ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Wednesday 2 July 2014

PELIHARA ADAB DALAM MASJID

Ternyata Ramadan mempunyai kelainan yang tiada pada bulan lain. Semua golongan dari kalangan Muslim baik daripada usia kanak-kanak sehinggalah warga emas, masing-masing memakmurkan masjid.

Gambaran ini sesuai dengan ayat 18, surah at-Taubah bermaksud: "Hanyasanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah..." 

Kita ke masjid dengan satu tekad dan matlamat iaitu mahu melakukan solat secara berjemaah. Kita mengabdikan diri kepada Allah, mengikuti sunah Rasulullah SAW dan kalangan sahabat radhiallahu anhum. 

Bagaimanapun, apabila ke masjid kita perlulah menjaga adabnya. Kita perlu menghormati masjid kerana ia tempat ibadat. Janganlah mengaibkan kesucian masjid dengan perilaku tidak sepatutnya seperti bertengkar, berbual mengenai urusan dunia, bermain-main atau bercakap-cakap dengan telefon bimbit di dalam dewan solat. Demikian juga ketika duduk di dalam saf, usahlah bermesej dan mengakses Facebook kerana mengganggu tumpuan untuk beribadat. Waspadalah kerana kadangkala ruang maya itu mengandungi unsur fitnah dan foto tidak senonoh.

Banyak keterangan menganjurkan kita agar menjaga kehormatan masjid. Antaranya ayat 36 daripada surah an-Nur, maksudnya: "(Nur hidayah bersinar) di rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang."

Daripada Ibnu Umar, daripada Rasulullah SAW sabdanya: "Beberapa hal yang tidak layak dilakukan di masjid; tidak dijadikan sebagai jalan, tidak boleh senjata dihunuskan, tidak boleh busur ditarik, tidak boleh menyebarkan anak panah, tidak boleh melalukan daging mentah, tidak boleh dilaksanakan had, tidak boleh menuntut qisas daripada seseorang dan tidak boleh menjadikannya sebagai pasar." (Riwayat Ibnu Majah)

Kemudian diriwayatkan juga bahawa Ibnu Majah daripada Salman bin Buraidah, daripada bapanya, dia berkata: "Rasulullah SAW telah mengerjakan solat, lalu seorang lelaki berkata, siapa yang menemui unta merah? Maka Nabi SAW bersabda: Engkau tidak akan mendapatkannya. Masjid dibina untuk sujud."

Fatimah binti Rasulullah SAW berkata: "Jika Rasulullah SAW masuk ke dalam masjid, kemudian baginda mengucapkan dengan nama Allah dan salam ke atas Rasulullah: Ya Allah ampunilah dosaku dan bukakanlah pintu rahmat-Mu. Dan apabila keluar baginda mengucapkan: Dengan nama Allah dan salam ke atas Rasulullah. Ya Allah, ampunilah dosaku dan bukakanlah pintu fadilat-Mu (kurniaan-Mu)."

Khalf bin Ayub ketika duduk di masjid didatangi pekerjanya yang menanyakan sesuatu kepadanya. Dia keluar dari masjid untuk menjawabnya dan ketika ditanya mengapakah berbuat demikian?

Jawabnya: "Sudah sekian lama saya tidak pernah bercakap mengenai urusan dunia di dalam masjid. Maka sampai kini saya tidak suka membincangkan urusan dunia di dalam masjid."

Seorang zuhud berkata: "Saya tidak pernah menyandarkan punggung di masjid atau meluruskan kaki atau membincangkan urusan (dunia) di dalam masjid."

Abu Laits menggariskan adab masjid, antaranya:  
  • Memberi salam ketika masuk jika orang sedang duduk. Tapi jika ada orang dan mereka sedang solat, maka memberi salam kepada diri sendiri dan hamba Allah yang soleh: "Assalamu alaina min rabbina wa ala ibadillahissalihin." 
  • Solat dua rakaat kerana sabda Nabi SAW: "Tiap tiap suatu ada aturannya dan adab aturan masuk masjid ialah solat dua rakaat." 
  • Tidak jual beli di dalamnya.
  • Tidak menghunus pedang di dalamnya.
  • Tidak mencari barangan yang hilang di dalam masjid.
  • Tidak bersuara kuat di dalamnya kecuali dalam berzikir jika tidak mengganggu orang lain.
  • Tidak membincangkan urusan dunia di dalamnya.
  • Tidak melangkah leher orang dan berjalan di muka orang yang sedang solat.
  • Tidak bertengkar.
  • Jangan mendesak dan menyempitkan tempat orang lain di dalam saf.
  • Tidak boleh meludah dalam masjid.

Keterangan ini dikemukakan agar kita sama-sama mengambil peringatan dan mengikutinya. Jagalah adab dan kemuliaan masjid. Jika bukan kita, siapa lagi yang akan menjaganya?

No comments:

Post a Comment