ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Thursday 3 January 2013

SOLAT MERCU TANDA IMAN

Dalam sehari pasti kita akan mendengar suara merdu muazzin mengalunkan azan di corong masjid atau surau. Namun ketika itu, masih ada di antara kita asyik membeli-belah. Ada yang memekakkan telinga kerana sayangkan padang bola. Begitulah fenomena masa kini yang menggambarkan seruan Ilahi untuk mendirikan solat semakin ‘terhakis’ dibuai kegilaan mengejar duniawi.

Solat adalah mercu tanda iman seseorang. Cuai, alpa dan melengah-lengahkan pelaksanaannya mencerminkan keperibadian kita. Islam meletakkan solat di tempat tertinggi dan sebagai tiang agama. Mendirikan solat bermakna tegap dan kukuhlah tiang itu, sebaliknya seandainya kita lalai atau langsung meninggalkannya, bererti roboh dan porak peranda agamanya. Bayangkan, kita sanggup dan bertenaga melakukan urusan dunia, tetapi untuk mengambil masa dalam lingkungan lima minit menunaikan solat hati kita terasa begitu liat.

Jika dalam hati kita ada petanda semacam itu, seharusnya bersegera mencucinya dengan taubat. Bertekad untuk tidak akan meninggalkan solat meskipun sedang dihambat pelbagai urusan duniawi.

Luqman al-Hakim pernah menasihatkan anaknya supaya menjaga waktu solat dengan sempurna. Ini contoh seorang ayah yang baik. Apakah kita sebagai seorang bapa pernah menasihatkan atau menegur kedegilan anak kita dalam aspek solat?

Pesan Luqman: “Wahai anakku. Menunaikan solat yang telah difardukan ke atasmu itu lebih berharga daripada setiap apa yang engkau lakukan, kerana hal seperti solat dan tasbih itu adalah seperti sebuah kapal di tengah lautan. Sekiranya kapal itu terselamat, maka selamatlah apa yang ada di dalamnya dan sekiranya ia karam, maka karamlah apa yang ada di dalamnya.”

Lihatlah metafora yang digunakan Luqman dalam mengetengahkan nasihatnya. Itu dapat dijadikan analisis sebagai perbandingan yang berkesan dalam pendidikan solat kepada anak. Kita perlu ingat, dalam aspek pendidikan kepada anak, seseorang ibu bapa mesti menunjukkan teladan terlebih dahulu. Jangan hanya pandai membebel memberi nasihat, namun kita sendiri entah ke mana. Didiklah anak supaya menjadi teman karib kepada masjid dan rakan akrab kepada sejadah. Jiwa dan minda mereka akan tumbuh subur dengan roh Islam yang utuh sekali gus membekalkan mereka dengan ‘senjata’ paling ampuh menyusuri arus kehidupan yang mencabar.

Rasulullah s.a.w dengan pesanan bernada tegas mengatakan: “Perbezaan antara hamba Allah yang beriman dengan yang kafir adalah meninggalkan solat.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan an-Nasai’)

Seharusnya kita tulis dan gantung kemas di dinding rumah pesanan Rasulullah itu supaya diri dan seluruh ahli keluarga kita sentiasa melihat dan insaf. Malah, dosa meninggalkan solat itu lebih besar daripada melakukan zina.

Dikisahkan bahawa pada zaman Bani Isrrael, ada seorang wanita menghadap Nabi Musa lalu memberitahu Baginda: “Wahai Musa, aku melakukan dosa yang sangat besar dan aku sudah bertaubat kepada Allah. Kerana itu, doakanlah aku spaya Allah memperkenankan taubatku lalu mengampunkan segala dosaku itu.”

Mendengarkan aduan wanita itu, lalu Nabi Musa pun bertanya: “Apakah dosa yang kamu lakukan itu?” Dengan suara penuh insaf wanita itu menjawab: “Sebenarnya aku terlanjur dan melakukan zina hingga melahirkan anak. Kemudian, anak itu aku bunuh.” Berubah wajah Nabi Musa mendengar penjelasan wanita itu lalu berkata: “Pergilah kamu, wahai wanita pelacur. Jangan sampai kewujudanmu di sini menyebabkan turunnya seksa dari langit hingga semua umat tertimpa sama.”

Wanita itu pun berlalu meninggalkan Nabi Musa dengan membawa hati yang amat sedih dengan layanan seperti itu. Namun, tatkala wanita pergi meninggalkan Nabi Musa, Malaikat Jibril datang menemui Baginda lalu berkata: “Mengapa engkau menolak dan mengusir seorang wanita yang bertaubat, wahai Musa? Bukankah engkau boleh menemukan dosa yang lebih berat daripada itu?” Terpinga-pinga Nabi Musa dengan soalan Malaikat Jibril itu. Kemudiannya Nabi Musa bertanya ingin penjelasan lanjut: “Ya Jibril, perbuatan apakah yang dosanya lebih besar daripada yang dilakukan wanita itu?” Jawab Jibril: “Orang yang sama sekali meninggalkan solat dengan sengaja.”

Di dalam al-Quran terdapat lebih 100 ayat Allah yang mengajak kita mengerjakan solat.

Begitu juga dengan pesanan Baginda Rasulullah. Ia menggambarkan betapa tingginya kedudukan solat malah amat menakutkan sekali sekiranya solat fardu lima waktu itu sering ditinggalkan.

Ingatlah, seandainya kita meremehkan solat fardu seolah-olah memberi ruang untuk kita berada sejajar dengan nasib Qarun dan Ubai bin Khalaf?

Apakah maksud pernyataan itu?

Kita sedia maklum, Qarun yang tersohor dengan watak orang kaya, tetapi amat bakhil manakala si Ubai bin Khalaf pula seorang usahawan kafir.

Jadi, seandainya kita mengabaikan solat kerana kesibukan urusan dunia, watak kita itu sama dengan apa yang ada pada Qarun dan Khalaf. Ibnu Umar menceritakan Rasulullah s.a.w ada memberitahu: “Aku diperintah Allah untuk memerangi manusia sampai mereka mahu bersaksi sesungguhnya tidak ada Tuhan selain Allah dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad adalah utusan-Nya, mendirikan solat dan menunaikan zakat. Apabila mereka melakukan hal itu, maka darah dan harta mereka terjamin olehku, kecuali yang berdasarkan hak Islam, maka urusan mereka ada pada Allah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Justeru, marilah kita membina ‘mercu tanda’ iman dan takwa dengan mendirikan solat dengan sempurna khusyuk supaya perhitungan pertama kita di akhirat kelak mendapat ganjaran tertinggi di sisi Allah.

No comments:

Post a Comment