ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Saturday 26 January 2013

WAKTU MUSTAJAB UNTUK BERDOA

Nabi Muhammad SAW telah mengajar umat Baginda agar sentiasa menjaga adab-adab dalam berdoa. Ini adalah kerana doa merupakan sebuah permohonan dan permintaan yang dilakukan kepada Allah Yang Maha Esa. Mana mungkin Allah SWT menerima sesuatu permintaan yang dibuat tanpa menggunakan bahasa yang terbaik, merendah diri dengan perasaan kehambaan dan pengharapan yang tinggi kehadrat-Nya.

Bahasa doa yang paling terbaik ialah dengan menggunakan bahasa yang ditunjukkan dalam al-Quran dan hadis. Jika kita amati, doa-doa yang dikemukakan oleh al-Quran dan hadis amat ringkas tetapi padat. Ia tidak berjela-jela dan meleret-leret sehingga terkeluar daripada maksudnya yang sebenar.

Doa-doa daripada para Rasul dan Nabi-Nabi yang dirakamkan dalam al-Quran amat fokus dan tepat dengan maksudnya, di samping menunjukkan sifat kehambaan yang begitu unggul yang dimiliki oleh mereka.

Di samping perlu menjaga adab-adab dalam berdoa, kita juga perlu mengetahui waktu paling mustajab doa. Mudah-mudahan dengan kita amalkan doa pada waktu-waktu tersebut, Allah SWT akan makbulkan semua permintaan dan permohonan kita.

Kita perlu memahami bahawa terdapat waktu-waktu yang dimuliakan Allah SWT berbanding waktu-waktu yang lain. Sebagaimana bulan Ramadan lebih mulia daripada bulan-bulan lain dan hari Jumaat adalah hari paling mulia berbanding hari-hari lain. Ini bukannya bermaksud hari-hari lain tidak mulia, tetapi ia menunjukkan keutamaan dan fadilat yang lebih berbanding yang lain.

Antara waktu-waktu yang dimustajabkan doa ialah;
  1. Akhir satu pertiga malam: Akhir waktu sepertiga malam adalah waktu yang paling terbaik untuk seorang hamba bermunajat kepada Allah SWT. Pada detik dan saat ini, biasanya suasana lebih tenang dan damai, memudahkan sang hamba untuk memberikan fokus dan perhatian kepada pengakuannya dan taubatnya kepada Allah SWT. Allah SWT juga suka untuk memakbulkan doa orang-orang yang bangun di tengah malam kerana tentunya mereka terpaksa mengorbankan masa tidurnya semata-mata kerana Allah SWT. Daripada Abu Hurairah ra, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Allah SWT akan turun ke langit dunia setiap malam iaitu sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman: Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, maka aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan daripada-Ku maka Aku akan mengampuninya. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
  2. Tatkala Berbuka Puasa Bagi Orang Yang Berpuasa: Waktu ini terpilih kerana orang yang berpuasa telah berjaya mengharungi lebih kurang 12 jam menahan nafsu semata-mata kerana Allah SWT. Oleh itu, waktu berbuka puasa ialah waktu yang amat mustajab kerana ia membuktikan sifat kehambaan seseorang yang telah meninggalkan keinginannya kerana Allah SWT. Maka, ketika meraikan kejayaan tersebut ketika berbuka puasa, Allah SWT akan mendengar segala permintaannya dan akan dipertimbangkan untuk dimakbulkan. Daripada Abdullah bin 'Amr bin 'Ash ra bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa terdapat ketika saat berbuka doa yang tidak ditolak. (riwayat Ibnu Majah)
  3. Ketika selesai menunaikan solat fardu: Ketika seseorang itu menunaikan solat, dia sebenarnya sedang bermunajat, memohon ampun dan berdoa kepada Allah SWT. Solat fardu adalah bukti dan manifestasi kehambaan seseorang itu kepada Allah SWT. Maka itu, selepas menunaikan solat adalah detik yang tidak sepatutnya dilepaskan oleh setiap Mukmin untuk berdoa kepada Allah SWT. Daripada Abu Umamah, sesungguhnya Rasulullah SAW pernah ditanya tentang doa yang paling didengari oleh Allah SWT. Lalu Baginda SAW menjawab: "Di pertengahan malam yang akhir dan setiap selesai solat fardu." (sunan At-Tirmidzi)
  4. Hari Jumaat: Hari Jumaat adalah sayyidul ayyam, iaitu penghulu segala hari. Terdapat banyak peristiwa penting yang telah dan akan berlaku pada hari Jumaat. Pada hari ini juga terdapat satu detik yang amat berharga. Pada detik itu, Allah SWT akan memakbulkan doa dan permintaan hamba-Nya. Namun, detik itu dirahsiakan dari pengetahuan manusia. Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya pada hari Jumaat terdapat satu saat yang mana tiadalah seorang hamba Muslim solat dan memohon sesuatu kebaikan kepada Allah, melainkan akan diberikan padanya, beliau berisyarat dengan tangannya akan sedikitnya waktu tersebut. (riwayat al-Bukhari)
  5. Antara azan dan iqamah: Azan dan iqamah adalah panggilan untuk mendirikan solat. Pada waktu ini umat Islam akan meninggalkan urusan sehariannya dan akan menumpukan kepada solatnya. Daripada Anas bin Malik ra bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Doa tidak akan ditolak di antara azan dan iqamah." (riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Baihaqi)
  6. Ketika sujud: Ketika sedang sujud, seorang hamba akan meletakkan kepala dan wajahnya di tampat yang paling rendah sekali. Ini adalah merupakan satu bentuk pengakuan bahawa dirinya adalah hamba yang sangat lemah, miskin dan hina. Sifat merendahkan diri ini sangat penting untuk merasakan kebesaran dan keagungan Allah SWT. Daripada Ibnu Abbas ra bahawa Rasulullah SAW bersabda: Ketika waktu sujud, maka bersungguh-sungguhlah dalam berdoa kerana pada detik itu sangat tepat untuk dikabulkan. (riwayat Muslim)

Sebenarnya, terdapat beberapa lagi waktu yang amat dimustajabkan doa seperti malam Lailatulqadar, hari Arafah dan sebagainya. Namun, yang paling penting sekali dalam melakukan doa ialah rasa keikhlasan dalam diri dan sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT.

