ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Friday 9 August 2013

5 PENGHAYATAN AIDILFITRI HARI KEMENANGAN


Alhamdulillah dengan kasih sayang dan rahmat-Nya, tahun ini kita dapat bersua lagi dalam meraikan Aidilfitri yang mulia. Kita dapat bersama-sama menikmati hari kemenangan dan kebahagiaan ini yang pastinya menyuburkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Aidilfitri telah menyuburkan sifat takwa kepada Allah SWT melalui lafaz dan alunan kalimah takbir yang memuji Allah dengan kalimah Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allah Maha Besar, yang bergema di seluruh pelusuk kota dan desa di negara yang kita cintai ini.

Dalam kesemptan Adilfitri ini, kami mengajak teman-teman sekalian untuk menghayati Hari Raya Aidilfitri dalam kehidupan kita pada hari ini. 

1. Aidilfitri Hari Kemenangan dan Kegembiraan  

Adilfitri adalah hari kemenangan dan kegembiraan bagi seluruh umat Islam. Aidilfitri disambut sebagai satu kemenangan setelah berjaya mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna. Kemenangan itu bukan saja menang kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum pada siang hari di bulan Ramadan, malah kejayaan menghalang diri daripada melakukan perkara-perkara dilarang ketika berpuasa.. Lantaran itu Allah menganugerahkan kita sambutan Aidifitri bagi meraikan hari kemenangan ini. Sambutlah kemenangan ini dengan penuh rasa taqwa dan rendah diri pada kebesaran dan keangungan Allah SWT.

Kalimat 'fitri ' sendiri bermaksud fitrah, yang membawa kita kembali kepada fitrah yang asal, yang bersih daripada dosa dan noda. Dalam sebuah Hadith yang diriwayatkan At-Thabrani dari Ubadah bin Soib menyatakan bahawa: "Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati-hati akan mati, iaitu hari kiamat." 


2. Aidilfitri Hari Raya Fitrah 

Aidilfitri perlu difahami oleh Muslimin sebagai satu bentuk ganjaran daripada Allah bagi mereka yang sabar dan taat beribadah dengan penuh kesempurnaan sepanjang Ramadan al-Mubarak. Tujuannya hanya mengharapkan keredaan-Nya.

Aidilfitri adalah hari yang amat istimewa. Ia disambut khusus bagi merayakan kembalinya setiap Muslim kepada keadaannya asal iaitu fitrah, yakni suci lagi bersih. Aidilfitri yang sebenar-benarnya adalah kesinambungan kepada ketakwaan yang dituntut atas kita sepanjang mengerjakan ibadah puasa. Ia adalah perayaan bagi meraikan kemenangan setiap mukmin melawan godaan dan hawa nafsu.

Oleh itu, sambutan bagi merayakan Syawal perlu sejajar dan selaras dengan kehendak serta tuntutan syariat. Kita perlu melakukan amalan sunat seperti memperbanyakkan bertakbir dan berzikir mengingati Allah. Mengerjakan solat sunat Aidilfitri dengan mengenakan pakaian baru dan indah. Menziarahi sesama umat Islam sambil bermaaf-maafan seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah saw. Selain itu, kita wajib memelihara batas hukum syarak supaya tidak terbabas daripada landasan ditetapkan Islam ketika meraikan Aidilfitri. Sambutan Aidilfitri tidak seharusnya dicampur-adukkan dengan perbuatan atau pelakuan yang sia-sia dan berunsurkan maksiat. Perkara itu bukan saja bersalahan dengan konsep kembali kepada fitrah seseorang Muslim, malah dikhuatiri turut mencemarkan nilai ibadah yang diusahakan sepanjang Ramadan. 


3. Aidilfitri Hari Silaturahim 

Aidilfitri adalah hari mengeratkan tali persaudaraan dan menyuburkan silaturrahim. Islam meletakan nilai persaudaraan dan kasih sayang itu di tempat yang amat tinggi dan utama. Hubungan persaudaraan yang baik adalah satu usaha untuk membentuk individu yang berkualiti. Ini boleh membawa kepada kesejahteraan dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara. Dalam hubungan ini, sambutan Aidilfitri telah memberi ruang dan pelaung yang luas ke arah pengkukuhan persaudaraan dan silaturahim melalui ucapan salam Aidilfitri, kunjung mengunjungi dan saling bermaaf-maafan. Ketika memohon kemaafan, mohonlah dengan penuh kesedaran dan ketika memberikan kemaafan, berilahdengan penuh redha dan tulus ikhlas yang kita benar-benar memaafkannya.

Allah SWT juga memerintahkan manusia supaya berlaku baik terhadap jiran tetangga, sama ada jiran tetangga dekat ataupun jauh. Ini jelas sebagaimana firman-Nya dalam Surah An-Nisaa', ayat 36 yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah, dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu
berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba sahaya yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membanggakan dirinya."

