ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Tuesday 6 December 2011

MASJID SEBAGAI PUSAT ILMU

Memandangkan tingginya kemuliaan masjid maka Rasulullah SAW telah menyatakan dalam sebuah hadis baginda betapa besarnya pahala dan balasan bagi umatnya yang membangunkan dan memakmurkan masjid.

Sabda Rasulullah SAW:
 مَنْ بَنَى مَسْجِدًا يَبْتَغِى بِهِ وَجْهَ اللهِ بَنَى الله ُ لَهُ بَيْتًا فِى الْجَنَّةِ
Maksudnya, “Barangsiapa mendirikan sebuah masjid dengan mengharapkan keredhaan Allah SWT nescaya didirikan baginya sebuat rumah didalam syurga.” (hadis riwayat al Bukhari).

Namun dalam usaha menjaga kebersihan masjid janganlah pula sampai masjid tidak dibenarkan diguna untuk sesuatu majlis ilmu, baik untuk golongan dewasa mahu pun untuk anak anak kita semua, hanya kerana dikhuatiri mereka akan membawa kekotoran (tanah dan/atau lunpur yang lekat dikaki atau di kasut/selipar) ke sekitar tepian bangunan masjid; tegahan sedemikian tidak lah sesuai dalam usaha untuk memakmurkan masjid sebagai rumah Allah dan tempat beribadat serta mengembangkan ilmu.


Sabda Rasulullah SAW:                 
"عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ : أَمَرَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّممِبِنَآءِ الْمَسَاجِدِ فِى الدُّوَرِ وَأَنْ تُنَظَّفَ وَتُطَيَّبَ.
Maksudnya: “Daripada ‘Aisyah ra katanya, “Rasulullah SAW menyuruh umatnya mendirikan masjid-masjid di kawasan penempatan atau perkampungan dan menyuruh supaya masjid-masjid itu sentiasa dibersihkan dan diharumkan” 

Peradaban Islam melonjak dalam bidang ilmu sains dan teknologi; perdagangan dan keadilan sosial sehinggalah mewarnakan norma dan tata budaya zaman bermula abad kelapan masihi. Hal ini menarik warga sezaman dari Timur dan Barat untuk menimba ilmu dan kepakaran di pusat ilmu yang ketika itu dikenali sebagai madrasah, maktab atau jamiah yang semuanya berpusat di masjid di serata negara Islam. Sebahagiannya pulang berbekal ilmu pengetahuan yang dikembangkan menerusi epistemologi dan peradaban Islam dalam bidang matematik, falsafah, perubatan, kimia, fizik, kejuruteraan, perundangan dan lain-lain.

Kegemilangan peradaban ilmu ini diungkapkan oleh Herbert A Davies: Orang Muslim telah mendirikan universiti besar selama beberapa abad jauh mengatasi Eropah Kristian. Perpustakaan besar dibangunkan, berisi beratus ribu jilid buku yang terdaftar dan tersusun rapi. Ramai orang Kristian belajar di Universiti Cordova membawa ilmu dan kebudayaan ke negeri asal mereka. 

Marilah kita berfikir. Bagaimanakah sejarah itu boleh kita ulangi? Bagaimanakah universiti di negara Islam kembali menjadi pusat kecemerlangan ilmu termaju mendahului saingannya di Timur dan Barat? Apakah sekadar kita berpuas hati dengan catatan nostalgia bahawa masjid pernah menjadi pusat pembangunan peradaban Islam?

Lima langkah perlu difahami dan dihayati.


Pertama: Seluruh umat Islam khususnya golongan pelajar dan pendidik perlu memurnikan niat, meningkatkan komitmen dan penghayatan ilmu. Makna penghayatan ilmu bukan sekadar memencil diri membaca, menekuni, memahami dan meluahkan kembali mantra ilmu di atas kertas untuk memenuhi tuntutan mendapatkan segulung ijazah. Bagi umat Islam, penghayatan ilmu bermakna berusaha memaju dan merealisasikan ilmu dalam konteks amalan, pekerjaan, perniagaan, pentadbiran dan pembangunan ummah.

Kedua: Kita juga perlu meningkatkan minat dan amalan membaca bahan ilmu. Membaca adalah arahan pertama wahyu Ilahi. Membaca adalah kaedah untuk mendapatkan ilmu. Maka pada Ramadan yang mulia ini, marilah bersama-sama kita memulakan langkah memperbanyakkan membaca dan memahami al-Quran sebagai sumur ilmu utama disamping bahan ilmiah lain.

Ketiga: Marilah kita bersama memperkasakan potensi ilmu dalam kehidupan seharian dengan memanfaatkan kewujudan pusat ilmu seperti universiti, kolej, maktab, sekolah dan masjid. Universiti perlu berperanan penyubur kecemerlangan dan budaya ilmu menerusi aktiviti formal dan tidak formal.

Keempat: Marilah kita merealisasi dan menghayati ilmu dengan melaksanakan apa yang kita fahami. Kita juga perlu menggunakan hasil penyelidikan dan inovasi yang dilakukan termasuk warga kampus untuk manfaat umat sejagat.

Kelima: Kita perlu terus berinovasi untuk menghadapi cabaran dan saingan sejagat, selari inisiatif kerajaan menjadikan 2010 sebagai Tahun Inovasi. Inovasi bukan hanya untuk golongan intelektual, karyawan dan seniman semata-mata. Inovasi boleh dan perlu dilakukan oleh seluruh umat Islam dalam bidang kepakaran, pekerjaan dan minat masing-masing.

Sebahagian petikan tulisan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia

No comments:

Post a Comment