ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Friday 26 October 2012

IBADAT HAJI DAN MELAKUKAN KORBAN

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA.

Pada hari ini telah dikurniakan oleh Allah SWT dengan dua nikmat yang besar. Yang pertama sebahagian umat Islam pada ketika ini mendapat nikmat kerana menjadi Duyufurrahman atau tetamu Allah di Tanah Suci untuk menunaikan ibadat haji. Manakala yang kedua, bagi kita yang tidak menunaikan ibadat haji, masih berpeluang menikmati dan menghayati syiar Aidiladha yang agung dan bermakna dalam suasana yang selesa, rukun damai, sejahtera dan sentiasa berada di bawah perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala.

Sebagaimana yang sama-sama kita ketahui bahawa pada hari ini umat Islam yang sedang mengerjakan ibadat haji di Mekah sedang sibuk melaksanakan manasik haji, sama ada sedang membuat lontaran jumrah aqabah di Mina, sedang melakukan tawaf dan sai atau ibadat-ibadat yang lainnya.

Manakala sebelum ini mereka telah melakukan wukuf di Padang Arafah yang merupakan rukun dan kemuncak bagi amalan haji dengan memakai pakaian ihram yang serba putih sebagai melambangkan kesatuan ummah dan ketulusan hati bagi sama-sama menyahut panggilan Ilahi, di samping mengagungkan Allah Subhanahu Wata'ala dengan laungan talbiah yang penuh semangat dan menusuk hati yang dilafazkan berulang-ulang kali sambil menitiskan air mata kegembiraan dan merasa bersyukur kerana diberikan kesempatan oleh Allah Subhanahu Wata'ala untuk menunaikan ibadat haji.

Jika kita imbas kembali sejarah, di Padang Arafah itulah Nabi Adam Alaihissalam dan Sayidatina Hawa dipertemukan semula setelah terpisah sekian lama akibat melanggar perintah Allah Subhanahu Wata'ala kerana memakan buah larangan di syurga. Di Padang Arafah itulah juga zuriat atau keturunan Adam Alaihissalam dan Sayidatina Hawa datang dari seluruh pelusuk dunia berkumpul, berkenal-kenalan dan menjalin persaudaraan yang terdiri dari pelbagai bangsa, warna kulit, bahasa dan budaya.

Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala menjanjikan pahala ganjaran yang besar bagi mereka yang menunaikan ibadat haji dengan sempurna iaitu dengan melakukan semua rukun-rukun, wajib-wajib haji, sunat-sunat dan adab-adabnya, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya:
"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu : Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Haji yang mabrur itu tidak ada balasannya yang lain selain daripada syurga. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Di samping itu juga mereka yang menunaikan ibadat haji mendapat beberapa kelebihan yang lain, antaranya doa mereka diperkenankan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan jika mereka memohon keampunan, nescaya Allah mengampuni dosa-dosa mereka. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya:

"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, bahawa Baginda telah bersabda : Orang-orang yang menunaikan haji dan umrah itu adalah tetamu Allah. Jika mereka berdoa kepada-Nya, nescaya Allah akan memakbulkannya, jika mereka memohon keampunan kepada-Nya nescaya Allah akan mengampunkan mereka". (Riwayat Al-Imam Ibnu Majah).

Ibadat haji adalah kemuncak Rukun Islam yang lima. Kalau kita perhatikan, sebenarnya ibadat haji boleh mendidik umat Islam dari beberapa aspek, umpamanya para bakal jemaah haji perlu mempunyai persediaan yang cukup seperti perbelanjaan untuk diri sendiri semasa dalam menunaikan fardu haji dan orang-orang yang di bawah tanggungan yang akan ditinggalkannya yang mana perkara ini akan mendorong umat Islam untuk rajin berusaha mencari rezeki yang halal bagi kepentingan dunia dan akhirat.