Menurut pandangan jumhur ulama bahawa mengucapkan tahniah di Hari Raya merupakan sesuatu perkara yang disyari'atkan di dalam Islam. Al-Imam Al-Qalyubi menaqalkan daripada Al-Imam Ibnu Hajar bahawa memberi atau mengucapkan tahniah pada hari-hari raya, bulan-bulan dan tahun-tahun (kerana ketibaannya) merupakan perkara yang disunatkan.

Al-Imam Al-Baijuri mengatakan bahawa inilah yang yang dii'timadkan. Manakala amalan saling ziarah menziarahi terutama sekali saudara mara terdekat dan sahabat handai merupakan suatu tradisi yang sentiasa diamalkan ketika menyambut Hari Raya. Amalan ini juga sebenarnya termasuk di dalam perkara yang digemari dan disyariatkan di dalam Islam.

Dalil yang menunjukkan pensyariatannya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu 'anha, beliau berkata: (Yang maksudnya) "Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam masuk kepadaku, dan di sisiku ada dua orang anak perempuan yang menyanyi dengan nyanyian Bu'ats. Lalu Baginda baring di atas hamparan dan memalingkan mukanya,
dan kemudian Abu Bakar masuk, lalu mengherdikku dengan berkata: "Seruling syaitan di sisi (di tempat) Nabi SAW" Rasulullah SAW menghadap kepada Abu Bakar lalu berkata: "Biarkan mereka berdua itu."  Melalui riwayat Hisyam Baginda menambah: "Wahai Abu Bakar, masing-masing kaum ada hari rayanya, dan hari ini adalah Hari Raya kita." 


4. Aidilfitri Mengukuh Perpaduan 

Kita tidak boleh menafikan bahawa Negara kita Malaysia adalah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum. Dari aspek positif, semua perayaan kaum utama di negara ini dikenal pasti sebagai wadah yang mampu untuk menjana perpaduan antara kelompok yang berbeza latar belakang keturunan, budaya dan agamanya. Oleh itu, setiap kali tiba musim
perayaan, majlis rumah terbuka diadakan bagi mengukuhkan hubungan dan integriti antara kaum. Ini tidak kerkecuali dengan perayaan Aidilfitri yang kita rayakan ini.

Suasana sedemikian memperlihatkan pengaruh antara budaya semakin diterima dan mendapat tempat di kalangan anggota masyarakat majmuk di negara ini. Dalam hal ini, Islam sememangnya menggalakkan umatnya berkenal-kenalan dengan bangsa lain. Kita dituntut memperlihatkan ketinggian syiar Islam pada mata penganut agama lain sebagai usaha endekatkan diri mereka kepada kita sebagai ummatan wa sotan. Ini seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 143 yang Maksudnya: "Dan demi kianlah (seperti Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (mengenai yang benar dan yang salah)." 


5. Aidilfitri Mengukuh Keimanan 

Hari Raya tidak memisahkan kita dengan umat Islam di negara lain sekalipun kita dipisahkan lautan dan sempadan. Namun, hubungan kasih sayang, silaturrahim dan persaudaraan dengan umat Islam di lain-lain negara tetap utuh dan kukuh. Ikatan persaudaraan ini berpaksikan kepada aqidah Islamiah yang sebenar.

Walau bagaimanapun, masih ada ruang yang boleh diambil kesempatan oleh musuh Islam untuk memecah belahkan perpaduan dan merosakan aqidah umat Islam melalui fahaman, perlakuan atau perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Pelbagai bentuk ancaman yang membahayakan aqidah umat Islam baik yang disedari atau tidak disedari telah meresap dalam kehidupan umat Islam kini. Justeru itu, umat Islam diminta lebih berwaspada terhadap ancaman ini, kerana ia boleh menghancur leburkan kehidupan aman masyarakat dan negara kita.

Antara ancaman yang mendatang ini ialah faham sekularisma dan liberalism yang tertegak atas dasar pemisahan agama dari kehidupan, amalan sihir, ajaran sesat, penyalah gunaan dadah, syabu atau seumpamanya dan ajaran-ajaran yang bercanggah dengan fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah yang diamalkan di Negara ini.

Dalam mendepani muslihat dan ancaman tersebut, umat Islam mesti memperkukuhkan amalan dan amal ibadah seperti yang dilakasanakan dalam bulan Ramadhan, menguasai ilmu fardu ain dan fardu kifayah, mempelajari dan memahami ajaran dan syariat Islam dengan baik dengan merujuk kepada golongan alim ulama yang arif dan muktabar.

Akhirnya, semoga kita semua beroleh kejayaan dan kemenangan dalam mengharungi ujian di bulan Ramadhan yang baru berlalu. Jiwa mukmin akan merintih dan sedih melihat Ramadhan berlalu pergi, sekalipun gembira menyambut kedatangan Syawal yang mulia. Semoga Aidilfitri ini, dapat kita raikan dengan penuh keimanan dan ketaqwaan. Mudah-mudahan ibadah kita hari ini kita lebih baik dari hari semalam dan tahun ini lebih baik dari tahun sebelum, insya Allah.

No comments:

Post a Comment