ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Tuesday 9 July 2013

MASJID ANNUR: RAMADHAN ALMUBARAK

MASJID ANNUR,
KAMPUNG PARIR RAMBAI, RAMBAH, PONTIAN, JOHOR DARUL TAKZIM

KEPADA AHLI KARIAH MASJID ANNUR



 


RAMADHAN ALMUBARAK

Marilah kita sama-sama menyemarakkan bulan Ramadhan dengan bertarawikh beramai-ramai di masjid kita Masjid Annur.

Ramadhan tiba lagi. Hari ini  tanggal 1 Ramadhan umat Islam di seluruh dunia mula melaksanakan kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan. Syukur dan Alhamdulillah jika kita masih berkesempatan berada di bulan Ramadhan kali ini. Kelebihan dan keagungan yang ada di bulan ini adalah dengan adanya malam Lailatul Qadar yang dirahsiakan kehadirannya sehingga mendapat keampunan dan pahala serta darjat yag tertinggi bagi orang yang berjaya mendapatkan malam Lailatul Qadar. Amat digalakkan pada bulan ini  dengan dipenuhi amal ibadah dan bertaqwa kepada Allah, disamping bersembahyang sunat, istighfar, tasbih dan berzikir sepenuhnya.

1.  Berpuasa wajib di bulan Ramadhan merupakan tuntutan agama yang wajib dilakukan setahun sekali oleh setiap orang Islam yang baligh, berakal serta berkemampuan untuk melaksanakannya. Hanya golongan tertentu seperti orang tua yang sudah uzur ataupun sakit yang tiada harapan sembuh juga wanita yang dalam keadaan haid dan nifas sahaja dikecualikan daripada berpuasa. Walau bagaimanapun golongan ini tertakluk kepada kewajipan untuk membayar fidyah ataupun menggantikan puasa pada bulan-bulan yang lain.

2.  Perlu juga difahami betapa ketibaan Ramadan merupakan sebahagian daripada nikmat kurniaan Ilahi yang perlu disyukuri kerana hanya diberikan kepada insan-insan terpilih. Terdapat dikalangan kerabat, jiran tetangga dan sahabat handai yang pada tahun lalu sama-sama berpuasa dan berhari raya kini telah pergi selama-lamanya menyahut seruan Ilahi sekaligus tidak lagi diberi keistimewaan oleh Allah SWT untuk menikmati anugerah Ramadan.

3.  Justeru itu peluang keemasan yang datang setahun sekali ini tidak patut dipersiakan dan berlalu pergi begitu sahaja tanpa berusaha untuk melipatgandakan ketaatan. Tentunya suatu kerugian yang amat besar apabila seseorang ditakdirkan melalui Ramadan hingga kepenghujungnya tetapi tidak beroleh pengampunan dan pembebasan api neraka sepertimana yang dijanjikan oleh Allah SWT. Untuk tujuan itu juga, persiapan rapi bagi menyambut ketibaan Ramadan perlu dilakukan seiring dengan persiapan menjelang hari raya yang terkadang menjadi tujuan utama berpuasa. Oleh itu setiap umat Islam perlu membersihkan jiwa dan raga daripada pelbagai penyakit mazmumah sebagai persediaan beroleh ganjaran yang tiada tolok bandingnya di Bulan Ramadan. Betulkan niat dan tujuan berpuasa agar menjadi motivasi untuk mempertingkat amal dan kebajikan.

4.  Selain daripada itu persediaan mental dan fizikal turut diperlukan bagi mengharungi jadual padat yang telah ditetapkan. Bermula daripada terbit fajar hingga terbenam matahari seseorang perlu menahan diri daripada makan dan minum juga semua perkara yang membatalkan puasa. Malah bagi mencapai tingkatan puasa khusus seseorang perlu mempastikan seluruh pancaindera terpelihara daripada berbuat dosa dan maksiat kepada Allah SWT. Begitu pula seseorang yang hanya berpuasa tetapi tidak melaksanakan kewajipan solat dan menutup aurat juga dikhuatiri gagal memperoleh kesempurnaan berpuasa seperti yang diharap-harapkan.