Di samping itu, kesihatan tubuh badan juga sangat diperlukan untuk kita menunaikan ibadat haji dengan sempurna, ini akan menggalakkan umat Islam supaya berusaha menjaga kesihatan jasmani dan rohani.

Selain itu jemaah haji juga perlu memahami cara-cara pelaksanaan manasik haji dengan betul iaitu dengan mematuhi segala rukun-rukun, wajib-wajib haji, sunat-sunat dan adab-adabnya. Perkara ini akan menimbulkan kesedaran umat Islam untuk sentiasa menimba ilmu pengetahuan agar tidak merasa ragu-ragu dalam melaksanakan apa jua amal ibadat kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Dan tidak hanya terikut-ikut atau meniru apa yang orang lain lakukan.

Jemaah haji juga hendaklah memastikan keselamatan dan kesejahteraan semasa di dalam perjalanan, sama ada dari segi keselamatan nyawa mahupun harta benda. Ini akan mendorong umat Islam agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam apa jua keadaan.

Sebagaimana yang kita maklumi, ibadat haji yang dilakukan di Tanah Suci Mekah, selain menyahut panggilan Ilahi, ia juga sebagai perhimpunan agung umat Islam sedunia, yang dihadiri oleh pelbagai bangsa. Ini memberi kesempatan bagi seluruh umat Islam untuk saling kenal-mengenal, mengeratkan hubungan silaturahim, bekerjasama, hormat-menghormati dan mengukuhkan perpaduan umat Islam seluruhnya.

Memperkatakan tentang ibadat korban pula, sebenarnya ibadat korban itu mendidik umat Islam supaya bersifat dermawan dan murah hati kerana semua nikmat yang ada pada hakikatnya adalah pinjaman dan amanah Allah Subhanahu Wata'ala, yang kelak pasti akan diambilnya satu persatu, maka segala nikmat yang ada pada diri kita hendaklah dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Oleh itu bagi mereka yang mampu, lakukanlah penyembelihan korban pada setiap tahun, yang dagingnya dijadikan sedekah kepada fakir miskin dan boleh dijadikan hadiah kepada orang-orang yang mampu seperti jiran tetangga serta rakan taulan yang beragama Islam. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, maksudnya:

"Dari A'isyah Radiallahuanha bahawasanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Tiada ada sesuatu amalan yang dikerjakan oleh anak Adam pada Hari Raya Haji yang lebih disukai oleh Allah Subhanahu Wata'ala dari menumpahkan darah. Bahawasanya ia (korban itu) datang pada Hari Kiamat dengan tanduk-tanduknya dan bulu-bulunya dan kukunya dan bahawasanya darah korban itu mendapat tempat yang mulia di sisi Allah Subhanahu Wata'ala sebelum darah itu tumpah ke bumi, oleh kerana itu hendaklah kamu berkorban dengan hati yang bersih". (Riwayat Al-Imam At-Termizi)

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Kautsar, ayat 1-3 tafsirnya:

"Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu wahai Muhammad kebaikan yang banyak di dunia dan di akhirat. Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur. Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus dari mendapat sebarang perkara yang diingini".

Friday 12 October 2012

TAUBAT

Mengapa kita bertaubat?

Kerana:
  • Manusia pasti berdosa, sama ada dosa kecil atau dosa besar.
  • Dosa penghalang antara manusia dan Allah SWT.
  • Dosa membawa kepada kehancuran sama ada cepat atau lambat.
  • Allah memerintahkan kita untuk bertaubat.
  • Allah SWT mencintai kepada orang-orang yang bertaubat.

Bertaubat bermaksud menyesali yang amat sangat terhadap dosa (segala perkara yang menyalahi perintah Allah SWT) yang telah terjadi, lalu segera  meninggalkan perbuatan tersebut, dan berazam yang kuat untuk meninggalkan dan lagi tidak mengulangi perbuatan berdosa di masa-masa yang akan datang.