Thursday 24 January 2013

TELADANI AKHLAK RASULULLAH

Bulan Rabiulawal, bulan kelahiran Rasulullah SAW, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Ilahi atas kurniaan rezeki tidak terhingga nilainya kerana menjadi umat Nabi Muhammad SAW yang diutuskan membawa petunjuk kebenaran dan berita gembira kepada yang beriman.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar gembira (kepada orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang yang ingkar). Dan (setelah engkau sampaikan semuanya itu), engkau tidak akan diminta (bertanggungjawab) mengenai ahli neraka.” (Surah al-Baqarah, ayat 119)

Sabda Rasulullah: “Hendaklah kamu bersikap benar, kerana sesungguhnya bersikap benar membawa kepada kebajikan, dan kebajikan akan membawa kepada syurga, dan seseorang itu akan sentiasa bercakap benar hinggalah dia dicatat sebagai yang amat benar di sisi Allah.” (Riwayat al-Bukhari)

Diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud: “Sesungguhnya percakapan yang paling baik adalah kitab Allah SWT. Dan petunjuk yang paling benar adalah petunjuk Muhammad SAW.” (Riwayat Al-Bukhari)

Pengorbanan besar

Kasih sayang Rasulullah SAW kepada umatnya dilihat melalui keseluruhan pengorbanan Baginda menyampaikan risalah dan hakikat kebenaran itu sehingga sanggup mengharungi apa juga cabaran dengan penuh kesabaran, ketabahan serta kebijaksanaan sangat tinggi.

Baginda SAW apabila dijanjikan pelbagai ganjaran oleh pembesar kafir Quraisy supaya meninggalkan usaha dakwah bersabda: “Walaupun diletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku sekalipun untuk aku meninggalkannya, nescaya tidak juga akan aku lakukan.”

Begitulah kuatnya pegangan Rasulullah dalam menyampaikan risalah kebenaran kepada umatnya. Pada masa sama, kebenaran ajaran Islam yang dibawa tidak akan terserlah jika tidak ditunjukkan dengan kemuliaan sifat siddiq iaitu jujur dan benar.

Sifat benar yang ditunjukkan Baginda meliputi segala aspek pegangan kepercayaan, pertuturan dan perbuatan. Sifat benar ini telah menimbulkan rasa percaya dan senang dalam hati orang yang mengenali dan berurusan sehingga mendorong untuk beriman dengan ajaran yang dibawa.

Tak pernah menipu

Dr Mahmud Muhammad dalam penulisannya, Babeli ‘al-syabab al-Muslim fi Muwajihat al-Tahdiyyat menukilkan bahawa Saidina Abu Bakar pernah berkata mengenai Rasulullah SAW: “Dia tidak pernah berdusta kepada manusia, maka bagaimana pula dia boleh berdusta kepada Allah SWT?”

Justeru, di kala ramai yang tidak mempercayai termasuklah daripada kalangan mereka yang beriman mengenai perkhabaran Israk Mikraj Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar sebaliknya tanpa ragu mempercayai sesuai dengan jolokan gelarannya al-Siddiq.

Jujur dalam perniagaan

Sifat mahmudah ini ditiru sahabat antaranya Abdul Rahman bin Auf dalam perniagaan yang diusahakan dengan jujur tanpa tipu helah, benar dan bijaksana sehingga berjaya mengaut keuntungan memecahkan monopoli perniagaan kaum Yahudi di Madinah.

Rasulullah memuji mereka yang jujur dengan sabdanya: “Peniaga yang jujur akan ditempatkan bersama nabi, golongan yang benar, syuhada dan solihin.”

Baginda juga mengingatkan dengan tegas bahawa amalan dusta bukan daripada kalangan umat Baginda. Baginda menegur peniaga yang tidak jujur kepada pelanggannya apabila didapati mencampurkan antara buah kering dan basah dalam satu longgokan.

Sifat siddiq bentuk integriti

Justeru, dalam bekerja dan memberikan perkhidmatan, sifat siddiq Rasulullah perlu kita contohi khasnya untuk membentuk integriti. Terdapat pelbagai cara diambil majikan untuk memelihara dan membangunkan kualiti sifat ini termasuklah menyediakan kod etika perkhidmatan.

Beberapa contoh tatacara kerja yang tidak bertanggungjawab dan tidak berteraskan kejujuran ialah pemalsuan dokumen, pemindaan data dan fakta, pemalsuan tuntutan, tidak menjaga kerahsiaan daripada ketirisan, tiada ketelusan dalam tindakan dan membuat keputusan, penyalahgunaan kuasa serta suapan.

Firman-Nya: “Wahai orang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang yang benar.” (Surah al-Taubah, ayat 119)

Menurut Imam al-Qurtubi, Allah SWT menyifatkan orang yang benar dan beriman dalam urusan mereka sebagai orang yang bersungguh-sungguh dalam agama.

Sabda Rasulullah: “Hendaklah kamu bersikap benar, kerana sesungguhnya bersikap benar membawa kepada kebajikan, dan kebajikan akan membawa kepada syurga, dan seseorang itu akan sentiasa bercakap benar hinggalah dia dicatat sebagai yang amat benar di sisi Allah.” (Riwayat al-Bukhari)

Wednesday 23 January 2013

MALAM PENGHAYATAN KEPUTERAAN JUNJUNGAN BESAR NABI MUHAMMAD SAW

Sebentar tadi ahli kariah Masjid Annur berkumpul bersama-sama di masjid bagi menghayati hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.  Ruang masa yang ada itu diisi dengan bertazkirah dan membaca berzanji sambil berselawat.

"Selesai Nabi Muhammad SAW mengucapkan khutbah terakhir, beliau turun dari al-Qahwa’. Beliau masih di tempat itu juga sampai pada waktu solat Dzohor dan solat Asar. Kemudian menaiki kembali untanya menuju Shakarat. Pada waktu itulah, Nabi Muhammad SAW membacakan firman Tuhan ini kepada mereka: “Hari inilah Kusempurnakan agamamu ini dan kamu sekalian, dengan Kucukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan yang Kusukai Islam inilah menjadi agama kamu.” (Q.S. 5:3). Saiyidina Abu Bakar ketika mendengar ayat itu dibaca ia menangis. Ia merasa bahwa risalah Nabi sudah selesai dan sudah dekat pula saatnya Nabi hendak menghadap Tuhan…"












Sejarah telah membuktikan bahawa perjalanan kehidupan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di dalam tugasnya menyebarkan dakwah Islam yang mulia ini penuh dengan peristiwa pahit dan getir. Baginda pernah dikeji, dihina, diugut, dibaling dengan batu sehingga berdarah, dimusuhi dan dipulaukan oleh sebilangan dari kaum keluarganya, namun untuk meninggalkan amanah Allah ini tidak sekali-kali terlintas di dalam jiwa Baginda.