5.   Selain beribadah dengan modal kesihatan umat Islam turut boleh beribadah dengan modal wang ringgit. Kewajipan menunaikan zakat fitrah, memberi sedekah kepada golongan miskin dan memerlukan, memberi makan dan minum untuk orang yang berpuasa semuanya merupakan ibadah yang bersifat materilistik. Tanpa kemahiran mengurus sumber kewangan yang terhad seseorang mungkin terlepas peluang untuk beribadah menggunakan wang ringgit. Apatah lagi menjelang musim perayaan banyak wang yang akan digunakan untuk tujuan tersebut. Justeru itu, asingkan sebahagian wang gaji yang diperoleh untuk terlibat sama menginfaqkan harta di bulan Ramadan yang cukup besar ertinya terutama bagi yang tiada. Malah doa golongan tersebut mampu memberi keberkatan dan kecukupan kepada rezeki yang sedia ada walaupun tampak sedikit di pandangan mata.

6. Demi untuk merealisasikan tuntutan ibadah di Bulan Ramadan setiap individu Muslim perlu menyediakan perancangan program ibadah sepanjang bulan. Selain program pelaksanaan ibadah wajib seperti berpuasa di siang hari dan solat lima waktu, banyak ibadah sunat boleh dilakukan. Rancangkan berapa muka surat al-Quran mampu dibaca untuk dapat khatam di penghujung Ramadan. Rancangkan pula sejumlah bilangan zikir seperti tahlil, tahmid dan tasbih yang mampu di baca selama sebulan. Malah yang lebih utama persiapan untuk beroleh ganjaran beribadah di Malam Lailatulqadar yang boleh dilakukan dengan berusaha untuk solat tarawih setiap malam. Ini diikuti pula dengan kesanggupan untuk beribadah di sepuluh malam terakhir daripada Ramadan yang berkemungkinan besar berlaku peristiwa lailatulqadar.

7.  Sesungguhnya kegembiraan bertemu Ramadan hanya dapat dirasai oleh individu yang tahu akan berbagai kelebihan yang khusus disediakan dalam bulan tersebut. Adapun bagi golongan yang lalai dan lemah iman berbagai alasan dan helah mula direka hanya kerana enggan menunaikan kewajipan berpuasa. Ibadah puasa bagi mereka umpama suatu penyiksaan batin yang tidak tertanggung sehingga tanpa segan silu makan di khayalak ramai tanpa sekelumit rasa berdosa. Seolah-olah mereka nekad ditangkap oleh penguatkuasa agama berbanding melaksanakan ibadah puasa sebagai manefestasi keimanan dan kepercayaan kepada Ilahi.

8.  Marilah kita semua bergembira dengan ketibaan Bulan Ramadan al-Mubarak. Marilah kita semua berazam untuk menjadikan puasa tahun ini lebih berkualiti daripada tahun-tahun yang lalu. Ini kerana peluang yang ada semakin terhad berbanding umur dunia yang semakin deras menuju ke penghujungnya. Malah kegembiraan dan kejayaan sebenar yang bakal dikecapi adalah berpunca daripada kesempurnaan ibadah puasa yang bakal dilakukan demi mencapai makam takwa kepada Allah SWT.


Antara Keistimewaan Yang Terdapat Pada Bulan Ramadan ialah:

1. Disyariatkan Ibadah Puasa
Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan yang mana pada bulan ini disyariatkan ibadah yang amat mulia di sisi ALLAH, iaitu puasa.

2. Bulan Diturunkan Al-Quran
Kalamullah al-Quran telah diturunkan pada bulan ini. Seluruh umat Islam beriman bahawa al-Quran merupakan kitab yang menjadi petunjuk bagi sekalian hamba ALLAH untuk membezakan di antara kebenaran dan kebatilan.

3. Pintu Syurga Terbuka Luas
Pada bulan Ramadan yang penuh berkat ini juga dibuka seluas-luasnya pintu syurga bagi mereka yang beriman dan taat kepada perintah ALLAH. Bahkan, di bulan yang mulia ini jugalah ALLAH melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-NYA yang menjadi penyebab memudahkan mereka masuk ke syurga.

4. Pintu Rahmat (Belas Kasihan Terhadap Hamba-NYA)
    Terbuka Luas
      Pada bulan Ramadan pintu-pintu Rahmat dibuka. ALLAH meluaskan rahmat-NYA agar menaungi seluruh hamba-hamba-NYA yang tekun beribadah dan taat kepada-NYA dengan memberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.