"Dan bertaubatlah kamu kepada Allah, wahai sekalian orang-orang Mukmin, semoga kamu mendapat kemenangan." (An Nur : 31)

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha (taubat yang bersungguh-sungguh))." (At Tahrim : 8)

"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang mensucikan diri." (Al Baqarah : 222)

Bertaubat itu wajib disegerakan. Ia mesti dilakukan terus menerus dan pada semua masa kerana anggota manusia tidak pernah sepi daripada melakukan dosa. Setiap manusia tidak akan sepi dari semua kekurangan-kekurangan dalam dirinya yang menjadi alasan melakukan dosa.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

"Sebenarnya hatiku juga turut terkena godaan, sehingga aku memohon pengampunan Allah sebanyak tujuh puluh kali dalam sehari semalam."

Oleh yang demikian, Allah SWT telah memuliakan Nabi s.a.w. sebagaimana firmanNya:

"Agar diampuni Allah segala dosamu yang terdahulu dan yang terkemudian." (Al Fath : 2)

Manusia dari sejak mula kejadiannya di dunia ini memang suka benar menurut kehendak hawa nafsunya (perbuatan dosa). Dengan bertaubat yang sempurna bukan sahaja ianya menyesali segala amalan-amalan yang terlanjur menuruti nafsu dan tidak cukup dengan berazam akan menghentikannya, bahkan harus diiringi dengan keazaman untuk mengikis segala kekotoran atau tabir dosa yang menutup pintu hati.

Jika melakukan perbuatan yang berdosa, segeralah bertaubat. Jangan leka seperti seseorang itu sedang tidur nyenyak, apabila datang saat kematian barulah sedar. Ketika itu segala-galanya telah terlambat. Apa gunanya? Sudah tidak ada kesempatan untuk memperbaiki segala keterlanjuran dan kesalahannya  (segala dosa).

Firman Allah SWT:

"Dan bukanlah taubat itu bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan-kejahatan, lalu bila seseorang mereka didatangi oleh maut ias pun berkata: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang." (An Nisa' : 18)

"Sesungguhnya taubat yang dapat diterima Allah untuk orang-orang yang mengerjakan kejahatan kerana kebodohan, kemudian mereka bertaubat dalam masa yang dekat." (an Nisa' : 17)

Taubat yang dikira sah dan benar ialah taubat yang diiringi dengan keimanan yang teguh. Apabila telah bertaubat, hendakhah ianya dijaga selagi hayat dikandung badan dan sentiasa menyesali atas setiap dosa yang telah dilakukan. Sebaik-baiknya seseorang itu sentiasa menghisab diri sendiri setiap hari, mengira segala keburukan dan dosa yang dilakukan, kemudian cuba menggantikannya dengan berbagai kebajikan. Moga-moga dengan cara yang demikian ia akan menebus dan menghapuskan dosa-dosanya. 