Justeru itu, kita wajib beriman kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan-Nya, mudah-mudahan kita beroleh kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.

Allah Subhanahu Wata'ala memerintahkan kita supaya cinta dan kasihkan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dengan mengikut sunnah yang dibawanya. Jika kita mencintai Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, kita setentunya banyak menyebut-nyebut Baginda.

Bagaimanakah caranya untuk kita menyebut nama Baginda sehingga boleh membawa keuntungan? Yang paling mudah ialah dengan berselawat. Semakin banyak kita berselawat, semakin besar ganjaran yang bakal diterima, bukan sahaja di akhirat malahan juga di dunia ini.

Di antara kelebihan berselawat itu ialah:
  • Allah Subhanahu Wata'ala akan berselawat (memberi rahmat, cahaya dan hidayah) kepada orang yang berselawat.
  • Akan mendapat syafaat Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam di akhirat nanti.
  • Diangkat baginya sepuluh darjat, dicatatkan baginya sepuluh kebajikan, dihapuskan daripadanya sepuluh kejahatan.
  • Dimakbulkan doanya dan ditunaikan segala hajatnya dan ditutup segala aibnya.
  • Mendapat petunjuk serta hatinya hidup untuk menerima kebenaran.
  • Terlepas daripada huru-hara Hari Kiamat.

Tuesday 22 January 2013

HINDARI DOSA-DOSA BESAR

Mereka yang melakukan dosa adalah seorang yang menjadi teladan. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memberi contoh di dalam Islam dengan contoh yang jelik, dia akan mendapat dosanya dan dosa orang yang mengikutinya selepas dia tanpa dikurangi dosa itu sedikitpun.

Dosa besar adalah perlakuan salah yang dijelaskan hukuman, dilaknat serta akibat yang disebut secara jelas dalam al-Quran dan sunah Nabi Muhammad.

Menurut az-Zanabi dalam bukunya al-Kabaair, dinyatakan sebanyak 70 dosa besar dan daripada 70 itu diringkaskan kepada jenisnya seperti berikut:
  • Empat jenis di hati iaitu syirik, terus menerus berbuat maksiat, putus asa dan berasa aman daripada seksa Allah.
  • Empat jenis pada lisan iaitu kesaksian palsu, menuduh berbuat zina pada wanita baik-baik, sumpah palsu dan mengamalkan sihir.
  • Tiga jenis di perut iaitu minum arak, memakan harta anak yatim dan memakan riba.
  • Dua jenis di kemaluan iaitu zina dan homoseksual.
  • Dua macam di tangan iaitu membunuh dan mencuri.
  • Satu di kaki iaitu lari dalam peperangan.
  • Satu di seluruh badan iaitu derhaka terhadap orang tua.
 Dosa kecil iaitu adalah dosa yang tidak dinyatakan di atas. Dosa kecil akan menjadi besar jika dilakukan berterusan. Menurut Imam Hasan al-Basri, tidak ada dosa kecil apabila dilakukan dengan berterusan dan tidak ada dosa besar apabila disertai dengan beristighfar.

Allah berfirman, maksudnya: “Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.” (Surah Ali Imran ayat 135).

Tindakan sesetengah daripada kita yang menganggap remeh mengenai dosa, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya seorang mukmin dalam melihat dosanya, bagaikan seorang yang berada di puncak gunung, yang selalu khuatir tergelincir jatuh. Adapun orang fasik dalam melihat dosanya, bagaikan seseorang yang dihinggapi lalat di hidungnya, maka dia usir begitu saja.” (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim).

Jika ada yang bergembira melakukan dosa, Allah berfirman, maksudnya: “Dan apabila dikatakan kepadanya: “Bertakwalah kepada Allah”, bangkitlah kesombongannya yang menyebabkannya berbuat dosa. Maka cukuplah (balasannya) neraka jahanam. Dan sungguh neraka jahanam itu tempat tinggal yang seburuk-buruknya.” (Surah al-Baqarah ayat 206).

Begitu juga mereka yang berasa aman daripada azab Allah, Allah berfirman maksudnya: “Apakah tiada kamu perhatikan orang-orang yang dilarang mengadakan perbicaraan rahsia, kemudian mereka kembali (mengerjakan) larangan itu dan mereka mengadakan perbicaraan rahsia untuk berbuat dosa, permusuhan dan derhaka kepada Rasul. Dan apabila mereka datang kepadamu, mereka mengucapkan salam kepadamu dengan memberi salam yang bukan sebagai yang ditentukan Allah untukmu. Dan mereka mengatakan pada diri mereka sendiri: “Mengapa Allah tiada menyeksa kita disebabkan apa yang kita katakan itu?” Cukuplah bagi mereka neraka Jahannam yang akan mereka masuki. Dan neraka itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” (Surah al-Mujadalah ayat 7).

Kemudian, manusia yang melakukan perbuatan maksiat secara terang-terangan, Rasulullah bersabda, maksudnya: “Semua umatku akan diampunkan dosanya kecuali orang yang mujaharah (terang-terangan dalam berbuat dosa) dan yang termasuk mujaharah adalah seorang yang melakukan perbuatan dosa di malam hari, kemudian hingga pagi hari Allah telah menutupi dosa terbabit, kemudian dia berkata: Wahai fulan semalam saya berbuat ini dan berbuat itu. Padahal Allah menutupi dosa itu semalaman, tetapi di pagi hari dia buka tutup Allah terbabit.” (Hadis riwayat al-Bukhari & Muslim).

Monday 21 January 2013

JEMPUTAN KE SAMBUTAN MAULIDURRASUL 1434H KAMPUNG PARIT RAMBAI

Sambutan Maulidurrasul
Kampung Parit Rambai, Pontian, Johor
Tahun 1434H/2013


Pengerusi dan ahli Jawatankuasa sambutan dengan sukacitanya menjemput semua penduduk Kampung Parit Rambai ke majlis tersebut yang akan diadakan pada hari Ahad, 03 Februari 2013  di Surau Parit Rambai Ulu,  Parit Rambai, Pontian, Johor. Kehadiran tuan/puan amat dialu-alukan.


