ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Tuesday 14 January 2014

MENJADI UMAT ISLAM YANG TERBAIK

Hari ini sebahagian besar daripada umat Islam menyambut kelahiran Nabi Muhammad SAW. Namun, sejauh mana kita mengikuti tunjuk ajar baginda SAW dalam memacu diri dan bangsa menuju kemajuan dan ketamadunan?

Ketahuilah, satu perkara yang ditekankan nabi kita ialah kebaikan budi pekerti, sebagaimana sabdanya bermaksud: “Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Hadis riwayat al-Baihaqi) Membina ummah berpekerti mulia adalah wawasan utama Nabi SAW. Baginda bukan setakat menganjurkan umatnya berakhlak baik, tetapi baginda sendiri mempamerkan perwatakan dan sahsiah terpuji. 

Kita sedia maklum keruntuhan dan kehancuran sesuatu tamadun silam yang sesetengahnya ada dirakamkan Allah dalam al-Quran. Umatnya bukan calang-calang tahap ilmu pengetahuannya. Malah, sesetengahnya berkemahiran tinggi dalam sains dan teknologi sehingga binaan hebat dan kemajuan berinovasi berjaya dihasilkan. Namun, akhirnya keutuhan tamadun fizikal mereka berkecai akibat penderhakaan dan tatacara kehidupan menjijikkan.

Sebab itulah kita sebagai umat Islam yang cintakan Allah dan Rasulullah SAW sewajibnya memperagakan akhlak peribadi luhur. Pernahkah kita membaca kata-kata ini: “Budi pekerti yang baik adalah setengah daripada agama. Ia terhasil melalui mujahadah oleh orang bertakwa dan latihan oleh orang yang kuat beribadah”. “ Akhlak elok adalah pintu yang terbuka daripada hati yang akan menghasilkan nikmat syurga di sisi Tuhan. Budi pekerti keji adalah hasil daripada hati dan jiwa, malah ia adalah penyakit yang menghilangkan kebahagiaan hidup abadi.” Ungkapan penuh hikmah ini sebenarnya datang daripada Imam al-Ghazali dan anda dapat mencarinya menerusi kitab agungnya, Ihya Ulumuddin dalam bab latihan jiwa - pemurnian akhlak dan pengubatan. 

Di sini jelas menunjukkan Imam al-Ghazali pemimpin ulama tersohor meletakkan satu bab khusus mengenai pembinaan akhlak. Sesungguhnya wacana berkaitan akhlak tidak pernah dikesampingkan oleh mana-mana ulama sekalipun. Hakikat ini menggambarkan kepada kita unsur kemajuan dan pembinaan umat sebagai ‘rahmatan lil alamin’ perlu direalisasikan kepada kehidupan yang berpaksikan akhlak dan sahsiah munri.

Jalan menuju kebahagiaan hidup di dunia bukan hanya terletak kepada kemewahan rezeki yang berupa harta benda dan kedudukan pangkat serta darjat keturunan. Baginda SAW pernah mengingatkan kita jalan untuk menggapai kebahagiaan hidup di dunia dan insya-Allah akan memperoleh nikmat berkekalan di akhirat kelak adalah kehidupan yang berteraskan akhlak baik. Sabda baginda: “Antara jalan kebahagiaan bagi manusia adalah mempunyai akhlak yang mulia.” (Hadis riwayat al-Baihaqi) Demikian seorang sahabat baginda, Saidina Anas bin Malik turut meninggalkan pesanannya supaya sentiasa menjadikan akhlak mulia sebagai hidup peribadi. 

Sayang sekali, segala khazanah mutiara hikmah pesanan bestari Rasulullah SAW dan sahabatnya sudah kita abaikan serta jarang sekali untuk kita renungkan! Anas berkata: “Seseorang akan sampai ke makam yang tinggi di dalam syurga kerana akhlaknya walaupun ibadahnya tidak banyak. Ada orang yang akan berada di dalam neraka paling bawah disebabkan keburukan akhlaknya walaupun ibadahnya banyak.” 

Kita seharusnya banyak kali membaca pesanan Anas itu kerana ia mengandungi peringatan yang akan memandu jiwa dan hati kita agar tidak memilih gaya hidup bersulamkan perbuatan keji. Pesanan itu tidak tersasar dengan satu lagi kisah berikutnya iaitu dikatakan bahawa baginda SAW pernah ditanyakan mengenai seorang wanita yang begitu aktif mengerjakan ibadah berpuasa pada siang hari, manakala pada sebelah malamnya khusyuk solat. Sayangnya, wanita itu dia suka menyakiti jiran tetangga dengan lidahnya. Apabila baginda mendengar soalan daripada sahabatnya, baginda mengatakan: “Tidak ada kebaikan bagi wanita itu. Dia adalah penghuni neraka.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Hakim) 

Oleh itu, janganlah dek hebatnya kita mengerjakan amal ibadah, maka hati kita berasa akan selamat daripada seksaan Allah di akhirat, sedang peribadi kita begitu teruk, sehingga suka berburuk sangka, khianat, mengumpat, bercakap bohong dan menabur fitnah. Kita yang hidup pada zaman mutakhir ini wajar menghidupkan kembali zaman kegemilangan tamadun ummah dalam semua lapangan hidup. Kita dianjurkan cemerlang dengan menjadi peneraju kemajuan dunia sebagaimana umat Islam terdahulu pernah kecapi.

Namun, sebelum itu kita gilapkan dahulu peribadi kita dengan nilai murni. Jangan hanya memandang kepada sudut fizikal semata-mata, sedang aspek kemanusiaan dan kerohanian dibiarkan kerana jika demikian ketamadunan didambakan tidaklah menjadi sempurna.
Kita seharusnya memacu diri dengan kekuatan iman yang tinggi, memantapkan keutuhan ilmu dan memperkasakan sahsiah personaliti terpuji. Kombinasi tiga elemen ini akan memahkota reputasi ummah sebagai umat terbaik yang mengagumkan dunia. Percayalah! 

Sumber

No comments:

Post a Comment