaf dan Iqtarabat (Al Qamar) secara lengkap dan ada kala membaca surah Al A’la dan Al Ghasiyah.
  13. Rasulullah s.a.w. membaca di solat Asar sekadar 15 ayat pada tiap-tiap rakaat. Tegasnya, sama dengan separuh Zohor jika dipendekkan dan sama dengan Zohor jika dipanjangkan.
  14. Rasulullah s.a.w. pernah membaca di solat Maghrib surah Al A’raf, surah Ath Thur, surah Al Mursalat dan surah Ad Dukhan. Riwayat sahih menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w. membaca surah Al Kafirun dan Al Ikhlas dalam sunat Maghrib.
  15. Rasulullah s.a.w. pernah membaca dalam solat Isya surah Wat tini dan surah Wasy syamsi wa dhuhaaha dan surah-surah sepertinya.

ADAB MENJADI IMAM

Adab menjadi Imam menurut Imam Al-Ghazali dalam kitabnya 'Jadilah Orang Yang Menjiwai Iman dan Hidayah'.

Imam sepatutnya:
  1. Meringankan solat. Anas r.a berkata. "Aku tidak pernah solat di belakang Imam dengan solat yang lebih ringan daripada solat Rasulullah s.a.w."
  2. Tidak bertakbir sebelum muazin selesaikan mengumandangkan iqamah dan sebelum saf (lurus).
  3. Menguatkan suaranya dalam takbir. Sementara makmum tidak boleh menguatkan suaranya kecuali sekadar untuk mendengarkannya kepada dirinya sendiri.
  4. Imam berniat sebagai Imam untuk mendapatkan keutamaan. Apabila dia tidak berniat sebagai Imam, maka solat berjemaah tetap sah jika mereka berniat untuk mengikutnya dan mereka mendapat manfaat sebagai pengikut.
  5. Imam menyembunyikan doa iftitah, dan taawuz sebagaimana orang yang solat bersendirian, serta menguatkan bacaan Surah Al-Fatihah dan surah pada semua rakaat Subuh dan dua rakaat pertama Maghrib dan Isyak. Begitu juga orang yang bersolat bersendirian dan hendaklah dia menguatkan ucapan "Amin" dalam solat jahriah (solat yang dikuatkan bacaannya). Begitu juga makmum dan hendaklah makmum menyambungkan (yaqrunu) aminya dengan aminya Imam dengan bersama-sama, bukannya setelahnya.
  6. Imam diam sejenak setelah membaca surah Al-Fatihah, agar dia dapat memperbaiki nafasnya. Makmum membaca surah Al-Fatihah dalam solat jahriah semasa Imam diam, agar dia dapat mendengar semasa Imam membaca dan hendaklah makmum tidak membaca surah dalam solat jahriah, kecuali jika dia tidak mendengar suara Imam.
  7. Tidak menambah tasbih rukuk dan sujud lebih daripada tiga kali.
  8. Dalam tasyahud pertama tidak menambah setelah ucapannya: "Ya Allah, limpahkan selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad."
  9. Pada dua rakaat terakhir membataskan diri pada surah Al-Fatihah dan tidak memanjangkan solat bersama jemaah.
  10. Tidak menambahkan doanya dalah tasyahud akhir lebih dari tasyahud dan solat Rasulullah s.a.w.
  11. Semasa memberi salam, Imam berniat memberi salam kepada para jemaah, sementara jemaah meniatkan salam mereka untuk menjawabnya.
  12. Imam diam sejenak setelah selesai memberi salam, lalu mengadapkan wajahnya kepada jemaah dan hendaklah dia tidak menoleh apabila di belakangnya ada wanita, agar mereka pergi terlebih dahulu.
  13. Hendaklah tidak seeorang pun dari jemaah berdiri sehingga Imam berdiri. Imam boleh pergi ke mana sahaja yang dikehendakinya, baik ke kanan mahupun ke kiri dan kekanan lebih disukai baginya.
  14. Hendaklah Imam tidak mengkhususkan doa untuk dirinya dalam qunut Subuh, tetapi hendaklah dia mengucapkan: "Ya Allah, berilah kami petunjuk.\," dan menguatkannya. Hendaklah jemaah mengamininya dan tidak mengangkat tangan mereka, kerana (perkara itu) tidak ada dalam sunnah dan makmum membaca sendiri baki qunut mulai dari ucapannya: "Sesungguhnya Engkau memberi ketetapan dan tidak diberi ketetapan."
  15. Hendaklah makmum tidak berdiri sendirian, tetapi masuk ke dalam saf atau menarik orang lain kepadanya.
  16. Tidaklah patut makmum mendahului Imam  dalam perbuatannya atau bersama-sama melakukannya tetapi hendaklah dia melambatkan diri (darinya). Hendaklah dia tidak menjatuhkan diri (rukuk) kecuali apabila Imam telah rukuk dan tidak menjatuhkan diri untuk sujud selagi dahi Imam belum sampai ke tanah.