Aturcara Sambutan

Jumaat,
01 Februari 2013
3.00 petang 
- Gotong-royong mendirikan khemah.

Sabtu,
02 Februari 2013 
2.00 petang
- Pertandingan mewarna anak-anak tadfika
- Pertandingan nasyid murid-murid Sek. Agama parit Rambai
- Rewang

9.00 malam
- Bacaan berzanji dan selawat 
Rewang

Ahad,
03 Februari 2013
7.30 pagi
- Bacaan berzanji dan selawat
Perarakan dan selawat

8.30 pagi
  • Doa oleh Imam 1 Masjid Annur
  • Bacaa Al-Quran dan terjemahannya
  • Ucapan Tuan Pengerusi Masjid An-Nur
  • Bacaan berzanji oleh Johan Perujian Berzanji Sek. Keb. Parit Rambai 
  • Persembahan nasyid oleh Johan  Pertandingan Nasyid Sek. Agama Parit Rambai
  • Azan oleh Johan Pertandingan Azan Sek. Keb. Parit Rambai
  • Ceramah utama Sambutan Maulidurrasul oleh Yang Berbahagia Al-Fadhil Ustaz Hanafiah b Abd. Razak dari Jabatan Mufti Negeri Johor
  • Jamuan
  • Pengemasan

Kehadiran Tuan/Puan/Abang/Adik/Kakak/Anak-anak
Amat Dialu-alukan. Bersama-sama Kita Berjumpa di Sana.... Sekian, Terima kasih.

KEHEBATAN AMALAN ZIKIR

Apa yang diperintahkan Allah pasti mempunyai fadilat, hikmah dan ganjaran pahala yang besar di sisi-Nya. Hal itu termasuklah dalam amalan berzikir. Ia perbuatan ringan, namun mempunyai ganjaran besar kepada pengamalnya. Ringan di lidah tetapi berat di ‘Mizan’, begitu kedudukan status amalan zikir dan amat tidak wajar seandainya kita mengabaikannya.

Sahabat Rasulullah s.a.w, Muaz bin Jabal pernah memberitahu, “Tidak ada sesuatu pun yang dapat menyelamatkan seorang hamba daripada azab Allah, melebihi zikir kepada-Nya.”

Jangan kita sangsi apa yang disuarakan Muaz kerana ketika perjalanan sirahnya bersama Rasulullah s.a.w, beliau antara sahabat yang menjadi kesayangan Rasulullah hinggakan pernah satu hari Baginda memberitahu sahabat lain, “Umatku yang paling tahu akan yang halal dan haram ialah Mu’az bin Jabal.” 
Ia penghormatan tertinggi buat Mu’az daripada golongan Ansar yang turut terbabit dalam Perjanjian Aqabah kedua.

Sementara itu, seorang ulama tabiin tersohor, Aun bin Abdullah ada menyampaikan satu cerita, “Pada suatu ketika ketika kami mendatangi Ummu al-Darda’ kami pun berzikir dengannya. Namun, pada suatu hari yang lain, Ummu al-Darda merasa gelisah sehingga membuatkan sahabat yang bersama berzikir bersamanya berasa hairan. Mereka berkata, “Adakah kami membuatkanmu berasa bosan, wahai Ummu al-Darda?” Sambil membetulkan kedudukannya di lantai, Ummu al-Darda’ menjawab, “Apakah kalian fikir kalian membuatkanku berasa bosan? Tidak sama sekali wahai sahabat sekalian. Selama hidupku, aku selalu mengharapkan zikir, maka bagiku tiada sesuatu hal pun yang dapat melapangkan dadaku melebihi zikirnya ahli zikir.”

Begitulah pengakuan jujur seorang insan mulia. Siapa yang tidak mengetahui keunggulan Ummu al-Darda’ atau Abu Darda’ ini. Siapakah yang berani menafikan ketokohannya?

Abu Darda’ pernah menceritakan berkenaan riwayat hidupnya. Ceritanya, “Aku mengislamkan diriku kepada Rasulullah s.a.w sewaktu aku menjadi saudagar yang mewah dengan harta kekayaan. Keinginanku adalah untuk menjadikan beribadah dan berniaga dapat dihimpunkan pada diriku jadi satu. Tetapi sayang seribu kali sayang, hajat itu tidak kesampaian. Lalu, aku mengambil keputusan mengasingkan urusan perniagaan dan menghadapkan diri kepada ibadah. Aku tidak akan berasa gembira sedikitpun jika sekarang aku berjual beli dan mendapat hasil setiap hari 300 dinar, sekalipun kedaiku terletak di muka pintu masjid.”  Sambungnya lagi, “Aku tidak mengatakan kepada kamu Allah mengharamkan jual beli. Hanya aku secara peribadi lebih menyukai supaya aku termasuk dalam golongan yang berniaga dan jual belinya tidak sekali-kali melalaikannya daripada berzikir kepada Allah.”

Dari situ menggambarkan Ummu al-Darda’ seorang yang memiliki keimanan yang kuat sehingga gusar jika urusan perniagaannya menjerumuskan dirinya ke lembah golongan lalai berzikir.

Bagi insan yang sentiasa sibuk mengejar keduniaan sehingga lupa mengingati Allah malah sentiasa membiarkan hati dan jiwa terbelenggu dengan kekalutan urusan duniawi, beliau dengan ikhlas pernah berpesan antara lain, “Sesiapa yang tidak pernah puas terhadap dunia, maka tidak ada dunia baginya.”

Malah satu ketika beliau tidak dapat menahan sebak tatkala melihat ada sesetengah insan tenggelam dalam hawa nafsu mengejar keduniaan. Sambil merintih perlahan suara insan mulia itu melontarkan kata-kata, “Oh Tuhan, aku berlindung kepada-Mu daripada hati yang bercabang-cabang.”

Rupanya luahan suara Abu Darda’ masih dapat didengari sahabatnya, lantas sahabatnya bertanya, “Apakah yang kamu maksudkan dengan hati yang bercabang-cabang itu, wahai Abu Darda’?” Dengan frasa kata yang ringkas Abu Darda’ menjawab, “Memiliki harta benda di setiap lembah.”

