ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Saturday 4 February 2012

HAYATI SAMBUTAN HARI KEPUTERAAN NABI MUHAMMAD SAW (MAULIDURASUL)

Insyaallah pada hari Ahad 5 Februari 2012 bersamaan 12 RabiulAwal 1433 kita akan menyambut Ulangtahun Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW (Maulidurasul). Hari selain daripada hari-hari biasa dimana kita mengingati dan merindui seorang 'hamba Allah' yang amat kita sayangi.
 
Untuk kesekian kalinya, sekali lagi kita menyambut Hari Keputeraan Nabi Muhammad SAW, Junjungan besar dan agung. Nabi terakhir yang telah menukarkan dunia ini dari zaman kegelapan kepada cahaya yang memberi rahmat keseluruh alam. Kita sebagai ummah yang terbaik tidak sepatutnya hanya menyambut hari kelahiran baginda setakat itu sahaja tanpa menghayati kehidupan Rasulullah yang menjadi insan contoh yang terbaik.
 
Umat Islam sewajarnya menghayati kehidupan Rasulullah SAW dan mencontohi baginda sebagai insan terbaik, bukannya setakat menyambut hari kelahiran baginda. Rasulullah SAW adalah role model yang perlu dicontohi kerana perbuatan menjadikan insan lain yang tidak mencontohi baginda sebagai contoh menyebabkan kita kehilangan prasyarat untuk menjadi Khalifah Allah SWT. Rasulullah SAW adalah role model yang perlu dicontohi dan jika menjadikan insan lain bukan mencontohi akhlak Rasulullah sebagai role model maka ia tidak memenuhi pra syarat untuk mencakupi peranan manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi.

Ummah yang mutakhir ini menerima penghinaan seperti yang berlaku di Afghanistan dan baru-baru ini penaklukan kuasa unipolar dan hegemoni Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya di Iraq menunjukkan bahawa tanpa berpegang teguh kepada Tali Allah (Agama) dan ajaran serta panduan Rasulullah bumi umat Islam tidak akan selamat. Mereka berpegang kepada tali yang lain dari tali Allah dan menjadikan ideologi asing ciptaan manusia sebagai pegangan perjuangan menyebabkan ummat Islam begitu mudah dikalahkan.
 
Rasulullah SAW tidak dijadikan sebagai pimpinan contoh yang perlu diikuti tetapi mengambil contoh role model yang lain dari Rasulullah menyebabkan umat Islam menerima musibah penghinaan yang tidak ada bandingannya dalam sejarah.
 
Rasulullah membawa kemajuan, perpaduan dan pembangunan peradaban yang tinggi.  Peninggalan usaha baginda menjadikan Islam mentadbir 2/3 daripada muka bumi. Seandainya umat Islam terus menunjukkan kesungguhan yang sama tidak mustahil Islam akan diterima secara sukarela oleh segenap lapisan masyarakat di serata dunia. Kalau ummah berpegang kepada ajaran Rasulullah tidak mungkin mereka akan berpecah dan tidak mungkin juga ada negara umat Islam yang boleh menjadi alat kuasa AS dan konco-konconya dengan menjadikan bumi mereka pengkalan untuk AS dan sekutunya melancarkan penaklukan.
 
Bersempena dengan hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w ini, marilah kita kembali ke pangkal jalan beristiqamah dengan tuntutan Islam dan tidak memilih jalan-jalan yang lain dari agama suci ini. Marilah kembali menjadikan Rasulullah sebagai sumber rujukan dalam perjuangan. Kepada ahli-ahli dan penyokong harakah Islamiyah saya mengajak supaya memantapkan iltizam meneruskan perjuangan di zaman penuh cabaran ini bagi merealisasikan matlamat perjuangan kita bersama. Kita sewajarnya mencontohi perjuangan junjungan besar dan ummah menjadikan kita sebagai contoh warisan kepada kesinambungan perjuangan.

Berikut adalah petikan khutbah haji wida' yang disampaikan oleh Rasulullah SAW dengan penuh syahdu di Padang Arafah ketika Baginda mengerjakan Haji Wida’ bersama dengan lebih kurang 124,000 para sahabat sebelum kewafatan Baginda. Jadikanlah isi kandungan khutbah ini sebagai pedoman hidup seluruh umat Islam akhir zaman.

Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutnya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak diatas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah lemah dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah `ibadah Haji’ sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam takwa dan beramal solah.

Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.

No comments:

Post a Comment