ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Sunday 3 February 2013

SAMBUTAN MAULIDURRASUL 1434H KAMPUNG PARIT RAMBAI

Pada pagi ini, hari Ahad 20 Rabiul Akhir 1434H bersamaan 3 Februari 2013M, ahli kariah dan penduduk Kampung Parit Rambai, Pontian hadir di majlis Sambutan Maulidurrasul 1434H. Pada hari inilah penduduk kampung sama ada yang tua dan yang muda, sahabat handai, dan jiran sekampung berkumpul setahun sekali untuk bersama-sama menghayati hari keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.
Majlis yang diadakan dan dianjurkan secara gotong-royong ini bermula pada petang Jumaat hinggalah pada tengahari hari Ahad. Agar anak-anak generasi penerus tidak dipinggirkan, diadakan juga pertandingan-pertandingan seperti pertandingan mewarna, azan, membaca berzanji, menulis jawi, dan nasyid. Pada malamnya berkumandang melalui pembesar suara alunan bacaan berzanji sama ada dalam bahasa Arab atau bahasa Melayu yang mengkisahkan sejarah Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Pembaca-pembaca berzanji di kalangan penduduk kampung membaca berzanji sehingga tengah malam. Pada paginya, selepas berarak dan berselawat, diadakan pula ceramah ilmu sebagai santapan rohani. Ceramah ilmu itu disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Yang Berbahagia Al-Fadhil Ustaz Hj. Hanafiah Abd. Razak daripada Jabatan Mufti Negeri Johor.

Alhamdulillah majlis yang dirancang berjalan dengan jayanya. Kami mengucapkan terima kasih kepada semua penduduk kampung ini atas kerjasama dan sumbangan bagi menjayakan majlis ini...