Ada lagi peringatan bermanfaat yang disampaikan Abu Darda’, kata beliau, “Alangkah hinanya makhluk di sisi Allah, apabila mereka meninggalkan kewajipannya terhadap Allah. Selagi mereka teguh sebagai umat perkasa, mereka berjaya mempunyai kekuatan, kemudian apabila mereka tinggalkan amanah Allah, maka jadilah mereka orang yang hina dan kecundang.”

Apa yang dikatakan Abu Darda’ memang benar dan kita sedang menyaksikan fenomena masyarakat Islam masa kini banyak dilekakan dengan keduniaan sehingga terpaksa mengejar masa demi memartabatkan diri sebagai manusia hebat dari segi material.

Tetapi bagaimana dengan alunan jiwa untuk ukhrawi yang kekal abadi? Sudah tentu salah satu amalan yang perlu dibudayakan ialah mengamalkan zikir.

Ia mampu membentuk jiwa yang kaya dengan iman, takwa dan jati diri insan yang diredai Ilahi. Imam Ibnu Taimiyyah berkata, “Barang siapa yang diberi makanan berupa zikir serta bersih daripada penyakit duniawi kemudian diberi minuman berupa tafakur, dia akan memperoleh pelbagai hikmah.”

Ada cerita lagi, ada seorang datang menemui Rasulullah lalu berkata kepada Baginda, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya syariat (ajaran) Islam itu sudah terlalu banyak bagiku, maka khabarkanlah untukku, sesuatu yang agar aku boleh berpegang teguh padanya?”

Seperti biasa Rasulullah tidak pernah menghampakan sebarang pertanyaan daripada sahabat mahupun sesiapa saja di kalangan umatnya. Lalu nasihat Baginda, “Sentiasalah basahkan lidahmu dengan berzikir kepada Allah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Justeru, dalam kesibukan kita pujuklah rasa dan hati kita supaya tidak cuai dalam mengamalkan zikir kepada Allah. Jadikanlah amalan zikir sebagai penawar jiwa dan penyejuk hati.

Saturday 19 January 2013

SOLAT DHUHA MERAIH REZEKI

Rutin hidup makhluk di bumi ini, apabila terbitnya matahari keluarlah mencari rezeki, namun ada juga sebahagian daripada mereka masih enak dibuai mimpi walaupun matahari tegak di kepala.  Kita berusaha mencari rezeki dengan kudrat empat kerat kurniaan ALLAH SWT bagi mengisi  perut yang kelaparan.

Tahukah anda bahawa kita juga mempunyai ‘pelaris’ yang sememangnya datang daripada ALLAH. Solat Dhuha, syabas kepada hamba yang menjadikan ia sebagai amalan harian kerana ianya mempunyai banyak hikmah yang diberkati ALLAH.

Daripada Abu Dzar, Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Hendaklah masing-masing di antara kamu setiap pagi bersedekah untuk setiap ruas tulang badan mu.

Maka tiap kali bacaan tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, dan setiap takbir adalah sedekah. Menyuruh kebaikan adalah sedekah, mencegah keburukan juga adalah sedekah. Dan sebagai ganti daripada itu semua, cukuplah mengamalkan dua rakaat solat Dhuha.” (Riwayat Ahmad, Muslim dan Abu Daud)

Solat Lepas Terbit Matahari

Dari segi bahasa, Dhuha bermaksud waktu pagi manakala sudut istilah pula, solat sunat yang dilakukan pada waktu pagi selepas 20 minit terbitnya matahari sehingga sebelum waktu  Zuhur  sama ada mengerjakannya dalam dua, empat, enam, lapan, 10 dan 12 rakaat bergantung kepada kemampuan individu tersebut. Jadi ruang waktunya bermula kira-kira 20 minit selepas terbit matahari atau disebut dalam kitab-kitab fiqah sebagai tinggi matahari daripada pandangan jauh sekadar satu al-Rumh atau batang lembing iaitu kira-kira dua meter.  Waktu solat ini pula berakhir sebelum menjelang waktu Zuhur. Justeru, batas waktu solat sunat Dhuha ini antara pukul 7 pagi hingga 1 petang,” katanya kepada Rehal.

Waktu yang terbaik  dan afdal melakukannya ialah ketika sinar matahari kian panas. Kebiasaannya sesetengah individu melakukan solat Dhuha selepas waktu Syuruk.

Ulasan itu dikaitkan dengan sepotong hadis Nabi Muhammad SAW dari Zaid bin Arqam. Rasulullah menjelaskan: “Solat Dhuha ini afdalnya ketika matahari telah meninggi dan kian panas sinarnya.”

Imam Nawawi menghuraikan masa tersebut sebagai masa berlalunya seperempat tempoh siang hari iaitu pukul 10 pagi hingga 1 petang (Kitab al-Majmu’ karangan Imam Nawawi).

Nabi Menggalakkan Solat Sunat Dhuha

Solat sunat Dhuha boleh dianggap sebagai ucapan terima kasih hamba kepada penciptanya atas segala limpah rahmat yang diberikanNya. Rasulullah tidak pernah meninggalkan solat ini sehinggalah Baginda ditimpa keuzuran. Baginda sendiri menggalakkan umat Islam supaya melakukan dan menjadikan ia sebagai amalan harian di pagi hari. Sepatutnya pagi kita perlulah dimulai dengan lafaz takbir, tasbih kepada ALLAH.

Abu Hurairah pernah berkata:
“Bahawa Rasulullah berwasiat kepadaku akan tiga perkara agar jangan ditinggalkan puasa tiga hari setiap bulan, dua rakaat Dhuha dan witir sebelum tidur.”

Hayatilah hadis ini kerana setiap perbuatan Rasulullah adalah sunnah.

Rakaat paling banyak solat sunat Dhuha yang dikerjakan Rasulullah ialah lapan rakaat dan paling banyak disabdakan Baginda ialah 12 rakaat. Paling sedikit boleh dikerjakan adalah dua rakaat.

Bacaan Surah Yang Dianjurkan Baginda

Bacaan dianjurkan Baginda semasa menunaikan sunat Dhuha, selepas surah al-Fatihah, menurut hadis disampaikan Uqbah bin Amir, ialah surah al-Syams pada rakaat pertama dan al-Dhuha pada rakaat kedua. (Riwayat al-Hakim)

Bacaan dalam solat ini sesuatu yang subjektif dan tidak rigid, tidak terikat dengan kaifiat tertentu dan bacaan tertentu. Apa yang penting, solat itu diniatkan dengan betul, syaratnya dipenuhi dan rukun-rukunnya disempurnakan sebaik-baiknya.