Thursday 27 September 2012

SOLAT BERJEMAAH SATUKAN UMMAH

Jika setiap umat Islam mampu mempraktikkan segala yang dituntut agama, sudah tentu hubungan utuh mampu dihasilkan. Memberi salam umpamanya, biarpun perbuatan itu dianggap perkara kecil dan remeh di sebaliknya terangkum hikmah bermakna. Mendahului ucapan salam kepada orang Islam yang lain amat dialu-alukan dianjurkan. Itulah yang diperintahkan Nabi kepada kita. Walaupun memberi salam perbuatan sunat saja, tetapi intipati maknanya amat mendalam dalam mewarnai corak dan gaya kehidupan.

Pada zaman sahabat dulu, mereka berebut-rebut memberi salam. Rasulullah berpesan kepada umatnya: “Wahai manusia, sebarkanlah salam, berikan makanan, hubungkan silaturahim, kamu pasti masuk syurga dengan selamatnya.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi).

Dalam satu kisah lain, Nabi berkata: “Apakah kamu mahu aku tunjukkan sesuatu apabila kamu lakukan kamu bersatu padu dan berkasih sayang, iaitu sebarkan ucapan salam di antara kamu.” (Hadis riwayat Muslim).

Dua pesanan Nabi itu seharusnya kita mantapkan dan lakukan dengan penuh ikhlas. Apabila salam itu dilafazkan dengan niat ikhlas kerana Allah, ia ‘memercikkan’ gelora rasa kekitaan dan kebersamaan sesama kita. Ternyata salam menjadi strategi berkesan dalam merungkai permasalahan kelompok sosial sekali gus membina ikatan ukhuwah yang erat. Satu lagi elemen dalam Islam yang nyata bermanfaat dalam merencana hubungan ukhuwah adalah menerusi solat berjemaah.

Malangnya, masjid kini hanya dipenuhi pada hari Jumaat, solat hari raya atau pada malam sepanjang Ramadan untuk bertarawih. Waktu lain, masjid sepi dan hanya dimakmurkan segelintir masyarakat warga emas saja. Justeru, kita perlu kembali menyemarakkan masjid dan surau dengan solat berjemaah kerana ia bukan semata-mata perintah Allah, tetapi berupaya mengukuhkan ikatan perpaduan.

Daripada Abu Mas’ud al Ansari, katanya: “Sesungguhnya Rasulullah merapatkan bahu-bahu kami ketika (hendak dirikan) solat sambil berkata, “Betulkan, penuhkan dan rapat-rapatkan saf-saf solat kamu. Jangan jadikannya bengkang-bengkok, nescaya nanti akan berselisih hati-hati kamu. Hendaklah saf paling dekat dengan aku terdiri daripada orang cerdik pandai dan matang fikirannya daripada kalangan kamu. Kemudian hendaklah mengikuti saf seterusnya orang yang baligh, tetapi belum matang pemikirannya atau orang yang hampir mencapai umur baligh. Kemudian hendaklah mengiringi saf seterusnya kanak-kanak yang mumaiyiz dan yang sepertinya.” 

Oleh itu, sebelum melaksanakan solat kita perlu memastikan saf diluruskan terlebih dulu. Umat Islam perlu sentiasa bersatu padu dan solat berjemaah itu adalah amalan yang mampu menyatukan mereka. Sejarah sirah Rasulullah membuktikan umat Islam ketika itu memaksimumkan penggunaan masjid hingga mampu menjana ukhuwah yang kukuh. Apabila berhijrah ke Madinah, mereka mendirikan solat berjemaah dan berterusan memeliharanya. Komitmen tinggi yang dipamerkan Rasulullah dan sahabat, maka terhasillah komuniti ummah dinamik.