Taubat itu sebenarnya mempunyai syarat-syarat khusus yang akan menentukan sama ada ia akan diterima atau tidak oleh Allah. Syarat-syarat taubat meliputi:
  • Ikhlas ingin bertaubat - Apa saja amalan, walaupun caranya benar di sisi syariat namun bukan kerana Allah, amalan itu tetap tertolak. Begitu jugalah dengan taubat, Allah tidak akan menerima taubat seseorang melainkan ia dilakukan dengan rasa ikhlas hanya kerana Allah semata-mata, bukan kerana manusia atau dunia.
  • Meninggalkan segala dosa - Ia bermaksud meninggalkan segala bentuk maksiat sama ada pernah atau tidak pernah dilakukannya. Hendaklah dia berusaha bersungguh-sungguh untuk menghilangkan akar-akar kemaksiatan yang ada dalam hatinya agar kembali bersih dan suci, meninggalkan segala larangan Allah dan melaksanakan apa-apa yang diwajibkan ke atas dirinya.
  • Menyesal atas dosa yang dilakukan - Orang yang bertaubat hendaklah benar-benar menyesal atas segala kejahatan yang pernah dilakukannya pada masa lampau. Dia merasa sedih di hadapan Allah atas dosa-dosanya dan mengakui bahawa kelakuannya itu adalah perbuatan yang salah di sisi agama.
  • Tidak mengulangi lagi perbuatan maksiat - Orang yang bertaubat hendaklah bertekad untuk tidak lagi mengulangi segala perbuatan maksiat pada masa hadapan. Sesungguhnya taubat yang diselangi dengan pengulangan perbuatan dosa adalah taubat golongan pendusta yang Allah tidak akan ampuni dan memasukkannya ke dalam syurga.
  • Dikerjakan sebelum ajal tiba - Sesuatu taubat itu akan diterima Allah apabila ia dikerjakan sebelum waktu ajalnya, juga sebelum tiba Hari Kiamat. Bila sahaja Malaikat Maut telah datang menjemput, maka taubat pada waktu itu sudah tidak berguna lagi. “Dan tidaklah taubat orang-orang yang mengerjakan kejahatan itu diterima oleh Allah hingga apabila ajal datang kepada seseorang di antara mereka, barulah mereka mengatakan: ‘Sesungguhnya saya bertaubat sekarang.’ Dan tidak pula taubat orang-orang yang mati dalam kekafiran diterima-Nya. bagi mereka telah Kami sediakan seksa yang pedih.” (An Nisa’ : 18)
  
Janji Allah SWT kepada orang-orang yang bertaubat:
  • Taubat itu jalan menuju keberuntungan. Allah berfirman: “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” (24:31). Ibnul Qoyyim berkata: “Janganlah mengharapkan keberuntungan kecuali orang-orang yang bertaubat.”
  • Malaikat berdoa untuk orang-orang yang bertaubat. Allah berfirman: “(Malaikat-malaikat) yang memikul `Arsy dan malaikat yang berada di sekelilingnya bertasbih memuji Tuhannya dan mereka beriman kepada-Nya serta memintakan ampun bagi orang-orang yang beriman (seraya mengucapkan): ‘Ya Tuhan kami, rahmat dan ilmu Engkau meliputi segala sesuatu, maka berilah ampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan Engkau dan peliharalah mereka dari siksaan neraka yang bernyala-nyala.” (40:7).
  • Mendapat kemudahan hidup dan rezki yang luas. Allah berfirman: “Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepadaNya. (Jika kamu, mengerjakan yang demikian), nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (terus menerus) kepadamu sampai kepada waktu yang telah ditentukan.” (11:3). Dan firman Allah: “Dan (dia berkata): ‘Hai kaumku, mohonlah ampun kepada Tuhanmu lalu bertobatlah kepada-Nya, niscaya Dia menurunkan hujan yang sangat deras atasmu, dan Dia akan menambahkan kekuatan kepada kekuatanmu, dan janganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa.” (11:52). Dan Allah berfirman: “Maka aku katakan kepada mereka: ‘Mohonlah ampun kepada Tuhanmu - sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun - niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepada-mu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.’”
  • Penghapus kesalahan dan pengampun dosa. Dalam hadis qudsi, Rasulullah bersabda: “Wahai anak adam, sesungguhnya engkau telah berdoa padaKu dan mengharap padaKu, Aku telah ampunkan dosa-dosamu dan Aku tak menghiraukan. Wahai anak Adam, andaikan dosa-dosamu setinggi langit, kemudian engkau meminta ampunan padaKu, Aku akan mengampunimu, dan Aku tidak menghiraukan. Wahai anak Adam, andaikan kamu datang padaKu dengan kesalahan sebesar bumi, kemudian engkau tidak pernah mensekutukan padaKu dengan suatu apapun, Aku akan datang padamu dengan ampunan sebesar bumi pula.” Dan Rasulullah bersabda: “Orang yang bertaubat dari kesalahan bagaikan orang yang tidak punya dosa.” Dalam hadis yang lain: “Taubat itu menghapuskan dosa-dosa yang lalu.”
  • Hati menjadi bersih dan bersinar. Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya seorang mukmin jika melakukan perbuatan dosa, maka akan terjadi titik hitam di dalam kalbunya, jika dia bertaubat dan minta ampun pada Allah, kembali cemerlang hatinya, jika dosanya bertambah, bertambah pula titik hitam tersebut, hingga menutupi hatinya. Itulah “ar-ron” yang disebut oleh Allah dalam firmanNya: "Sekali-kali tidak (demikian) sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.” (HR. Tirmidzi).
  • Dicintai Alla SWT. Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri.”