Boleh juga pada rakaat pertamanya, individu itu membaca ayatul Kursi kerana ayatul Kursi banyak keistimewaannya, semasa suruh itu diturunkan ribuan malaikat sebagai perantaranya. Dalamnya juga terkandung kursi (kerajaan) ALLAH yang besar meliputi tujuh lapisan langit dan bumi. Ada 95 buah hadis menerangkan fadhilat ayatul Kursi.

Di rakaat yang kedua bacalah surah al-Ikhlas kerana surah itu adalah 1/3 daripada al-Quran. Surah itu besar maknanya kerana mengandungi sifat ALLAH yang Esa dan siapa ALLAH sebenarnya iaitu tidak beranak juga tidak diperanakkan dan tidak ada yang serupa denganNya.

Dua surah ini sudah cukup bagi yang tidak menghafal surah yang disarankan.

Namun, tidak ramai umat Islam kini yang menjadikan solat sunat Dhuha sebagai rutin kerana kurangnya perhatian terhadap ibadah sunnah, sebaliknya hanya mengejar yang wajib sahaja. Kalau setiap Muslim tahu akan ganjaran yang diperoleh hasil daripada ibadah sunnah, nescaya ramai yang berebut-rebut mengerjakannya.

Sekiranya mereka tahu bahawa rezeki ALLAH  tidak hanya diperoleh melalui usaha semata-mata, sudah tentu mereka berlumba-lumba mengejar rezeki dengan cara solat dan doa melalui solat Dhuha.

Kelebihan Solat Sunat Dhuha
  • Diampuni dosa walau seluas lautan
  • Dimurahkan rezeki
  • Dijanjikan ganjaran syurga
  • Dari Abu Hurairah dari Nabi , Baginda bersabda : “Bahawasanya di syurga ada pintu yang dinamakan, “Dhuha.” Maka jika kamu datang hari kiamat kelak, serulah (malaikat) penyeru: manakah orang-orang yang telah mengerjakan solat Dhuha? Inilah pintu kamu, silakan masuk ke dalam dengan rahmat ALLAH.”(Riwayat Tabrani)
  • Menjadikan seseorang sentiasa bersyukur dengan limpahan nikmat ALLAH

Thursday 17 January 2013

SURAT MESYUARAT MAULIDURRASUL 1434H

Jawatankuasa Masjid Annur,
Kampung Parit Rambai,
Rambah, 82000 Pontian,
Johor Darul Takzim.


MANPR/2012/01/ (       )
17 Januari 2013


Tuan/Puan,
Yang dihormati semua ahli jawatankuasa
Sambutan Maulidurasul Kampung Parit Rambai Tahun 2013


Tuan/Puan,

السلام عليكم


MESYUARAT AHLI JAWATANKUASA MAULIDURRASUL KAMPUNG PARIT RAMBAI, TAHUN 2013 KALI KEDUA

Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah di rujuk dan berkaitan.

2.         Sehubungan dengan itu semua ahli jawatankuasa Sambutan Maulidurrasul Kampung Parit Rambai Tahun 2013 dipersilakan hadir ke mesyuarat tersebut untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan. Mesyuarat berkenaan diadakan mengikut ketetapan berikut:

            Tarikh             :           20 JANUARI 2013
            Hari                 :           HARI AHAD MALAM ISNIN
            Tempat           :           SURAU PARIT RAMBAI ULU, PONTIAN, JOHOR
            Masa               :           09.00 MALAM

3.       Agenda mesyuarat:
3.1.        Ucapan pengerusi Masjid Annur..
3.2.        Laporan kutipan sumbangan/derma/tajaan
3.3.        Perbincangan mengenai acara/aktivi sambutan
3.4.        Perbincangan mengenai jamuan
3.5.        Tugas setiap AJK
3.6.        Hal-hal lain.
3.7.        Ucapan penangguhan.

4.         Keperihatinan, kerjasama dan kehadiran tuan/puan amat dialu-alukan.

Sekian, terima kasih.



Saya yang menurut perintah,

………………………………………
(HASAN B KASMURI)
Setiausaha

Thursday 10 January 2013

BANYAKKAN BERTAUBAT DAN SENTIASA MENGINGATI ALLAH

Jangan merasakan diri masih muda, kuat dan bertenaga mampu hidup hingga mencapai usia tua kerana barangkali esok, lusa atau lebih cepat dari itu, Allah boleh ‘menjemput’ kita. Selagi masih diberi kesempatan hidup di dunia ini, bertaubatlah dan kembali taat kepada perintah Allah. Lakukan kewajipan dan jauhi maksiat.

Jangan sia-siakan masa dan lakukan amal kebaikan sebanyak mungkin. Sebahagian ulama mengatakan ada empat sebab suul khatimah (pengakhiran yang buruk) iaitu; mengabaikan solat, minum khamr (arak), derhaka kepada ibu bapa dan menyakiti kaum Muslim.

Bayangkan kita ‘dijemput’ Allah, ketika sedang berseronok dalam dunia yang melalaikan. Nauzubillah! Andai kata masa itu kita boleh merayu, menangis, merintih atau berteriak sekalipun untuk dihidupkan kembali, semuanya tiada guna lagi.

Sesudah mati, bercerailah roh dari badan. Namun, kematian sebenarnya bukan penamat kepada kehidupan kerana alam barzakh hanya tempat ‘persinggahan’ sebelum dibangkitkan ke mahsyar untuk menghadapi kehidupan kekal abadi.

Allah berfirman yang bermaksud: “Setiap yang bernyawa akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Barang siapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasuk ke syurga, menanglah dia. Tidaklah kehidupan dunia ini, melainkan kesenangan yang memperdayakan.” (Surah Ali Imran ayat 185)

Perasaan takut kepada kematian pastinya akan menyelubungi mereka yang belum bersedia dengan bekalan akhirat.Islam menganjur umatnya mengingati mati dengan cara melihat proses penyempurnaan jenazah seperti memandikan, mengkafankan serta menghantar jenazah ke kubur selain menziarahi orang sakit.Mengingati mati pastinya menimbulkan keinsafan jika dilakukan secara bersungguh-sungguh. Dari situ, kita akan sentiasa berusaha melakukan lebih banyak amal kebajikan serta mengabdikan diri kepada Allah.

Berbeza dengan ‘bercita-cita’ hendak mati. Perkara itu boleh membawa kepada putus asa, tidak reda dan sabar menerima ujian malah membawa perkara yang ditegah syarak iaitu membunuh diri.

