ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Thursday 1 May 2014

SIFAT PEMURAH DAN IKHLAS

Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,

MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat didunia dan selamat diakhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Agama islam mengajar umatnya supaya menanamkan dalam jiwa mereka sifat-sifat mahmudah (terpuji) seperti berbuat baik, sabar, adil, ikhlas, menepati janji, perihatin, pemedulian, bertolak ansur, bekerjasama, berkasih sayang dan memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukan dan sebagainya.

Jika sifat mahmudah tersebut ada pada diri seseorang, sudah setentunya akan melahirkan manusia yang pengasih dan pemurah yang sekaligus akan mengukuhkan lagi tali persaudaraan sesama kaum kerabat, jiran tetangga, sahabat handai dan masyarakat. Inilah faktor utama kearah menjamin kesejahteraan hidup beragama, berbangsa, bernegara dan hidup bermasyarakat. Didalam Al-Quran Allah Subhanahu Wataala memerintahkan hamba-hambanya supaya bertolong-tolongan dan bantu-membantu kearah perkara yang berkebajikan. Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Maidah ayat 2, tafsirnya: 

"Dan hendaklah kamu bertolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Melihat berat azab seksanya bagi sesiapa yang melanggar perintahnya." 

Sebagai umat islam, kita digalakkan bersifat pemurah dan tidak bersifat bakhil, tidak bersifat mementingkan diri sendiri dan juga tidak ambil peduli dengan penderitaan orang lain. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Imran ayat 180, tafsirnya: 

"Dan janganlah sekali-kali orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahannya menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah milik segala warisnya langit dan bumi. Dan Allah Maha Mengetahui akan segala apa yang kamu kerjakan." 

Muslimin yang dirahmati Allah,

Bagitulah indahnya dan cantiknya agama islam yang mahukan umat manusia hidup bahagia dan sejahtera. Alhamdulillah, kita amat bersyukur kerana rakyat dan penduduk dinegara ini memiliki sifat terpuji itu iaitu pemurah, perihatin dan pemedulian. Ini terbukti jika ada mereka yang ditimpa kesusahan atau bencana alam seperti kejadian yang telah berlaku baru-baru ini iaitu kejadian banjir dan tanah susur yang melanda dibeberapa temapt dinegara ini, rakyat dan penduduk dinegara kita turut sama-sama berganding bahu menghulurkan bantuan.

Kita jua amat beruntung mempunyai seorang raja yang sangat perihatin terhadap penderitaan rakyat Baginda sehingga sanggup berangkat bercemar duli ketempat-tempat yang dilanda banjir.

Ketahuilah bahawa sifat tolong-menolong itu dikehendaki oleh agama islam dan amalan tolong-menolong itu adalah tanda orang pemurah, dermawan dan murah hati. Itulah salah satu sifat yang dimiliki oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang patut kita contohi. Kerana sifat pemurah itu sangat banyak ganjarannya.

Ingatlah wahai kaum muslimin, dalam kita melakukan amal kebajikan itu hendaklah disertai dengan niat ikhlas kerana Allah Subhanahu Wataala. Sesungguhnya apa pun jua bantuan yang disumbangkan dengan tujuan ikhlas semata-mata kerana Allah Subhanahu Wataala, akan dapat menghapuskan dosa dan kesalahan, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Baqarah ayat 271, tafsirnya: 

"Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu secara terang, maka yang demikian adalah baik kerana menjadi contoh yang baik. Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah lebih baik bagi kamu, dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan ingatlah Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan." 

Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam memberikan pertolongan dengan ikhlas kepada siapa sahaja yang memerlukan bantuan tanpa mengira bangsa, keturunan, agama dan negara. Kemurahan hati Baginda itu telah diceritakan dalam sebuah hadis maksudnya: 

"Dari Anas Radiallahu Anhu, sesungguhnya seorang lelaki telah meminta kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam kambing kepunyaan Baginda yang digembala diantara dua gunung. Lalu Baginda pun memberikan kepada lelaki itu kambing tersebut. Lalu lelaki itu pulang kenegerinya, dan kepada kaumnya dia berkata: Hendaklah kamu mengikut islam, kerana sesungguhnya Muhammad memberi bantuan yang tidak sedikit, sebagai orang yang tidak takut kepapaan." (Riwayat Al-Imam Muslim) 

Dari kisah tersebut jelas menunjukkan bahawa Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam memberikan bantuan tanpa memilih orang yang tertentu sahaja, sebaliknya Baginda ikhlas memberikannya kepada sesiapa sahaja, Baginda bersikap terbuka dan memberikan bantuan dengan seadanya selagi Baginda mampu dan terdaya. Itulah sifat yang wajar kita contohi, bantulah orang-orang yang susah dan memerlukan pertolongan. Inilah diantara ciri-ciri sifat ihsan yang diredhai dan disukai oleh Allah Subhanahu Wataala.

Oleh yang demikian, dalam kesempatan ini marilah kita menghulurkan sedekah, atau derma atau apa jua pertolongan ikhlas kerana Allah Subhanahu Wataala, dan sumbangan tersebut bolehlah dihantar ketempat-tempat yang telah ditentukan. Semoga dengan demikian kita mendapat naungan dan rahmat Allah Subhanahu Wataala dan kita berdoa agar negara kita dihindarkan dari ditimpa apa jua musibah dan malapetaka, Amin Yarrabal Alamin. 

Surah Al-Baqarah ayat 264, tafsirnya: 

"Wahai orang-orang yang beriman jangan rosakkan pahala amal sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan kelakuan yang menyakiti, seperti rosaknya pahala amal sedekah orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riya). Dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat."

Sumber: Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darissalam

No comments:

Post a Comment