HUKUM MENINGGALKAN SOLAT JUMAAT

Dari Abdullah bin Umar dan Abu Hurairah r.a. keduanya menceritakan bahawa mereka mendengar daripada Rasulullah s.a.w ketika baginda sedang berkhutbah di atas mimbar, sabdanya:
“Hendaklah orang-orang yang suka meninggalkan Jumaat menghentikan perbuatan mereka itu, atau adakah mereka mahu Allah membutakan hati mereka dan sesudah itu mereka betul-betul menjadi orang yang lalai?” – H.R Muslim.
Huraian :
Meninggalkan solat Jumaat merupakan perbuatan yang ditegah kerana solat Jumaat hukumnya adalah fardhu ain ke atas setiap individu muslim. Orang yang meringan-ringankan hukum Allah ini akan mengundang kemurkaan-Nya dan mereka bakal menerima balasan yang setimpal dengan dosa yang dilakukan. Bahkan orang yang enggan mentaati suruhan Allah pintu hatinya lama-kelamaan akan tertutup daripada mendapat hidayah menjadikan mereka semakin sesat dan tanpa segan terus melakukan dosa-dosa yang lain.

Sesungguhnya orang yang dibenarkan meninggalkan solat Jumaat hanyalah mereka yang menghadapi kesukaran yang mencapai darjah keuzuran syar’i sepertimana yang berlaku kepada orang sakit dan orang musafir. Oleh itu sekiranya seseorang itu tiada sebarang alasan yang munasabah di sisi syarak untuk meninggalkan solat Jumaat, maka hendaklah mereka mengerjakannya kerana solat Jumaat selain dariapada suatu kewajiban dalam beribadat kepada Allah SWT ia juga merupakan suatu syiar Islam yang wajib dipelihara demi menjaga kesucian agama.

Wednesday 3 October 2012

ADAB PERGAULAN DENGAN SEMUA LAPISAN MANUSIA

Jika kita inginkan pergaulan yang baik, maka hendaklah kita memelihara adab-adab berikut sebagaimana yang disarankan oleh Imam Ghazali dalam kitabnya, 'Bimbingan Mu'minin':

  • Berikan keredhaan kita kepada kawan dan musuh sama belaka. Tunjukkan kepada mereka sikap yang baik tanpa menyombong diri, dan rendahkanlah diri kita tanpa menghinakannya. Jadikanlah sikap kita sederhana pada semua perkara, sebab terlalu meninggi sangat ataupun merendah sangat, kedua-duanya adalah sifat yang tercela.

  • Jangan menoleh ke kanan atau ke kiri, ataupun terlalu banyak menoleh. Jangan berdiri di antar orang ramai. Jika duduk jangan menggelenyar (duduknya tidak tetap). Jangan selang-selikan jari-jari antara sati dengan yang lain. Jangan terlalu banyak mengurut janggut atau memain-mainkan cincin di jari.

  • Jangan mengorek gigi atau hidung, banyak berludah atau berhingus, atau selalu menggeliat dan menguap di hadapan muka orang ramai dan di waktu sedang bersembahyang atau sebagainya.

  • Apabila duduk biarlah duduk kita tenang saja, dan perbualan kita itu teratur.

