ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Monday 7 July 2014

HIDUPKAN MASJID SEPANJANG RAMADHAN

Antara perkara pertama dilakukan Rasulullah SAW ketika sampai di Madinah melalui proses hijrah ialah mendirikan masjid. Ia menandakan pentingnya sebuah institusi yang menjadi tempat utama penyebaran Islam. 

Semua aktiviti umat Islam tertumpu di masjid dan ia tidak hanya membabitkan pelaksanaan ibadah khusus. Malah, semua aktiviti muamalah umat Islam sebenarnya bermula di masjid. Oleh itu, masjid perlu sentiasa diimarahkan agar menjadi syiar yang menunjukkan kehebatan umat Islam.

Sepanjang pemerhatian pada minggu awal Ramadan, setiap masjid di negara kita ‘hidup’ dengan pelbagai aktiviti keagamaan. Tidak seperti bulan lain, jumlah kehadiran jemaah ke masjid pada Ramadan meningkat secara mendadak. Mereka yang datang ke masjid ini yakin Allah sedang membuka pintu rahmat-Nya untuk sesiapa yang beribadah kepada-Nya. Sebelum masuk Subuh, masjid dihadiri jemaah yang baru selesai bersahur. Keadaan ini berterusan sehinggalah lewat malam dengan solat Tarawih, tadarus al-Quran, qiamullail dan sebagainya.

Inilah satu senario hebat yang berlaku dalam Ramadan. Sesungguhnya keberkatan Ramadan serta ganjaran ditawarkan oleh Allah benar-benar dapat menarik minat umat Islam yang mampu melihatnya dengan panduan iman.

Perkongsian kali ini ingin mengajak kita semua untuk menginsafi perbuatan sendiri sama ada kita termasuk dalam kategori mereka yang berlumba-lumba mengimarahkan masjid atau sebaliknya.Bagi yang belum mengambil peluang, pastikan diri cuba untuk berada di rumah Allah setiap hari, meskipun hanya seketika. Usah lepaskan peluang untuk menjadi hamba-Nya yang berusaha mengimarahkan masjid terutama pada Ramadan.

Adalah sesuatu yang sangat baik apabila kita dapat berusaha untuk menunaikan solat fardu secara berjemaah di masjid. Cubalah untuk ke masjid apatah lagi kita tidak disibukkan dengan makan dan minum pada Ramadan.  Bagi yang bekerja, solat Zuhur antara yang boleh diusahakan untuk dilaksanakan secara berjemaah di masjid. Sesungguhnya pahala besar dijanjikan Allah SWT bagi mereka yang dapat menunaikan solat fardu secara berjemaah.

Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Solat berjemaah itu lebih baik daripada solat sendirian dengan 27 darjat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain solat fardu, banyak amal ibadah sunah lain yang boleh dilakukan secara berjemaah di masjid. Antara ibadah sunah yang hanya ada pada Ramadan ialah solat sunat Tarawih. Dari sudut bahasa, tarawih bermaksud berehat atau bersenang-senang. Ini bermakna, solat sunat ini ibadah yang dilakukan dengan tertib dan tenang meskipun bilangan rakaatnya banyak. Oleh itu, ingin disarankan di sini agar imam tidak tergesa-gesa ketika mengetuai jemaah menunaikan solat Tarawih. Ia perlu dilakukan secara tertib. Sesungguhnya amat besar pahala bagi mereka yang berusaha menghidupkan Ramadan dengan amal ibadah kepada Allah.

Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Sesiapa yang berdiri (beribadat) pada malam Ramadan kerana iman dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosanya yang lalu.” (Riwayat Muslim)

Tadarus al-Quran juga antara ibadah banyak diadakan di masjid. Ada mengadakannya selepas setiap solat fardu, tidak kurang juga yang mengadakannya selepas selesai solat sunat Tarawih dan Witir. Amalan baik ini juga perlu kita sertai agar Ramadan dapat diisi dengan ibadah yang dijanjikan pahala oleh Allah SWT.

Dalam soal mengimarahkan masjid, satu perkara ingin disentuh ialah pembabitan anak kecil dengan aktiviti di masjid. Usaha ibu bapa membawa anak ke masjid untuk sama-sama menunaikan ibadah adalah suatu yang baik. Anak perlu diberi didikan dari peringkat awal agar hati mereka sentiasa suka melakukan ibadah.

Perkara ini ditunjukkan sendiri oleh Rasulullah SAW. Ketika Ibnu Abbas masih kanak-kanak, beliau bercerita: “Rasulullah bangun solat malam dan aku turut serta bersamanya. Aku berdiri di sebelah kiri baginda. Baginda memegang kepalaku lalu menjadikan aku berada di sebelah kanan baginda.” (Riwayat Bukhari) 

Dalam masa sama, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mengingatkan anak agar tidak membuat bising dan mengganggu jemaah dalam masjid yang sedang melakukan ibadah.

Sebenarnya terlalu banyak aktiviti dianjurkan pihak masjid di negara kita sepanjang Ramadan ini. Usah lepaskan peluang untuk sama-sama menghidupkan masjid sepanjang Ramadan ini. Mudah-mudahan, hasil tarbiah Ramadan ini menjadi titik tolak untuk mendidik diri agar terus mengimarahkan masjid pada bulan seterusnya selepas Ramadan.  

Oleh Mohd Shahrizal Nasir, UniSZA

No comments:

Post a Comment