ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Friday 26 October 2012

IBADAT HAJI DAN MELAKUKAN KORBAN

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA.

Pada hari ini telah dikurniakan oleh Allah SWT dengan dua nikmat yang besar. Yang pertama sebahagian umat Islam pada ketika ini mendapat nikmat kerana menjadi Duyufurrahman atau tetamu Allah di Tanah Suci untuk menunaikan ibadat haji. Manakala yang kedua, bagi kita yang tidak menunaikan ibadat haji, masih berpeluang menikmati dan menghayati syiar Aidiladha yang agung dan bermakna dalam suasana yang selesa, rukun damai, sejahtera dan sentiasa berada di bawah perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala.

Sebagaimana yang sama-sama kita ketahui bahawa pada hari ini umat Islam yang sedang mengerjakan ibadat haji di Mekah sedang sibuk melaksanakan manasik haji, sama ada sedang membuat lontaran jumrah aqabah di Mina, sedang melakukan tawaf dan sai atau ibadat-ibadat yang lainnya.

Manakala sebelum ini mereka telah melakukan wukuf di Padang Arafah yang merupakan rukun dan kemuncak bagi amalan haji dengan memakai pakaian ihram yang serba putih sebagai melambangkan kesatuan ummah dan ketulusan hati bagi sama-sama menyahut panggilan Ilahi, di samping mengagungkan Allah Subhanahu Wata'ala dengan laungan talbiah yang penuh semangat dan menusuk hati yang dilafazkan berulang-ulang kali sambil menitiskan air mata kegembiraan dan merasa bersyukur kerana diberikan kesempatan oleh Allah Subhanahu Wata'ala untuk menunaikan ibadat haji.

Jika kita imbas kembali sejarah, di Padang Arafah itulah Nabi Adam Alaihissalam dan Sayidatina Hawa dipertemukan semula setelah terpisah sekian lama akibat melanggar perintah Allah Subhanahu Wata'ala kerana memakan buah larangan di syurga. Di Padang Arafah itulah juga zuriat atau keturunan Adam Alaihissalam dan Sayidatina Hawa datang dari seluruh pelusuk dunia berkumpul, berkenal-kenalan dan menjalin persaudaraan yang terdiri dari pelbagai bangsa, warna kulit, bahasa dan budaya.

Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala menjanjikan pahala ganjaran yang besar bagi mereka yang menunaikan ibadat haji dengan sempurna iaitu dengan melakukan semua rukun-rukun, wajib-wajib haji, sunat-sunat dan adab-adabnya, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya:
"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu : Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Haji yang mabrur itu tidak ada balasannya yang lain selain daripada syurga. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Di samping itu juga mereka yang menunaikan ibadat haji mendapat beberapa kelebihan yang lain, antaranya doa mereka diperkenankan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan jika mereka memohon keampunan, nescaya Allah mengampuni dosa-dosa mereka. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya:

"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, bahawa Baginda telah bersabda : Orang-orang yang menunaikan haji dan umrah itu adalah tetamu Allah. Jika mereka berdoa kepada-Nya, nescaya Allah akan memakbulkannya, jika mereka memohon keampunan kepada-Nya nescaya Allah akan mengampunkan mereka". (Riwayat Al-Imam Ibnu Majah).

Ibadat haji adalah kemuncak Rukun Islam yang lima. Kalau kita perhatikan, sebenarnya ibadat haji boleh mendidik umat Islam dari beberapa aspek, umpamanya para bakal jemaah haji perlu mempunyai persediaan yang cukup seperti perbelanjaan untuk diri sendiri semasa dalam menunaikan fardu haji dan orang-orang yang di bawah tanggungan yang akan ditinggalkannya yang mana perkara ini akan mendorong umat Islam untuk rajin berusaha mencari rezeki yang halal bagi kepentingan dunia dan akhirat.

Di samping itu, kesihatan tubuh badan juga sangat diperlukan untuk kita menunaikan ibadat haji dengan sempurna, ini akan menggalakkan umat Islam supaya berusaha menjaga kesihatan jasmani dan rohani.

Selain itu jemaah haji juga perlu memahami cara-cara pelaksanaan manasik haji dengan betul iaitu dengan mematuhi segala rukun-rukun, wajib-wajib haji, sunat-sunat dan adab-adabnya. Perkara ini akan menimbulkan kesedaran umat Islam untuk sentiasa menimba ilmu pengetahuan agar tidak merasa ragu-ragu dalam melaksanakan apa jua amal ibadat kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Dan tidak hanya terikut-ikut atau meniru apa yang orang lain lakukan.

Jemaah haji juga hendaklah memastikan keselamatan dan kesejahteraan semasa di dalam perjalanan, sama ada dari segi keselamatan nyawa mahupun harta benda. Ini akan mendorong umat Islam agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam apa jua keadaan.

Sebagaimana yang kita maklumi, ibadat haji yang dilakukan di Tanah Suci Mekah, selain menyahut panggilan Ilahi, ia juga sebagai perhimpunan agung umat Islam sedunia, yang dihadiri oleh pelbagai bangsa. Ini memberi kesempatan bagi seluruh umat Islam untuk saling kenal-mengenal, mengeratkan hubungan silaturahim, bekerjasama, hormat-menghormati dan mengukuhkan perpaduan umat Islam seluruhnya.

Memperkatakan tentang ibadat korban pula, sebenarnya ibadat korban itu mendidik umat Islam supaya bersifat dermawan dan murah hati kerana semua nikmat yang ada pada hakikatnya adalah pinjaman dan amanah Allah Subhanahu Wata'ala, yang kelak pasti akan diambilnya satu persatu, maka segala nikmat yang ada pada diri kita hendaklah dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Oleh itu bagi mereka yang mampu, lakukanlah penyembelihan korban pada setiap tahun, yang dagingnya dijadikan sedekah kepada fakir miskin dan boleh dijadikan hadiah kepada orang-orang yang mampu seperti jiran tetangga serta rakan taulan yang beragama Islam. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, maksudnya:

"Dari A'isyah Radiallahuanha bahawasanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Tiada ada sesuatu amalan yang dikerjakan oleh anak Adam pada Hari Raya Haji yang lebih disukai oleh Allah Subhanahu Wata'ala dari menumpahkan darah. Bahawasanya ia (korban itu) datang pada Hari Kiamat dengan tanduk-tanduknya dan bulu-bulunya dan kukunya dan bahawasanya darah korban itu mendapat tempat yang mulia di sisi Allah Subhanahu Wata'ala sebelum darah itu tumpah ke bumi, oleh kerana itu hendaklah kamu berkorban dengan hati yang bersih". (Riwayat Al-Imam At-Termizi)

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Kautsar, ayat 1-3 tafsirnya:

"Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu wahai Muhammad kebaikan yang banyak di dunia dan di akhirat. Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur. Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus dari mendapat sebarang perkara yang diingini".

No comments:

Post a Comment