Kita perlu menjadi orang terbaik di dalam masyarakat dengan memanfaatkan segala harta, tenaga atau ilmu yang ada ke jalan Allah.

Amalan bertaubat perlu sentiasa ditekankan dalam kehidupan seharian.

Rasulullah bersabda yang bermaksud, 
“Sebaik-baik manusia ialah orang yang diberi panjang umur dan digunakan untuk membuat kebaikan sebanyak-banyaknya dan sejahat-jahat manusia ialah orang yang diberi Tuhan umur panjang, tetapi digunakan untuk melakukan kejahatan dan kerusuhan.” (Riwayat Ahmad)

Memang wujud sebahagian manusia yang merasakan kematian itu pengakhiran kepada kehidupan dan terhentinya perjalanan manusia. Tidak ada kehidupan dan juga kebangkitan lagi selepas itu dan bagi mereka kematian adalah kehancuran. Allah SWT menjelaskan kehidupan dunia ini adalah sebagai tempat untuk manusia (khususnya yang beragama Islam) mencari bekalan ke alam selepas kematian. Kehidupan dunia bukanlah kenikmatan kerana ia terlalu sedikit dan kecil, kehidupan selepas kematian itulah yang kekal. Allah mengingatkan manusia supaya tidak tenggelam dalam kehidupan yang tidak mengenal erti kematian.

Allah berfirman yang bermaksud, 
“Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya. Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan.” (Surah Hud ayat 15-16)

Kematian daripada perspektif Islam ialah proses perpindahan dari alam dunia ke alam barzakh. Ia tempat penantian untuk ke alam akhirat. Kematian juga perpindahan dari alam taklif (tanggungjawab) dan amal kepada alam ganjaran dan balasan akhirat. Sesiapa yang melaksanakan walau sebesar zarah kebaikan akan mendapat balasannya, begitu juga jika mereka melakukan sebesar zarah kejahatan, akan menerima balasannya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, 
“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” (Surah al-Zalzalah ayat 7- 8).

Ibnu Qayyim berkata, 
“Allah menjadikan pusingan alam ini sebanyak tiga pusingan, iaitu alam dunia, alam barzakh dan alam akhirat yang kekal abadi.Pada setiap alam ini ada hukumnya yang tersendiri”.

Seorang mukmin yang beriman akan bersungguh-sungguh mempelajari ayat al-Quran dan hadis yang memuatkan penjelasan supaya mereka bersedia menghadapi kematian.

Islam mempunyai keistimewaan tersendiri berbeza dengan agama dan anutan lain. Islam menceritakan setiap kematian dan alam selepasnya itu secara terperinci berbeza dengan agama lain. Setiap satu diperjelaskan dan hukum setiap alam yang bakal dilalui semua manusia. Seseorang Muslim akan jelas mengenai kehidupan akhirat jika matlamat hidupnya di dunia juga jelas. Kita sering memikirkan saat kesakitan menghadapi sakaratul maut, dosa dan pahala, kedahsyatan alam kubur, saat kebangkitan dan perhitungan amalan serta balasan syurga dan neraka.Ramai orang pada hari ini tidak menghiraukan urusan mengingati kematian.Bahkan, ada yang takut membicarakannya.

Kesan itu membawa kepada kejahilan dan pandangan negatif mengenainya. Sebab itu, mereka bebas melaksanakan apa saja di muka bumi. Kita juga mendapati ramai yang melupakan kematian, seolah-olah kematian itu ditulis untuk orang lain. Akibatnya, ramai menghabiskan waktu, tenaga, pemikiran mereka untuk urusan dunia.Apabila manusia tidak mengingati kematian, Allah mencabut ketakutan dari jiwa musuh Islam terhadap orang Islam.

Ia disebutkan di dalam hadis Rasulullah s.a.w bermaksud 
“Allah mencabut dari dalam hati musuh rasa kehebatan Islam, lalu Allah akan jadikan bagi kamu satu penyakit wahan”. Sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w, Apakah wahan itu Ya Rasulullah? Nabi bersabda: “Cinta kepada dunia dan benci kepada kematian”.(Riwayat Muslim)

Anjuran mengingati mati bukannya untuk minta manusia cepat mati atau meninggalkan segala urusan dunia.

Islam tidak menyuruh umatnya bercita-cita cepat mati kerana perbuatan itu sangat dilarang. Sebaliknya, apabila mengingati kematian mendorong mereka menetapkan wawasan jelas dalam hidup di dunia dan akhirat. Manusia yang banyak mengingati mati sentiasa menginsafi dirinya dan menyedari Allah Maha Memerhati serta Mengawasi setiap gerak gerinya setiap masa. Maka, mereka memendekkan angan-angannya dan banyak melakukan kebajikan.

Hakikat ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud,
“Katakanlah (wahai Muhammad): Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu lakukan (serta membalasnya)”. (Surah al-Jumu’ah ayat 8)

Rasulullah s.a.w dalam sabdanya yang bermaksud, 
“Perbanyakkanlah mengingati mati yang akan menghapuskan kelazatan. Jika ia diingati dan direnung pada waktu susah, nescaya perasaan akan menjadi lapang dan tenang dan jika ia diingati pada waktu senang, nescaya hati dan perasaan akan sedar dan menginsafi diri” (Riwayat al-Bazzar dan al-Baihaqi)

Ingat mati juga menimbulkan rasa kasih sayang sesama manusia khususnya keluarga, jiran dan masyarakat setempat. Bermula dari situ lahirlah perasaan tanggungjawab membimbing diri dan keluarga supaya bersungguh-sungguh beramal menuntut keredaan Allah. Sedarilah, jika tidak segera bertaubat dikhuatiri kita mati dalam keadaan sia-sia. Sebab itu, kita perlu sentiasa mengingati mati dengan diiringi istighfar dan taubat. Usaha itu bagi memastikan diri mencapai darjat takwa serta mati dalam keadaan Islam. Kematian seseorang Muslim juga bergantung kepada amalan yang dilakukan sepanjang kehidupan.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, 
“Dan, sesungguhnya amalan itu bergantung dengan penutupnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Thursday 3 January 2013

SOLAT MERCU TANDA IMAN

Dalam sehari pasti kita akan mendengar suara merdu muazzin mengalunkan azan di corong masjid atau surau. Namun ketika itu, masih ada di antara kita asyik membeli-belah. Ada yang memekakkan telinga kerana sayangkan padang bola. Begitulah fenomena masa kini yang menggambarkan seruan Ilahi untuk mendirikan solat semakin ‘terhakis’ dibuai kegilaan mengejar duniawi.