5. Pintu Langit Terbuka Luas
ALLAH membuka pintu langit seluas-luasnya pada bulan Ramadan yang mulia ini untuk menurunkan limpahan rahmat-NYA kepada sekalian hamba-hamba-NYA serta segala amalan-amalan berbentuk ketaatan kepada-NYA akan naik secara terus kepada-NYA

6. Pintu-Pintu Neraka Tertutup Rapat
Pintu-pintu neraka pula ditutup serapat-rapatnya pada bulan Ramadan. Ia menunjukkan bahawa pada bulan Ramadan yang mulia ini hamba-hamba ALLAH yang tekun beribadah dan menurut segala perintah-NYA terlindung daripada dorongan untuk melakukan perbuatan-perbuatan terlarang yang boleh menjadi penyebab untuk mereka dicampakkan ke dalam api neraka.

7. Syaitan dan Jin Dirantai
Pada bulan Ramadan syaitan dan jin dirantai untuk menghindari mereka dari mengganggu atau menghasut orang-orang yang beriman. Ada juga ulama mentafsirkan maksud syaitan dibelenggu ialah syaitan tidak dapat merosakkan ibadah manusia pada bulan Ramadan kerana ketekunan manusia melakukan ibadah puasa serta ibadah-ibadah lain. Ini kerana, ibadah puasa itu dapat mengawal nafsu mereka dari terdorong melakukan perkara mungkar.

8. Pada Bulan Ini Terdapat Lailatul Qadar
Pada bulan ini juga terdapat satu malam yang lebih mulia berbanding 1000 bulan, iaitu Malam Lailatulqadar. Bahawa lailatulqadar bermaksud malam yang memiliki keagungan kerana diturunkan al-Quran pada malam tersebut, turunnya para malaikat, melimpahnya rahmat dan keampunan ALLAH serta ALLAH akan menganugerahkan keagungan (kemuliaan) kepada mereka yang beribadah pada malam itu. Selain itu, apa sahaja yang ditakdirkan untuk kita pada tahun berikutnya ditetapkan oleh ALLAH pada malam itu.


Pesta Menuai Ganjaran Pahala Ramadan

1.  Sebagai satu rahmat Allah SWT pada bulan Ramadhan ini, usaha membangun sahsiah Muslim seutuhnya perlu dipraktikkan di sepanjang bulan Ramadhan ini. Bahkan pelaksanaan ibadat puasa dan ibadat-ibadat lain pada sepuluh hari terakhir Ramadan perlu dipergiatkan dan diperbanyakkan.

2   Ini kerana tempoh tersebut merupakan kemuncak ibadat puasa sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW. Di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. daripada Saiyidatina Aishah r.a., sesungguhnya Nabi SAW adalah sangat giat mendekatkan diri kepada Allah SWT (beribadat) pada sepuluh hari terakhir Ramadan.

3.  Tunggak ibadah pada bulan Ramadan ialah ibadah puasa iaitu menahan diri bukan sahaja dari makan dan minum bahkan dari segala perkara maksiat dan yang membatalkan pahala puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

4.  Dalam konteks ibadah puasa, kejayaan menempuh ujian perlu disertai dengan sifat sabar. Sifat sabar merupakan perkara asas dalam kehidupan kita seharian terutamanya sabar dalam menghadapi segala macam ujian hidup. Sifat sabar ini dapat menjadikan kita seorang Muslim yang tabah dan mempunyai jati diri dalam menghadapi ujian dan ranjau kehidupan. Firman Allah SWT dalam surah al-Zumar ayat 10, maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang bersabar akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.

5.  Oleh itu hendaklah kita merebut peluang yang sangat berharga ini dengan beribadah yang disertai dengan rasa kesyukuran dan kegembiraan, ikhlas dan yakin terhadap kurniaan Allah yang tidak ternilai banyaknya. Sesungguhnya keistimewaan dan kelebihan berpuasa dalam bulan Ramadan tidak akan kita nikmati jika tidak dilakukan dengan sempurna dan penuh keikhlasan.
 



Syukur dan Alhamdulillah. Kami mengucapkan terima kasih  kepada ahli kariah Masjid Annur khususnya di Parit Rambai Hilir yang dapat meluangkan masa bersama-sama bertahlil kirim arwah (punggahan) dan juga yang membantu membuat persediaan majlis itu pada 6 Julai 2013 yang lepas.

Berikut adalah sumbangan dan perbelanjaan:

Pendapatan daripada sumbangan               =  RM917.00
Perbelanjaan:
  - Jamuan (RM618.60)
  - Peralatan kebersihan masjid (RM133.60)
  - Selipar (RM64.00)
  - Label-label di majid (RM49.30)
     Jumlah                                                                                                                                                                                 =  RM865.50
Baki di tangan                                             =  RM51.50              


Sekian, Terima Kasih

No comments:

Post a Comment