  • Dengarkanlah perbualan-perbualan atau percakapan-percakapan yang baik daripada orang yang bercakap kepada kita, tanpa menunjukkan ketakjuban yang berlebih-lebihan, atau menyuruh orang itu mengulangi percakapannya. Kalau percakapannya itu mentertawakan, maka tahanlah ketawa kita sedapat mungkin.

  • Jangan suka memuji-muji anak buah sendiri, atau syair-syair yang kita cipta sendiri, atau kerya-karya yang kita hasilkan sindiri, ataupun segala sesuatu yang mengenai diri kita sendiri.

  • Jangan meniru cara-cara kaum wanita menperhiaskan dirinya, dan jangan bersikap rendah, seperti yang biasa dilakukan oleh para hamba sahaya.

  • Jangan menggesa orang untuk mendapatkan sesuatu keperluan, dan jangan mendorong orang supaya melakukan kezaliman atau penginyayaan terhadap sesama manusia.

  • Jangan memberitahu isteri atau anak-anak, apatah lagi orang lain, tentang jumlah wang simpanan kita. Sebab kalau mereka tahu simpanan itu sedikit, tentulah mereka akan menunjukkan sikap kurang senang. Tetapi kalau mereka tahu simpanan itu banyak, mereka sentiasa tidak puas dan tidak cukup dengan pemberian kita.

  • Jika kita berselisih faham, maka hendaklah kita bertenang, hindarkan sikap berkeras hati, dan jangan terlalu terburu nafsu. Malah hendaklah kita fikirkan hujah atau dalil yang boleh diterima oleh akal. Jangan menggunakan terlalu banyak isyarat dengan tangan, atau menoleh-noleh ke belakang. Apabila kemarahan kita telah reda, barulah bercakap.

  • Sekali-kali jangan sampai kita menganggap harta kekayaan kita itu lebih mulia daripada harga diri kita.

  • Apabila kita memasuki sesuatu majlis, maka peliharalah adab majlis itu. Mulakan dengan memberi salam kepada orang ramai. Jangan melangkah-langkah tempat duduk orang lain yang telah datang terlebih dulu, malah duduk sahaja dimana terdapat tempat kosong, kerana yang demikian itu menunjukkan tawadhuknya seseorang. Setelah duduk hendaklah kita berjabat tangan dengan orang-orang yang di samping kita. Jauhilah duduk di tempat perjalanan orang.

  • Awaslah, jangan kita bersenda-gurau dengan orang cendekiawan, ataupun orang kurang akalnya. Si cendekiawan akan rasa kurang senang dengan perilaku kita, yang kurang akalnya akan menentang perbuatan kita. Apabila terlena di dalam sesuatu majlis disebabkan senda-gurau atau kelalaian, maka hendaklah kita berzikir kepada Allah tatkala beredar daripada majlis tersebut.

Tuesday 2 October 2012

KEUTAMAAN SOLAT BERJAMAAH

Dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan rukuklah bersama orang-orang yang rukuk*. (Al Baqarah : 43)
* Maksudnya adalah solat berjamaah. Juga dapat diertikan tunduklah kepada Allah SWT bersama-sama orang-orang yang tunduk.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sembahyang berjamaah itu melebihi sembahyang bersendiri dengan 27 darjat."

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.w.w. pernah mengesan beberapa orang tidak mengikut serta dalam sembahyang berjamaah lalu baginda berkata: Saya hampir-hampir akan memerintahkan orang lain untuk mengimami orang ramai dalam sembahyang, kemudian saya pergi mendapatkan orang-orang yang melewat-lewatkannya (sembahyang berjamaah), lalu saya membakar rumah-rumah mereka.

Dalam sebuah Hadith Marfu' yang diriwayatkan oleh Khalifah Usman r.a. dari Rasulullah s.a.w. bunyinya: Barangsiapa yang menyaksikan bersembahyang Isya' berjamaah, maka ia seolah-olah telah mendirikan ibadat separuh malam. Dan barangsiapa menyaksikan sembahyang Subuh berjamaah pula, maka ia seolah-olah mendirikan ibadat sepanjang malam itu.