Solat adalah mercu tanda iman seseorang. Cuai, alpa dan melengah-lengahkan pelaksanaannya mencerminkan keperibadian kita. Islam meletakkan solat di tempat tertinggi dan sebagai tiang agama. Mendirikan solat bermakna tegap dan kukuhlah tiang itu, sebaliknya seandainya kita lalai atau langsung meninggalkannya, bererti roboh dan porak peranda agamanya. Bayangkan, kita sanggup dan bertenaga melakukan urusan dunia, tetapi untuk mengambil masa dalam lingkungan lima minit menunaikan solat hati kita terasa begitu liat.

Jika dalam hati kita ada petanda semacam itu, seharusnya bersegera mencucinya dengan taubat. Bertekad untuk tidak akan meninggalkan solat meskipun sedang dihambat pelbagai urusan duniawi.

Luqman al-Hakim pernah menasihatkan anaknya supaya menjaga waktu solat dengan sempurna. Ini contoh seorang ayah yang baik. Apakah kita sebagai seorang bapa pernah menasihatkan atau menegur kedegilan anak kita dalam aspek solat?

Pesan Luqman: “Wahai anakku. Menunaikan solat yang telah difardukan ke atasmu itu lebih berharga daripada setiap apa yang engkau lakukan, kerana hal seperti solat dan tasbih itu adalah seperti sebuah kapal di tengah lautan. Sekiranya kapal itu terselamat, maka selamatlah apa yang ada di dalamnya dan sekiranya ia karam, maka karamlah apa yang ada di dalamnya.”

Lihatlah metafora yang digunakan Luqman dalam mengetengahkan nasihatnya. Itu dapat dijadikan analisis sebagai perbandingan yang berkesan dalam pendidikan solat kepada anak. Kita perlu ingat, dalam aspek pendidikan kepada anak, seseorang ibu bapa mesti menunjukkan teladan terlebih dahulu. Jangan hanya pandai membebel memberi nasihat, namun kita sendiri entah ke mana. Didiklah anak supaya menjadi teman karib kepada masjid dan rakan akrab kepada sejadah. Jiwa dan minda mereka akan tumbuh subur dengan roh Islam yang utuh sekali gus membekalkan mereka dengan ‘senjata’ paling ampuh menyusuri arus kehidupan yang mencabar.

Rasulullah s.a.w dengan pesanan bernada tegas mengatakan: “Perbezaan antara hamba Allah yang beriman dengan yang kafir adalah meninggalkan solat.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan an-Nasai’)

Seharusnya kita tulis dan gantung kemas di dinding rumah pesanan Rasulullah itu supaya diri dan seluruh ahli keluarga kita sentiasa melihat dan insaf. Malah, dosa meninggalkan solat itu lebih besar daripada melakukan zina.

Dikisahkan bahawa pada zaman Bani Isrrael, ada seorang wanita menghadap Nabi Musa lalu memberitahu Baginda: “Wahai Musa, aku melakukan dosa yang sangat besar dan aku sudah bertaubat kepada Allah. Kerana itu, doakanlah aku spaya Allah memperkenankan taubatku lalu mengampunkan segala dosaku itu.”

Mendengarkan aduan wanita itu, lalu Nabi Musa pun bertanya: “Apakah dosa yang kamu lakukan itu?” Dengan suara penuh insaf wanita itu menjawab: “Sebenarnya aku terlanjur dan melakukan zina hingga melahirkan anak. Kemudian, anak itu aku bunuh.” Berubah wajah Nabi Musa mendengar penjelasan wanita itu lalu berkata: “Pergilah kamu, wahai wanita pelacur. Jangan sampai kewujudanmu di sini menyebabkan turunnya seksa dari langit hingga semua umat tertimpa sama.”

Wanita itu pun berlalu meninggalkan Nabi Musa dengan membawa hati yang amat sedih dengan layanan seperti itu. Namun, tatkala wanita pergi meninggalkan Nabi Musa, Malaikat Jibril datang menemui Baginda lalu berkata: “Mengapa engkau menolak dan mengusir seorang wanita yang bertaubat, wahai Musa? Bukankah engkau boleh menemukan dosa yang lebih berat daripada itu?” Terpinga-pinga Nabi Musa dengan soalan Malaikat Jibril itu. Kemudiannya Nabi Musa bertanya ingin penjelasan lanjut: “Ya Jibril, perbuatan apakah yang dosanya lebih besar daripada yang dilakukan wanita itu?” Jawab Jibril: “Orang yang sama sekali meninggalkan solat dengan sengaja.”

Di dalam al-Quran terdapat lebih 100 ayat Allah yang mengajak kita mengerjakan solat.

Begitu juga dengan pesanan Baginda Rasulullah. Ia menggambarkan betapa tingginya kedudukan solat malah amat menakutkan sekali sekiranya solat fardu lima waktu itu sering ditinggalkan.

Ingatlah, seandainya kita meremehkan solat fardu seolah-olah memberi ruang untuk kita berada sejajar dengan nasib Qarun dan Ubai bin Khalaf?

Apakah maksud pernyataan itu?

Kita sedia maklum, Qarun yang tersohor dengan watak orang kaya, tetapi amat bakhil manakala si Ubai bin Khalaf pula seorang usahawan kafir.

Jadi, seandainya kita mengabaikan solat kerana kesibukan urusan dunia, watak kita itu sama dengan apa yang ada pada Qarun dan Khalaf. Ibnu Umar menceritakan Rasulullah s.a.w ada memberitahu: “Aku diperintah Allah untuk memerangi manusia sampai mereka mahu bersaksi sesungguhnya tidak ada Tuhan selain Allah dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad adalah utusan-Nya, mendirikan solat dan menunaikan zakat. Apabila mereka melakukan hal itu, maka darah dan harta mereka terjamin olehku, kecuali yang berdasarkan hak Islam, maka urusan mereka ada pada Allah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Justeru, marilah kita membina ‘mercu tanda’ iman dan takwa dengan mendirikan solat dengan sempurna khusyuk supaya perhitungan pertama kita di akhirat kelak mendapat ganjaran tertinggi di sisi Allah.