ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Tuesday 14 January 2014

TUNAIKANLAH SOLAT DENGAN PENUH RASA KEHAMBAAN

Bagi anda yang ingin mengerjakan solat, terlebih dahulu perlu bersuci. Apabila anda sudah memastikan semuanya suci termasuk tempat dan pakaian, bahkan anggota badan anda melalui wuduk, janganlah lupa isi badan anda yang menjadi diri anda sendiri iaitu hati. Bersungguh-sungguhlah menyucikan hati dengan bertaubat dan menyesal atas perbuatan terlanjur serta memusatkan keazaman untuk meninggalkannya pada masa akan datang. Jadi, sucikanlah batin anda itu kerana batiniah (hati) adalah tempat yang dilihat oleh Tuhan.

Adapun menutup aurat, ketahuilah ia membawa maksud menutup tempat yang jelek pada badan anda daripada mata manusia. Sesungguhnya yang zahir daripada badan anda adalah tempat pandangan manusia. Namun, bagaimanakah fikiran anda mengenai aurat batin anda dan rahsia anda yang cela, sedangkan ia tidak dilihat selain oleh Tuhan anda Azza wa Jalla? 

Oleh itu, bentangkanlah segala kekejian itu pada hati anda dan mintalah diri anda menutupkannya. Yakinlah bahawa tiada suatu pun yang dapat menutupkannya pada penglihatan Allah Taala. Hanya segala kekejian itu dapat ditutup oleh penyesalan, malu dan takut. Dengan menghadirkan segala kekejian itu ke dalam hati, dapatlah anda memperoleh faedah, menggerakkan ‘tentera’ takut dan malu dari tempat persembunyiannya. Lalu dengan yang demikian, anda hinakan diri anda dan hati anda akan menjadi tenteram di bawah perasaan malu itu. Tegak berdirilah anda di hadapan Allah Azza wa Jalla, sebagaimana berdirinya hamba yang berdosa, berbuat jahat dan melarikan diri selama ini sudah menyesal. Ia kembali kepada tuannya dengan kepala menekur kerana malu dan takut.

Adapun menghadap kiblat, yakni memalingkan wajah zahir anda dari pihak lain kepada pihak Baitullah. Adakah anda berpendapat, bahawa memalingkan hati dari segala hal yang lain kepada perintah Allah Azza wa Jalla, tidak diminta daripada anda? Sebenarnya, amat jauh daripada yang demikian! Sesungguhnya segala yang zahir ini adalah penggerak bagi batin, pengendalian dan penenangan bagi segala anggota badan dengan penetapan arah yang satu itu. Justeru, segala yang zahir itu (gerak fizikal) tidaklah menderhakai hati. Ini kerana apabila ia menderhakai dan menganiayai di dalam segala geraknya dan berpalingnya kepada semua pihak itu, nescaya dia menarik hati daripada wajah Allah Azza wa Jalla.

Dari itu, hendaklah wajah hati anda bersama dengan wajah tubuh anda! Ketahuilah, sekiranya muka tidak menghadap ke arah Baitullah, kecuali dengan berpaling kepada selainnya, maka begitu juga hati tidak akan berpaling kepada Allah Azza wa Jalla kecuali dengan mengosongkan hati itu daripada selain-Nya. Sabda Nabi SAW, mafhumnya: “Apabila berdirilah hamba kepada solatnya, maka hawa nafsunya, wajahnya dan hatinya berpaling kepada Allah Azza wa Jalla adalah seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya.” Adapun iktidal dengan berdiri betul adalah berdiri lurus dengan diri zahir dan hatinya di hadapan Allah Azza wa Jalla. Hendaklah kepala anda iaitu anggota tubuh anda yang tertinggi menekur, menunduk dan melihat ke bawah. Malah, hendaklah merendahkan kepala dari ketinggiannya memberi pengertian kepada keharusan bagi hati untuk merendahkan, menghinakan dan melepaskan daripada sifat keangkuhan dan kesombongan.

Selain itu, hendaklah ada pada ingatan anda di sini yakni tergurisnya di hati berdiri di hadapan Allah Azza wa Jalla pada huru-hara pandangan ketika datang untuk pertanyaan amal.

Ketahuilah, dalam keadaan ini sesungguhnya anda adalah berdiri di hadapan Allah Azza wa Jalla. Dia melihat kepada anda. Dari itu berdirilah di hadapan-Nya sebaik mungkin. Sekiranya anda boleh berdiri di hadapan penguasa atau raja dengan baik dan penuh perhatian, mengapa tidak apabila anda berdiri di depan Tuhan? - Disusun berdasarkan kitab Ihya Ulumuddin)

Sumber

No comments:

Post a Comment