ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Thursday 1 May 2014

MENCINTAI RASULLULLAH SALLALLAHU ALAIHI WASALAM

Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,

MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam merupakan seorang manusia yang mempunyai akhlak yang amat mulia, merupakan kekasih Allah Subhanahu Wataala dan menjadi kesayangan umat Islam sejagat. Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam surah Al-Qalam ayat 4 tafsirnya: 

"Dan sesungguhnya engkau benar-benar mempunyai akhlak yang sangat mulia". 

Sememangnya kasih sayang umat Islam terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam amat ketara. Baginda dipuja, disanjungi dan dihormati serta keperibadian dan cara hidup baginda menjadi ikutan dan tauladan bagi setiap umat Islam. Kasih sayang umat Islam terhadap baginda terbukti apabila sebarang cacian yang dilemparkan kepada baginda oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab amat mengusik hati umat Islam sehingga ada yang bangkit menyatakan rasa marah demi mempertahankan kehormatan dan kesucian Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam.

Adapun di antara cara menyatakan kasih sayang kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam ialah:

Pertama: Kita hendaklah mentaati segala suruhan dan meninggalkan segala larangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam:

Di dalam Al-Qur'an, Allah Subhanahu Wataala memerintahkan kepada umat manusia untuk mentaati suruhan dan meninggalkan larangan rasulNya sebagaimana firmanNya dalam surah Al-Hasyr ayat 7 tafsirnya: 

"Dan apa jua suruhan yang diberikan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam kepada kamu maka terimalah (amalkanlah), dan apa jua yang kamu dilarang melakukannya maka tinggalkanlah, dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat berat siksaNya" 

Kedua: Kita hendaklah mentauladani akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam diutus untuk menyempurnakan akhlak manusia. Diriwayatkan dari Abu Hurairah Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam bersabda: 

"Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan semulia-mulia akhlak". 

Ketiga: Kita hendaklah menghidupkan sunah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam dengan berpegang teguh kepada ajaran Al-Qur'an dan sunah baginda. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam bersabda dalam sebuah hadis maksudnya: 

Dari Ibni Abas Radiallahu Anhuma "Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam bersabda: Sesungguhnya aku tinggalkan untuk kamu, selama kamu masih berpegang kepadaNya maka kamu tidak akan tersesat selama-lamanya, iaitu kitab Allah (Al-Qur'an) dan sunah nabiNya" 

Keempat: Memperbanyakkan selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam.

Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam surah Al-Ahzab ayat 56 tafsirnya: 

"Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya berselawat kepada nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kepadanya serta ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan" 

Muslimin yang dirahmati Allah,

Barangsiapa yang mencintai Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam dengan keikhlasan hati, maka mereka akan mendapat fadilat dan kelebihan, antaranya akan memperolehi kasih dan cinta Allah Subhanahu Wataala, di samping mendapat keampunan dosa-dosa kecil. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Imran ayat 31 tafsirnya: 

"Katakanlah wahai Nabi Muhammad! Jika kamu mengasihi Allah maka ikutlah aku, nescaya Allah mengasihani kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu. Dan Allah maha pengampun lagi maha pengasih". 

Sesiapa yang mencintai Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam juga akan memperolehi kemanisan dan kesempurnaan iman, serta akan mendapat kedudukan di sisi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam. Oleh yang demikian, lazimkanlah diri kita agar sentiasa berselawat ke atas Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Alangkah beruntungnya kehidupan seorang muslim yang sentiasa berselawat ke atas Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam. Ia jelas menunjukkan tanda ingatan dan kasih sayang terhadap baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam. Ingatan dan tanda kasih sayang ini pula dibalas oleh baginda sendiri melalui ganjaran yang tidak terhingga. Betapa ruginya apabila peluang ini diabaikan dan dilaksanakan begitu saja.

Sama-samalah kita berdoa semoga kita tergolong di kalangan umat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam yang akan mendapat kedudukan yang istimewa dan syafaat baginda di hari akhirat kelak. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Ahzab ayat 21 tafsirnya: 

"Demi sesungguhnya, pada diri Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam itu ada contoh yang baik bagi kamu iaitu bagi orang yang menharapkan keredhaan Allah dan kebahagiaan hari akhirat, serta banyak berzikir mengingati Allah".

Sumber: Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darissalam

No comments:

Post a Comment