ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Wednesday 15 January 2014

JANGAN BERPUTUS ASA MEMOHON KEAMPUNAN ALLAH SWT

Manusia tidak dapat lari daripada dosa dan pahala. Ini adalah suatu realiti yang mesti disedari oleh kita. Tindakan kita, sama ada ia sedikit saja ataupun dilakukan secara tersembunyi, semuanya tidak terlepas daripada pemerhatian Allah SWT. Firman-Nya dalam surah al-Zalzalah, ayat 7 dan 8 bermaksud: "Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!"

Ada orang pahalanya lebih banyak berbanding dosa dan begitu juga sebaliknya. Bagi kita yang banyak dosa sudah semestinya wajar segera menginsafinya dan membersihkan diri daripadanya. Kita tidak sepatutnya menangguhkan taubat dengan alasan kemungkinan masih ada banyak waktu pada kemudian hari. Alasan seperti itu tidak bersandarkan kepada kepastian yang tentunya akan berakhir dengan suatu kekecewaan.

Imam Nawawi berkata, seseorang hendaklah berwaspada terhadap bahaya menangguhkan taubat kerana Allah SWT akan mencabut nyawa seseorang hamba tanpa sebarang tanda atau amaran. Menurutnya, bahaya ditakutkan daripada tindakan suka menangguhkan taubat ialah disebabkan dosa itu sendiri yang mula menjadikan keras hati dan akhirnya menyusul dengan kebinasaan.

"Janganlah kamu melupakan kisah Iblis yang sebelumnya mempunyai kedudukan baik, ahli ilmu dan ibadat, tetapi kerana dosanya, akhirnya ia jatuh kepada keadaan sangat hina dan kufur. Demikianlah pula dialami Bal'am bin Ba'ura yang tergoda oleh harta benda kerana disuruh mendoakan kecelakaan terhadap Nabi Musa AS sehingga nasibnya rugi dan binasa selama-selamanya."

Sesetengah orang soleh berkata, hitamnya hati disebabkan melakukan maksiat. Tandanya ialah seseorang itu tidak gementar melakukan maksiat dan tidak berasa kemanisan melakukan ketaatan, bahkan tidak mahu menerima sesuatu nasihat.

Kita minta berlindung daripada hal serupa itu. Janganlah hendaknya kita menjadi riyak dengan maksiat, sampai ke tahap mentertawakan hukum-hakam. Ingatlah firman-Nya dalam surah al-Ankabut, ayat 40 yang bermaksud: "Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggemparkan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri."

Cuma umat Nabi Muhammad SAW tidak disegerakan balasan terhadap maksiat dilakukan mereka, sebagaimana dialami oleh umat nabi terdahulu.

Diriwayatkan bahawa Nabi Adam AS berkata, Allah SWT memberikan kepada umat Nabi Muhammad empat kehormatan yang tidak diberikan kepadanya.

"Taubatku hanya diterima di Makkah sedangkan umat Muhammad bertaubat di mana saja dia berada, nescaya taubat mereka diterima. Sesungguhnya aku berpakaian. Namun, ketika aku berbuat maksiat, Dia menjadikan aku telanjang dengan serta-merta sedangkan ketika umat Muhammad berbuat maksiat dalam keadaan telanjang, Dia memberikan pakaian kepada mereka.Ketika aku berbuat maksiat, Dia memisahkan aku dengan isteriku sedang umat Muhammad juga berbuat dosa, namun Allah tidak memisahkan mereka dengan isteri-isterinya. Dia masukkan mereka ke syurga jika bertaubat."

Nabi Adam diciptakan Allah SWT dan diberikannya roh, kemudian dibawa malaikat ke syurga. Namun, sekali sahaja bersalah dengan tidak sengaja, baginda diturunkan ke dunia. Kisah baginda dirakamkan dalam surah Thaha, ayat 117 hingga 123.

Itu cerita Nabi Adam iaitu rasul pilihan Allah. Bagaimana keadaannya dengan kita yang mempunyai banyak dosa dan terus melakukan dosa tanpa ada rasa bersalah, malah enggan bertaubat?

Bagaimana pula jika sudah bertaubat, tetapi masih mengulangi maksiat? Kata ulama, jika kita sudah bertaubat, kemudian kembali mengerjakan dosa, hendaklah bertaubat lagi dan begitulah seterusnya.

Kita sebagai Muslim ataupun Muslimah tidak harus berputus asa daripada keampunan Tuhan dan rahmat-Nya yang luas. Firman-Nya dalam surah an-Nisa, ayat 110 bermaksud: "Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri, kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." 

Ayuh kita berusaha mengikis noktah hitam dari dalam hati dan kita perkuatkan azam untuk menjaga diri agar tidak kembali melakukan dosa. Tiada daya daripada kita, melainkan kekuatan datang daripada-Nya.

Marilah kita menghayati dan mengamalkan doa disampaikan Imam Nawawi ini: "Ya Tuhanku! Hamba-Mu yang melarikan diri sudah kembali kepada pintu rahmat-Mu, hamba-Mu yang berdosa kembali kepada kebenaran dan hamba-Mu yang berdosa datang dengan memohon keampunan. Ampunilah aku dengan kemurahan-Mu dan terimalah aku dengan kurnia-Mu dan pandanglah aku dengan pandangan rahmat-Mu. Ya Allah! Ampunilah dosaku yang lalu dan peliharalah sisa umur hayatku. Sesungguhnya kebaikan itu semua ada pada-Mu dan Engkaulah yang paling menyayangi dan mengasihi."

Sumber

No comments:

Post a Comment